Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Antara Kita, Belanjawan dan Baucar

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Antara Kita, Belanjawan dan Baucar
Pelancaran Skim Baucar CDC 2026 (Januari) pada 2 Januari 2026. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Menjelang setiap musim Belanjawan, ada satu perkara yang sering menjadi bualan rakyat – baucar.

Ada yang menantikan Baucar CDC, ada yang berharap pada Baucar GST (GSTV) – Tunai dan Baucar GSTV MediSave, selain GSTV U-Save/S&CC dan tidak kurang juga yang menunggu Baucar Iklim.
Bagi kebanyakan keluarga, semua bentuk bantuan ini memang sangat membantu. Ia meringankan perbelanjaan harian, mengurangkan wang keluar dari poket sendiri, dan memberi sedikit ruang bernafas dalam realiti kos hidup yang semakin menghimpit isi rumah warga teras.

Dalam kerangka dasar ekonomi, pemindahan tunai seperti baucar sebenarnya bukan penyelesaian jangka panjang. Ia adalah langkah sementara – digunakan ketika inflasi melonjak, kos sara hidup menekan rakyat, atau ekonomi berada dalam fasa kejutan.

Perlu kita ingat, tiada pemerintah mampu mengekalkan bantuan tunai besar secara berterusan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Sebab itulah di banyak negara, skim seperti ini diperkenalkan sebagai penampan sementara, bukan sebagai sokongan kekal.

Dalam Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada 12 Februari, rakyat Singapura menjangkakan kesinambungan skim baucar dengan tumpuan kepada bantuan bersasar serta penyesuaian kos sara hidup. Bagi ramai warga, khususnya orang kita, harapan tetap sama – agar lebih banyak bantuan tunai dapat disalurkan.
Related article image
Pemandangan Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
TEKANAN SARA HIDUP RAKYAT

Keluhan kita-kita hampir seragam. Harga makanan di warung semakin mahal. Jika mahu memasak sendiri di rumah, kos bahan mentah pula bukannya murah; sayur naik harga, ikan mahal, apatah lagi daging.

Belum lagi diambil kira tambang pengangkutan awam yang terus melonjak dari tahun ke tahun.
Related article image
Orang ramai beratur untuk menaiki bas di Singapura. (Gambar fail: CNA/Lan Yu)
Tekanan sara hidup yang semakin menghimpit ini jelas kelihatan dalam perubahan gaya hidup rakyat.

Mungkin pemerintah kurang perasan, rakyat kita sekarang makin ikat perut. Ramai yang memilih bas dan MRT, hingga kadar penumpang semakin meningkat. Pada masa yang sama, semakin berduyun-duyun sesama kita ke Johor untuk membeli barang dapur atau membawa keluarga berjalan-jalan.
Related article image
Koswe. (Gambar: Petikan dari video)
Bila ditanya, rata-rata jawapan hampir sama, “Singapura ni mahal!”
Namun dari sudut ekonomi, istilah “mahal” perlu diletakkan dalam konteks yang lebih tepat.

Mahal berbanding siapa? Lebih penting, mahal tetapi masih mampu, atau mahal sehingga tidak lagi seiring dengan peningkatan pendapatan?

Jika gaji sebenar meningkat lebih pantas daripada inflasi, kos hidup yang naik masih boleh ditanggung. Tetapi apabila harga barang naik lebih cepat daripada pendapatan, tekanan kewangan menjadi nyata.

Walaupun gaji di Singapura diramalkan meningkat sekitar 3 hingga 6 peratus pada 2026, kenaikan ini belum tentu cukup untuk mengimbangi kos perumahan, makanan, pendidikan anak dan pengangkutan yang terus meningkat.

Di sinilah rasa “mahal” itu menjadi realiti ekonomi, bukan sekadar persepsi.
Related article image
PM Lawrence Wong akan membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Februari 2026. (Gambar fail: CNA/Mak Jia Kee)
HARAPAN RAKYAT

Justeru menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada 12 Februari ini, harapan rakyat ialah agar keluasan bantuan tunai dapat dikekalkan sebagaimana tahun lalu.

Langkah berhati-hati fiskal memang penting, lebih-lebih lagi dalam persekitaran global yang tidak menentu. Namun kesejahteraan rakyat juga tidak boleh diketepikan atas alasan berjimat semata-mata.

Hakikatnya, apabila rakyat rasa disantuni, keyakinan pengguna meningkat, perbelanjaan domestik lebih stabil dan ekonomi bergerak dengan lebih sihat.

Dalam masa yang sama, kita juga harus bersedia dengan kemungkinan bahawa skim baucar akan dikurangkan.

Perkara ini pernah disentuh oleh Perdana Menteri Lawrence Wong ketika beliau menggulung perbahasan Belanjawan tahun lalu. Menurutnya, dalam keadaan inflasi yang semakin reda, bantuan berskala besar mungkin tidak lagi diperlukan seperti sebelum ini.

Sesetengah pakar ekonomi membayangkan pemberian tunai menjadi lebih kecil dan syarat kelayakan lebih ketat tahun ini. Skim baucar berkemungkinan diteruskan secara lebih bersasar sekitar S$400 hingga S$500 berbanding sehingga S$800 sebelum ini.

Pendekatan ini sejajar dengan prinsip ekonomi bahawa bantuan langsung berfungsi sebagai penampan sementara — bukan tonggak dasar kebajikan jangka panjang.

Rakyat turut dimaklumkan bahawa pemerintah mahu menumpukan lebih banyak perbelanjaan kepada program berstruktur dan bersifat jangka panjang.

CABARAN SEMASA

Tumpuan kini adalah untuk memperkasa rakyat melalui pendidikan, latihan kemahiran, peningkatan kemahiran serta latihan pekerjaan agar tenaga kerja lebih berdaya tahan menghadapi perubahan ekonomi.
Related article image
Rakyat perlu diperkasa melalui pendidikan, latihan kemahiran, peningkatan kemahiran serta Latihan pekerjaan agar lebih berdaya tahan menghadapi perubahan ekonomi. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
Pada zahirnya, pendekatan ini tampak munasabah. Bagaimanapun, laporan ekonomi terkini menunjukkan satu realiti yang lebih rumit, menunjukkan pertumbuhan ekonomi hari ini tidak lagi secara automatik mencipta pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong memberi amaran, Singapura tidak boleh lagi bergantung kepada andaian lama bahawa pertumbuhan ekonomi akan menjana peluang pekerjaan baharu.
Related article image
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berucap kepada media semasa kemas kini pertengahan penggal bagi Semakan Strategi Ekonomi pada 29 Januari 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Dengan automasi dan kecerdasan buatan (AI), syarikat mampu meningkatkan penghasilan dan keuntungan dengan jumlah pekerja lebih kecil. Ekonomi boleh berkembang, tetapi permintaan tenaga kerja tidak semestinya meningkat.

Laporan antarabangsa pula menunjukkan, teknologi semakin mempercepat gangguan pekerjaan dan pemindahan tenaga kerja, walaupun ekonomi global masih mencatat pertumbuhan.

Pendek kata, negara boleh kelihatan sihat dari sudut angka Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), tetapi pasaran pekerjaan semakin mencabar untuk pekerja biasa.

Inilah sebabnya pertumbuhan dan penciptaan pekerjaan kini dianggap sebagai “dua cabaran kembar” yang perlu ditangani secara sengaja melalui dasar awam, bukan lagi berlaku secara semula jadi.

Pasaran pekerjaan 2026 dijangka lebih berhati-hati. Syarikat lebih memilih, penstrukturan semula berterusan, dan pekerjaan pertengahan semakin terdedah kepada automasi.

Dalam suasana ini, baucar dan bantuan tunai bukan sekadar pemanis Belanjawan, tetapi penstabil sosial yang membantu isi rumah menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

SANTUNI RAKYAT

Persoalan yang semakin ketara ialah nasib golongan pertengahan. Mereka tidak cukup miskin untuk menerima banyak bantuan, tetapi tidak cukup selesa untuk menyerap kenaikan kos hidup yang berterusan.

Bonus mengecil, gaji bulan ke-13 ada yang hilang, kos harian pula terus meningkat. Ramai terasa semput, ada memilih melakukan kerja sampingan untuk menampung hidup.

Golongan usahawan mikro dan peniaga kecil pula berdepan kos sewa tinggi, bahan mentah mahal dan pengambilan untung yang semakin nipis.

Skim sokongan bersasar untuk kelompok ini wajar diperkukuh agar mereka dapat terus berniaga secara mampan dan menggerakkan ekonomi di peringkat akar umbi.

Kesimpulannya, bantuan tunai dan pelaburan struktur tidak seharusnya dilihat sebagai pilihan salah satu.

Kedua-duanya mesti bergerak seiring. Bantuan langsung memberi kelegaan hari ini. Pembangunan kemahiran membina kekuatan masa depan.

Jika bantuan jangka pendek dikurangkan terlalu awal dalam suasana pekerjaan tidak menentu, tekanan terhadap rakyat boleh meningkat dan keyakinan ekonomi terjejas.

Belanjawan yang berimbang ialah belanjawan yang melindungi kehidupan hari ini sambil membina hari esok.

RUMUSAN

Secara keseluruhan, perbincangan mengenai bantuan tunai dan skim baucar perlu difahami dalam konteks ekonomi moden yang semakin kompleks.

Baucar ialah alat sementara untuk meredakan tekanan kos hidup. Kita akui ia penting tetapi perlu menerima hakikat ia tidak kekal.
Related article image
Papan tanda penerimaan Baucar CDC dipamerkan di sebuah pasar basah di Punggol Plaza pada 2 Januari 2026. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Related article image
Hab Pembelajaran NTUC akan bantu para pekerja sesuaikan diri bagi memanfaatkan teknologi. (Gambar: Mediacorp)

Dalam masa yang sama, pelaburan dalam kemahiran, penghasilan dan daya saing ekonomi memang perlu untuk memastikan Singapura terus hidup.

Cuma realiti hari ini menunjukkan, pertumbuhan ekonomi sahaja tidak menjamin pekerjaan yang stabil. Automasi, AI dan penstrukturan semula korporat sedang mengubah pasaran buruh dengan pantas.

Dalam keadaan ini, dasar fiskal yang berhemat mesti disertai kepekaan sosial.

Kejayaan sesebuah Belanjawan bukan hanya diukur melalui angka lebihan atau defisit, tetapi melalui keupayaannya memastikan rakyat mampu hidup dengan sejahtera, sambil berpeluang menyahut cabaran dan peluang ekonomi hari muka.

MENGENAI PENULIS

Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita