NOTA DARI KL: Sukan Penyatu Rakyat Sedang Malaysia Sambut Ulang Tahun ke-67

(Gambar: Facebook/Nicol David)
KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-67 dengan suasana yang agak tenang dan positif.
Ramalan bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia telah dinaikkan kepada 4.7 peratus daripada 4.4 peratus menyusuli pertumbuhan yang lebih kukuh daripada yang diunjurkan pada suku kedua 2024.
Sesetengah bank juga telah menyemak semula ramalan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) kepada kira-kira 5.1 peratus setelah mengambil kira jumlah pelaburan jangka panjang yang diluluskan pada suku pertama.
Rakyat Malaysia turut dibuai dengan berita mengenai pelaburan besar dalam pusat data di Johor khususnya, yang kini dipaparkan sebagai tapak pelaburan popular di Malaysia, yang kaya dengan bekalan tanah, air dan sumber tenaga.
Nilai Ringgit juga telah meningkat berbanding dolar Amerika, dengan ramai penganalisis menjangkakan ia akan mengukuh kepada 4.20 atau 4.25 menjelang hujung tahun ini.
Semua ini merupakan satu berita positif bagi rakyat Malaysia yang telah mengharungi ketidakstabilan politik dan ekonomi sejak 2018, yang diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19 dan kesannya terhadap ekonomi Malaysia. Sungguhpun demikian, masih terdapat kebimbangan terhadap kenaikan kos sara hidup (yang mencecah paras tertinggi sejak 2023) dengan kadar inflasi sebanyak 2 peratus.
Propaganda dan muslihat politik yang berpaksikan kaum, agama dan raja (3R) masih berlegar-legar di sebalik berita positif itu dan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang berusaha sedaya upaya untuk memaparkan landskap positif yang tenang dan berdaya maju.
Bersatu Padu Melalui Sukan
Faktor sebenar yang menyatukan rakyat Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini, bagaimanapun, tiada kaitan langsung dengan kerajaan dan ia bangkit secara organik sebagai respons terhadap pelancaran pakaian seragam Kontinjen Atlet Malaysia yang bertanding di Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Pada mulanya pakaian seragam itu digayakan pada 'mannequin' (boneka pakaian) sebulan sebelum kontinjen atlet dari Malaysia berlepas ke ibu kota fesyen dunia itu.
Rekaan pakaian rasmi kontinjen Malaysia bagaimanapun telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata tidak berpuas hati kerana ia tidak menonjolkan corak belang Harimau Malaya yang menjadi identiti atlet Malaysia.
Ada juga yang membandingkan pakaian rasmi Sukan Olimpik terdahulu yang dilihat lebih mengagumkan berbanding rekaan pada kali ini.
Itu baru permulaan sahaja. Sukan Olimpik itu sendiri menarik perhatian seluruh negara, dengan ramai rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada sukan-sukan yang lazimnya menjadi kebanggaan Malaysia - seperti badminton dan lumba basikal.
Jelas sekali rakyat Malaysia memberikan sokongan sepenuh hati kepada kontinjen negara. Kedai kopi di merata negara menjadi tempat untuk orang ramai bertukar-tukar pandangan tentang prestasi atlet negara, sedang pemandu teksi pula ghairah bercakap tentang kelakonan atlet kegemaran mereka dengan penumpang masing-masing.
Begitu juga bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari ke Singapura untuk bekerja yang menonton aksi Sukan Olimpik Paris 2024 melalui telefon bijak dan peranti digital mereka ketika mereka beratur untuk menaiki bas atau duduk di dalam bas.

Seluruh Malaysia kemudian menyokong usaha gigih Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dalam acara Beregu Wanita, yang akhirnya kehilangan peluang untuk merebut pingat gangsa setelah tewas kepada pasukan dari China.
Semangat bersatu padu ini menjadi petunjuk yang jelas tentang bagaimana rakyat Malaysia tidak akan membiarkan perbezaan kaum dan agama memecahbelahkan perpaduan rakyat kerana sukan adalah milik semua orang.

Seorang lagi pelumba basikal Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berusia 28 tahun, yang berasal dari Muar sedang memecut untuk menuju garisan penamat apabila dirempuh oleh pelumba Jepun Shinji Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan, sekali gus terjatuh, semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.
Meskipun keputusan pada mulanya menunjukkan Muhammad Shah Firdaus menamatkan perlumbaan pada kedudukan keempat, keputusan itu tiba-tiba berubah kepada disingkirkan (relegated) oleh laman rasmi Sukan Olimpik Paris 2024, yang menjadikan beliau tercampak ke kedudukan keenam.
Meskipun rakyat Malaysia rata-rata tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, mereka tetap menyokong Muhammad Shah Firdaus.

Selepas apartheid di Afrika Selatan, Presiden Nelson Mandela menggunakan sukan sebagai alat untuk perdamaian dan pemulihan, sambil menggesa rakyat negara itu untuk bersama-sama menyokong pasukan ragbi Springboks.
Semasa Majlis Penyampaikan Anugerah Sukan Dunia Laureus 2000, beliau berkata:
'Sukan mempunyai kuasa untuk mengubah dunia, ia mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi. Ia mempunyai kuasa untuk menyatukan orang yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain. Ia bercakap kepada belia dalam bahasa yang mereka fahami. Sukan boleh mencipta harapan di mana dahulunya hanya ada rasa putus asa. Ia lebih berkuasa daripada sesebuah pemerintah dalam memecahkan segala hambatan dan rintangan. Ia ketawa dalam menghadapi semua jenis diskriminasi.'
Jelas bahawa ini mula berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Di sebalik ujian dan kesulitan, termasuk cabaran yang timbul sebagai tindak balas kepada hanya 2 pingat gangsa yang diraih daripada 26 atlet yang bertanding dalam temasya sukan itu, rakyat Malaysia bersatu dan sama-sama bangkit mengatasi sebarang isu perkauman dan perpecahan yang sesetengah pihak cuba menabur fitnah dan memporak-perandakannya.
Selepas euforia Sukan Olimpik Paris 2024, tiba giliran SUKMA 2024, yang diadakan di Sarawak dengan begitu meriah dan megah semasa upacara perasmiannya sehingga ramai rakyat Malaysia berbangga dengan bagaimana negeri itu boleh mempamerkan mutu yang jauh lebih baik daripada perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 yang kontroversial.

Kali ini pelbagai klip peserta yang menarik perhatian disebarkan secara meluas, dan jelas sekali ia menunjukkan bahawa SUKMA 2024 bukan sekadar pertarungan di gelanggang sukan tetapi juga penyatu pelbagai masyarakat dan negeri.
Untuk melengkapkan bulan 'kehebatan sukan', beberapa minggu yang lalu rakyat Malaysia sekali lagi bersatu untuk Perlawanan Akhir Piala Persatuan Bola Sepak (FA) Malaysia. Walaupun hanya dua negeri berjaya mara ke peringkat akhir di Stadium Bukit Jalil, seluruh negara berhimpun menyokong pasukan pilihan mereka untuk memenangi pertandingan tersebut.
Stadium Bukit Jalil dibanjiri sekitar 80,350 penyokong dan ramai lagi yang menonton perlawanan tersebut secara langsung dari rumah mereka. Sekalipun peminat dan penyokong terbahagi antara merah-kuning Selangor dan merah-biru Johor, ada di antara mereka yang tidak semestinya berasal daripada kedua-dua negeri itu.
Sesetengah penyokong Selangor adalah dari negeri-negeri lain yang telah membeli jersi pasukan tersebut dan begitu juga bagi pasukan Johor yang turut mempunyai penyokong dari negeri-negeri lain. Dalam kalangan peminat dan penyokong Johor, terdapat juga ramai penyokong dengan loghat Malaysia Timur yang menyokong pasukan tersebut.
Mereka ini mungkin daripada masyarakat Sarawak dan Sabah yang menjadikan Johor sebagai tempat untuk mereka mencari mata pencarian dan prospek kerjaya yang lebih baik.
Seluruh stadium bergema menyanyikan lagu Jalur Gemilang, sebuah lagu yang digubah sebagai dedikasi kepada bendera Malaysia. Sejurus selepas itu, seluruh stadium bergema apabila semua penonton bangun untuk menyanyikan lagu Negaraku.
Ini mencerminkan kebanggaan dan perpaduan negara, walaupun peminat dan pemain saling berusaha untuk mengalahkan satu sama lain. Sikap cinta rakyat terhadap negeri mereka begitu ketara sekali. Jelas sekali tiada perpecahan etnik atau agama di Bukit Jalil sepanjang perlawanan tersebut, dengan para penonton hanyalah rakyat yang berkumpul untuk sama-sama memberikan sokongan kepada sukan itu.
Sejujurnya, bulan lalu bukanlah satu-satunya masa di mana sukanmenyatukan seluruh rakyat Malaysia.
Saya juga sanggup beratur panjang dan berdiri dalam bas yang penuh sesak (sebelum pandemik) bersama penumpang lain dan pekerja yang berulang-alik antara Johor dan Singapura apabila ada perlawanan skuasy atau badminton secara langsung.

Detik-detik beginilah yang dikongsi oleh rakyat Malaysia yang bersatu dalam sukan, tanpa mengira kaum atau agama.
Tidak lama selepas SUKMA 2024, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027, dengan seluruh rakyat Malaysia yakin bahawa Malaysia mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk melakukannya.
Sekali lagi Malaysia akan bersatu di belakang penganjur dan para atlet untuk mewakili negara dan mempamerkan prestasi terbaik mereka apabila tiba masanya kelak dan apa sahaja yang menjadi keprihatinan rakyat Malaysia pasti akan dapat diatasi secara bersama.
Rakyat Malaysia menyambut ulang tahun negara mereka yang ke-67 dengan harapan yang tinggi untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam bidang sukan. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia!

Dr Serina Rahman adalah seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu Program Pengajian Malaysia, ISEAS-Institut Yusof Ishak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.