Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: AI dan Masa Depan Pekerja

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: AI dan Masa Depan Pekerja
Kecerdasan Buatan (AI) harus dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkasa tenaga kerja. (Gambar: REUTERS/Dado Ruvic)
SINGAPURA: Siapa masih ingat akronim ‘KBE’? Chairul Fahmy Hussaini mengupas perjalanan Singapura mengharungi perubahan global dan bagaimana negara ini mempersiapkan rakyatnya menyahut cabaran baharu.

Jika anda daripada Generasi X dan Y seperti saya, istilah ini tentu mengimbau kembali satu fasa penting dalam sejarah pembangunan negara, ketika pemerintah dan masyarakat digerakkan secara menyeluruh untuk berdepan era Ekonomi Berteras Ilmu atau Knowledge-Based Economy (KBE).

Namun hakikatnya, berdepan cabaran strategik bukan sesuatu yang baharu bagi Singapura. Sejak awal kemerdekaan, setiap generasi kepemimpinan negara ini terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan besar dalam ekonomi global demi memastikan kelangsungan dan kemakmuran republik kecil ini.

ERA SILIH BERGANTI

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Lee Kuan Yew, Singapura bangkit menyahut cabaran perindustrian, membina asas ekonomi berasaskan pembuatan, menarik pelaburan asing, dan menyediakan pekerjaan untuk rakyat dalam era pascakolonial yang penuh ketidaktentuan.

Ketika pentadbiran Perdana Menteri Goh Chok Tong pula, tumpuan negara beralih kepada usaha pengkomputeran, Internet dan modenisasi. Singapura mula mempersiapkan diri menghadapi ekonomi global yang semakin dipacu oleh teknologi dan maklumat, sambil memperkenalkan KBE sebagai strategi nasional pada penghujung 1990-an dan awal 2000-an.

Zaman pemerintahan Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyaksikan republik ini melangkah lebih jauh, mempercepatkan digitalisasi, automasi dan mendakap persekitaran Internet of Things (IoT).

Banyak pekerjaan berubah, sebahagiannya lenyap, namun kemahiran baharu dicipta melalui dasar yang tersusun dan pelaburan besar dalam modal insan.
Hari ini, di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Lawrence Wong, Singapura melangkah ke satu lagi fasa penting, yakni era Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI).

AI bukan sekadar kesinambungan digitalisasi, tetapi kuasa transformatif yang berpotensi mengubah secara mendasar cara kita bekerja, belajar dan menjana nilai ekonomi.
Related article image
Kecerdasan buatan (AI) berpotensi mengubah cara sesuatu dilakukan termasuk belajar. (Gambar: CNA TODAY/Raj Nadarajan)
Justeru, jaminan Perdana Menteri bahawa Singapura tidak akan mengalami kemendakan peluang pekerjaan dalam era AI sememangnya memberikan kelegaan kepada ramai warga tempatan.

Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu serta perubahan geopolitik yang semakin kompleks, jaminan bahawa pertumbuhan ekonomi akan terus disertai penciptaan pekerjaan adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.

Namun, seperti era terdahulu, kelegaan ini turut menimbulkan persoalan dan membuai harapan.

KEPRIHATINAN NYATA

Realiti di lapangan menunjukkan gambaran yang lebih rumit. Data pasaran buruh terkini mendedahkan bahawa pemberhentian pekerja atau retrenchment di Singapura mencatat peningkatan pada 2025 berbanding 2024. Menurut angka awal pasaran buruh yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kadar pemberhentian pekerja meningkat kepada 6.2 pekerja bagi setiap 1,000 pekerja, bersamaan 14,400 orang, berbanding 5.9 pekerja bagi setiap 1,000 pekerja (13,020 orang) pada 2024.

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh sektor pengangkutan dan penyimpanan, serta perkhidmatan kewangan, dua sektor yang juga berada di barisan hadapan dalam penggunaan automasi dan AI. Walaupun MOM melaporkan pertumbuhan guna tenaga keseluruhan pada 2025 adalah lebih kukuh berbanding 2024, angka-angka ini menunjukkan bahawa pertumbuhan tersebut tidak semestinya dirasai secara sekata oleh semua lapisan pekerja.

Di sinilah kebimbangan rakyat Singapura mula berakar. Bukan kerana ekonomi tidak berkembang, tetapi kerana persoalan sama ada arah pertumbuhan itu benar-benar menjana pekerjaan bermakna, atau sekadar mencipta nilai ekonomi tanpa peluasan peluang kerja yang seimbang.

KEBIMBANGAN SEBENAR

Kebimbangan warga tempatan hari ini bukan hanya tentang mendapatkan pekerjaan, tetapi mendapatkan pekerjaan yang baik.
Related article image
Orang ramai menghadiri sebuah pameran kerjaya. (Gambar: Facebook/South West CDC)
Pekerjaan dengan gaji yang setimpal dengan kos sara hidup Singapura, dengan prospek kerjaya yang jelas, dan dengan kestabilan jangka panjang.

Dalam sebuah negara yang kos perumahan, pendidikan dan penjagaan kesihatan terus meningkat, pekerjaan bergaji rendah atau bersifat sementara bukanlah satu penyelesaian. Lebih membimbangkan ialah nasib golongan muda dan pekerja peringkat permulaan.

Perangkaan MOM menunjukkan kadar pengangguran penduduk bawah 30 tahun meningkat buat pertama kali pada suku kedua, kepada 5.7 peratus pada Jun daripada 5.4 peratus pada Mac, sebelum susut sedikit kepada 5.5 peratus pada September. Walaupun penurunan kecil itu memberi sedikit kelegaan, kenaikan awal tersebut sudah cukup untuk membunyikan loceng amaran.

Hakikatnya, kegagalan mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian semakin menjadi pengalaman biasa dalam kalangan graduan muda.
Related article image
Kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian bukan sesuatu yang ganjil dalam kalangan graduan muda. (Gambar fail: TODAY)
HARAPAN DAN PELUANG

Bukan lagi satu rahsia dalam kalangan kita tentang mereka yang memohon puluhan, malah ratusan jawatan, namun masih gagal mendapat panggilan temu duga. Ini bukan kerana mereka enggan berusaha. Sebaliknya, ramai yang sanggup menjalani latihan semula, meningkatkan kemahiran, menyertai program perantisan dan kursus jangka pendek demi menyesuaikan diri dengan keperluan industri baharu.

Cumanya, latihan tanpa peluang pekerjaan yang nyata hanya akan melahirkan generasi yang terlatih tetapi terpinggir.

Kebimbangan ini turut disuarakan di Parlimen apabila Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Choo, memberi amaran semasa perbahasan Belanjawan 2026 tentang risiko pengosongan bakat pengurusan pertengahan.
Related article image
Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Desmond Choo, berucap di parlimen pada 25 Februari 2026. (Gambar: Mediacorp)
Related article image
Orang ramai merebut peluang pekerjaan di sebuah pameran kerjaya. (Gambar fail: BERITAMediacorp)
Apabila AI mengambil alih tugas rutin yang dahulunya menjadi medan latihan pekerja muda dan baharu, syarikat mungkin memilih untuk mengurangkan pengambilan tenaga kerja dan bergantung kepada teknologi bijak yang lebih pantas serta murah.

Jika trend ini berterusan, kemendakan peluang pekerjaan di peringkat awal bukan sahaja akan menjejaskan kadar pengangguran belia, malah merencatkan pembentukan barisan pengurus dan pemimpin masa depan negara. Lebih buruk lagi, ketidakcukupan pekerjaan untuk anak tempatan berpotensi menimbulkan pelbagai permasalahan sosial, sekali gus menggugat kestabilan masyarakat.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Sering ditekankan bahawa pekerja perlu mengubah minda - bersedia mempelajari kemahiran baharu, menyesuaikan diri dengan teknologi, dan bersikap lebih anjal. Ini benar, dan ramai warga Singapura sudah pun melakukan perubahan tersebut.

Namun, perubahan minda ini tidak boleh bersifat sehala.

Pemerintah juga mempunyai peranan penting untuk mendidik dan membimbing majikan agar lebih komited terhadap pembangunan tenaga kerja tempatan. Ini termasuk menggalakkan pengambilan warga tempatan, dan bukan dengan mudah memanfaatkan skim pengambilan pekerja hijrahan yang sering menjadi sungutan ramai.

Persekitaran pekerjaan yang positif harus bersandar pada laluan kerjaya yang jelas serta struktur gaji yang adil dan mampan. Tanpa perubahan di pihak majikan, usaha peningkatan kemahiran berisiko menjadi tanggungjawab individu semata-mata, bukan strategi nasional.

PERLUAS SEKTOR AWAM

Mungkin sudah tiba masanya Pemerintah mempertimbangkan peluasan sektor Perkhidmatan Awam sebagai penampan pasaran buruh.

Selain bidang pendidikan, kejururawatan dan pasukan beruniform, masih terdapat ruang untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam bidang pentadbiran digital, analitik, perkhidmatan sosial dan sokongan masyarakat.

Begitu juga dengan Syarikat Berkaitan Pemerintah (GLC). Sebagai entiti yang membawa mandat komersial dan kepentingan nasional, GLC boleh memainkan peranan lebih besar dengan menambah jumlah jawatan, sekali gus membuka laluan kepada graduan baharu dan pekerja pertengahan kerjaya untuk menyumbang secara bermakna.

MENCORAK MASA DEPAN

Akhirnya, persoalan utama bukan sama ada Singapura mampu memanfaatkan AI untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Keupayaan itu sudah terbukti. Persoalan yang lebih mendesak ialah sama ada pertumbuhan tersebut benar-benar diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang bermakna, bergaji wajar dan mempunyai laluan kerjaya yang jelas untuk warga tempatan.

Jaminan Perdana Menteri bahawa negara ini tidak akan terjerumus ke dalam kemendakan peluang pekerjaan adalah satu komitmen penting.

Namun, keyakinan awam hanya akan benar-benar terbina apabila rakyat dapat melihat dengan jelas jenis pekerjaan yang diwujudkan, siapa yang akan mendapat manfaat, dan bagaimana mereka yang berada di peringkat awal serta pertengahan kerjaya tidak ditinggalkan dalam arus perubahan teknologi.

AI seharusnya menjadi alat untuk memperkasa tenaga kerja, bukan alasan untuk mengecilkan peluang.
Related article image
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) baru-baru ini melancarkan satu inisiatif baharu untuk membantu para pekerja di setiap peringkat umur memanfaatkan kecerdasan buatan (AI). (Gambar: Mediacorp)
Related article image
Para peserta inisiatif Langkah Digital di Masjid Kampung Siglap. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
Rakyat Singapura sudah menunjukkan kesediaan untuk berubah, belajar dan menyesuaikan diri. Kini, mereka menantikan hala tuju yang jelas dalam memastikan masa depan pekerjaan yang adil, inklusif dan memberi keyakinan.

Kerana pada akhirnya, kejayaan sebenar sesebuah strategi nasional bukan diukur pada kecanggihan teknologinya, tetapi pada sejauh mana ia mengukuhkan pasaran pekerjaan yang dinamik dan menjamin kesejahteraan rakyatnya.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita