NOTA DARI KL: Tiada pilihan lain? Sejauh mana penarikan subsidi diesel dapat jimatkan Malaysia?
Gambar hiasan: iStock
Kekecewaan terhadap kepimpinan Kerajaan Madani yang menarik balik subsidi diesel telah menyebabkan lonjakan harga diesel daripada RM2.15 seliter kepada RM3.35 seliter dan rasa kurang senang itu dapat dilihat pada komen-komen yang dimuat naik ke laman sosial seperti Facebook dan Instagram.
Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan bagaimanapun kekal pada harga RM2.15 seliter.
Rakyat percaya kenaikan harga diesel bakal memberikan kesan domino di mana harga barangan juga akan melonjak, sekali gus menyebabkan kos sara hidup semakin tinggi.
Sebelum berlaku kenaikan harga diesel lagi, rakyat sudah cukup terbeban dengan peningkatan harga barang asas sehingga memberi kesan kepada kuasa membeli.
Kenaikan harga bahan bakar juga secara tidak langsung melunturkan kepercayaan sesetengah rakyat terhadap pemimpin negara yang dikatakan gagal mengotakan janji untuk menurunkan harga minyak sebaik Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.
Melalui tinjauan di laman sosial, sesetengah rakyat seolah-olah sudah tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya yang dijangka bakal diadakan tiga tahun lagi untuk menukar kerajaan.
Penetapan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bertujuan untuk membendung ketirisan subsidi yang kian berleluasa sehingga mendatangkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
Usaha itu dipercayai mula menampakkan hasilnya apabila stesen-stesen minyak di sempadan negara kelihatan lengang, tidak seperti yang biasa dilihat.
MATLAMAT TARIK BALIK SUBSIDI DIESEL
Pada 2023, kerajaan Malaysia membelanjakan sebanyak RM14.3 bilion untuk subsidi diesel. Dengan penyasaran subsidi diesel itu, ia dijangka dapat membantu menjimatkan sehingga RM4 billion.
Kos itu akan dipulangkan semula untuk manfaat rakyat seperti membina infrastruktur lebih baik bagi pengangkutan awam, membangunkan hospital dan juga dalam bentuk bantuan tunai.
Penyasaran subsidi diesel memberi manfaat kepada sesetengah sektor tetapi ramai yang tidak meraih manfaat daripada keputusan kerajaan itu. Sebaliknya lebih ramai yang menghentam barangkali kerana sudah ‘dimomokkan’ dengan kenaikan harga barang yang disebabkan oleh impak kenaikan harga diesel.
Melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, kaedah ‘Fleet Card’ diperkenalkan bagi kenderaan muatan yang layak untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna.
SKDS 1.0 pula diberikan kepada kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba yang dikekalkan pada harga RM1.88 seliter dan diesel bersubsidi untuk nelayan dikekalkan pada harga RM1.65 seliter.
Sebanyak 10 jenis kenderaan awam mendapat manfaat daripada pengapungan diesel, diikuti dengan sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan dan 14 jenis lagi bagi pertambahan kenderaan pengangkutan barangan baharu yang mendapat pengecualian melalui SKDS 1.0 dan 2.0.
Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian pula, mereka layak mendapat bantuan tunai Budi sebanyak RM200 sebulan bagi menampung perbelanjaan bahan api diesel yang meningkat.
Mungkin kerana ia masih baharu dilaksanakan, ia membuatkan ramai peniaga keliru dengan program Fleet Card yang tiada maklumat secara terperinci. Ini menyebabkan keadaan menjadi tidak menentu, selain tidak tahu jumlah subsidi yang akan diterima. Ini turut menyebabkan sesetengah peniaga tidak dapat memberi jaminan bahawa harga akan dapat dikekalkan.
Berdasarkan kajian Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dijangka dapat mengurangkan beban fiskal dan memberi keadilan sosial serta membantu mengurangkan ketidaksamaan sosial dengan memastikan subsidi memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah yang paling memerlukan bantuan.
Penyasaran subsidi bukanlah satu perkara baharu, sebaliknya dasar itu sudah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun lalu.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, masing-masing pernah mengusulkan penarikan subsidi diesel ketika mereka masih mentadbir Malaysia.
Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu sedar bahawa langkah yang diambilnya akan dikritik hebat tetapi terpaksa mengambil tindakan tidak popular tersebut demi menyelamatkan negara.
PM Anwar bukan sahaja menegaskan malah turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang sengaja menaikkan harga barangan atau perkhidmatan bahawa mereka akan dikenakan tindakan tegas termasuk lesen dibatalkan.
Tindakan itu harus diambil kerana penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan untuk membantu golongan memerlukan.
Keputusan untuk menarik balik subsidi bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi setelah mengambil kira mesyuarat bersama Jemaah Menteri yang telah diadakan berkali-kali kerana tidak mahu rakyat terbeban.
PM Anwar juga menegaskan bahawa Kerajaan Madani bukanlah kerajaan yang tidak berhati perut dan tidak mempedulikan orang susah.
Pengapungan harga diesel yang dikatakan tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan bagaimanapun meleset tidak sampai beberapa hari selepas subsidi diesel ditarik balik, dengan sesetengah syarikat seperti penunda kenderaan dan sektor binaan menaikkan harga masing-masing.
KRITIKAN PEMBANGKANG
Kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56% berbanding sebelum ini, kata Encik Muhyiddin, adalah amat tinggi dan tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah melambung tinggi.
Ini mengakibatkan kejutan ekonomi dan ia merebak ke seluruh pelosok negara sehingga menyebabkan kesan pengganda (multiplier effect) pada sektor ekonomi dan sosial lain.
Beban ini jika ditaksirkan kosnya kepada rakyat mungkin jauh lebih besar daripada RM 4 bilion yang dapat dijimatkan dari penyasaran subsidi itu.
Encik Muhyiddin juga tidak yakin SKDS dapat mengatasi masalah kenaikan kos dan rantaian bekalan.
Ini kerana syarat-syarat yang dikenakan ke atas penerima bantuan subsidi diesel menerusi skim Budi Madani juga ketat yang boleh menyebabkan sebahagian besar pengguna tidak layak mendapat bantuan.
Ini termasuk petani dan pekebun kecil yang menggunakan jentera diesel bagi menghasilkan produk pertanian. Bagi yang layak menerima bantuan pula, jumlah RM200 sebulan pastinya tidak memadai untuk menampung kenaikan harga diesel yang terlalu tinggi. Akhirnya, kenaikan kos dalam rantaian bekalan akan tetap berlaku dan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna.
Penyasaran subsidi diesel tanpa langkah komprehensif untuk menampan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat adalah satu keputusan buruk yang dibuat oleh kerajaan.
Kesannya, kata Encik Muhyiddin, akan dirasai serta-merta.
Walau bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang dilihat cuba menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan daripada kenaikan harga diesel untuk menaikkan harga perkhidmatan masing-masing.
LANGKAH CEGAH AMBIL KESEMPATAN
Syarikat-syarikat penundaan kenderaan dan binaan adalah antara yang terawal mengumumkan kenaikan harga, sedangkan mereka adalah antara syarikat yang tidak menerima subsidi diesel sebelum ini.
Jelas sekali mereka cuba mengambil kesempatan demi mengaut keuntungan yang lebih besar. Selama ini, syarikat-syarikat penunda kenderaan dan syarikat-syarikat binaan membeli bahan api secara rundingan langsung dengan pengeluar minyak pada harga industri atau komersil.
Tindakan itu sudah tentunya mendatangkan kerisauan kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana mereka sangat prihatin terhadap peningkatan harga barangan dan pengangkutan yang akan membebankan lagi kehidupan mereka.
Sungguhpun demikian, kerajaan memberi jaminan bahawa rakyat tidak akan terbeban dengan membanteras tindakan menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Ops Kesan 2.0 sebagai persiapan bagi memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barangan dan perkhidmatan menyusuli pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Sesiapa sahaja yang didapati mengambil kesempatan dengan memanipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang boleh didenda sehingga RM500,000 bagi syarikat, manakala RM100,000 terhadap individu atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
KPDN juga sudahpun memanggil 10 syarikat yang membuat pengumuman menaikkan harga barangan mereka untuk memberikan penjelasan mengenai kewajaran tindakan itu.
Notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sudah dikeluarkan kepada semua syarikat terbabit, dengan dua daripadanya sudah dipanggil dan selebihnya akan menyusul.
Walaupun kerajaan cuba meyakinkan rakyat bahawa tiada kenaikan harga barangan bakal berlaku, golongan B40 dan M40 tetap perlu bersiap sedia terhadap sebarang kenaikan harga selepas pengapungan harga dibuat.
Golongan tersebut harus hemat berbelanja, merancang kewangan dengan baik serta mempunyai perancangan perbelanjaan bagi mengelakkan daripada terkesan dengan kenaikan harga diesel.
Kerajaan Persekutuan juga harus diberikan masa dan peluang untuk melaksanakan penyasaran subsidi, memandangkan penyasaran itu baru saja dilaksanakan maka masih terdapat ketidaksempurnaan di sini sana.
Tentangan daripada rakyat juga hanya bersifat sementara, mungkin dalam tempoh dua tiga bulan selepas ini, kritikan rakyat akan mereda.
Mungkin kita harus melihat contoh yang berlaku pada penarikan harga subsidi ayam tahun lalu. Selepas pengapungan harga ayam dilaksanakan, ternyata harga ayam segar lebih murah berbanding 2021.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.