Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Seruan Setu sebar mesej penting tentang peranan rumput laut & usaha pulihara alam sekitar

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Seruan Setu sebar mesej penting tentang peranan rumput laut & usaha pulihara alam sekitar

Gambar: Michelle Yip

Diterbitkan : 12 Oct 2023 07:51PM Dikemas Kini : 13 Oct 2023 08:08AM
KUALA LUMPUR: Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KL PAC) kembali bergema dengan paluan gamelan, sejenis genre muzik alat genderang tradisional. Dipercayai berasal dari Empayar Sriwijaya pada tahun 900-an, ia turut menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan para bangsawan dan kerabat diraja. Para ahli muzik memainkan pelbagai jenis alat muzik dari gong hingga gendang dan kadangkala diiringi pula oleh seruling. Walau bagaimanapun, daya tarikan utamanya sentiasa bunyi unik gamelan.

Gamelan Melayu dipercayai berasal dari Kesultanan Riau-Linggi. Pada zaman itu, gamelan memainkan peranan sokongan untuk acara joget atau tarian yang dipersembahkan di istana Pahang, Terengganu dan Johor semasa perayaan dan upacara khas.

Pada Ogos 2023, kumpulan gamelan kontemporari Rhythm in Bronze (yang kebanyakan anggotanya adalah wanita) dan terkenal di Kuala Lumpur telah menghidupkan semula genre muzik itu dengan irama yang ceria dan persembahan teater yang memukau.

Melodi instrumental yang dahulunya didominasi oleh kaum lelaki sudah digantikan dengan drama, emosi dan vokal yang mempesonakan.

Kali ini, Rhythm in Bronze meningkatkan lagi daya kreativiti mereka dengan menggunakan 'Seruan Setu: The Secret Gardens of the Sea' sebagai platform untuk menyentuh tentang rumput laut - habitat marin yang kerap diabaikan tetapi sangat penting peranannya - dan keperluan untuk memuliharanya.

Walaupun banyak program pendidikan alam sekitar masyarakat dan belia menerapkan kandungan saintifik melalui seni, muzik dan drama, ini merupakan kali pertama ia disampaikan dengan cara yang berkesan dan dibawa ke tahap yang lebih tinggi dan serba canggih. Penerbitannya bukan sahaja memaparkan rakaman dokumentari dan suara masyarakat yang bergantung kepada habitat ini, maklumat dan statistik sains marin malah, turut diterapkan dalam persembahan tersebut.
Related article image
Gambar: Michelle Yip
Alunan muziknya yang memukau turut memaparkan semua kumpulan etnik di Malaysia, yang didorong oleh paluan Mohd Kamrulbahri Hussin, seorang ahli muzik perkusi pelbagai etnik yang cukup hebat. Persembahan ini bertambah hebat dengan koreografi dan tarian oleh Aida Reza yang pernah memenangi anugerah bertaraf antarabangsa, arahan video dan animasi oleh pembuat filem Khairi Anwar, dan arahan artistik oleh Dato’ Zahim Albakri, yang tiada tolok bandingnya.

Persembahan ini juga seolah-olah membawa para penonton ke pemandangan padang rumput laut di Johor, yang dihidupkan oleh kostum yang inovatif dan pencahayaan yang menakjubkan. Selama empat hari, habitat rumput laut dan nelayan luar bandar yang bergantung kepadanya seakan-akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk dilihat sendiri oleh para penonton Seruan Setu – bukan hanya melalui persembahan, tetapi juga menerusi pameran rumput laut hidup yang diselaraskan oleh Michelle Yip.

Barisan pelakon dan kru Rhythm in Bronze juga cukup hebat. Menjadi tunjang persembahan ini ialah sentuhan kreatif Pengarah Muziknya, Dr Jillian Ooi, seorang ahli biogeografi rumput laut dan Sharmini Ratnasingam, seorang penerbit, yang berani mengadakan acara yang gah ini. Pada mulanya, rancangan asal hanya setakat merakam persembahan gamelan, dan mengongsinya di YouTube, sebagai sebahagian daripada syarat-syarat geran Dr Ooi di bawah Biasiswa Pew bagi Pemuliharaan Marin yang telah diberikan kepadanya pada 2022. Sharmini bagaimanapun memutuskan untuk mengubah rancangan tersebut.
Related article image
Gambar: Michelle Yip
Kunci utama kepada semangat dan keghairahan yang dipamerkan adalah penghargaan sebenar terhadap rumput laut, pemahaman tentang kepentingannya dan sikap bersatu hati dengan masyarakat nelayan di mana rumput laut merupakan sumber makanan, mata pencarian dan warisan mereka. Semua ini hasil makmal, lawatan dan interaksi dengan para nelayan di Mukim Tanjung Kupang, Johor.

Melalui pengalaman hidup di laut dan kampung, para pemuzik, komposer dan artis lain berjaya menjalin hubungan dengan habitat, penduduknya dan makanan yang mereka hasilkan. Hanya melalui pengalaman sebeginilah mereka dapat menghargai peranan sebenar rumput laut dengan cara yang lebih berkesan.

Menggabungkan Disiplin Bagi Mempertingkatkan Pemahaman, Empati dan Usaha Pemuliharaan

Ini boleh menjadi model yang sangat baik bagi pendekatan yang lebih berkesan kepada sains dan usaha pemuliharaan.

Kursus dan program berbilang disiplin kini menjadi tumpuan di universiti dan institusi pendidikan di seluruh dunia.
Related article image
Gambar: Michelle Yip
Para saintis terkenal turut mengamalkan pendekatan berbilang disiplin. Leonardo da Vinci sendiri pernah berkata: “Untuk membangunkan minda yang lengkap, belajarlah sains seni; pastikan anda juga belajar seni sains.” Beliau adalah seorang saintis dalam bidang anatomi, botani, dan astronomi, serta seorang jurutera, yang semuanya dipaparkan melalui karya seninya.

Lebih relevan kepada generasi masa kini ialah Brian May. Pengasas bersama dan pemain gitar utama kugiran rock Queen, beliau adalah ahli astrofizik yang berkelayakan dengan ijazah PhD dari Imperial College London dan NASA turut mendapatkan pandangannya mengenai penyelidikan New Horizons.

Tiada apa-apa dalam kehidupan atau alam semula jadi wujud secara sendirian dan melalui pendekatan seumpama ini kita akan dapat menyampaikan mesej tentang pemuliharaan alam sekitar dengan lebih berkesan lagi, terutamanya dalam era kesan perubahan iklim sekarang.

Di Mukim Tanjung Kupang, sebuah pertubuhan akar umbi, Kelab Alami, yang diketuai oleh salah seorang nelayan yang ditampilkan dalam Seruan Setu, menggunakan seni, drama dan muzik untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakatnya tentang kepentingan habitat rumput laut.

Meskipun para nelayan menyedari betapa pentingnya ekosistem rumput laut, anak-anak dan keluarga mereka mungkin kurang memahami dan peka terhadap peranan penting yang dimainkan oleh rumput laut.

Para belia dari Kelab Alami menghasilkan skit, ceramah dan lagu untuk menyebarkan mesej penting ini.

Kumpulan belia yang sama turut menulis dan mempersembahkan lagu untuk para pemaju yang menghadiri mesyuarat dengan pihak-pihak berkepentingan bagi sebuah projek tebus guna tanah yang terletak berdekatan. Mereka juga menyampaikan ceramah kepada para pemaju tentang spesies dan betapa pentingnya peranan habitat rumput laut.

Cara terbaik untuk meningkatkan pemahaman dan keprihatinan terhadap isu rumput laut adalah dengan menyelitkan mesej tentang pemuliharaan alam sekitar melalui karya seni, muzik, persembahan teater atau lawatan ke habitat tersebut.
Related article image
Gambar: Michelle Yip
Lantaran itu, penting untuk menggabungkan pendidikan sains dengan seni, sains kemasyarakatan, ekologi manusia, dan pendidikan luar bilik darjah atau dewan kuliah. Memandangkan Bumi sedang menghadapi kesan yang tidak pernah berlaku sebelum ini daripada perubahan iklim, maka terdapat keperluan untuk memastikan orang ramai benar-benar memahami kesannya dan berusaha menanganinya.

Sains tidak boleh dipelajari secara ilmiah sahaja kerana seni, sains, manusia dan alam semula jadi saling terkait antara satu sama lain.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Zamil Pelawat di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Dr Serina Rahman.
Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS-Yusof Ishak Institute. Nelayan dan rumput laut di Mukim Tanjung Kupang, Johor telah menjadi bahan utama kajiannya sejak 2008.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita