NUANSA: Berpuisi Untuk Pertiwi
Wacana Sastera anjuran ASAS’50 di Wisma Geylang Serai pada 6 September 2026 telah dirasmikan Encik Saktiandi Supaat dan dihadiri sekitar 50 peserta yang kebanyakannya sudah berusia. (Gambar: Facebook/Saktiandi Supaat)
- Wacana Sastera anjuran ASAS'50 menyorot kepentingan puisi dalam masyarakat Melayu Singapura dan membincangkan kemerosotan tradisi berpuisi.
- Tokoh seperti Prof. Dr Abdul Malik dan Cikgu Shahril menekankan peranan pendidikan awal dan pemimpin dalam memupuk minat terhadap puisi.
- Pelbagai strategi dicadangkan, termasuk penglibatan pemimpin politik, penggunaan teknologi, serta acara puisi besar untuk menghidupkan semula tradisi ini.
- Majlis Bahasa Melayu Singapura disaran menganjurkan acara puisi berskala besar sempena ulang tahun Dr Masuri Salikun, demi memperkukuh jati diri dan warisan budaya.
Mohd Raman Daud menilai perjalanan ke arah sebuah watan berpuisi.
Dari harapan menggunung Cikgu Khaziah Yem selaku pengerusi acara Wacana Sastera (WS) kepada azam muluk Muhammad Shahril Samri, guru tadika yang gigih berpantun, saya semacam tercari-cari jawapan untuk persoalan besar:
“Setakat manakah Singapura, khususnya masyarakat Melayu, menghargai puisi?”
Sebabnya jelas. Sejak Alaf 21, Singapura dikatakan kegersangan jual beli pantun dalam majlis hantar tanda atau pertunangan sehingga walimah.
Bangsawan, ghazal, keroncong sehingga bersyair yang dahulunya berkumandang di radio juga telah lama pupus.
Hakikat sedihnya: berpantun, bersyair sehingga melantunkan sajak tidak lagi suatu yang lumrah di Singapura. Ia hanya diadakan demi acara khas.
WS anjuran Angkatan Sasterawan ‘50 (@ ASAS’50) pada Ahad, 6 September lalu, dimulakan dengan bicara panjang mahaguru persuratan Melayu dan pendidik terbilang dari Kepulauan Riau, iaitu Prof. Dr Abdul Malik.
Sebagai pengagum ketokohan Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad (@ RAH, 1808 - 1873), pujangga terbilang Riau, Prof. Abdul Malik, secara spontan mengalunkan petikan syair ‘Gurindam Dua Belas’ dan menukil pesan insan bestari itu. Turut diutarakannya ialah petikan puisi Hj Ibrahim bin Haji Muhammad Yusuf yang sezaman RAH.
Tambahnya: puisi lama terutama pantun yang asli Melayu dan diikuti syair, gurindam, nazam, rubaiyat yang diambil dari Timur Tengah merupakan sebahagian daripada kehebatan persuratan Melayu klasik. Sesinya dipengerusikan Hj Jufri Haron.
Berulang kali disebutnya perihal Gunung Daik (dari serangkap pantun pusaka) yang bercabang tiga sebagai isyarat sakti minda orang Melayu terutama dari kepulauan Riau. Menurutnya, tiga puncak itu melambangkan ilmu, agama dan kepimpinan. (Nota: Riau terbahagi dua wilayah ‘Kepulauan’ yang beribu kota Tanjung Pinang, dan ‘Darat’ yang beribu kota Pekanbaru).
ANAK DIDIK
Bagi Cikgu Shahril (di kiri) dan Mohd Amran Daud (duduk tengah, anak Kelantan dan pegawai pembinaan sastera dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia), menghargai puisi perlu ditanamkan dalam diri setiap anak Melayu sejak kecil lagi.
Padahal, ahli seni muda menurut pelan induk ‘Pelan Bandar Kebangkitan Seni’ oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) amat diperlukan. Pelan sejak tahun 2000 ini telah disemak beberapa kali dan yang terkini dipanggil ‘Pelan Seni SG Kita’ (2023 - 2027).
Bagaimana membentuk negara yang lumrah dengan seni, termasuk mengarang dan melantunkan puisi?
Memang tiada negara yang seluruh rakyatnya membaca puisi setiap hari. Namun ada beberapa watan memiliki keterikatan budaya yang ampuh dengan puisi sehingga ramai warganya menyanjung puisi.
Di Iran (dahulunya Parsi) dikatakan puisi adalah bagian dari identitas (identiti) nasional. Hampir setiap rumah memiliki buku puisi Hafez atau Rumi. Warga Iran lumrah mengutip bait puisi dalam sembang harian, bahas politik, bahkan menggunakan puisi Hafez (Fal-e Hafez) untuk menjangka masa depan.
Iceland pula memiliki tradisi Rímur (puisi berima) yang kuat. Ada budaya pop bernama Jólabókaflóð (Banjir Buku Natal), iaitu amalan bertukar buku (termasuk buku puisi) adalah tradisi wajib saat malam Natal (Krismas). Dikatakan warga Islandia menulis atau menerbitkan setidaknya satu buku seumur hidup mereka.
Di Rusia, penyair seperti Alexander Pushkin dijulang sebagai pahlawan nasional. Semasa era Soviet Union hingga kini, membaca puisi di alun-alun (lapangan terbuka) yang dihadiri ribuan orang semacam konsert rok. Warga Rusia sangat menghargai kebolehan menghafal dan melantunkan puisi.
Ireland memilik dari tradisi lisan suku Kelt (bards). Penyair seperti W.B. Yeats dan Seamus Heaney sangat dipuja. Pemerintah Ireland memberikan pembebasan pajak bagi seniman dan penulis (termasuk penyair) demi kelanjutan karya mereka.
STRATEGI MEMBUMI
Untuk memasyarakatkan puisi di Singapura, ia wajar dimulakan oleh para pemimpin. Dalam kalangan pemimpin politik Melayu, misalnya, mantan Menteri Negara Kanan, Hj Sidek Saniff, dan mantan Setiausaha Parlimen Kanan Yatiman Yusof, mempunyai buku karya puisi masing-masing. Bagaimana yang lain? Sekurang-kurangnya ahli pembangkang, Fadli Fawzi telah menunjukkan sikap tegasnya di Parlimen — untuk memelihara pantun.
Yang penting, jadikanlah amalan menggemari puisi bak suatu yang semula jadi - usah dipaksakan.
Demikian pesan penyair besar nusa, Dr Masuri Salikun (1927 - 2005) yang hari kelahirannya seabad akan berlangsung tahun depan. Diharap Majlis Bahasa Melayu Singapura dapat mengadakan acara puisi gah atau puisi akbar sebagai antara kegiatan sambutan tadi, jika ada. Biar pecah rekod. Demi terakam dalam Buku Guinness edisi SG!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.