Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Antara Fakta, Fitnah dan Auta…

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Antara Fakta, Fitnah dan Auta…
Stadium NEOM di barat laut Arab Saudi berada pada ketinggian 350 meter, dan dijangka siap menjelang 2032 dengan kapisiti 46,000 tempat duduk. (Gambar: X/NEOM)
SINGAPURA: Dalam menilai kebenaran, tidak dapat tidak, pemikiran kita akan terarah kepada sajak malar segar berikut:

“Benarkah, yang benar, itu benar?
Benarkah, yang benar itu, benar?
Benarkah, yang benar itu benar?
Tidak benar!”
– Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad, Benarkah (1974)
Kurangkan Artikel
Allahyarham Dr Hj Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: NAC)
Empat baris ini menggambarkan kearifan seorang pendeta (1924-2016) – sesuai namanya: betapa kebenaran itu boleh sahaja dicabar, dipersoal, dihias atau dilucutkan oleh mereka dalam kewenangan.

Sebagai seseorang yang dikurniakan akal fikir, kita perlu lebih menekuni dan mengamati apa yang disampaikan, baik secara lisan mahupun bertulis – tidak cukup sekadar membaca tajuk, tidak cukup sekadar menonton beberapa saat video – dan sepantas itu mengangguk dan mendakapinya bulat-bulat.

Dunia hari ini memerlukan kewaspadaan lebih mendalam.

Menilai Kebenaran

Dalam sejarah panjang manusia, soal kebenaran dan kepalsuan bukanlah sesuatu yang baharu. Kedua-duanya begitu mencabar kesedaran dan kewarasan akal fikir. Setiap satu punya kekuatan pengaruhnya.

Dahulu, sesuatu pembohongan apalagi fitnah pantas berlari dengan kaki – sejauh kaki itu melangkah.

Hari ini ia mampu meluncur laju ke ceruk dunia melepasi kepantasan kerlipan mata – sebaik butang ‘share’, ‘forward’ atau ‘enter’ ditekan manja oleh sang jejari di telefon bimbit atau papan kekunci komputer ataupun tablet.

Yang nyata, kebenaran selalunya hanya datang kemudian, lambat seperti siput…

Dunia Pascakebenaran

Hari ini, kita hidup dan mendewasa dalam era yang dianggap sarjana komunikasi sebagai zaman ‘pascakebenaran’ atau dalam istilah Inggerisnya ‘post-truth’.

Era ini mengetengahkan suatu keadaan di mana batas antara fakta dan kebohongan; kebenaran dan kepalsuan; hak dan batil menjadi semakin menipis, samar dan kabur.

Dalam keadaan inilah, kita – sebagai manusia berpendidikan dan berpengetahuan – dituntut supaya peka dan bijaksana dalam membezakan antara gandum dan sekam; mengenal pasti antara alasan dan helah dan tahu menilai antara kaca dan permata.

Keupayaan ini bukan hanya diperlukan tetapi mesti dipertingkatkan demi mendukung kewarasan insan yang hidup dalam dunia yang semakin moden, canggih dan celaru.

Sebelum kita terus terkapai meneka dalam kesamaran, hanyut dalam timbunan ‘nilai fakta’ yang ditandakan sebagai ‘benar’, kita perlu tahu bagaimana menyisihkan kedua-dua hampa dan hampas selain membuang jauh kepalsuan dan pembohongan.

‘Mencipta’ Kebenaran

Era kecerdasan buatan atau ‘AI’ hari ini menjadikan kebenaran itu hak mereka yang bijak dan pantas memanipulasi.

Ini mengingatkan kita akan kata-kata tokoh propaganda Nazi Jerman, Paul Joseph Goebbels (1897-1945), yang berkata: “Ulangi satu pembohongan berkali-kali dan ia akan menjadi satu kebenaran”.
Tokoh propaganda Nazi Jerman, Paul Joseph Goebbels (1897-1945). (Gambar: Bundesarchiv, Bild 146-1968-101-20A/Heinrich Hoffmann/CC-BY-SA 3.0)
Lihat contoh semasa era pandemik COVID-19 dahulu, bagaimana ramai mudah termakan dengan ‘nasihat’ bahawa cukup untuk kita minum air panas untuk ‘membunuh’ virus dalam badan walhal tiada bukti saintifik mengenainya. Namun ‘nasihat’ itu tular kerana dirasakan logik – air panas bunuh kuman.

Hal serupa berlaku awal bulan ini (1 Nov), apabila foto dan laporan berita tentang stadium bola sepak di atas langit menjadi tular dan mendapat perhatian seantero dunia. Jutaan orang tertawan dan percaya ia bakal didirikan oleh Arab Saudi sebagai sebahagian pelan Kejohanan Piala Dunia FIFA 2034.
Stadium NEOM di barat laut Arab Saudi berada pada ketinggian 350 meter, dan dijangka siap menjelang 2032 dengan kapisiti 46,000 tempat duduk. (Gambar: X/NEOM)
Rupa-rupanya foto berkenaan adalah ciptaan "hyporaultraworks" – pemilik akaun Instagram yang pakar dalam pembikinan kandungan menyentuh stadium masa depan yang dihasilkan AI.

Kesemua ini ditakrifkan ahli psikologi sebagai “kesan ilusi kebenaran” yang menggambarkan betapa mudahnya otak manusia berubah dan menerima sesuatu kepalsuan sebagai kebenaran.

‘Mengadun’ Kebenaran

Jika pascakebenaran menunggang emosi, kisah berdasarkan ‘separuh benar’ atau ‘half-truth’ pula menunggang dan mengundang kekeliruan.

Ringkasnya, ia bukan dusta penuh tetapi kebenaran yang ditarik keluar dari konteks, atau secebis kebenaran yang selebihnya ditokok tambah.

Sebagai contoh, kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, pada Mac tahun ini, yang ditukil sebagai menyatakan terdapat 20.47 juta rakyatnya yang berusia melebihi 100 tahun, walhal banci penduduk 2021 menunjukkan hanya 86,000 orang berusia lebih 100 tahun yang tinggal di serata Amerika Syarikat.
Presiden Donald Trump di Rumah Putih, pada 7 November 2025. (Gambar: AP/Evan Vucci)
Disebabkan itu, kejujuran atau ‘Siddiq’ merupakan dasar utama dalam nilai kepemimpinan kerana ia merupakan cerminan kebenaran.

Pada masa yang sama, nilai kepemimpinan juga memartabat sifat kebijaksanaan atau ‘Fathonah’ yang mendidik kita untuk berfikir dan meneliti keadaan secara menyeluruh dan mengelak daripada diperdayakan dengan serpihan maklumat.

‘Kebenaran’ Pempengaruh

Dalam menyorot soal kebenaran, tidak dapat tidak, tumpuan turut terarah kepada golongan pempengaruh yang berupaya menggerakkan pandangan dan tindak-tanduk khalayaknya.

Seperti yang kita tahu, pempengaruh mempunyai kemampuan untuk merangsang fikiran dan menimbulkan dorongan dalam pelbagai cara. Sesetengahnya sedia melakukan apa sahaja demi populariti, kedudukan atau wang dan sanggup kelihatan ‘benar’ di mata umum – bak api dalam sekam, bagai gunting dalam lipatan.

Sebahagian lagi menjadi popular kerana ‘menjual’ cerita karut-marut, memasarkan gosip dan melelong kisah sensasi yang tidak banyak memajukan nilai pemikiran masyarakat.

Ada pula yang serupa musang berbulu ayam – dalam senyum simpul dan kemesraan mereka, memanipulasi kemarahan dan rasa tidak puas hati semata-mata untuk menaikkan jumlah tontonan, respons dan rating rancangan audio siar atau podcast atau 'reels' media sosial mereka.

Sudah tentu, tidak semua pempengaruh begitu. Ramai juga yang menggunakan pengaruh mereka untuk mendidik, menyebarkan ilmu dan menggerakkan kerja kebajikan. Justeru, semakin besar pengikut yang dimiliki, semakin beratlah amanah yang dipikul.

Dalam keadaan ini, nilai ‘Amanah’ amat dituntut – kerana setiap maklumat yang kita sebar adalah satu tanggungjawab. Tuntutan ini bertepatan dengan nilai ‘Tabligh’ – menyampaikan yang benar dengan cara yang membina, bukan mengeruhkan keadaan.

…Hujan Yang Menyuburkan Bunga. Bukan Guruh

Akhirnya kita kembali kepada persoalan yang dibangkitkan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad: “Benarkah, yang benar itu benar?”

Dalam dunia pascakebenaran, jawapannya tidak lagi semudah dahulu. Kebenaran tidak akan menang hanya kerana ia benar. Ia memerlukan kita untuk mencarinya, mempertahankannya dan menyuarakannya.

Di sinilah letaknya amanah besar kita sebagai anggota masyarakat moden: untuk tidak tunduk kepada gelombang maklumat yang bersimpang-siur, untuk tidak hanyut dalam naratif yang sengaja dicipta bagi mengaburi mata, dan untuk tidak menjadi penyambung lidah yang menjerumuskan masyarakat.

Ingat kata-kata penyair dan ahli sufi, Jalaludin Rumi: Tinggikan kata-katamu, bukan suaramu. Hujan yang menyuburkan bunga, bukan guruh.
Penyair dan ahli sufi, Jalaludin Rumi. (Gambar: Instagram/theinsidehistory)
Kata-katanya ini mengajar kita bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada siapa paling lantang, siapa paling berpengaruh atau paling berkuasa tetapi siapa yang paling berhikmah.

Kepemimpinan yang matang ialah kepemimpinan yang memilih untuk bertutur dengan mengutamakan budi berbanding amarah, mengemukakan hujah yang ampuh dan bukannya mengutarakan ancaman untuk memulau, menyaman atau memenjara.

Dalam dunia yang mudah digugat suara yang menekan dan mendesak, hanya suara yang berpekerti mampu menenangkan, memperbaiki dan menyuburkan peradaban.

Di situlah ukuran kematangan sebuah masyarakat – bukan pada kekerasan suara dan tindakannya – tetapi keikhlasan hati dalam mengharungi sandiwara kehidupan.

MENGENAI PENULIS
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita