Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI KL: Rakyat Malaysia Gelisah Campur Bimbang Balik Kampung Beraya

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Rakyat Malaysia Gelisah Campur Bimbang Balik Kampung Beraya

Ramai warga Malaysia menggunakan pengangkutan awam untuk pulang beraya. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia ghairah menantikan ketibaan Aidilfitri. Tahun ini pengumuman awal Syawal akan dilakukan pada Ahad 30 Mac, dengan umat Islam di Malaysia berkumpul bersama keluarga di depan kaca televisyen menantikan pengumuman tersebut.

Walaupun mengikut kiraan hisab Aidilfitri dijangka jatuh pada 31 Mac, beberapa tahun kebelakangan ini ia disambut sehari lebih awal atau lebih lewat daripada yang dijangkakan, mengakibatkan keadaan menjadi huru-hara.

Tahun ini terasa seperti bulan Ramadan agak panjang dan meletihkan sedang rakyat Malaysia bergelut sama ada dengan cuaca panas atau hujan lebat – atau kedua-duanya sekali, di pelbagai kawasan di Malaysia. Johor, Sabah dan Sarawak belum lagi pulih sepenuhnya daripada banjir sejak beberapa minggu lalu, dan hujan lebat masih melanda beberapa kawasan, walaupun pusat perlindungan sementara (PPS) semakin berkurangan.
 
Suasana di Terminal Feri Ro-Ro Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan sibuk dengan para penumpang. (Gambar: Bernama)
Kerja-kerja pembersihan selepas banjir hampir lebih teruk daripada banjir itu sendiri. Bukan sahaja kerosakan pada perabot, perkakas dan perhiasan rumah dan mungkin juga kenderaan baharu, tetapi juga lumpur dan kotoran lain (dan kadangkala lebih teruk) untuk dibersihkan.

Ada yang telah mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan dapat menyelesaikan semua kerja pembersihan itu sebelum Hari Raya, dan mungkin bergelut mencari sumber kewangan untuk menampungnya. Mereka juga bimbang banjir akan kembali melanda, lebih-lebih lagi sedang hujan turun tanpa henti baru-baru ini.

Walaupun tidak semua yang tinggal di kawasan rendah, hujan pada sebelah petang telah menjejas teruk penjualan Bazar Ramadan tahun ini. Gerai-gerai kelihatan lebih senyap di tengah-tengah rungutan harga jualan lebih tinggi pada tahun ini sekalipun terdapat usaha untuk mengawalnya.

Salah satu petunjuk paling ketara bagi kegawatan ekonomi ialah kesunyian yang luar biasa sepanjang bulan lalu. Ini dapat dilihat pada gerai-gerai yang menjual mercun dan bunga api yang biasanya begitu laris pada masa ini tetapi masih bertindan dengan produk-produk tersebut. Hanyalah selepas satu dua hari lalu, barulah kami mendengar percikan bunga api dan dentuman mercun.

Kebimbangan juga meningkat mengenai kesan jangka panjang tarif yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Ini kerana hampir 40 peratus produk elektrik dan elektronik Malaysia dieksport ke Amerika Utara. Eksport getah, perabot, peralatan optik dan saintifik Malaysia juga akan terjejas, terutamanya apabila Presiden Trump menutup kemudahan dan agensi penyelidikan saintifik dan perubatan. Para penganalisis juga telah menyuarakan kebimbangan tentang bagaimana reaksi global terhadap langkah-langkah Presiden Trump akan memberi kesan kepada Malaysia.
Trafik di Plaza Tol Kuala Terengganu, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). (Gambar: Bernama)
SEMOGA HATI RIANG BALIK KAMPUNG

Pihak berkuasa bagaimanapun sedia maklum bahawa terdapat kegelisahan dalam kalangan rakyat. Kerajaan negeri Johor misalnya, mengumumkan pembayaran RM3,000 (S$906)kepada 3,749 isi rumah yang terjejas akibat banjir dan terpaksa berpindah.

Bantuan kewangan juga disalurkan kepada golongan miskin tegar, mualaf dan masyarakat orang asli. Bakul makanan telah diagihkan kepada para penduduk yang menetap di perumahan kos rendah, dan kakitangan perkhidmatan penting seperti jagaan kesihatan, polis, tentera dan kastam juga menerima pembayaran tunai.

Para kakitangan awam di Johor diberi RM1,000 (S$301) setiap seorang sebagai bantuan kewangan.

Di peringkat persekutuan, Kerajaan Madani juga bermurah hati dalam pengagihan bantuan bagi Aidilfitri. Bonus dalam jumlah yang berbeza-beza diberikan kepada kakitangan awam dan pesara, yang akan memanfaatkan kira-kira 2 juta penerima bantuan. Beberapa kerajaan negeri yang lain juga telah mengikuti langkah Johor. Di Selangor, para pegawai awam akan menerima bonus 1.5 bulan atau minimum RM2,000 (S$603) melalui dua bayaran sebelum dan selepas Aidilfitri.

Mereka yang bekerja di agensi-agensi persekutuan di Selangor turut disertakan dengan bayaran khas diberikan kepada mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 sebagai gaji asas.
Kesesakan berlaku terutamanya di sempadan masuk Gua Musang-Kuala Lipis. (Gambar: BERNAMA)
Di Sabah, para pekerja perkhidmatan awam negeri dijangka akan menerima bayaran RM500 untuk kedua-dua Aidilfitri dan Kaamatan, dan Kelantan dan Perlis juga mengumumkan jumlah yang sama bagi bonus Aidilfitri. Sarawak juga baru sahaja mengumumkan bahawa kabinetnya telah meluluskan pendidikan tinggi percuma untuk para pelajar di institut-institut milik Sarawak, dengan RM15,000 (S$4,533) untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mulai 2026.

Ini selain pengumuman bahawa Tabung Haji, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, (KWSP) akan mengagihkan bantuan tertinggi pada tahun ini berbanding beberapa tahun kebelakangan ini.

Jelas sekali bahawa di sebalik ketidaktentuan di peringkat global, Malaysia sedang bangkit semula daripada kesengsaraan era COVID-19 dan menantikan masa depan yang lebih cerah.

Malah harga diesel nampaknya semakin jatuh selepas pemansuhan subsidinya. Sistem harga dua peringkat yang akan datang untuk petrol RON-95 pada bulan Jun mungkin kurang mengejutkan pengguna memandangkan harga mungkin terikat dengan MyKad yang menjadi kunci untuk memastikan mereka yang memerlukan bantuan kewangan dapat terus membeli petrol pada harga yang bersubsidi.

Cuti Raya yang panjang ini diharap akan memberi ketenangan kepada rakyat Malaysia. Beberapa negeri telahpun mengisytiharkan cuti tambahan sehari, sekiranya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan bahawa Aidilfitri jatuh sehari kemudian daripada yang dirancangkan. Tol lebuh raya juga diturunkan sebanyak 50 peratus pada 28 dan 29 Mac.

Hari Raya Aidilfitri tidak terhad kepada orang Islam sahaja. Aidilfitri di Malaysia adalah sambutan yang melangkaui sempadan etnik dan agama. Ramai yang menggunakan cuti umum ini untuk keluar bersama keluarga atau menikmati percutian di Kuala Lumpur yang kurang sesak daripada biasa.

Dan sudah tentu, rakyat Singapura sudah bersiap sedia untuk menyeberangi Tambak Johor, jika tidak untuk menikmati khidmat spa di Johor, mencuci kereta, menjamu selera dan membeli-belah pada harga yang berpatutan, mereka akan beraya bersama keluarga dan sanak saudara di Malaysia semasa cuti Aidilfitri ini.

Di sini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga perjalanan selamat dan lancar di jalan raya…

MENGENAI PENULIS
Pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS – Institut Yusof Ishak, Dr Serina Rahman.
Dr Serina Rahman ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu Program Pengajian Malaysia, ISEAS-Institut Yusof Ishak.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan