Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Reformasi Tergendala, Sempatkah PM Anwar Kukuhkan Sokongan?

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Reformasi Tergendala, Sempatkah PM Anwar Kukuhkan Sokongan?
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, menyampaikan amanat khas sempena Tahun Baharu pada 5 Januari 2026. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyampaikan amanat khas sempena Tahun Baharu pada 5 Januari 2026 sewaktu perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Antara perkara yang diketengahkan oleh beliau termasuklah empat cadangan asas bagi memperkukuh kembali agenda reformasi institusi.

Kerajaan akan mengusulkan had tempoh bagi jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal atau tidak melebihi 10 tahun serta pemisahan kuasa antara peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP). Pentadbiran PM Anwar juga bakal memperkenalkan Akta Ombudsman dan Akta Kebebasan Maklumat (FOI).

Inti pati ucapan PM Anwar penting untuk menangani secara sistematik isu legasi pemusatan kuasa berlebihan oleh cabang eksekutif seperti yang diamalkan mantan mentor dan seteru beliau, Dr Mahathir Mohamad.
Related article image
Mantan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad. (Gambar fail: Bernama)
Selain itu, beliau turut menyebut tentang penerusan inisiatif-inisiatif sosioekonomi Kerajaan MADANI berbentuk bantuan tunai kepada rakyat, pelbagai peruntukan khas buat sektor pendidikan dan pelonggaran beberapa sistem percukaian yang membebankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

PM Anwar juga menyampaikan peringatan untuk mempercepatkan projek-projek infrastruktur berkepentingan awam serta mempertingkatkan aspek pendigitalan dalam mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan. Ini memandangkan tahun 2026 adalah tahun pelaksanaan penuh penyelarasan gaji dan imbuhan bagi penjawat awam.

Dari pengumuman tersebut, PM Anwar cuba mengimbangi antara soal tatakelola baik sebagai langkah jangka panjang, dengan beberapa dasar populis pro-rakyat demi meringankan tekanan kos sara hidup untuk memenuhi keperluan jangka pendek.

Antara kesemua pakej tersebut, yang paling bermakna dari sudut perjalanan demokrasi negara adalah usaha reformasi politik yang sudah menjadi sinonim dengan teras perjuangan PM Anwar sendiri. Ucapannya membuka tahun 2026 dengan membawa isyarat jelas bahawa beliau mahu melakukan satu ‘pivot’ pembaharuan.

Tetapi, mampukah PM Anwar berjaya merealisasikan hasrat besar itu dalam tempoh yang singkat atau ia hanya satu sandiwara politik, sekadar melepaskan batuk di tangga?

Pertaruhan Misi Reformasi

Penegasan PM Anwar menyusun semula keutamaan Kerajaan MADANI supaya lebih berorientasi reformasi, bertitik tolak daripada kacau-bilau. Tatkala dunia berdepan dengan situasi geopolitik tidak menentu, kebimbangan inflasi dan penurunan permintaan bekalan, Malaysia tampil komited dengan kestabilan institusi politik yang dicari pelabur asing.

Dengan mengenakan had masa pada jawatan PM, Kerajaan MADANI perlu mengemukakan kepada Dewan Rakyat dan meminda akta-akta berkait dalam Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan PM Anwar masih memiliki majoriti dua pertiga dalam Parlimen, maka laluan untuk usul ini tampak cerah.
Related article image
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) memotong kek pada Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort pada 3 Januari 2026. (Gambar: Bernama)
Begitu juga dengan pelan mengasingkan fungsi AG dengan PP, yang juga dijangka realistik setelah lama dikaji oleh pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU). Kedua-dua reformasi ini menepati tuntutan konsisten daripada aktivis-aktivis organisasi masyarakat sivil (CSO) dan kumpulan pemikir (think tanks) sejak awal tahun 2000-an lagi.

Bagi kelulusan Ombudsman dan FOI pula, ia membuka saluran pengaduan terhadap sebarang salah laku, memberi akses informasi kepada rakyat secara lebih telus dan memperbaiki sikap kebertanggungjawaban kerajaan. Ia juga akan melengkapi akta-akta lain seperti Perlindungan Pemberi Maklumat dan Perlindungan Data Peribadi.

Walaupun bukanlah perkara baharu kerana dasar had tempoh penggal dan FOI sudahpun wujud di Pulau Pinang dan Ombudsman di Sarawak, langkah-langkah pro-demokrasi sebegini akan mengurangkan penyalahgunaan kuasa oleh cabang eksekutif mahupun campur tangan politik dalam keputusan pendakwaan.

Tambahan juga, keempat-empat reformasi adalah selari dengan usaha Kerajaan MADANI untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) agar cabang legislatif mandiri dan dapat memperkuatkan peranan semak imbang oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC). Senarai reformasi-reformasi ini turut tercatat dalam buku manifesto gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin PM Anwar.

Namun, pengumuman sahaja belum mencukupi. Reformasi politik tetap bergantung kepada reka bentuk keseluruhan institusi supaya berdaya tahan. Reformasi sistem pilihan raya yang lebih bebas, agensi pencegah rasuah yang lebih berintegriti dan pendanaan parti politik yang lebih telus adalah antara yang masih dinanti-nantikan rakyat.

Mengambil kira faktor Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak, PM Anwar harus memaparkan keberhasilan yang boleh diukur (tangible outcomes) dan tidak hanya bergantung kepada percaturan politik. Reformasi institusi adalah satu taruhan pragmatik untuk cuba menukar pandangan sinis rakyat menjadi sokongan undi.
Related article image
Menara Suruhanjaya Pilihan Raya, Putrajaya. (Gambar: Bernama)
Perihal Peluang Terbaik

Timbul persoalan, mengapakah PM Anwar baru mahu memilih untuk memacu reformasi institusi sekarang berbanding lebih tiga tahun sebelum ini? Maka, ketepatan waktu dan keizinan konteks memberikan jawapan kepada soalan itu, yang terbahagi pula kepada faktor struktur dan perkembangan politik.

Pertama sekali, tahun 2026 berada di ambang pra-PRU16 dengan siri Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti Melaka, Sarawak dan Johor bakal menyusul. Ini masa genting untuk merebut balik sokongan kepada Kerajaan MADANI, khususnya gabungan PH yang berdepan cabaran untuk ‘energize’ semangat para penyokong tegarnya.

Kedua, Kerajaan MADANI pada 2026 menikmati sedikit kelegaan sejurus selesai kekangan mengurus kepengerusian ASEAN 2025.
Related article image
Malaysia merupakan pengerusi ASEAN 2025. (Gambar: Bernama)
Related article image
Ringgit merupakan mata wang dengan prestasi terbaik di Asia pada 2025. (Gambar: Bernama)
Keadaan ekonomi yang semakin baik dengan jumlah pelaburan asing (FDI) tinggi, disiplin fiskal dan peningkatan nilai Ringgit berbanding mata wang serantau memberi PM Anwar laluan yang agak selamat.

Dari segi logik politik pula, motif pertama ialah perpecahan kronik blok pembangkang akibat pengunduran Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN). Keadaan ini memberi ruang ideal kepada PM Anwar untuk meyakinkan pengundi atas pagar agar memilih Kerajaan MADANI, memandangkan PN dibelenggu krisis kepimpinan.
Related article image
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam satu pengumuman yang dibuat pada 29 Disember 2025. (Gambar: Bernama)
Related article image
Bendera Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Perikatan Nasional (PN). (Gambar: Bernama)
Penting juga dinyatakan, Kerajaan MADANI perlu bekerja keras sekarang untuk konsolidasi undi belia daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang sudah hilang arah. Segmen pengundi progresif, profesional, penduduk bandar dan minoriti bukan Melayu boleh ditambat jika PM Anwar melunaskan janji-janji reformasi institusi.

Motif kedua dan mungkin punca utama, ialah tekanan dalaman terhadap PM Anwar dari parti komponen PH iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP). Hanya setelah mengalami prestasi buruk semasa PRN Sabah pada 29 November lalu, barulah DAP berani mendesak agenda reformasi dan terpaksa menetapkan garis masa selama enam bulan.
Related article image
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah Phoong Jon Zhe (tengah) ketika sidang media di bilik operasi Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Papat pada 17 November 2025. (Gambar: Bernama)
Kombinasi masa dan kondisi sebegini mencipta jendela politik atau ‘opportune window’ untuk PM Anwar memulihkan kredibiliti reformis beliau yang tercalar sejak memegang tampuk kepimpinan negara pada penghujung 2022.

Pertimbangan Kos Politik

Mood positif berikutan rombakan kabinet pada 16 Disember lalu memberikan modal untuk PM Anwar meletakkan sasaran ‘low hanging fruits’ kepada Menteri dan Timbalan Menteri baharu untuk mencapainya. Anggota kabinet pasti bermotivasi untuk menitikberatkan perpaduan politik dan prestasi penyampaian khidmat agar sejajar dengan inti pati ucapan PM Anwar.

Penerimaan rakyat terhadap dasar subsidi petrol bersasar iaitu BUDI95 juga satu insentif bagi PM Anwar merasa lebih yakin bahawa tahun 2026 sesuai untuk mula bersungguh-sungguh menjayakan reformasi. PM Anwar mesti segera membina momentum domestik sebelum tamat mandat yang berbaki setahun lebih sahaja lagi.
Related article image
Seorang pemandu kereta memanfaatkan subsidi di bawah inisiatif BUDI95. (Gambar: Bernama)
PM Anwar sendiri akhirnya menetapkan pendirian tentang hala tuju politik dan bayangan naratif selaku penyandang menuju PRU16. Keputusan mengetengahkan reformasi institusi dan tadbir urus akan memaksa setiap parti kerajaan untuk memilih sama ada mahu kekal dan patuh dalam kerangka perpaduan atau sebaliknya.

Ini disambut oleh Timbalan PM iaitu Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau mematikan idea Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh untuk menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional (MN).
Related article image
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: Fadza Ishak/CNA)
Related article image
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh. (Gambar: Bernama)
Zahid memuji langkah-langkah reformasi institusi, bermakna UMNO mengira nasib parti lebih terjamin jika terus bersama dengan PM Anwar. Manakala Dr Akmal pula digesa ramai pihak untuk melepaskan jawatan.

Pergeseran ini signifikan kerana antara hujah kuat mengapa usaha reformasi sebelum ini sukar dicapai adalah keperluan taktikal untuk memberi konsesi di meja rundingan. Pelbagai kompromi diperlukan atas sebab realiti aturan politik gabungan yang terdiri daripada parti-parti berbeza ideologi dan kepentingan, lantas ‘dilute’ (melemahkan) niat asal reformasi.

Oleh sebab itu, gagasan reformasi tidak diangkat secara mutlak lebih awal mengambil iktibar dari era PH 1.0 pada 2018-2020, malah ia datang sarat dengan risiko-risiko politik.

Risiko pertama ialah mengawal reaksi keras daripada beberapa komponen Kerajaan MADANI yang melihat perubahan sebagai satu ancaman.

Desas-desus mengatakan sebarang cadangan progresif ke kabinet dicurigai elit-elit politik yang mengetuai parti berfahaman konservatif seperti UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Ia sensitif bagi mereka kerana ia mampu menjejaskan lingkaran budaya politik naungan (patronage) yang sudah lama bertapak di Malaysia.
Related article image
Bendera Gabungan Parti Sarawak. (Gambar: Bernama)
Risiko kedua ialah jurang pelaksanaan. Kerajaan MADANI dikritik sebab kerap membuat ‘u-turn’ dalam hal-hal dasar, misalnya sistem e-Invois. Ia telah diumumkan namun kemudian ditangguhkan beberapa kali sehingga menimbulkan kemarahan warga PKS yang menanggung kos. Maka sebarang keraguan rakyat terhadap proses reformasi institusi adalah wajar.

Risiko ketiga ialah persepsi pendakwaan terpilih. Walaupun empat cadangan asas PM Anwar rata-rata disambut baik, ada pandangan kritis bahawa Kerajaan MADANI tidak benar-benar telus dan tulus dalam agenda reformasi. Soal membanteras rasuah, lebih-lebih lagi melibatkan tokoh-tokoh besar, ‘inner circle’ PM Anwar dan lingkungan koridor kuasa di Putrajaya dilihat mengamalkan pilih kasih.

Prasyarat Raih Manfaat

Dalam landskap politik Malaysia yang terus mengalami polarisasi, institusi-institusi demokrasi berfungsi sebagai alat untuk menukar medan perdebatan nasional dari permainan sentimen politik identiti yang cuba diperjuangkan oleh blok pembangkang kepada tawaran politik prestasi oleh Kerajaan MADANI.

Pengumuman hasrat untuk membentangkan kerangka tadbir urus moden mencerminkan iltizam politik PM Anwar untuk mengelakkan konflik kepentingan, menjamin kebebasan pendakwaan dan memulihkan keyakinan awam terhadap pengendalian kes berprofil tinggi.

Berdasarkan objektif strategik, pelaksanaan pantas dan komunikasi jelas bagi agenda reformasi merupakan syarat penting sekiranya PM Anwar dan Kerajaan MADANI betul-betul ingin meraih sokongan padu dan mendapatkan mandat penggal kedua pada PRU16.

Namun, hakikat bahawa Kerajaan MADANI hanya sekarang ‘menghidupkan semula’ agenda ini mendedahkan satu perkara yang tidak selesa. Slogan reformasi terhadap institusi sering menjadi komoditi politik dan diaktifkan apabila tekanan politik memuncak atau sokongan teras dirasakan terhakis.

Peluang untuk membawa perubahan yang bermakna amat sempit. Walaupun wajar dari segi prinsip, cadangan-cadangan asas ini diusulkan sangat lewat dalam penggal pertama pentadbiran PM Anwar. Ia boleh ditafsir sebagai alasan untuk mengekalkan ruang legitimasi bagi satu penggal tambahan sekiranya populariti politik masih wujud.

Tanpa perubahan budaya birokrasi dan komitmen politik merentasi kementerian, Amanat Tahun Baharu ini berisiko menjadi topeng kosmetik sempena musim pilihan raya.
Related article image
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, menyampaikan amanat khas sempena Tahun Baharu pada 5 Januari 2026. (Gambar: Bernama)
Dalam erti kata lain, sama ada ia menjadi ‘turning point’ ataupun ‘breaking point’ bergantung sepenuhnya kepada tindakan susulan yang berlaku selepas pengumuman, bukan pada pengumuman itu sendiri.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita