Skip to main content

Komentar

NUANSA: Masjid Bersejarah, Warisan Penempatan

Anggaran Waktu Membaca:
NUANSA: Masjid Bersejarah, Warisan Penempatan

Buku terbitan Masjid Al-Taqua merakamkan sejarah, peranan, sumbangan serta evolusinya selama 140 tahun. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)

SINGAPURA: Hari ini, perihal warisan mengundang minat baik dari pemerintah, badan-badan kemasyarakatan mahupun rakyat secara umumnya.

Warisan berupaya memicu semangat kekitaan, berakar dari sejarah dan memori sosial, sehingga ia dapat memperkuatkan jati diri kita sebagai anggota masyarakat, ahli kumpulan tertentu ataupun rakyat biasa.

Dengan pembangunan yang pesat, persekitaran kita berubah dengan pantas. Di Singapura, proses urbanisasi bererti kawasan perkampungan harus memberi laluan kepada pembinaan estet perumahan yang baharu.

Banyak perkampungan hilang dalam peta, namun ada sejumlah nama kampung yang masih kekal. Bagi beberapa perkampungan Melayu, masjidnya masih kekal sehingga ke hari ini, walaupun kampungnya sudah tiada lagi.
Related article image
Masjid Al-Taqua yang terletak di Bedok, Singapura. (Gambar: Wikipedia/Muhammad Adrian/CC BY 4.0)
Antaranya ialah Masjid Al-Taqua yang menjadi masjid utama untuk para penduduk Kampung Bedok Darat.

Masjid ini pada mulanya berdiri sebagai sebuah surau pada 1883 di atas tanah wakaf. Ia berkembang dari semasa ke semasa, dan hari ini berdiri sebagai salah satu masjid tertua di kawasan sebelah timur Singapura.

Masjid Kampung Kenangan Sejarah

Masjid kampung sebegini memang banyak terdapat di merata Singapura. Umumnya seni bina bangunan dan keluasan tapaknya sangat sederhana. Namun ia menjadi sendi utama kehidupan keagamaan dan kemasyarakatan penduduk kampung-kampung tersebut.

Kini “masjid-masjid kampung” ini juga harus melalui perubahan dalam tatacara pentadbiran, menggerakkan program dakwah, pendidikan dan kebajikan umat Islam.

Profesionalisme dalam pengurusan masjid memperlihatkan bukan sahaja lebih banyak program yang bermutu, tetapi juga inisiatif “outreach” agar institusi masjid dapat memainkan peranan yang lebih proaktif dalam sesuatu kawasan.

Inilah yang terjelma dalam penghasilan buku berjudul 'Masjid Al-Taqua: Kilauan Mutiara Kota Singapura'. Buku ini baru diluncurkan pada 26 April lalu oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faisal Ibrahim.
Related article image
Buku terbitan Masjid Al-Taqua merakamkan sejarah, peranan, sumbangan serta evolusinya selama 140 tahun. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
Buku setebal hampir 450 halaman ini mengandungi 9 bahagian dengan setiap satu membawa tema yang berlainan. Terkumpul dalam buku ini ialah bahagian yang mengandungi sejarah masjid dan Kampung Bedok, tokoh-tokoh besar yang pernah berjasa dan berbakti kepada masjid ini, kenangan penduduk kampung tentang masjid ini, para aktivis yang menjayakan banyak programnya, dari yang senior hingga ke belia.

Pendekatan buku ini meletakkan bagaimana sebuah masyarakat menghidupkan dan membangunkan sebuah institusi yang sangat dekat dengan kepercayaan dan amalan mereka.

Terkandung dalam buku ini ialah sumbangan penulis mapan seperti Prof Hadijah Rahmat dan Encik Raman Daud, yang juga menjadi penyunting utama, bersama dengan Dr Noraini Ismail, Ustaz Abdul Manaf Rahmat dan Dr Azhar Ibrahim.
Dalam buku ini tersulam makalah, wawancara, biografi ringkasan, foto-foto, lukisan, puisi dan syair.
Related article image
Antara biografi ringkasan dan syair yang dimasukkan ke dalam buku terbitan Masjid Al-Taqua. (Gambar: Dr Azhar Ibrahim Alwee)
Umumnya tertulis dalam Bahasa Melayu, dengan beberapa makalah dalam Bahasa Inggeris.

Setiap masjid mempunyai sejarah, penggerak dan linkungan. Garis masa yang disusun dalam buku ini sangat membantu pembaca untuk menelusuri sejarah masjid-masjid di Singapura, termasuk perkembangan Masjid Al-Taqua.

Keistimewaan buku ini ialah ikhtiar sejarah dari bawah. Ia tidak memerlukan ilmiah peringkat akademik, namun ia tetap menjaga kepiawaian sebagai bahan bacaan dan rujukan yang bermutu.

Sentuhan peribadi, seni dan ilmiah oleh Prof Hadijah Rahmat sangat menarik dalam buku ini. Beliau yang membesar di Kampung Bedok, sangat akrab dengan masjid ini, dan pernah mengambil bahagian dalam program pendidiknya.
Related article image
Antara penulis buku berjudul 'Masjid Al-Taqua: Kilauan Mutiara Kota Singapura', Prof Hadijah Rahmat. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
Dari sinilah Prof Hadijah dapat menggembleng teman-teman sekampung dahulu untuk sama-sama memberi sentuhan suara dan pengalaman mereka dalam buku ini.

Malah ada lembaran kenangan oleh Prof Yaacob Ibrahim dan Encik Yatiman Yusof tentang masjid ini dan daerah Bedok secara amnya.

Sesungguhnya buku ini lebih daripada sebuah buku kenang-kenangan. Ia juga menjadi pemangkin yang mengembalikan para penduduk lama, serta para sukarelawan masjid seperti Encik Ismail Haji Suratman dan Encik Gene Sha Rudyn.

Sesungguhnya juga buku tentang masjid ini adalah hasil daripada gotong-royong masyarakat dan pentadbiran masjid yang melihat peri penting sejarah masjid ini dirakamkan dan dikenali ramai.

Masjid Al-Taqua sangat unik dalam beberapa hal. Ia dapat bertahan dan terus makmur sekalipun hampir kesemua penduduk asal kampung ini sudah menetap di pelbagai daerah di Singapura.

Lokasinya di tanah yang sedikit tinggi dan terletak di timur Singapura, menjadikannya tersergam indah, yang persekitarannya dipenuhi dengan rumah-rumah privet.

Menghargai Warisan

Apabila projek menghasilkan buku ini dimulakan, ramai yang tampil setelah diundang untuk memberi sumbangan berbentuk kajian dan penulisan makalah yang kemudian menjadi bab-bab dalam buku ini. Bukan sahaja para asatizah yang menyumbang seperti Ustaz Dr Qusairy Mohd Taha, tetapi sumbangan lukisan dari Cikgu Yusof Abdul Latif, Dr Ho Chee Lick dan Puan Zakiah Ahmad, mencantikkan lagi beberapa lembaran utama dalam buku ini.

Para pengkaji dan penulis muda dari Universiti Nasional Singapura (NUS), NIE-NTU dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) turut terlibat dalam menyumbang dan menjadikan buku ini istimewa. Ini kerana pelibatan anak-anak muda ini dapat membangunkan budaya penelitian dan pendokumenan sewaktu kita menggerakkan usaha membangunkan wacana warisan.

Kerja-kerja mengumpulkan lembaran warisan oleh Encik Sarafian Salleh juga dimanfaatkan dalam penerbitan buku ini. Sumbangan penulisan dari Dr Muhd Hadi Muhammad Melayong, asal Brunei Darussalam, memperkayakan lagi narasi tentang pentingnya peranan masjid ini pada dekad-dekad terdahulu.
Mengenal & Merancang Warisan

Pembangunan masyarakat mesti terangkum di dalam perancangan asas-asas kepimpinan, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Hal pembangunan kebudayaan bukanlah suatu pilihan yang boleh ditangguhkan. Malah, ia sama penting kerana memberi arah kepada masyarakat dalam melalui proses perubahan dan pembaharuan.

