Skip to main content

Komentar

NUANSA: Himpunan Cendekia Dahului Zamannya

Anggaran Waktu Membaca:
NUANSA: Himpunan Cendekia Dahului Zamannya
(Kiri) Sultan Abdul Rahman II Muazzam Syah; (Kanan) Syed Sheikh Al-Hadi (bermisai) dan Tengku Othman ibni Tengku Abdul Rahman. (Gambar Ihsan: Perpustakaan Universiti Leiden dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB); Wikipedia/Alijah Gordon/’The Real Cry of Syed Syakh Al-Hady' (2021))
SINGAPURA: Antara keunikan Alam Melayu ialah kehadiran kumpulan cendekia dalam Rusydiah Club (RC) yang diasaskan di Pulau Penyengat sebelum akhir abad ke-19 dan berakhir sebelum Perang Dunia II. Mohd Raman Daud menyusuri sepintas lalu sejarah, peranan dan kesannya.

Pernah terdengar nama Rusydiah Club (RC)?

Baru-baru ini, RC dihebohkan oleh poster Instagram berbahasa Inggeris oleh The Coretanist – asal Indonesia dan diusahakan usahawan muda Abdurrauf Said dalam rangka menyahkan fikiran dijajah.

Hakikatnya, RC bukan kelab malam untuk suka ria macam Silver Tortoise Club yang disebut P Ramlee dalam filem ‘Labu Labi’ (1962). Jauh daripada itu.

Sebaliknya, ia merupakan ‘perhimpunan’ ilmuwan serius yang kreatif lagi rajin.

Karya-karya mereka masih dikagumi kalangan sarjana Pengajian Melayu sampai kini, termasuk dari Barat seperti Dr Jan Van der Putten sehinggalah Dr UU Hamidy dari Riau.

Di RC berlaku semacam ‘revolusi fikir’ yang sayangnya telah dibanteras penjajah Belanda dalam rangka menguasai sepenuhnya Indonesia sejak 1619 tetapi berakhir pada Perang Dunia II (1942M).

MOTIF ILMU SIASAH

RC diasaskan oleh Sultan Abdul Rahman II Muazzam Syah, raja terakhir Kerajaan Riau-Lingga (1824-1911) di Pulau Penyengat.
Related article image
Sultan Abdul Rahman II Muazzam Syah. (Gambar Ihsan: Perpustakaan Universiti Leiden dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB))
Pulau itu hanya seluas 1.875km persegi atau sepertiga saiz Pulau Sentosa di Singapura. Letaknya di sisi Tanjung Pinang, ibu kota Pulau Bintan, dan 35km dari Batam.

Namun, peranannya cukup besar dalam zaman Kesultanan Riau Lingga yang terbentuk selepas Perjanjian British Belanda 1824 (Anglo-Dutch Treaty) yang membahagikan Gugusan Kepulauan Melayu kepada dua belahan – utara dikuasai British dan selatan milik Belanda.

Kerajaan Johor-Riau Lingga (rujuk peta ihsan Perpustakaan British-NLB) terjejas oleh perjanjian ini kerana Johor jatuh ke tangan Temenggong Ibrahim dari Singapura dan keturunannya yang disokong British dan Riau Lingga pula menjadi sebahagian daripada jajahan Hindia Timur Belanda.
Related article image
Peta bertajuk ‘Carte de l’Archipel et des Détroits compris entre Singapour et Banca (1855)’ yang menunjukkan kedudukan Lingga dan Singapura. (Gambar Ihsan: Perpustakaan British-NLB)
Apakah motif sultan terakhir itu?
Ia ternyata bersalut gagasan atau visi besar iaitu membangunkan ‘tamadun’ dengan hasrat atau motif siasah untuk menentang penjajah yang amat serakah.

Dimulakan pada 1880-an, RC dikatakan terbentuk rasmi pada tahun 1895 oleh golongan bangsawan dan intelektual Riau. Antara penggerak utamanya ialah Raja Ali Kelana dan anak angkatnya, Syed Sheikh bin Syed Ahmad al-Hadi (1867-1934M), Raja Khalid Hitam dan Raja Haji Abdullah (cucu pujangga besar Riau, Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad).

Nama "Rusydiah" diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud "jalan yang benar" atau "pemberi petunjuk".

Penubuhannya diilhamkan daripada model kumpulan ilmuwan moden yang terdapat di Timur Tengah dan Eropah. Ia bertujuan memajukan bangsa Melayu melalui ilmu dan pengukuhan agama Islam.
Related article image
Syed Sheikh Al-Hadi (bermisai) dan Tengku Othman ibni Tengku Abdul Rahman ketika ziarah ke Kahirah, pusat gerakan pembaharuan Islam. Sekembalinya pada 1906, Tengku Othman membantah tindakan ayahnya menyerahkan kuasa kepada Belanda, kerana sekali gus menamatkan Kerajaan Riau Lingga. (Gambar: Wikipedia/Alijah Gordon/'The Real Cry of Syed Syakh Al-Hady' (2021))
PERANAN LUAS

RC berperanan sebagai pusat sebaran maklumat dan juga penerbitan. Ia telah menubuhkan sayap cetaknya, Mathba’at al-Ahmadiyyah yang terletak di Jalan Sultan Singapura iaitu dalam kawasan bersejarah Kampong Gelam.

Dari sinilah tersebar buku-buku agama yang bersifat ‘pembaharuan’ atau dihasilkan Kaum Muda, tatabahasa Melayu, sejarah dan sastera secara agak meluas ke seluruh Alam Melayu, termasuk Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu.

Bahasa Melayu-Riau yang berpiawai (baku atau standard) untuk umum dikatakan bermula dengan ‘rekayasa’ bahasa oleh para ahli RC yang memanfaatkan tunjuk ajar atau warisan Raja Ali Haji (1808-1873M), seorang ulama dan ahli peRCamusan.

Kelab ini semacam bertindak sebagai penjaga piawaian Bahasa Melayu (Riau-Johor) yang kemudiannya menjadi asas kepada Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia moden.

CENDEKIA MELAYU-ISLAM

Raja Ali Haji merupakan tokoh paling terkenal, ulama, sejarawan, dan pujangga yang menulis ‘Gurindam Dua Belas’ (madah panjang yang bersifat nasihat), meletakkan dasar Bahasa Melayu Tinggi. Beliau lahir dan meninggal dunia di Penyengat.
Related article image
Raja Ali Haji. (Gambar: Facebook/Raja Ali Haji Pencatat Sejarah Nusantara)
Beliau menjadi penerus warisan ayahnya, Raja Ahmad Engku Haji Tua yang menghasilkan ‘Syair Engku Puteri’ dan ‘Syair Perang Johor’.

Selain itu, terdapat Raja Haji Abdullah, iaitu saudara sepupu Raja Ali Haji, penulis beberapa kitab syair, dan Raja Ali iaitu saudara sepupu Raja Ali Haji yang juga penulis (nama pena Ali Kelana). Dalam kalangan cucu Raja Ali Haji pula, muncul para pengarang wanita teguh iaitu Raja Safiah, pengarang ‘Syair Kumbang Mengindera’; Raja Kalzum, pengarang ‘Syair Saudagar Bodoh’ dan Raja Aisyah Sulaiman.

Tahukah pembaca bahawa sebuah buku tentang hubungan seks suami isteri juga dihasilkan oleh ahli RC iaitu Khatijah Terung, isteri ketiga Raja Haji Abdullah. Kehadiran para penulis wanita menerusi perhimpunan ini seolah-olah menegaskan kebangkitan hak bersuara feminisme (kewanitaan) yang terdahulu dikongkong adat.

RC menjadi jambatan bagi idea-idea reformasi atau pembaharuan Islam (Islah) yang diasaskan oleh Jamal al-Din Al-Afghani (1838-1897) dan murid-sahabatnya, Muhammad Abduh (1849-1905, rektor Universiti Al-Azhar) dari Timur Tengah.
Related article image
Jamal al-Din Al-Afghani (1838-1897). (Gambar: Wikipedia)
Related article image
Muhammad Abduh (1849-1905). (Gambar: Wikipedia)
Tokoh utama gerakan ini di Riau dan Tanah Melayu tentulah Syed Sheikh al-Hady menggunakan platform ini untuk menyuntik semangat rasionalisme dalam beragama, menolak khurafat, dan menggalakkan pendidikan moden. Beliau dan rakan-rakannya seperti Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869–1956), editor jurnal ‘Al-Imam’, telah mengasaskan madrasah moden di Singapura iaitu Madrasah Iqbal.
Related article image
Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869–1956). (Gambar: Wikipedia)
KESAN SEJARAH

RC juga menjadi wadah untuk memikirkan cara-cara bebas daripada cengkaman penjajah dari segi kegiatan sosioekonomi. Hal ini menjelaskan usaha para ahlinya bertebaran di rantau ini sehingga ke Timur Tengah untuk meluaskan jalinan dagang dan kerjasama ekonomi.
Related article image
Buku ‘Nasionalisme Melayu’. (Gambar: Instagram/ilhambooks)
Menurut William R Roff dalam buku klasiknya, ‘Nasionalisme Melayu’, RC turut berperanan dalam menyemai benih awal gerakan anti-kolonialisme di rantau ini. Melalui penulisan, mereka membangkitkan kesedaran tentang maruah bangsa yang tertindas oleh Belanda dan Inggeris. Semangat ini kemudiannya melimpah ke Singapura melalui penerbitan majalah ‘Al-Imam’ (1906-1908).

Banyak lagi yang boleh digali daripada sejarah Rusydiah Club di Pulau Penyengat. Yang jelas, ia adalah bukti bahawa tamadun Melayu pernah mempunyai institusi pemikir yang canggih. Ia menjadi jambatan yang menghubungkan kegemilangan tradisi klasik dengan tuntutan zaman moden.

Kesan daripada gerakan ini dapat dirasai kini pada kekuatan bahasa dan jati diri Melayu-Islam di Nusantara.


MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita