NUANSA: Terapi Jiwa Isa Kamari
Judul buku esei 'Belaian Selendang Sukma' yang ditulis Isa Kamari (kanan). (Gambar: Raman Daud/Isa Kamari)
This audio is generated by an AI tool.
Ini, antara lain, sebagai bahan terapi jiwa lewat novel dan karyanya yang lain demi merungkai permasalahan insan. Mohd Raman Daud menyusuri buku kecil ini.
Kumpulan esei ‘Belaian Selendang Sukma’ (BSS) membawa makna luhur, dalam dan peribadi bagi penulis mapan tanah air, Isa Kamari, 66 tahun yang pernah membesar di Kampung Tawakal, Onraet Road-Whitley Road.
Isa Kamari memang penulis gigih dengan lebih 20 karya besar – 11 buah novel, tiga kumpulan puisi, dua kumpulan cerpen dan sebuah buku esei mengenai puisi Melayu Singapura, sebuah koleksi skrip teater dan lirik untuk tiga album lagu. Karya-karyanya telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa, dan beliau telah menerima pelbagai anugerah berprestij termasuk Anugerah Penulisan Asia Tenggara dan Pingat Kebudayaan Singapura.
PERLAMBANGAN
Zaman dahulu, jelas Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924 - 2016) kepada saya, jarang sekali pengarang Melayu menceritakan kisah kepengarangannya. Bahkan sering karya tanpa nama demi ‘citra budiman’ kerana demikianlah adab pengaryaan seseorang yang penulisannya sudah diterima umum sebagai 'milik masyarakat'.
Namun sejak Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir (1796 - 1854) dan Raja Ali Haji (1803 - 1878), barulah pengarang Melay “memperkenalkan” diri termasuk menceritakan proses pengaryaan dan tanggapannya.
Mengapa dipilih judul ‘Belaian Selendang Sukma’?
Judul itu merupakan salah satu eseinya. Dalam warisan kesusasteraan Melayu, "belaian" melambangkan kelembutan, manakala "selendang" sering dikaitkan dengan perlindungan imej, keindahan, dan adab. Oleh itu, Isa memancarkan bahawa proses menulis bukan sekadar kerja teknikal, malah satu bentuk sentuhan seni yang halus untuk memaparkan kisah-kisah hidup manusia dengan penuh tenggang rasa (empati) dan kasih.
Baginya, ada semacam cerminan roh dan jiwa (maksud: ‘sukma’). Mentelah secara peribadi pula, kata ‘sukma’ sarat nilai sentimental yang tinggi dalam hidupnya. Nama isterinya, Dr Sukmawati Sirat, yang juga penterjemah novelnya. Mereka dikurniai dua orang puteri.
KEMBARA ILMU JIWA
Sebagai pengarang dan profesional, Isa sering mengembara sama ada secara peribadi atau kejuruan bidangnya. Misalnya, kehadirannya di pulau dewata, Bali, mengundang pelbagai pengalaman bukan sahaja dari segi ilmu seni bina tetapi juga kerohanian.
Beliau belajar daripada kepandaian tempatan pembina rumah, Pak Lempad yang beragama Hindu, tetapi menegaskan keesaan Tuhan.
Sejak itu, beliau menyelongkar keunggulan Bali yang memang terkenal sebagai daya penarik nombor satu wisata Indonesia. Bahkan ia menampung pelbagai pengertian dari segi amalan di pura (kuil) sebagai ‘kubu terakhir agama Hindu’ di negara majoriti Muslim terbesar dunia.
Dari segi sejarah, Isa bak menyusuri jejak Harun Aminurashid, dalam mengupas naratif pemodenan Singapura dengan penampilan tokoh sufi, Habib Nuh sehingga amuk Wak Cantuk, lewat novel, ‘Luka Tuan Bertakhta’. Ini tercetus sejak ‘pembukaannya’ sebagai loji penjajah oleh Thomas Stamford Raffles, wakil syarikat Hindia Timur Inggeris.
Agak mendebarkan – apakah Isa seolah-olah seperti hampir tiba di garisan penamat lewat novel mutakhirnya, ‘Firasat’ yang juga menjadi mauduk tesis PhDnya. Dalam esei ‘Firasat Penawar Keterasingan’, beliau cuba menggeledah antara isi peradaban Islam dan Melayu, dalam mengupas makna dalam makna menerusi ilmu makrifat.
Kepakaran Isa sebagai jurubina bertauliah tersaji dalam paparan novel, ‘Menara’. Ditonjolkannya unsur-unsur binaan manusia dan alam mendepani bangun jatuh kemanusiaan secara halus lagi berwawasan. Novel ini ‘terasa’ berubah setelah dialih ke Bahasa Inggeris oleh sasterawan setempat, Alfian Sa'at.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.