Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Reputasi PM Anwar Tinggi Di Mata Dunia Tapi Rapuh Di Tanah Air

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Reputasi PM Anwar Tinggi Di Mata Dunia Tapi Rapuh Di Tanah Air

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (tengah) bergambar dengan (dari kiri) Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Timor Leste Xanana Gusmao, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Sultan Brunei Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone di Sidang Puncak ASEAN pada 26 Oktober 2025. (Gambar: Vincent Thian/POOL/AFP)

KUALA LUMPUR: Amanah selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 telahpun selesai buat Malaysia dengan penyerahan secara formal, giliran menerajui ASEAN kepada Filipina pada 28 Oktober yang lalu.

Pelbagai pujian ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam memimpin jentera kerajaan Malaysia untuk menguruskan acara-acara diplomasi berskala besar sepanjang tahun, yang seterusnya memperkukuhkan kredibiliti dan kewibawaan beliau sebagai seorang tokoh ‘senior’ dalam kalangan kepimpinan sedia ada di rantau Asia Tenggara.

Dari sudut pengaruh, PM Anwar memperoleh ‘soft power’ yang jelas apabila memperluaskan rangkaian hubungan Malaysia dengan negara-negara kategori ‘Global South’ atau ekonomi sedang membangun, di samping mengetengahkan kepentingan ASEAN ketika berdepan dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia pada tahun ini sebagai Pengerusi ASEAN.

PM Anwar dilihat aktif dan cemerlang dengan perihal dasar luar negara yang merupakan kepakaran peribadi beliau. PM Anwar telah melakukan lebih 50 lawatan kerja rasmi atas pelbagai undangan sejak 2023 dan telah menyampaikan ucapan-ucapan bernas yang cuba mengupas situasi politik semasa dunia.

PM Anwar juga berjaya memanfaatkan peluang bersemuka dengan pemimpin-pemimpin dunia untuk menonjolkan isu-isu utama sejak menerajui negara, termasuklah seruan konsisten kepada pembelaan nasib warga Palestin di Gaza, advokasi pendekatan dialog ketamadunan dan sokongan penuh Malaysia terhadap pemulihan sistem berbilang hala antarabangsa.

Related article image
Perdana Menteri China Li Qiang dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berjabat tangan selepas majlis menandatangani ACFTA 3.0 semasa Sidang PuncakASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Namun, PM Anwar berada di persimpangan unik dalam citra politik Malaysia. Reputasi beliau di peringkat serantau dan persada dunia melonjak dengan ketara, tetapi populariti beliau terus diragui oleh sebahagian pengundi bahkan kadangkala dipandang secara sinis.

Bolehkah dua cerminan berbeza ini wujud serentak dan apakah risiko-risiko politik yang akan terus membelenggu Kerajaan MADANI sekiranya jurang antara pengiktirafan masyarakat luar, persepsi pelaksanaan dasar amat perlahan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat tidak diatasi segera?

Menilai ASEAN 2025

Tatkala berlaku ketidaktentuan global lantaran pengumuman tarif timbal balik oleh Presiden Donald Trump pada April 2025, konteks cabaran geopolitik itu telah memudahkan PM Anwar untuk tampil mengemukakan contoh kestabilan melalui penganjuran dan penyempurnaan siri-siri Sidang Puncak ASEAN di Kuala Lumpur.

Kehadiran individu-individu penting daripada organisasi antarabangsa seperti Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wakil utama Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara Komanwel, ketua-ketua Kumpulan Bank Dunia (WBG) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), serta liputan luas media antarabangsa mengangkat peranan Malaysia sebagai tuan rumah yang matang dan bertaraf dunia.
Related article image
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menari bersama para penari yang menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. (Gambar: Reuters)
Bagi mengimbangi naratif sempit bahawa Malaysia berkiblatkan negara-negara Barat, PM Anwar berusaha keras mendekatkan pentadbirannya dengan kepentingan blok ekonomi lain seperti APEC dan BRICS. Kehadiran beberapa pemimpin besar BRICS ke Malaysia mempamerkan keistimewaan jaringan yang dimiliki oleh beliau.

Sidang Puncak ASEAN ke-47 semasa penggal Malaysia mempengerusikan ASEAN akan sering diingati kerana tiga perkara induk iaitu pelancaran pelan Visi ASEAN 2045, kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN dan rundingan damai Kemboja-Thailand (KL Peace Accords).
Related article image
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim (kanan) menyambut mesra Presiden Timor Leste, José Ramos-Horta pada Sidang Puncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. (Gambar: Bernama)
Selain membawa mesej inklusif serantau melalui tiga kejayaan diplomatik-keselamatan tersebut, Malaysia mengetuai kemajuan inisiatif ekonomi intra-ASEAN dengan pemeteraian protokol pindaan Perjanjian Barangan Dagangan ASEAN (ATIGA), penyelesaian Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital (DEFA) menjelang 2026 dan penerusan projek Grid Tenaga ASEAN (APG).

Memikul tanggungjawab menganjurkan beberapa sidang dua hala dan sidang berbilang hala juga telah menaikkan prestij Malaysia sebagai ‘broker’ neutral yang sesuai menjadi jambatan penghubung ketika dunia berdepan gangguan perdagangan bebas dan rantaian bekalan.

Yang paling mencuri tumpuan adalah sidang gabungan ASEAN-China-GCC (negara-negara Arab Teluk) yang membuka ruang potensi perniagaan bersama rakan-rakan pelaburan yang strategik bagi menghadapi impak tarif.

Akan tetapi, kelemahan Malaysia menyelesaikan krisis di Myanmar yang terus dilanda keganasan dan hasrat junta tentera Myanmar untuk melaksanakan pilihan raya secara tidak telus menunjukkan batas diplomasi berbentuk konsensus yang diamalkan ASEAN dan mencalarkan legasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN kali ini.

Kerumitan Realiti Tempatan

Sebaik sahaja tamat Sidang Puncak ASEAN, Kerajaan MADANI menerima tekanan daripada pihak pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) dan organisasi masyarakat sivil kerana telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dengan pemerintah Amerika Syarikat yang dianggap ‘berat sebelah’ dan menggadai kedaulatan Malaysia.

Ternyata, landskap politik di halaman sendiri tidak semudah gambaran yang dipaparkan di pentas antarabangsa. Pada 10 Oktober yang lalu, PM Anwar membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen iaitu agenda dasar terutama bagi negara setiap tahun. Ia merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah berjumlah sekitar RM470 billion.
Related article image
Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, menunjukkan dokumen Belanjawan di Kementerian Kewangan, di Putrajaya, pada 10 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Hasnoor Hussain)
Kebanyakan agihan peruntukan diberikan kepada sektor pendidikan, sektor kesihatan, pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah, serta usaha memperluaskan bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.

Walaupun pentadbiran PM Anwar tertumpu kepada aspek pengurusan disiplin fiskal (kewangan) dan tatakelola ketat, kebimbangan makro tetap wujud. Mantan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberi amaran mengenai paras hutang negara, lalu menimbulkan persoalan tentang kelangsungan pembiayaan manfaat sosial oleh Kerajaan MADANI.

Masalah seterusnya ialah soal implementasi (pelaksanaan) dasar yang memerlukan masa. Pelbagai ‘blueprint’ nasional seperti MyDIGITAL, NIMP2030, NETR, NSS dan lain-lain masih di peringkat awal pelaksanaan dan belum menghasilkan kesan nyata untuk meyakinkan pengundi atas pagar, kelas menengah bandar dan masyarakat perniagaan.

Langkah Kerajaan MADANI merasionalisasi semula subsidi petrol (BUDI95) dianggap oleh para pengkritik lebih bertujuan untuk menampung kos caj perkhidmatan pinjaman negara berbanding memberikan manfaat kepada dompet pengguna biasa.

Angka-angka prestasi ekonomi dan kadar inflasi terkawal yang disebut dalam Belanjawan MADANI ke-4 belum cukup meyakinkan. Rakyat masih bimbang tentang pertumbuhan gaji yang rendah, kos tinggi rawatan kesihatan, yuran mahal penjagaan anak-anak dan ketidakpastian dana persaraan, bukannya kehebatan skil (kemahiran) diplomasi.

Pecah Dan Perintah

Kerajaan MADANI terus bernasib baik menikmati situasi politik memandangkan kepimpinan PN kini agak gawat dan berpecah belah. Ketiadaan pesaing politik yang berkaliber bagi mencabar pentadbiran PM Anwar telah berjaya melindungi kelemahan beberapa menteri kabinet yang dikekalkan walaupun prestasi kurang baik.

Pemusatan kuasa yang berlaku secara ‘natural’ disebabkan oleh karisma PM Anwar dan secara ‘design’ melalui portfolio Menteri Kewangan yang dipegang beliau meneruskan budaya politik naungan (patronage). Persepsi terbentuk bahawa PM Anwar memilih ketaatan melebihi kebolehan ahli kabinet dan para pembantunya.

Persepsi negatif terus berkembang dengan amalan pendakwaan terpilih (selective prosecution) terhadap kes antirasuah berprofil tinggi tertentu, manakala pelepasan kes Discharge Not Amounting to Acquittal (DNAA) diberikan kepada pemimpin parti politik yang membentuk Kerajaan MADANI atas alasan memelihara kestabilan.

Meskipun begitu, krisis dialami PN pula berpunca daripada konflik dalaman yang melanda Parti BERSATU. Perselisihan antara mantan PM iaitu Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang merangkap timbalannya Hamzah Zainudin telah mengukuhkan kedudukan Kerajaan MADANI. Ibarat bulan jatuh ke riba.
Related article image
Encik Muhyiddin Yassin di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke-8. (Gambar: BERSATU/FB) 
Tindakan disiplin yang diumumkan Setiausaha Agung BERSATU Azmin Ali terhadap 3 Ahli Parlimen yang mendukung fraksi Ketua Pembangkang iaitu Wan Saiful (Tasek Gelugor), Wan Ahmad Fayhsal (Machang) dan Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) telah menjejaskan proses pembentukan dasar berkualiti dari pihak PN.

Akibat pertembungan ini, PN mula hilang arah menjadi blok pembangkang dan hanya mampu menarik sokongan teras iaitu Melayu tradisi. Keretakan PN juga memaksanya bergantung kepada strategi lapuk dan sumber kewangan luaran, khususnya daripada figura politik Dr Mahathir yang sudahpun melebihi umur 100 tahun.

Kemerosotan PN untuk membina naratif ekonomi tersendiri ataupun memberi cadangan konstruktif (membina) terhadap dasar-dasar kerajaan, apatah lagi kegagalan mobilisasi akar umbi untuk keluar protes, memberi kelebihan secukupnya kepada PM Anwar untuk kekal berkuasa di peringkat Persekutuan dengan majoriti selesa.

Mengintai Peluang Berkuasa

Di sebalik latar belakang pencapaian ASEAN 2025, reformasi institusi tergendala dan kepincangan kronik BERSATU, terdapat satu analisis politik yang perlu diperhatikan. Sekiranya berpeluang untuk bersua dan berbual dengan pegawai-pegawai yang berkhidmat dengan Ahli Parlimen dari Parti UMNO, anda akan rata-rata mendapati mereka kian bernada optimis.

Ini disebabkan oleh naluri politik yang kuat dan keyakinan mula berputik kembali dalam kalangan ahli UMNO tentang untung-nasib parti, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak. Mereka percaya UMNO sedang dinilai semula oleh para pengundi selepas ia kembali sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan MADANI.

Ramai pemerhati terlepas pandang tentang keberkesanan dan gerak kerja kemas oleh Menteri Luar Negeri iaitu Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sepanjang mengendalikan urusan teknikal bagi acara-acara ASEAN. Berdepan isu-isu kompleks seperti solidariti Palestin juga sudah mula memulihkan imej UMNO.
Related article image
Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan menyampaikan ucapan pembukaan semasa majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur, Malaysia pada 25 Mei 2025. (Gambar fail: AP/Vincent Thian)

Encik Mohamad wajar dilihat memainkan peranan penting bagi setiap kejayaan dasar luar Kerajaan MADANI. Beliau seorang yang ‘underrated’ dalam menjalankan portfolionya. Nafas baharu sebegini mengandaikan UMNO mampu bertindak lebih daripada sekadar parti ‘ethnocentric’ kepada menguruskan kepentingan negara.

Ura-ura mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk kembali ke pangkuan UMNO juga berupaya melonjakkan momentum pemulihan UMNO dalam kalangan pengundi muda dan warga profesional.

Kombinasi dinamik ini mencerahkan lagi peluang UMNO untuk merebut kembali undi Melayu daripada BERSATU.

Bagi PM Anwar dan Kerajaan MADANI, strategi ke hadapan nampaknya adalah untuk kekal pragmatik dalam perkongsian kuasa dengan gandingan bersama UMNO demi kestabilan politik. Tetapi, mereka harus berwaspada terhadap beberapa risiko.

Pertama adalah bahaya tergelincir menjadi ‘out of touch’ sekiranya tidak diimbangi dengan penghormatan pada tahap global dengan dasar-dasar yang membantu kehidupan seharian rakyat. Sesuatu dasar harus diterjemah dalam bentuk perubahan yang dapat dirasai di ‘meja makan’, barulah ia akan bertukar menjadi sokongan di kotak undi.

Kedua ialah keperluan untuk meramal sekiranya kebangkitan UMNO berlaku kelak, maka ia akan memberikan ujian kepada parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH). Ini berdasarkan kompetensi yang dipaparkan antara menteri-menteri daripada PH dengan menteri-menteri daripada UMNO. Adakah Malaysia bersedia untuk memaafkan peristiwa silam dan kembali kepada hegemoni lama?

Yang ketiga pula, ketandusan generasi pelapis politik di Malaysia, baik daripada kerajaan mahupun pembangkang yang akan menambah beban ke atas tokoh ‘senior’ yakni PM Anwar untuk terus memimpin negara. Ini pasti akan menimbulkan kegusaran apabila beliau memilih untuk bersara ataupun digantikan oleh pemimpin politik yang lain.

Adakah Malaysia akan terus disegani oleh masyarakat luar?

MENGENAI PENULIS

Related article image
Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita