NOTA DARI KL: Tsunami Melayu dan kerapuhan Kerajaan Perpaduan Malaysia

Pengerusi GRS Hajiji Noor, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Pengerusi GPS Abang Johari Openg, dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal semasa acara memeterai perjanjian persefahaman kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan pada 16 Dis 2022. (Gambar: Jabatan Perdana Menteri Malaysia/BERNAMA)
Upacara ini hanya dapat disempurnakan apabila para pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk menyertai 'Kerajaan Perpaduan’ yang disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan beliau bersama pimpinan parti yang memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada 19 November lalu.

Hal ini bakal menjadi titik tolak persaingan yang akan wujud antara Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan campuran Pakatan Harapan – Barisan Nasional yang telah tertubuh.
Persaingan yang mula wujud ini boleh dilihat dari sudut bagaimana parti-parti yang bertembung pada PRU15 meraih sokongan.
POLA BERBEZA
Analisa awal keputusan memperlihatkan PN menawan lebih kurang 55% daripada undi Melayu di Semenanjung, manakala BN hanya dapat meraih sekitar 30% sokongan Melayu sementara PH cuma memperolehi sekitar 14-15% dokongan kaum Melayu.

Pola pemilihan yang berbeza dari aspek kaum ini bakal mewarnai perseteruan politik sepanjang hayat kerajaan campuran ini.
Mengapa?
Kerana kini terdapat bibit kesedaran dalam kalangan pemimpin dan aktivis PN bahawa parti merekalah yang mewakili kepentingan pengundi Melayu, yang mereka kira telah jelas menolak BN atas dasar kepimpinan yang lemah dan terpalit rasuah, serta PH yang dilihat tidak dapat menjaga kepentingan orang Melayu.

Pokoknya, adakah sangkaan PAS ini berasas?
Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan yang konklusif kerana maklumat terperinci bagaimana para pengundi dari aspek kaum dan generasi membuat pilihan mereka semasa PRU15 masih lagi belum diperolehi.
Daripada data beberapa kawasan parlimen di sekitar Johor, Negri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang yang kami perolehi, suatu gambaran yang timbul ialah memang terdapat suatu gelombang penolakan terhadap BN telah berlaku tetapi ia seolah-olah merupakan suatu aksi protes yang melihat pengundi Melayu yang berusia antara 18 hingga 50 tahun secara umumnya memberikan undi mereka kepada PN dan PH.
Secara lebih terperinci, data awal ini memberi gambaran bahawa penolakan kaum Melayu itu bersifat generasi, yang mana pengundi yang berusia 50 tahun ke atas masih memilih BN tetapi yang pada tahap umur yang lebih muda telah memberi sokongan kepada PN dan juga PH.
Yang menarik pula adalah pola sosioekonomi mereka, lakaran data awal ini menunjukkan bahawa pengundi Melayu yang berada di tahap sosioekonomi pertengahan lebih memberi sokongan kepada PH tetapi pengundi yang berpendapatan rendah secara signifikan memberi dokongan pada PN.
Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan menyeluruh, tetapi jika pola ini turut dilihat di negeri-negeri lain, maka boleh disimpulkan bahawa tsunami Melayu ini bukanlah suatu desakan untuk mempertingkatkan agenda Islamisasi, tetapi merupakan isyarat tidak puas hati dengan bagaimana pentadbiran yang sebelumnya gagal mengurus ekonomi dan mempamerkan kepimpinan yang tegas dalam membanteras ketirisan yang menjadi pengetahuan umum rakyat Malaysia.
FAKTOR AHMAD ZAHID HAMIDI
Perkara inilah yang akan menjadi latar belakang sentimen umum, khususnya pengundi Melayu dalam menilai perjalanan tugas kerajaan baru ini.
Majoriti mereka tidak memilih PH ataupun BN tetapi kini perlu menerima gandingan ini sebagai pentadbiran – yang mana kini melihat Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana Menteri.

Malah akan ada dalam kalangan penyokong PN dan PH yang merasakan mereka telah diperdaya oleh PH semasa tempoh berkempen yang berbicara secara berkobar-kobar untuk memperjuangkan prinsipnya, akan tetapi sebaik sahaja telah selesai pilihan raya terus membuat percaturan untuk mendapatkan kuasa.
Proses in akan mencelikkan para penyokong untuk sedar tentang realiti politik di Malaysia dan sejauh mana para politikus menjaja ‘prinsip’ ketika mereka sebenarnya hanyalah bersikap pragmatik.
Sebagai penganalisis saya menyedari keperluan ini dan boleh menerimanya.
Apa yang penting bagi kerajaan campuran ini adalah untuk mereka melaksanakan tugas utama dalam menyelesaikan masalah rakyat – isu harga barang, pertumbuhan ekonomi yang lemah serta merangka strategi bagi mengatasi kegawatan ekonomi pada 2023.
Dengan peredaran masa, rasa marah atau hampa terhadap pembentukan kabinet ini akan reda dan tumpuan akan beralih kepada prestasi kerajaan mengemudi negara dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
TEMPOH BULAN MADU
Kerajaan ini sebenarnya tidak mempunyai tempoh 'bulan madu' kerana saingannya telahpun bersedia, malah hanya dalam masa beberapa bulan lagi, pilihan raya di enam buah negeri akan menjadi ujian sama ada ia mendapat kepercayaan rakyat ataupun tidak.
PM Anwar tidak boleh berlengah dalam mencari jalan untuk memacu ekonomi dan memperkemaskan urus tadbir serta perkhidmatan awam.

Pertama, beliau perlu mendapatkan majoriti sokongan Ahli Parlimen. Selepas lulus ujian tersebut, beliau selaku Menteri kewangan perlu membentang dan mendapatkan kelulusan Belanjawan 2023 yang saya kira perlu diteliti semula.
Sejurus selepas itu, perancangan ekonomi dan kewangan kerajaan perlu dilaksanakan, termasuklah perkara yang perit bagi pengundi seperti pelaksanaan subsidi petrol bersasar.
Proses mendapatkan keyakinan rakyat ini akan dizahirkan dengan dasar-dasar yang bakal dilaksanakan di kementerian-kementerian seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri serta dibantu oleh Kewangan dan Ekonomi – saya kira di sinilah terletaknya jatuh bangun pentadbiran ini.
Sekiranya para Jemaah Menteri dan penjawat awam di kementerian-kementerian tersebut berjaya, maka kemarahan yang mewujudkan gelombang tsunami Melayu akan dapat dikawal dan diredakan.
Jika mereka gagal, sentimen itu akan berterusan dan menjadi asas kepada penerimaan ideologi yang ditaja oleh pihak lawan, yang sekiranya tidak dapat diatasi akan membuat PRU16 lebih mencabar untuk PH dan BN.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.