Skip to main content

Komentar

NUANSA: Getar Jiwa Kewanitaan Hartinah

Anggaran Waktu Membaca:
NUANSA: Getar Jiwa Kewanitaan Hartinah

Hartinah Ahmad dan karya terbaharunya yang berjudul 'Laki-Laki Pembuka Kutang'. (Gambar: Raman Daud; BERITA Mediacorp)

Diterbitkan : 01 Aug 2026 11:44PM Dikemas Kini : 02 Aug 2026 12:01AM
SINGAPURA: Untuk kumpulan puisi terbaharunya, Hartinah Ahmad, tampak lebih berterus-terang mencurahkan rasa dan fikirannya tetapi masih dibatasi nilai ketimuran.

Mohd Raman Daud mengulas ‘Laki-Laki Pembuka Kutang’ yang merupakan satu lagi mercu tanda dalam perjalanan sastera penyair yang berbakat alam.

Judul novel: Laki-Laki Pembuka Kutang
Penulis: Hartinah Ahmad (1955 - )
Penerbit: Ombak Scripthouse Production
Harga S$23 (untuk membeli, 98460646)


Judul kumpulan sajak atau puisi Hartinah Ahmad yang terbaharu boleh disifatkan ‘gegar’ - ‘Laki-Laki Pembuka Kutang’ (LPK, kutang = coli).

Apakah ini cuma ‘gimik’ (gimmick) jualan demi pelaris buku atau isinya benar-benar mengupas lelaki sedemikian dengan sentuhan sensual atau berahi?

Karyanya baru sahaja dilancarkan bersama kumpulan esei, ‘Belaian Selendang Sukma’ karya sasterawan mapan Isa Kamari (1960 - ), di Bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB). Dua karya itu terbitan Ombak Scripthouse Production yang sejak 2010 giat menerbitkan karya setempat. Ia milik tunggal Hartinah sendiri - semacam usaha sasterawan-penerbit buku Malaysia, Khadijah Hashim (1942 - ).

Kulit depan LPK bermotifkan anggerik hitam. Lazimnya, ini melambangkan misteri, kekuatan, kemewahan dan keindahan dalam rangka kuasa dan tekad yang kuat. Ini juga lambang wilayah Kalimantan Timur, Indonesia.
Related article image
Novel berjudul ‘Laki-Laki Pembuka Kutang’ . (Gambar: Raman Daud)
Judul buku LPK dipetik daripada judul sekuntum sajak:
 

seorang perempuan tua
sedang menduga cinta
penyangga rasa di dadanya hilang
lalu menghitung laki-laki pembuka kutang
dari jejari tangan dan kelebihan
dia rebah keletihan
laki-laki pembuka kutang bertepuk tangan


FEMINISME

Boleh dikatakan sebahagian besar daripada 54 kuntum sajak Hartinah dihasilkan pada tahun ini (2026). Namun, LPK amat padat lagi bernas pilihan katanya. Ringkas tapi tetap puitis berbanding dengan sajak-sajaknya yang lalu.

Pada dedikasi yang tertera pada lembaran awal buku ini: “buat emak yang membuat aku menghargai laki-laki”, jelas bahawa Hartinah sengaja menonjolkan isu kejantinaan (gender).

Apakah sudut bangun LPK menempatkannya sebagai seorang pejuang hak wanita untuk hak sama rata (feminisme) atau sekadar seorang Hawa yang cuba memahami kenapa dirinya dilahirkan sebagai perempuan dan perlu hadir bersama laki-laki yang bergelar “bapa, saudara lelaki sehingga suami dan putera”? Saya serahkan persoalan ini untuk dikupas para pembaca sendiri.

ANEKA RASA DAN FIKIR
Related article image
Penulis Hartinah Ahmad. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Yang pasti, Hartinah mengakui dalam prakata LPK bahawa untuk sekian kalinya berkarya sejak 1982, kini waktu meluah rasa secara terbuka demi mengurangkan sempit dada:

“Masa muda dulu, saya sangat berhati-hati apabila melahirkan perasaan dalam tulisan saya yang akan dibeli dan dibaca pembaca. Sedaya upaya, saya pastikan tiada sesiapa yang boleh tahu akan rahsia sebenar hati saya…”

Tapi kini, “…saya cuba membukanya dengan lebih lebar.”

Memang sejak adanya Internet dengan media sosial dalam bentuk blog sehingga Facebook, insan sejagat tidak segan silu membuat ‘pendedahan’ dari rasa, fikir sehingga zahir (tubuh)! Padahal dalam zaman saya masih kecil, membaca diari adik-beradik sendiri atau surat cinta mereka - boleh menimbulkan kemarahan kerana dilanggar privasi atau kendiri!

Apakah trend dedah-mendedah ini yang membuat penulis wanita seperti Hartinah yang sudah pun bergelar ‘ibu’ dan ‘nenek’ turut berani membuat ‘pendedahan’?

BATAS MALU

Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924 - 2016) dalam adikaryanya, NILAM (2007), insan bernama Melayu dibatasi oleh nilai malu. Bahkan mendiang Prof Tham Seong Chee (mantan ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura) pernah menyatakan bahawa selagi ada “rasa malu”, orang Melayu Singapura akan bangkit untuk lebih berjaya dalam apa jua bidang kemajuan.
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (Dr MAS, 1924 - 2016). (Gambar: BERITA Mediacorp)
Malu bagi Melayu adalah harga diri dalam menjauhi apa jua kehodohan sikap, kata dan laku. Demikian pesan budayawan besar Riau, Dr Tenas Effendy (1936 - 2015).

Menghalusi semua sajak Hartinah dalam LPK, masih ada lagi rasa malu di sebalik berontak jiwa untuk mencurah rasa dan fikir apa sahaja yang terbuku di dada atau berat di otak. Ini kerana Hartinah merupakan insan yang mempunyai Tuhan yang bakal kelak menghakiminya, sehingga terasa kesyahduan bisikan hatinya dalam sajak ‘Di Balik Kain’:

jemari tua bersembunyi di balik kain
biji-biji kayu
satu persatu bersatu
pada lesi bibir
pada getar hati
hari-hari yang mendekat
suaranya merayu
‘aku takut….
beri aku sedikit lagi waktu’


Di sebalik gejolak ingin bersuara dengan bebas, Hartinah bagai mengerti batas susila sehingga beliau kembali mengakui erti bening lagi luhur di sebalik ‘Sekapur Sirih’:

sirih disusun bersisip jangan terlihat ekor tangkai
biar tertib bersila mengapurnya
di mana nanti duduknya gobek, ketur dan celepa
agar tidak dilihat melayu kurang adab bahasa
tapi lebih muslihatnya


Di sela-sela puisi bernadakan suara Hawa, Hartinah sempat memberikan penghargaan lewat ‘Angin Berpesan’ kepada Hj Suratman Markasan (1930 - 2024), sasterawan besar nusa.

Banyak lagi aspek sosiobudaya dan psikologi yang boleh dicerap dan diserap daripada buku LPK, namun apapun yang dapat dihujahkan adalah ternyata Hartinah kian matang dalam menyulam karyanya. Ini tampaknya disetujui oleh dua pengulas buku ini (di kulit belakang) iaitu Dr Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden Persatuan Penulis Nasional (Malaysia) dan sasterawan setempat, Samsudin Said.

Selain biodata ringkas penulis, buku ini akan lebih rapi jika dibantu dengan daftar kata demi memudahkan pembaca, terutama yang muda dan kurang menguasai Bahasa Melayu, untuk memahami maksud kata-kata yang jarang digunakan. Waima, selamat membaca.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita