OLEH-OLEH TEMASEK: Apabila Musang Berbulu Ayam
Mohamad Zakir Jaafar mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol dan satu tuduhan mencabul kehormatan. (Gambar fail: TODAY)
Apabila membaca laporan mengenai Mohamad Zakir Jaafar, rasa marah itu semakin membuak-buak.
Ironinya, nama yang membawa maksud kebaikan, langsung tidak mencerminkan perbuatannya. Apa yang dilakukan bukan sahaja mengkhianati kepercayaan seorang wanita warga emas, malah mencemarkan nilai kemanusiaan itu sendiri. Chairul Fahmy Hussaini mengupasnya.
Memikirkan bagaimana dia mengabui mata isterinya dengan konon-konon membantu menghantar seorang wanita berusia 71 tahun yang sesat pulang ke rumah, tetapi kemudian mengambil kesempatan mencabul kehormatan dan merogol balu yang menghidap demensia, benar-benar menjijikkan.
Menurut pendakwa raya semasa kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi, mangsa disahkan menghidap demensia pada Februari 2019. Malah pada Januari 2023, beliau mencatatkan 0/10 dalam ujian yang mengukur tahap kemerosotan kognitif, sekali gus menunjukkan keadaan demensianya sudah berada pada tahap yang amat teruk.
Dengan kata lain, mangsa tidak lagi mempunyai keupayaan untuk membuat pertimbangan yang waras atau memberikan persetujuan terhadap apa sahaja, apatah lagi persetujuan mengadakan hubungan seksual.
Lebih memilukan, Zakir sendiri mengakui dia menyedari keadaan mangsa dan menyangka dia boleh terlepas daripada perbuatannya kerana mangsa tidak mampu menceritakan apa yang berlaku.
Nasib baik jenayah itu akhirnya terbongkar apabila salah seorang anak mangsa meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah ibunya itu.
Sepanjang lebih dua dekad membuat liputan mahkamah, saya kerap menyaksikan kes jenayah seksual.
Kalau bukan rogol warga emas, rogol remaja. Kalau bukan rogol anak sendiri, rogol anak tiri, tak cukup rogol, diliwat pula. Kalau bukan merogol, dia cabul mangsa, golongan yang tidak mampu mempertahankan diri.
Setiap kali membaca fakta kes seperti ini, persoalannya tetap sama.
Mengapa masih ada manusia yang sanggup mengambil kesempatan terhadap mereka yang lemah, atau mempercayai mereka?
ANGKA YANG TIDAK BOLEH DIABAIKAN
Kes Zakir bukan kes terpencil.
Laporan Jenayah Tahunan 2025 yang dibentangkan pihak polis menunjukkan trend membimbangkan.
Jumlah kes rogol di sini meningkat hampir 20 peratus, daripada 401 kes pada 2024 kepada 479 kes pada 2025. Ini bermakna, secara purata, lebih daripada satu kes rogol dilaporkan setiap hari.
Kes mencabul kehormatan pula meningkat 7.3 peratus, daripada 1,427 kes kepada 1,531 kes atau lebih empat kes dilaporkan setiap hari.
Bagi kes 'voyeurisme' atau perbuatan mengintai atau rakaman video secara tersembunyi bagi tujuan mendapatkan kepuasan seksual pula, walaupun jumlahnya menurun 6.4 peratus, kediaman masih kekal sebagai lokasi utama kejadian.
Lebih membimbangkan, lebih separuh daripada kes mencabul kehormatan melibatkan pelaku yang dikenali mangsa.
Hakikat ini sepatutnya mengubah cara kita melihat jenayah seksual.
Ancaman tidak lagi semestinya datang daripada orang asing yang menunggu di lorong gelap atau taman sunyi.
Sebaliknya, ancaman semakin datang daripada individu yang berjaya meraih kepercayaan mangsa, yang sebahagiannya adalah ahli keluarga.
JANGAN JADI MANGSA
Hakikatnya, pemangsa seksual jarang bertindak secara rambang.
Mereka teliti keadaan.
Mereka menilai kelemahan.
Mereka menyambar peluang.
Mereka mencari individu yang sukar melawan, sukar dipercayai apabila membuat laporan atau tidak mampu mempertahankan diri.
Dalam kes ini, mangsa bukan dipilih secara kebetulan.
Beliau dipilih kerana kelemahannya.
Bila nafsu beraja di mata...
Budak bawah umur? Anak tiri? Anak sendiri? Warga tua? Persetan!
Andai tiada tindakan lebih tegas diambil, dikhuatiri kita akan menanggung orang seperti Zakir – sampah masyarakat – yang dalam diam cuba berlindung di dalam pangkuan masyarakat yang tidak tahu kisah buruknya – sedang mangsa atau keluarga mangsa sengsara sepanjang hayat.
MEMBANGKIT KESEDARAN
Singapura hari ini sedang menuju ke arah sebuah masyarakat yang menua. Semakin ramai warga emas hidup bersendirian dan semakin ramai menghidap demensia.
Satu lagi perkara yang sering kita abaikan ialah mengenal pasti tahap kesihatan mental warga emas kita.
Terlalu mudah kita berkata, "Emak dah mula lupa-lupa" atau "Ayah dah nyanyuk sedikit". Hakikatnya, perubahan itu mungkin petanda awal demensia yang memerlukan penilaian klinikal.
Dengan mengetahui tahap kesihatan mental ibu bapa atau ahli keluarga yang lanjut usia, kita lebih bersedia mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan perlindungan mereka daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sebab itu, perlindungan bagi warga emas dan golongan rentan tidak boleh hanya bergantung kepada keluarga.
Ia memerlukan jiran yang mengambil berat.
Masyarakat harus peka.
Sebagai warga bertanggungjawab, kita mesti berani bertindak apabila melihat sesuatu yang mencurigakan.
Paling membimbangkan bukanlah apabila wujud orang jahat dalam masyarakat tetapi apabila kita sesama kita tidak lagi peduli.
Kita mesti waspada, mengingatkan anak-anak dan ahli keluarga lanjut usia supaya berhati-hati dan jangan mudah mesrakan diri dengan orang yang baru mereka kenal.
Mungkin sudah tiba masanya kita mengingatkan diri bahawa ancaman juga boleh datang daripada mereka yang kelihatan baik dan alim, menawarkan pertolongan dan kelihatannya boleh dipercayai, seperti jiran, jurulatih, guru, pengajar tuisyen.
PEMANGSA JANGAN DILINDUNGI
Salah satu persoalan yang bermain dalam fikiran saya ialah keselamatan anak dan golongan rentan.
Disebabkan itu, sudah tiba masanya Pemerintah menyemak semula pendiriannya dan mengadakan daftar pesalah seksual.
Saya memahami pertimbangan itu.
Saya juga bersetuju bahawa isteri, suami dan anak-anak pesalah tidak sepatutnya dihukum atas kesalahan yang bukan mereka lakukan.
Mereka wajar dilindungi.
Bagaimanapun, perlindungan ini tidak sepatutnya meliputi pemangsa.
Sudah tiba masanya dasar ini disemak semula.
Daftar pesalah seksual akan membantu masyarakat untuk lebih berhati-hati. Ia bukan sekadar mengetahui kisah lampau seseorang tetapi membolehkan semakan latar diri dibuat sebelum seseorang diambil bekerja atau menjadi sukarelawan yang mengendalikan kanak-kanak, warga emas dan golongan rentan.
Malah, mungkin sudah tiba masanya dipertimbangkan sama ada pasangan yang telah mendaftarkan notis perkahwinan juga diberi kebenaran, dalam keadaan dan syarat tertentu, membuat semakan bagi mengetahui sama ada bakal suami atau isteri pernah disabitkan dengan kesalahan seksual.
Hakikatnya, setiap orang berhak membuat keputusan besar dalam hidup dengan maklumat yang mencukupi.
Dalam soal keselamatan awam, pengetahuan adalah satu bentuk perlindungan.
Matlamatnya adalah untuk kita sama-sama melindungi masyarakat.
Sedang Pemerintah mengambil pendekatan amat tegas terhadap pengedar dadah, pendekatan serupa juga perlu untuk penjenayah seksual kerana ia juga memusnahkan kehidupan.
Bezanya, sedang dadah memusnahkan daya fikir, tubuh dan meranapkan masyarakat, jenayah seksual pula memusnahkan jiwa, maruah, harga diri dan kehormatan mangsa.
Kesan psikologi yang ditanggung adalah sangat besar.
Ada yang hidup dalam ketakutan.
Ada yang tidak lagi mampu mempercayai orang lain sedangkan hukuman penjara terhadap pesalah seksual telah lama berakhir.
Lebih parah lagi, sedang perogol bebas lepas setelah menjalani hukuman penjara, mangsa pula terpenjara dengan igauan ngeri sehingga ke akhir hayat.
Jadi, sekarang adalah masa yang baik untuk kita bertanya sama ada pendekatan terhadap pesalah seksual sedia ada adalah memadai.
Pemerintah harus sedia buat perubahan ini.
AKHIR KATA
Persoalan yang perlu kita jawab bukan sama ada seseorang pesalah wajar diberi peluang kedua.
Itu persoalan berbeza.
Yang lebih besar ialah sama ada kita telah melakukan segala yang termampu untuk mengelakkan lahirnya mangsa yang berikutnya.
Kalau seorang wanita tua yang hidup dengan demensia pun boleh diperlakukan sedemikian rupa, maka kita perlu bertanya sama ada sistem keadilan dan kanun jenayah sedia ada mampu melindungi masyarakat.
Dalam kehidupan bertamadun, yang paling utama dilindungi ialah mereka yang paling lemah. Bukan pemangsanya.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.