Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Sambutan Aidilfitri Suram Sedang Rakyat Malaysia Terkesan Dengan Kegawatan Ekonomi

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Sambutan Aidilfitri Suram Sedang Rakyat Malaysia Terkesan Dengan Kegawatan Ekonomi

Rumah terbuka Aidilfitri di Malaysia pada 10 Apr 2024. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Apr 2024 11:38PM Dikemas Kini : 19 Apr 2024 09:50AM
KUALA LUMPUR: Selepas berpuasa dan kini beraya dengan dua kali ganda amaran gelombang panas berbanding tahun lalu, Aidilfitri tahun ini kelihatan agak suram.

Pada tahun 2023, dengan sekatan-sekatan COVID-19 yang baharu dimansuhkan, kemeriahan Aidilfitri sangat dinanti-nantikan. Tahun ini, bunga api dan membakar mercun hanya bermula seminggu sebelum Raya, dan itu pun ibarat melepaskan batuk di tangga.

Sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, polis telah mengetatkan garis panduan berhubung penjualan dan penggunaan bunga api dan mercun. Hanya pembekal berlesen boleh menjualnya sekarang dan lesen itu tidak boleh dipindah milik. Beberapa gerai di tempat letak kereta yang menjual bunga api mempunyai 'penjual berlesen' terpampang di kedai masing-masing. Bunga api tidak lagi boleh dijual online dan terdapat penekanan baru untuk memastikan ia hanya dinyalakan di kawasan terbuka sebelum tengah malam.

SAMBUTAN RAYA SURAM TAHUN INI

Alasan utama di sebalik perayaan agama terbesar di Malaysia yang suram tahun ini adalah isu kewangan.

Sebahagian besar rakyat Malaysia semakin tertekan dengan harga yang melambung tinggi. Sedang rakyat Singapura berduyun-duyun datang ke Johor untuk berbelanja dan menikmati pesta makanan besar-besaran ini, banyak liputan media yang melaporkan bahawa penduduk tempatan naik berang dengan harga yang tinggi, saiz yang dikurangkan, atau kekurangan bahan. Catatan-catatan di laman media sosial turut meluahkan rasa marah terhadap epok-epok 'oxygen' yang begitu sedikit intinya, kuih tanpa isi gula melaka yang diperlukan, malah makanan lama yang dijual semula keesokan hari semakin menjadi perkara biasa.
Related article image
(Gambar: David Ngiau)
Pembaziran makanan juga nampaknya menjadi masalah yang lebih teruk tahun ini.

Ada yang mengaitkannya dengan kos sewa yang lebih tinggi, terutamanya jika ia ditempah melalui ejen dan bukan terus daripada pihak berkuasa tempatan. Walaupun terdapat kenaikan pada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa ini tidak sepatutnya menjejas penjual dan pegerai bazar kerana makanan dan elektrik dikecualikan daripadanya.

Hakikatnya - ramai orang berasa tertekan sekalipun mereka tidak pergi ke bazar. Walaupun makanan dikecualikan daripada SST, makan di luar baik di kafe atau restoran memerlukan pembayaran untuk perkhidmatan yang disediakan. Walaupun SST dinaikkan daripada 6 peratus kepada 8 peratus, sebagai cukai ke atas kos barangan dan perkhidmatan yang disediakan, banyak kedai makan juga mempunyai caj perkhidmatan 5 hingga 10 peratus yang berfungsi sebagai 'tip wajib'. Pemerhatian terhadap orang yang makan di luar musim ini menunjukkan penurunan yang sangat ketara pada mereka yang memilih untuk berbuka puasa di luar rumah. Bagi kebanyakan orang, makan di luar dan menuju ke bazar Ramadan bukan lagi pilihan yang sesuai.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa inflasi meningkat sebanyak 1.8 peratus pada Februari 2024 berbanding tahun sebelumnya. Walaupun ini dianggap sederhana jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau ini seperti Vietnam (4 peratus), Singapura (3.6 peratus), Filipina (3.4 peratus) dan Indonesia (2.8 peratus), ia menunjukkan bahawa harga di Malaysia semakin meningkat. Menurut statistik, makanan dan minuman (F&B), yang membentuk 29.8 peratus daripada Indeks Harga Pengguna, mengalami inflasi 1.9 peratus.

KENAIKAN KOS BAHAN ASAS

Aduan yang kerap didengar ialah kenaikan kos bahan asas seperti gula, bawang (disebabkan larangan eksport di India), dan kesukaran mendapatkan sumber minyak masak bersubsidi yang dijual dalam peket plastik.
Related article image
(Gambar fail: BERNAMA)
Minyak masak dalam botol dalam kuantiti yang lebih besar kini tidak lagi bersubsidi. Beras putih tempatan dalam peket 5kg juga lebih sukar untuk didapatkan. Para pengguna turut merungut mutu beras yang sangat berbeza berbanding sebelumnya.

Walaupun harga telah meningkat, mutu dan ketersediaan produk sudah merosot dengan ketara. Ini memberi kesan yang mendadak kepada mereka yang berada dalam kumpulan ekonomi B40 kerana mereka tidak mampu untuk beralih ke komoditi import atau sumber karbohidrat alternatif seperti roti dan pasta. Beras adalah kehidupan!

Selain kos sara hidup yang meningkat, turut menjadi keprihatinan ialah isu pendapatan yang tidak stabil. Walaupun ekonomi sepatutnya bergerak keluar daripada era pandemik dan berjuta-juta pelancong asing dikatakan kembali melancong ke Malaysia, pendapatan Malaysia masih tidak berubah atau bertambah baik. Isu global seperti peperangan di Ukraine dan Gaza telah menyebabkan kekurangan produk di seluruh dunia, dan seterusnya kenaikan harga secara keseluruhannya.

Kemerosotan nilai Ringgit Malaysia menjadikannya lebih sukar untuk orang ramai membayar kos yang lebih tinggi bagi barangan import.

Memburukkan lagi keadaan ialah peningkatan tahunan pada jumlah graduan muda yang cuba memasuki pasaran buruh; kohort yang bersemangat untuk menubuhkan keluarga nuklear dan membeli rumah mereka sendiri, namun tidak dapat mencari pekerjaan.

SEMAKIN RAMAI GRADUAN MENGANGGUR

Laporan 2024 tentang pengangguran siswazah menunjukkan bahawa beratus-ratus ribu graduan tidak mendapat kerja, dan sekalipun mereka berhasil mendapat pekerjaan, 60 peratus kerja kosong menawarkan gaji kurang daripada RM2,000 (S$567) sebulan. Ini hampir tidak cukup untuk menyara hidup, terutamanya jika mereka perlu membayar balik pinjaman pendidikan tinggi dan pinjaman kenderaan.
Related article image
(Gambar fail: BERNAMA)
Kerajaan Madani berikrar akan menurunkan kos sara hidup dan menyifatkannya sebagai keutamaan kerajaan, tetapi inisiatif mereka sebahagian besarnya adalah dalam bentuk pemberian wang tunai terhad dan program Payung Rahmah. Ini menggalakkan para pembekal menawarkan pakej makanan atau produk runcit pada harga yang lebih rendah, tetapi ini kemudiannya memindahkan beban masalah kepada peruncit yang lebih kecil yang tidak mempunyai skala ekonomi atau margin keuntungan untuk memenuhi had harga ini. Mereka sendiri mengalami kos barangan dan bekalan yang lebih tinggi, dan kenaikan gaji minimum daripada RM1200 kepada RM1500 (S$341-S$426) yang terpaksa mereka tanggung.

Ahli politik sering menyebut gaji yang rendah sebagai masalah utama di sebalik pengangguran siswazah yang tinggi dan penghijrahan bakat ke Singapura, tetapi cabaran kepada perniagaan mikro dan PKS nampaknya tidak dapat diatasi.

Sejak sempadan dibuka semula pada 2022, ramai lagi rakyat Malaysia telah menuju ke selatan (Singapura) untuk mendapatkan gaji yang bernilai lebih tinggi. Mereka ini terdiri daripada warga Malaysia bukan sahaja daripada Johor, tetapi baru-baru ini juga sejauh Selangor dan Pantai Timur.

Walaupun pekerja ini meningkatkan ekonomi tempatan dengan membelanjakan pendapatan dolar mereka di Malaysia, mereka membayar cukai di Singapura dan ini bermakna kerajaan Malaysia terlepas peluang untuk mengurangkan hutang negara yang besar.

Isu-isunya sudah tentu sangat kompleks dan semuanya memerlukan masa, inovasi, dan tekad politik yang kuat untuk membawa perubahan. Walaupun kerajaan telah menjanjikan perubahan-perubahan yang besar untuk mencapai tahap ketelusan dan kecekapan pengurusan kewangan yang lebih baik, kerajaan nampaknya masih terganggu dengan niat pembangkang untuk menggugat kestabilan politik dan Kerajaan Madani, serta rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka sendiri. Dengan kerajaan pimpinan PM Anwar perlu terus membuktikan ciri-ciri keislaman Kerajaan Madani, masalah kewangan rakyat nampaknya masih belum dapat diselesaikan.
Related article image
(Gambar fail: BERNAMA)
IKHTIAR RAKYAT MALAYSIA

Tinjauan pasaran bebas telah menunjukkan bahawa industri pajak gadai telah menikmati peningkatan sejak 2022. Broker pajak gadai semakin meningkat di setiap bandar kecil atau besar di seluruh negara apabila orang ramai daripada semua peringkat usia dan kaum etnik berpaling kepada mereka untuk mendapatkan kemudahan kredit mikro dan wang tunai yang pantas. Setiap musim perayaan menyaksikan peningkatan pada jumlah pelanggan yang menggadaikan barangan berharga mereka untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek, kemudian berusaha untuk menuntut semula barangan mereka itu dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Dengan kenaikan harga dagangan emas sebanyak 52 peratus baru-baru ini (berbanding 10 tahun lalu), ada kemungkinan ramai akan berbuat demikian untuk mendapatkan wang tunai yang mereka perlukan dalam keadaan seperti ini. Ramai pelanggan Melayu berpusu-pusu menuju ke kedai pajak gadai untuk mendapatkan wang tunai bagi keperluan Raya.

Terdapat juga banyak kisah sedih - tentang mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk beraya kerana mereka kehabisan wang, atau kerana kereta mereka telah diambil semula.

Kerajaan meletakkan had RM599 (S$170) untuk penerbangan (sehala) ke Malaysia Timur, tetapi menambah cukai itu dan penerbangan pulang, dan ia masih merupakan kos yang besar bagi kebanyakan orang. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menangani isu ini dengan menerbangkan beberapa pelajar mereka pulang ke Sabah menaiki pesawat kargo tentera.

Keadaan kesihatan, ekonomi dan politik yang dialami oleh rakyat Malaysia sejak 2018 telah menghasilkan rakyat yang berdaya tahan tinggi yang akan memanfaatkan sepenuhnya apa sahaja yang tersedia untuk mereka. Seperti musim perayaan yang lain sejak berakhirnya COVID-19, keluarga-keluarga di sini akan mencari cara untuk meraikannya.

Tidak lagi penting sama ada memakai pakaian baharu atau terlalu mahal, atau sama ada makanan dan kuih yang dihidangkan di atas meja nampak berkurangan pada Aidilfitri tahun ini. Yang penting ialah keluarga dapat terus berkumpul dan semua orang tabah melalui tempoh yang sukar dan mencabar ini.


MENGENAI PENULIS
Dr Serina Rahman adalah Pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di Institut ISEAS-Yusof Ishak.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita