NUANSA: Merantau ke Singapura
DALAM kesusasteraan Melayu klasik, mengembara atau merantau dikaitkan dengan usaha untuk ‘menaik taraf tradisi kewangan seseorang’.
Orang Melayu juga dikatakan sudah merantau sejak lama dahulu memandangkan perdagangan intra-wilayah di rantau Melayu sering sahaja berlaku. Kepesatan perdagangan maritim juga mendorong orang Melayu merantau.
Orang Melayu merantau atau mengembara lebih jauh dari yang disangkakan. Dalam erti kata lain, orang Melayu bukan sahaja berpetualang di sekitar rantau sebelah sini sahaja tetapi juga, dalam banyak keadaan sudah mengembara jauh. Malah dikatakan pada tahun 977 Masehi seorang bernama Abu Ali (Pu Ali) dari kerajaan Poni (Brunei) mengembara ke China.
...peribahasa Melayu ada disebut, ‘merantau ke balik dapur’ yang bermakna merantau tetapi tidak begitu jauh.
Dalam sastera lisan Melayu kita akan mendapati banyak peribahasa mengenai merantau, berdagang, berpetualang dan mengembara. Misalnya ada peribahasa ‘diam berdagang’ yang membawa maksud tinggal merantau.
Selain itu ada peribahasa ‘jauh mencari suku’ yang membawa pengertian mencari saudara terlebih dahulu jika berada di perantauan. Dalam peribahasa lain berbunyi, ‘hinggap mencengkam, terbang menumpu’, ia membawa maksud hampir sama seperti sebelumnya.
Terdapat pula peribahasa lain ‘dagang hanyut’ yang membawa maksud jauh daripada keluarga. Dekat jauh merantau bukan satu perhitungan menurut orang Melayu, justeru kalau orang Melaka berhijrah dan berpetualang ke Singapura misalnya maka ia tetap dianggap satu perlakuan merantau.
Contohnya dalam peribahasa Melayu ada disebut, ‘merantau ke balik dapur’ yang bermakna merantau tetapi tidak begitu jauh.
Sekiranya kita menekuni teks Melayu lama, kita akan mendapati orang Melayu mengembara dengan pelbagai tujuan. Berdasarkan teks sastera Melayu kita akan mendapati yang orang Melayu merantau kerana tujuan tuntutan adat.
Terdapat banyak pantun merantau daripada suku kaum Minang yang membawa petunjuk ia adalah adat yang diberi penekanan kepada kaum lelaki.
Sebagai contoh beberapa pantun yang dapat dikongsikan di sini adalah:
Bukik putuih Rimbo Kaluang
Dirandang jaguang di kuali
Tikaik putuih nak batualang
Dipandang kampuang ditangisi
Tanjuang Alam di Ampek Angkek
Dari Gaduik pai ka Kurai
Jauah bajalan banyak diliek
Lamo hiduik banyak dirasai
Rang Lubuak Aluang ka Pasa Usang
Mambao ragi tapai jo lamang
Manangih badan di rantau urang
Iyo taragak badan nak pulang
Tinggi malanjuiklah kau batuang
Indak den tabang-tabang lai
Tinggi mancanguiklah kau kampuang
Bujang bajalan hanyo lai.
Perbincangan mengenai merantau sebagai suatu tuntutan adat ini terlihat dalam karya Hamka yang monumental iaitu ‘Merantau Ka Deli’.
Dalam hal ini, merantau dikritik oleh Hamka dalam novelnya itu.
Selain kerana tujuan adat, merantau juga tentulah dilakukan kerana tujuan pembukaan atau penerokaan negeri.
Hal ini terlihat dengan jelas sekali dalam Sejarah Melayu apabila pemerintah-pemerintah Melayu terawal memilih untuk berhijrah dan berpetualang untuk membuka negeri.
...faktor atau sebab musabab ‘dagang’ itu selalu disembunyikan kerana orang Melayu itu bukan kaki hebah dan heboh bahana diri.
Namun demikian Sejarah Melayu sudah selalu disinggung, saya ingin menyebutkan di sini tentang Syair Awang Semaun, sebuah syair Melayu Brunei tertua yang mengemukakan asal-usul dinasti raja-raja Brunei.
Awang Semaun puteranya Sultan Dewa Emas adalah anak bongsu atau anak ke-14 baginda. Dalam syair ini kita mendapati tokoh-tokoh yang dijejerkan seperti Awang Alak Betatar, Patih Barbai, Awang Sinuai, Patih Mambang, Patih Tuba, Patih Sangkuna, Patih Manggurun, Patih Malakai, Patih Pahit, Damang Sari, Damang Lebar Daun, Patih Sandayung, Hapu Awang dan Patih Laila Langgung bersama-sama Awang Semaun.
Syair ini mengisahkan peluasan kuasa putera-putera raja ini yang membuka negeri di seluruh Nusantara seperti Johor, Melaka, Jawa, Mengkasar dan Filipina.
Menurut Siti Hawa Salleh dalam Kelopak Pemikiran Sastera Melayu, Awang Semaun dan kekandanya menjadikan seluruh kepulauan Melayu sebagai medan permainan dan pengembaraan mereka:
Semaun menyumpit dua belah tangan
Rakyat Mengkasar bartarbangan
Si Jarambak manabak tujuh ranggungan
Rakyat tarabang ke tangah harungan.
Rakyat mati bukan sadikit
Bertindih-tindih berpipit-pipit
Malintang mambujur barakit-rakit
Kepala berpotong manganak bukit.
Pengembaraan Awang Semaun juga bukan setakat di Nusantara tetapi ikut menganjur sehingga ke negeri China.
Ini terlihat dalam rangkap berikut dalam Syair Awang Semaun:
Mambunga lapang ombak kedua
Gubang patih ketinggalan jua
Semaun menuju ke Cina banua
Tiada berbunyi orang samua.
Salah satu lagi sebab orang Melayu merantau, dalam hal ini berhijrah; tidak lain tidak bukan kerana bertujuan melarikan diri ekoran menjadi mangsa penindasan.
Meskipun demikian faktor atau sebab musabab ‘dagang’ itu selalu disembunyikan kerana orang Melayu itu bukan kaki hebah dan heboh bahana diri.
Dalam pantun-pantun di bawah, kita akan mendapati bagaimana dagang itu adalah satu konsep ‘membawa diri’ atau ‘migrasi’, yakni berhijrah membawa diri yang tertindas, dihina, dimarjinalkan dan ditekan:
Kuih lempar buatan padang
Dililit daun baru direndang
Beginilah nasib si anak dagang
Kain yang basah kering di pinggang.
Anak kepiting di lubang batu
Merayap sampai ke atas karang
Saya di sini dagang piatu
Hidup mengharap kasihannya orang.
Tinggi-tinggi kelapa tuan
Nampak dari Pulau Bentara
Hidup mati di tangan tuan
Tidak dagang banyak bicara
Pegang pisau meraut petarang
Hendak mengganti buluh terbelah
Dagang merantau di negeri orang
Hidup mati di tangan Allah.
Dari pantun yang saya sebutkan di atas, saya berpendapat ‘merantau’ dalam cara fikir orang Melayu adalah bukan sekadar perlakuan kembara itu sendiri, tetapi lebih penting ia adalah ‘perasaan’.
Akhir sekali saya ingin menegaskan yang merantau, mengembara dan berpetualang menurut orang Melayu turut dirujuk kepada dunia yang fana ini. Ini terlihat dalam Syair Dagang oleh Hamzah Fansuri:
Hai sekalian kita yang kurang
nafsumu itu lawan berperang
jangan hendak lebih baiklah kurang
janganlah sama dengan orang
Amati-amati membuang diri
menjadi dagang segenap diri
baik-baik engkau fikiri
supaya dapat emas sendiri
Wahai dagang yang hina
Ketauhilah hidup dalam dunia
Sebagai jati tiada berbunga
Bagi burung tiada berguna
Wahai sekalian kita yang kurang
Nafsumu itu lawan berperang
Jauhkan tamak baiklah kurang
Jaga dirimu jatuh ke jurang
Amati-amati membuang diri
Menjadi dagang di segenap negeri
Supaya selamat hari-hari
Baik-baik engkau fikiri
Sejak ratus tahun lalu, Singapura sebagai pusat perdagangan yang berada di jantung alam Melayu sering menjadi tumpuan orang dagang yakni orang yang merantau.
Seisi Nusantara ke Singapura atas pelbagai faktor, yang antara lain adalah membawa diri (merajuk), mencari kemakmuran (tujuan ekonomi) dan juga tidak kurang kerana ingin melepaskan diri dari penindasan yang tertimpa di tempat asal.
MENGENAI PENULIS:
Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu dan zamil pelawat di ISEAS - Institut Yusof Ishak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.