NOTA DARI KL: Visi Malaysia Hubungkan Rangkaian Kereta Api Seluruh Asia

(Gambar: Bernama)
Ini adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk memulihkan rangkaian kereta api Pan-Asia yang boleh menghubungkan Singapura ke China melalui Malaysia, Thailand dan Laos. Dengan usaha global ke arah kemampanan, perjalanan kereta api dan pengangkutan awam juga harus menampilkan pilihan yang jauh lebih 'hijau'.
Sebahagian daripada motivasi di sebalik minat yang meningkat terhadap rangkaian kereta api rentas benua adalah dorongan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin untuk membangunkan jambatan darat merentasi Tanah Genting Kra.
Ini adalah laluan paling sempit di Semenanjung Thailand dan ia boleh menawarkan laluan alternatif kepada pengangkutan muatan yang berdaya maju ke Selat Melaka dan ini dijangka akan memanfaatkan Malaysia.

Selat Melaka adalah salah satu laluan perkapalan yang paling sibuk di dunia, dengan laluan sepanjang 930km melibatkan perairan Thailand, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Idea untuk membina 'Terusan Kra' telah diusulkan seawal tahun 1600-an, tetapi selepas berabad-abad lamanya, ia tidak menjadi kenyataan disebabkan oleh kekurangan keupayaan teknologi dan kos binaan yang tinggi.
Semasa Perang Dunia Kedua, Perjanjian Damai Inggeris-Thai menetapkan bahawa terusan itu tidak boleh dibina tanpa kebenaran pihak British. Hari ini, keprihatinan terhadap alam sekitar menjadikan kemungkinan terusan itu dibina lebih sukar. Lantaran itu, lahirlah idea untuk membangunan jambatan darat.
Visi Thavisin, bagaimanapun, memerlukan kapal kargo memunggah muatan mereka di pelabuhan air dalam yang perlu dibina di Chumphon dan Ranong, masing-masing di pantai barat dan timur Thailand, kemudian bergerak ke darat melalui lori dan kereta api.
Beliau mendakwa langkah ini akan dapat menjimatkan 15 peratus kos penghantaran dan masa belayar selama empatg hari di sekitar Singapura, sekali gus meningkatkan ekonomi Thailand sebanyak AS$370 bilion (S$490 bilion) dalam bentuk pelaburan hanya dengan membina jambatan darat sepanjang 90km itu.
Bangkok baru sahaja menyambut ketibaan pelawat yang pertama dari Laos pada Julai tahun ini, hasil laluan kereta api baharu antara Nong Khai di timur laut Thailand dengan Vientiane, Laos.
Di utara, sudah ada laluan kereta api berkelajuan tinggi dari Vientiane ke Kunming, China. Menuju ke selatan, terdapat khidmat kereta api yang tersedia antara Padang Besar, Perlis dan Bangkok, menyeberangi laluan darat ke Satun, kemudian ke Bangkok melalui Hat Yai, tetapi ini adalah kereta api kelas dua dan tiga yang lebih tua. Terdapat juga kereta api KTMB Intercity yang pada dasarnya melakukan perjalanan dari Singapura ke Tumpat, salah satu perhentian paling timur laut di Kelantan, walaupun ia memerlukan beberapa perubahan pada gerabak kereta api di sepanjang perjalanan. Ini ditambah dengan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) antara Gemas di Negeri Sembilan dengan Tumpat, Kelantan melalui Pahang.
Landasan laluan kereta api ini sedang menjalani kerja-kerja naik taraf untuk menjadikannya berkuasa elektrik sepenuhnya. Ini bagi mempertingkatkan laluan satu landasan sedia ada ke Johor Bahru, yang dijangka siap pada 2025.
'BACKPACKERS' NAIK KERETA API KE BANGKOK
Golongan pengembara 'backpackers' misalnya, sudahpun melakukan perjalanan dari Singapura ke Bangkok dengan menaiki kereta api, dan kini penumpang boleh melakukan perjalanan melalui kereta api sehingga ke China.

MANFAATKAN INISIATIF JALURAN EKONOMI LALUAN SUTERA
Sebahagian daripada projek Inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera (BRI), telah melalui beberapa semakan melibatkan empat tampuk kepimpinan kerajaan yang berbeza, tetapi kini nampaknya berada di landasan yang betul. Visi Anthony Loke itu akan menghubungkan stesen kereta api paling selatan Thailand di Sungai Kolok dengan Kota Bahru melalui sambungan ECRL ke Rantau Panjang merentasi Jambatan Harmoni.
Kereta api terakhir melintasi Sungai Golok sejak 18 tahun lalu, dan sekarang Tentera Thailand sudah menutup pintu masuk ke Jambatan Harmoni. Dengan ketegangan di selatan Thailand, kedua-dua laluan kereta api di bahagian selatan Thailand dan stesen-stesennya dikawal ketat dan diiringi oleh Tentera Thailand melalui Pattani.
BACA:

CABARAN YANG PERLU DIATASI
Terdapat juga isu yang lebih praktikal mengenai landasan kereta api berbeza yang digunakan. Thailand menggunakan kedua-dua landasan tolok standard dan meter (merujuk kepada jarak antara landasan), serta kereta api berkuasa elektrik dan diesel. Malaysia pula menggunakan landasan tolok meter dan pelbagai jenis kereta api bergantung kepada rangkaiannya. Perjalanan kereta api yang lancar antara kedua-dua negara ini memerlukan kerjasama yang besar dan meluas.
Meningkatkan dan mengukuhkan ketersambungan kereta api merentasi tanah besar Asia Tenggara dan Singapura pastinya merupakan satu langkah yang positif, terutama sekali dari segi kemampanan jangka panjang.
Di Belanda misalnya, kereta api elektrik telah menggunakan kuasa angin sejak 2017. Satu turbin angin yang beroperasi selama sejam boleh menggerakkan kereta api sejauh 190km. Kajian yang dijalankan di United Kingdom sedang menguji tahap penjanaan tenaga menggunakan panel-panel solar.
Eurostar merancang untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui bagi semua kereta apinya menjelang 2030. California dan Australia mempunyai sistem kereta api yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga suria.

Kereta api muatan ASEAN Express yang pertama dari Kelana Jaya, Selangor ke Chongqing, China melalui Thailand dan Laos telah dilancarkan pada Julai 2024.
Sudah ada rancangan untuk menghantar eksport durian Malaysia ke China melalui kereta api, perjalanan yang mengambil masa kurang daripada 14 hari. Pengangkutan melalui laut mengambil masa tiga minggu dan kos perjalanan kereta api adalah 30 peratus lebih rendah berbanding pengangkutan melalui jalan raya. Ia juga jauh lebih mampan daripada perjalanan melalui jalan raya.
Terdapat rancangan untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan ini dan menambah lebih banyak kereta api penumpang ke laluan itu. Ini semua adalah sebahagian daripada matlamat ASEAN untuk meningkatkan ketersambungan serantau. Untuk mengatasi perbezaan yang mungkin dihadapi, kereta api ini memindahkan kontena ke gerabak baharu yang sesuai dengan piawai di Vientiane.
Visi Anthony Loke jelas sekali berpandangan jauh. Jika para pelabur menyokong visi Malaysia ini dan sanggup berkongsi pengetahuan dan usaha membina kapasiti kepakaran tempatan, maka ia juga akan memanfaatkan tenaga kerja Malaysia secara keseluruhannya.
Pembinaan kereta api dan landasannya, serta pengurusan perkhidmatan dan penyenggaraan boleh menjadi industri yang berdaya tahan dan berteknologi maju, terutama sekali jika ia dikaitkan dengan penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk meningkatkan bilangan pekerjaan tempatan dan mungkin ia juga dapat mengurangkan hijrah cendekiawan (brain drain).
Memandangkan maklum balas terhadap rancangan jambatan darat Thavisin kelihatan agak hambar, rangkaian kereta api serantau boleh menjadi huraian yang realistik, dengan Malaysia melangkah seiring dengan seluruh tanah besar Asia Tenggara.

Dr Serina Rahman adalah seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu Program Pengajian Malaysia, ISEAS-Institut Yusof Ishak.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.