Hal-hal kebudayaan turut menyangkut aspek tradisi, jati diri, seni, adat resam, bahasa, ketukangan, sejarah dan memori sosial. Inilah juga unsur-unsur yang di dalamnya ada klasifikasi yang kita sebut sebagai warisan.

Warisan menuntut pemuliharaan dan pelestarian. Ia harus dikumpul dalam bentuk dokumentasi yang cermat, dinilai keistimewaan dan kefungsiannya sebagai khazanah masa lalu, dan ia wajar diperkenalkan dan diperagakan dari semasa ke semasa. Inilah sebahagian daripada pendedahan kepada hal-hal kebudayaan yang sekali gus menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

Warisan adalah amanah dan sekiranya ia dijaga dan diperagakan dengan baik, ia akan memperteguh maruah sesebuah masyarakat atau kelompok. Warisan memerlukan pewaris. Tanpa pewaris, warisan akan hilang, dilupakan dan malah nanti ditepis. Lawanan kepada warisan adalah pengabaian.

Usaha Pendokumentasian

Namun warisan bukanlah setakat cerita dongeng, penyedap telinga dan hati. Ia mesti disusun dan dikaji, diulet dan dicermati, dan dibawa ke ruang awam untuk dihargai, dihayati dan diraikan bersama. Bahan-bahan warisan ada sisi pendidikan yang mana data, asal muasal dan pengalaman lainnya mesti diverifikasi.

Buku tentang Masjid Al-Taqua seperti buku kenang-kenangan tentang Masjid Sultan dan Masjid Omar Kg Melaka, tentunya melalui proses penyelidikan, penulisan dan penyuntingan yang panjang. Buku Masjid Al-Taqua sahaja mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan.
Usaha kolektif dan profesional seperti ini harus menjadi sebahagian daripada budaya kajian dalam masyarakat kita.

Satu pengalaman yang dapat kita belajar daripada proses menyusun hal-hal warisan adalah lemahnya penyimpanan data dan bahan bukti sejarah dalam masyarakat kita.

Kelemahan ini harus diperbaiki secara sedar hari ini. Lantaran itu, institusi-institusi dan badan-badan setempat kita harus merencanakan usaha dan sumber agar pendokumentasian dalam institusi masing-masing dapat dilakar dan diperteguh.

Sub-judul pada buku ini adalah 'Kilauan Mutiara Kota Singapura' yang wajar menjadi kebanggaan warisan kita tentang masjid yang hampir berusia satu setengah abad.

Bukan sahaja ia diabadikan sebagai kenangan bagi penduduk Kg Bedok, ia juga salah satu kebanggaan warisan negara, di mana rumah-rumah ibadat turut mencorakkan sejarah bangsa dan negara kita.

Mengiktiraf warisan bersama inilah yang akan menjadikan kita sebagai rakyat yang berbudaya, bersejarah dan bermaruah.

Dari beberapa barisan puisi oleh Prof Hadijah Rahmat, terukir harapan ini:

“Marilah kita gilapi kalungan permata ini
Tatapilah hargailah keunikan nilainya
Keindahan kedalaman makna sumbangannya
Gantunglah di dada, minda, jiwa kita
Bukan hanya sebagai hiasan kata
Bukan sekadar kenangan nostalgia lalu ....
Jadikanlah kalungan Mutiara ini
Sebuah renungan, penghayatan pelayaran sejarah…”
Kurangkan Artikel
Semoga buku ini menjadi satu lagi bahan kesaksian sejarah yang berguna, malah diteladani oleh generasi seterusnya untuk mengusul, mengumpul dan mengunggul warisan. Itulah amanah kepada kita sebagai pewaris.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura. Dr Azhar juga merupakan Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita