Skip to main content

Komentar

NUANSA: Aidilfitri Bersama Sungkem

Anggaran Waktu Membaca:
NUANSA: Aidilfitri Bersama Sungkem

Sungkem merupakan antara amalan sambutan Aidilfitri yang masih diamalkan di rantau ini. (Gambar: Canva)

SINGAPURA: Antara amalan sambutan Aidilfitri di rantau ini ialah amalan sungkem iaitu berlutut memberi hormat dan mohon ampun restu kepada ibu bapa pada pagi Raya. Ia dikatakan faktor pendorong anak yang merantau jauh untuk ‘balik kampung’. Mohd Raman Daud mengupas erti syahdunya.

Antara amalan Aidilfitri yang masih berlaku di Singapura ialah berlutut anak cucu memohon ampun kepada ibu bapa/ datuk nenek.

Memandangkan masih lagi ber-‘darah Jawa’, saya masih ingat disuruh Mak dan Bapak saya agar melaksanakannya pada pagi Raya (selepas solat Aidilfitri atau disebut Lebaran oleh orang Jawa). Ramai kawan saya baik yang berketurunan Jawa mahupun tidak, melakukannya.

Anehnya, sehingga kini, kalangan kami masih mengamalkannya – terasa macam suatu ‘pensucian’ jiwa selepas Ramadan yang menguji ketabahan berpuasa dan melaksanakan pelbagai ibadah demi kembali fitrah.
Related article image
Amalan sungkem dikatakan merupakan antara faktor pendorong bagi anak yang merantau jauh untuk ‘balik kampung’ bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang. (Gambar: Canva)
ASAL JAWA

Catatan sejarah rantau ini menunjukkan, amalan ini sebenarnya berasal daripada tradisi Jawa (Kejawen) yang diangkat sebagai elok oleh Wali Songo dalam abad ke-17M. Hakikatnya tradisi Jawa berkembang di rantau ini, didorong oleh dua fenomena utama:
 
  1. Peluasan Empayar Majapahit dalam abad ke-14M dan
  2. Perantauan orang Jawa dek ‘dipaksakan’ oleh penjajah Belanda atau atas ikhtiar sendiri seperti dalam memoir mantan wakil rakyat, Hj Yatiman Yusof, ‘Perjalananku’ (2022). Orang Jawa merupakan kelompok terbesar rumpun Melayu.
Related article image
Hj Yatiman Yusof dan memoirnya, ‘Perjalananku’. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Antara lain, citra tradisi ini terpancar dalam lagu Aidilfitri (1981) yang malar segar dan dijangka berkumandang. Ia nyanyian asal kumpulan nasyid semua wanita, Al-Jawaher. Judulnya, ‘Kupohon Restu Ayah dan Bonda’ (lirik dan gubahan Amir Hj. Md Karim). Ia juga dipopularkan oleh penyanyi Mamat Exist.

Duhai bonda duhai ayahanda
Dengarlah rayuan anakanda
Yang jauh di mata

Tanpaku sedari air mataku mengalir
Terdengar ayat suci seruan takbir
Betapa daku gembira dekat di samping keluarga
Di pagi mulia hari raya

Kan kusujud di kakimu
Bila kita bertemu
Kan kucium tanganmu kupohon restumu
Oh maafkan daku kesalahan diriku

Walau jauh di mata namun kau tak dapatku lupa
Doaku sepanjang masa agar kau bahagia
Kupohon restu darimu oh ayah dan ibu
Agar tercapai citaku membela nasibmu

Kan kusujud di kakimu bila kita bertemu
Kan kucium tanganmu kupohon restumu
Oh maafkan daku kesalahan diriku
Kesalahan diriku
Kurangkan Artikel
Perkataan ‘sujud’ dalam lagu tadi bukanlah bermakna “sujud dalam solat” – sembah Tuhan.

“Sujud” yang dimaksudkan ialah sekadar berlutut, bersimpuh atau membongkokkan diri sebagai menghormati insan yang wajar dihormati kerana baktinya sebagai ibu bapa, guru dan sebagainya.

ERTI SUNGKEM

Lagu ini mencerminkan amalan sungkem yang dipercayai sudah ribuan tahun diamalkan di Jawa sejak zaman sebelum Islam. Namun, oleh majlis pendakwah, Wali Songo, ia antara amalan yang dinaik taraf dalam dakwah penyebaran Islam di tanah Jawa sehingga kini dianggap sudah menjadi sebahagian budaya di Indonesia.

Banyak buku dan makalah kesarjanaan mengulas sungkem yang dianggap tidak bertentangan dengan Islam. Padahal, ia tidak dilakukan di jantung asal Islam iaitu Timur Tengah. Di akhbar Berita Harian-Berita Minggu, pernah tercetus polemik ‘perlukah kita bermaaf-maafan untuk Raya’ pada suatu masa lalu. Kalangan asatizah setempat berpendapat ia tiada salahnya, bahkan digalakkan.

Kamus Besar Bahasa Indonesia mentakrifkan ‘sungkem’ sebagai sujud (tanda bakti dan hormat) kepada orang tua. Iaitu seseorang yang lebih muda bersimpuh atau membongkok di hadapan orang yang lebih tua (biasanya ibu bapa, datuk nenek sehingga guru/asatizah sehingga raja) untuk memohon maaf dan doa restu.

Aturannya: Sosok yang lebih muda biasanya bersimpuh atau berlutut di bawah, dengan kepala menunduk atau diletakkan di pangkuan orang tua. Tangan anak sering kali memegang atau mencium tangan orang tua sebagai tanda bakti dan kerendahan hati. Suasana dalam senario sungkeman sering penuh haru, ketenangan, dan semacam syahdu.
Related article image
Amalan sungkem untuk memohon maaf dan doa restu. (Gambar: Canva)
Tradisi ini dianggap sebagai "doa tanpa kata", sebuah permohonan agar ilmu dan restu yang diterima oleh yang muda seperti pelajar, membawa berkat (bahasa Qur’an: barakah) bagi kehidupan.

Pendakwah terkenal Malaysia dan juga Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Badli Shah Alauddin dalam salah satu videonya di YouTube, secara panjang lebar menceritakan kebaikan ‘sungkem’ yang menarik suku kaum rumpun Melayu yang lain, termasuk di negerinya, Pahang.

Bahkan beliau menuturkan kata-kata ‘mohon maaf’ dalam Bahasa Jawa yang tinggi (kromo inggil) sehingga mengagumkan kalangan pengulas dan penonton dari Indonesia, terutama Jawa.
Related article image
Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Badli Shah Alauddin. (Gambar: Laman web Jabatan Mufri Negeri Pahang)
BERMAAFAN

Teras sungkem ialah memohon maaf daripada yang muda kepada yang tua. Seorang ahli sosiologi Indonesia, Hermanu Joebagio, dari Universiti Sebelas Maret (UNS) Surakarta, berkata keinginan untuk ‘menyungkem’ mendorong golongan muda di Indonesia, terutama Jawa, untuk pulang ke desa atau kampung halaman pada musim Lebaran (Aidilfitri). Fenomena ‘balik kampung’ ini juga berlaku di Malaysia.

Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (Dr MAS, 1924 - 2016) lewat dua bukunya, ‘Bicara Adat dan Tradisi’ (1993) dan adikaryanya, NILAM (2007), bermaaf-maafan merupakan amalan lama rumpun Melayu.
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ DR MAS, 1924 – 2016). (Gambar: BERITA Mediacorp)
Ujar Dr MAS kepada saya pada 1990-an, bermaaf-maafan merupakan bukti utama amat sedikitnya rasa ‘keakuan’ (individualistik) dalam pekerti Melayu. Ini penting dalam menyambut Aidilfitri kerana amalan ibadah Ramadan yang ikhlas dan sungguh-sungguh akan menghasilkan rasa mensucikan dosa.

Dan dosa terhadap ibu bapa atau orang tua, sanak saudara atau sahabat perlu ‘dibersihkan’ (istilah Jawa: ‘lebar’) dengan bermaafan. Atau kata anak-anak muda hari ini, kembalikan suasana “kosong-kosong”.

“Dengan kawan-kawan tak perlulah kita bermaafan macam menghadap orang yang lebih tua. Kita boleh lakukan biasa-biasa sajalah asalkan serius dan tulus,” ujar Dr MAS.

Selamat menyambut Lebaran dan bermaafan, jika tidak pun menyungkem!

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita