Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NUANSA: COVID-19 dan penjajahan minda Melayu

TERDAPAT beberapa dakwaan di Malaysia dan Indonesia oleh individu-individu yang disahkan positif COVID-19 mengenai penggunaan belimbing buluh. Kita maklum, buah, bunga dan daun dari belimbing buluh atau nama saintifiknya Averrhoa belimbi digunakan oleh masyarakat Melayu untuk beberapa jenis rawatan.

Anggaran Waktu Membaca:

TERDAPAT beberapa dakwaan di Malaysia dan Indonesia oleh individu-individu yang disahkan positif COVID-19 mengenai penggunaan belimbing buluh. Kita maklum, buah, bunga dan daun dari belimbing buluh atau nama saintifiknya Averrhoa belimbi digunakan oleh masyarakat Melayu untuk beberapa jenis rawatan.

Sebagai contoh buahnya yang diparut, dan dicampur garam akan digunakan untuk melembut kulit muka, dan mengubati jerawat. Buah belimbing buluh yang lebih besar dan hijau pula diminum air rebusannya untuk mengubati tekanan darah tinggi, kencing manis dan pitam.

Selain itu air rebusan daun, bunga dan buah dalam kadar yang sama juga sering diminum untuk mengubati batuk. Masyarakat Melayu juga dikatakan menggunakan bunganya sebagai ubat sakit gigi. Khasiat ini disentuh oleh Muhamad Zakaria dan Mustafa Ali Mohd dalam Tumbuhan dan Perubatan Tradisional.

Sesungguhnya penggunaan tumbuhan berbunga yang terdapat di Asia Tenggara untuk pelbagai penyakit bukanlah sesuatu yang asing. Menurut Muhamad Zakaria dan Mustafa Ali Mohd lagi, di kawasan tropika terdapat lebih 6,000 spesis tumbuhan berbunga dilaporkan mempunyai khasiat perubatan. Malahan terdapat penggunaan pelbagai jenis tumbuhan tempatan untuk merawat penyakit moden menurut kearifan orang Melayu.

Pandangan mereka dipetik:

‘Kefahaman masyarakat Melayu terhadap penyakit moden seperti kanser, darah tinggi dan kencing manis telah menampilkan pengetahuan baru tentang tumbuhan yang boleh digunakan untuk mengubati penyakit ini. Tumbuhan yang dilaporkan berguna untuk mengubati kencing manis ialah hempedu bumi (Andrographis paniculata), campuran beberapa putik limau (seperti limau lelang, limau pagar dan limau Cina) dan kancing baju (Corcorus capsularis); ubat darah tinggi pula ialah pokok hempedu bumi, misai kucing (Orthosiphon grandiflorus), dan daun saga laut (Abrus picatorius - Amaran: Biji pokok ini yang berwarna merah seperti biji saga amat beracun dan boleh membunuh walaupun cuma dimakan sebiji.)’.

(Gambar: NEA/Shi Biying)

(Gambar: NEA/Shi Biying)

Kuasa kolonial Melayu tidak terkecuali dalam merakam pelbagai manfaat dan khasiat tumbuhan yang digunakan dalam perubatan tradisional Melayu seperti yang dilakukan oleh Burkill dan Haniff (1930) dalam Malay Village Medicine, atau J.D Gimlette dan I.H Burkill (1930) dalam The Medical Book of Malayan Medicine.

Dalam hal ini, dakwaan beberapa individu bahawa belimbing buluh (juga disebut belimbing wuluh, atau belimbing sayur) boleh mencegah dan mengubati COVID-19 seharusnya ditekuni, diselidiki dan bukan disanggah begitu sahaja.

Di Indonesia, terdapat sebuah video berlegar di media sosial dengan tempoh masa 7 minit 44 saat yang memperihalkan pengalaman seorang wanita, Victoria Sidabutar, mengaku berusia 63 tahun dan menjadi kontak rapat seorang pesakit COCID-19. Victoria mengatakan dia yang percaya dirinya positif COVID-19 kerana kehilangan deria bau dan rasa, telah kembali sihat setelah mengumur air rebusan belimbing buluh dalam keadaan suam, dan kemudian meneguknya. Beliau juga meratah buah itu begitu sahaja.

Dakwaan wanita ini bagaimanapun lekas-lekas disanggah oleh pengamal perubatan moden begitu sahaja. Sebagai misalan seorang pakar perubatan di Indonesia dengan segera menyangkal penggunaan belimbing buluh itu dengan alasan tiada bukti saintifik. Media segera menggelar video itu sebagai ‘hoaks’. Hantaran video tersebut di media sosial juga sudah dipadam.

Di Malaysia, salah seorang adik kepada rakan saya yang positif COVID-19 mendapati dirinya beroleh kembali deria rasa dan bau setelah mencuba saranan meminum rebusan belimbing buluh di atas.

Apa yang menjadi tanda tanya ialah mengapa tiada satu usaha bersungguh-sungguh memerdekakan fikiran dari kerangka perubatan moden, dalam hal COVID-19 ini, untuk melihat semula dakwaan tersebut dengan kadar segera.

(Gambar: NEA/Joyce Foo Ming Yen)

(Gambar: NEA/Joyce Foo Ming Yen)

Harus dinyatakan di sini, sekumpulan saintis dari Fakulti Perubatan Airlangga Surabaya pada tahun 2012 pernah mengkaji belimbing buluh sebagai herba antimalaria. Kajian mereka itu berjudul ‘In Vitro Antimalarial Activity of Belimbing Wuluh (Averrhoa Bilimbi) Leaves Extract on Plasmodium Falciparum’. Kajian seumpama ini misalnya menunjukkan tumbuhan sedia ada di lingkungan alam Melayu harus didekati dan diselidiki dengan serius. Justeru, satu-satu dakwaan dari anggota masyarakat jangan segera dan tergesa-gesa disangkal sebagai tidak lojik, penipuan atau tidak benar.

Dalam konteks ini, seseorang pengamal perubatan seharusnya lebih terbuka, merdeka dan bersedia untuk membuka fikiran melihat apa manfaat yang ditawarkan perubatan tradisional.

Penting dinyatakan di sini, saya tidak mengatakan belimbing buluh benar-benar boleh merawat COVID-19. Saya hanya menyatakan di sini, saintis harus membebaskan diri dari kerangka Barat ketika melihat atau mendengar dakwaan-dakwaan seperti yang disebutkan oleh wanita ini. Saya menyeru dan menganjurkan kemerdekaan cara berfikir kepada saintis di alam Melayu.

Pertama, pengkaji dan saintis di Timur hendaklah berhenti menelan sahaja kempen dan propaganda syarikat farmaseutikal Barat yang membuat laba luar biasa dari pelbagai wabak dan penyakit. Mereka tentunya tidak mahu mana-mana pihak mencabar keabsahan apa yang mereka kemukakan. Rawatan alternatif sering dimomokkan. Iaitu hanya mereka - ubat moden dari Barat - yang dapat menyembuhkan. Saya tidak akan menghuraikan lanjut kenyataan ini di sini.

Kedua, terdapat dakwaan kononnya ada perbezaan cara fikir oleh pengamal perubatan tradisional dan moden. Kononnya kerangka tradisi Galenic dan Melayu sangat berbeza. Galenic, tradisi Barat justeru dipandang lebih supreme berbanding tradisi perubatan Melayu yang dianggap purba, tradisional dan tidak konsisten. Dalam erti kata lain non-Galenic dianggap tidak saintifik.

Adakah ini benar? Terdapat beberapa persamaan antara tradisi Galenic dan perubatan tradisional Melayu ditemui. Sebelum itu harus diingatkan dalam konteks rawatan tradisional ini, Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dalam prakata buku Royal Healer: Malay Culture of Healing menegaskan bahawa weltanschauung atau sudut pandang dunia perbomohan harus dilihat secara berbeza berbanding rawatan moden. Ini kerana menurut beliau, ‘Malay mind continues to remain closer to the world of spirits and other worldly beings than we realize’, iaitu minda orang Melayu adalah hampir kepada dunia ghaib berbanding dunia realiti.

Oleh itu seseorang perlu melihat kerangka perubatan Melayu dari kaca mata lain, dan bukan dari sorot pandang moden. Kedatangan Islam kemudiannya turut mempengaruhi teras kosmologi dan weltanschauung Melayu. Perlu disebutkan di sini, epistemologi perubatan Islam tidak begitu mempunyai perbezaan berbanding perubatan moden.

(Gambar: NEA/Jessica Teo)

(Gambar: NEA/Jessica Teo)

Dalam sistem Galen, sebarang rawatan penyakit mestilah pertamanya memahami patologi dan imbangannya terlebih dahulu. Menurut Gary Leiser dan Noury al-Khaledy, dalam Questions and Answers for Physicians: A Medieval Arabic Study Manual By ‘Abd Al-Aziz Al-Sulami, penentuan patologi Galen melibatkan unsur air, api, angin dan tanah. Unsur-unsur inilah menentukan punca penyakit dan ‘tabiat manusia’:

The essence of Galen’s system was humoral pathology. He held that all things were composed of different combinations of four elements: earth, air, fire and water, which embodied four primary and opposite fundamental qualities, hot, cold, wet and dry. Anything that was ingested was cooked by natural heat and transformed into different substances. Four humors or liquids resulted: blood, phlegm, black bile, and yellow bile. Balance among these humors created good health. Excess or defect of one humor or another gave rise to illness. Balance and various types of imbalance were categorized as different temperaments. Remedies for illnesses were sought in treatments thought to have an opposite effect. Thus if an illness were believed to result from imbalance toward cold and moist, it would be treated with drugs considered to be hot and dry. Other factors, such as sleep, emotional state, exercise, eating and drinking habits, evacuation and retention, and environment were also regarded as influential and were incorporated into the humoral system. Altogether this was a completely self contained system which could answer virtually any question about one’s health.

Menurut Andrew J. Newman, dalam Islamic Medical Wisdom hal ini mungkin terjadi kerana pengamal perubatan awal Islam seperti Abu Ali al-Husayn bin Abd Allah bin Sina (dikenali dengan nama Latin Avicenna), Yuhanna bin Masawayh (dikenali dengan nama Latin, Mesue) dan Abu al-Hazm al Quraishi Ibn al-Nafis adalah pengamal-pengamal budaya perubatan Galenic itu sendiri.

Dalam hal tradisi perubatan Melayu pula, ia masih mempunyai persamaan yang dapat dihubungkan dengan tradisi perubatan moden yang berasal dari tradisi Galenic. Hal ini misalnya ditemukan oleh seorang farmakologis Malaysia, Jamia Azdina Jamal dalam kajiannya ‘Malay Traditional Medicine: An Overview of Scientific and Technological Progress’.

Beliau menuliskan begini:

In Malay traditional medicine, the physical characteristics of a person are believed to be constituted of four elements - suprawi (fire), suddawi (earth), dammawi (wind) and balpawi (water). These elements, humours and descriptions of ailments are similar to those described by the Greek model of elements and humours. Besides chants (jampi), prayers (doa), massage, abstinence (pantang) and other practices, the Malay traditional medicine also utilizes various natural resources from plants, animals, microorganisms and minerals for the purpose of treating and preventing illnesses, and for rehabilitation and health promotion. Medications containing single or compound medicinal plants may be dispensed in many forms, such as powders, capsules, pills, makjun, medicated oils, simple distillates, decoctions, infusions, paste and poultices.

Perenggan Jamia di atas menjelaskan kekuatan yang ditawarkan oleh rawatan tradisional Melayu yang memanfaatkan lingkungan alam sedia ada di samping menggunakan sepenuhnya aspek pemulihan termasuklah pencegahan.

Selain merawat imbangan badan berdasarkan empat aspek iaitu air, api, angin dan tanah; orang Melayu juga menggunakan doa dan jampi. Paling penting beliau menegaskan, tumbuhan yang ada di alam Melayu dijadikan ubat tradisional dan pemakanan untuk memulihkan penyakit.

Hari ini, dunia moden memusatkan semuanya kepada sains dan teknologi serta hasil makmal yang dianggap sebagai ‘saintifik’. Pelbagai kajian dan bahan kimia digunakan. Kita tidak menafikan ini satu proses dan produksi ilmu. Pun, kita harus menyemat dalam fikiran bahawa salah satu sumber ilmu yang paling asas ialah ‘pengalaman’ dan ‘percubaan’. Manusia mengetahui api itu panas setelah mengalaminya terlebih dahulu. Jadi, pengalaman adalah juga ilmu.

Dalam hal ini, dakwaan beberapa individu di Malaysia dan Indonesia yang mereka pulih dari COVID-19 dengan rebusan belimbing buluh harus dianggap suatu sumber ilmu yang setara dengan apa yang dihasilkan di makmal. Malah, makmal dan pengamalnya seharusnya terbuka melihat dan menilai dakwaan pengalaman (baca: ilmu) dan kearifan lokal ini. Ia tidak harus ditolak mentah-mentah semata-mata kerana ‘penjajahan’ oleh syarikat farmaseutikal, dan jangan pula dinafikan dengan alasan tradisi berbeza.

Sekali lagi, saya tidak menghujahkan belimbing buluh benar-benar boleh merawat COVID-19. Akan tetapi dakwaan sedia ada jangan dientengkan. Jika kajian teliti menunjukkan belimbing buluh boleh diekstrak sebagai herba merawat malaria, mengapa kita tidak berhati-hati untuk melakukan kajian yang sama untuk merawat COVID-19 yang nampaknya semakin menggila dan entah bila akan mereda.

Jika bangsa Cina di Tanah Besar tidak taksub dengan perubatan moden dan Barat, serta mendanai perubatan tradisional Cina, mengapa saintis dan doktor kita tidak boleh merdeka untuk melakukan hal yang sama? Siapa tahu ubat COVID-19 memang betul-betul ada di halaman rumah kita?

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu dan zamil pelawat di ISEAS - Institut Yusof Ishak.

Sumber : BERITAmediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa