NOTA DARI KL: Rakyat Malaysia damba kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi pada 2025
Buat pertama kali sejak Pilihan Raya Umum 2018, keadaan di Malaysia agak stabil. Dua tahun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, Anwar Ibrahim berjaya membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan masih bersatu dan kukuh sekalipun banyak pihak dan penganalisis meramalkan bahawa kerajaan pimpinannya akan tumbang.

Ini bukan sahaja membolehkan beliau untuk meneruskan beberapa dasar ekonomi yang sukar, tetapi ia juga berjaya meningkatkan keyakinan para pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia. Menurut semakan ekonomi suku tahunan Asia Tenggara oleh firma McKinsey, aliran pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia pada suku ketiga (Q3) ialah RM14.5 bilion (AS$3.24 bilion), meningkat daripada RM9.1 bilion pada suku kedua (Q2). Pertumbuhan ini berdasarkan pelaburan dari Hong Kong, Singapura dan Switzerland ke dalam sektor infokom dan borong.
Perangkaan yang dicatatkan memang mengagumkan. Sekalipun pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada Q3 meningkat 5.3 peratus berbanding 5.9 peratus pada Q2, ia tetap merupakan prestasi suku tahunan terbaik Malaysia dalam tempoh tiga tahun.
RINGGIT CATAT PRESTASI TERBAIK

Bursa Malaysia (KLSE) juga memperlihatkan prestasi paling kukuh dalam tempoh 10 tahun menyusuli ledakan pusat data yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).
Kerajaan menjangkakan pendapatan pusat data akan mencapai sasaran RM3.6 bilion (kira-kira AS$838 juta) dan sumbangan ekonomi digital kepada GDP Malaysia akan mencapai 22.6 peratus menjelang 2025.
Banyak perkara perlu diberikan perhatian pada 2025 termasuk perkembangan semasa di peringkat domestik dan antarabangsa. Selain perbelanjaan domestik dan eksport yang terus mengukuh, faktor-faktor luaran seperti kemungkinan berlaku Perang Dagang 2.0 selepas Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada 20 Jan dan perubahan dasar kewangan Amerika Syarikat turut menarik perhatian dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
Pada Ogos tahun lalu, para penganalisis meramalkan Johor akan menarik pelaburan sebanyak RM17 bilion ke dalam pusat data menjelang akhir 2024.
Dengan sekurang-kurangnya 13 kemudahan pusat data merangkumi lebih daripada 15 hektar tanah di negeri itu, Johor menjadi tumpuan para pelabur untuk membangunkan pusat data di Malaysia dan ke-9 di Asia Pasifik.
PERMINTAAN BAGI PUSAT DATA SEMAKIN MENINGKAT
Permintaan bagi pusat data juga semakin meningkat sehinggakan kerajaan negeri terpaksa menilai semula secara kritikal cadangan pelaburan pada bulan Jun, menolak kira-kira 30 peratus saranan yang dikemukakan untuk memastikan ia kekal mampan dan dapat mengatasi kekangan bekalan air dan elektrik bagi menampung pusat-pusat data di negeri itu.

Pelan Tindakan Rendah Karbon untuk Iskandar Malaysia menyasarkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 888MW menjelang 2025, yang membentuk 10 peratus daripada penggunaan tenaga Iskandar Malaysia. Pembangunan selanjutnya dalam sektor ini akan menyokong pelaburan pusat data secara berterusan.
Malaysia telah dipilih sebagai negara paling disayangi di Asia, menurut laman web kewangan Insider Monkey, dan Malaysia dianggap sebagai destinasi paling selamat dan aman di Asia oleh majalah Travel & Leisure. Malaysia malah telah dinobat sebagai Destinasi Terbaik bagi Anugerah Kecemerlangan Tripzilla dan memenangi Anugerah Emas PATA 2024.
Pelancongan domestik dan antarabangsa meningkat dengan pesat sejak pandemik, dengan pelawat paling ramai datang dari Singapura. Menurut statistik Google, Malaysia memperoleh carian tertinggi untuk destinasi pelancongan oleh warga Vietnam. Namun angka pelancongan keseluruhan kurang sepertiga daripada sasaran yang diisytiharkan iaitu 27.3 juta pelawat antarabangsa pada 2024.
Walaupun hotel dan pusat beli-belah di Johor Bahru selalunya penuh sesak pada hujung minggu dan cuti umum, dan sempadan darat antara Johor dan Singapura kerap mencatatkan pergerakan harian hingga 500,000 orang setiap hari, rakyat Johor masih belum meraih sepenuhnya manfaat daripada jumlah pelawat yang semakin tinggi dari Singapura.

BENCANA ALAM PAKSA RAKYAT IKAT PERUT
Bagi sesetengah rakyat Malaysia, mereka terpaksa 'ikat perut' selepas dilanda beberapa bencana alam termasuk hujan lebat berterusan, air pasang besar, saliran tersumbat dan pembangunan yang tidak dirancang mengakibatkan banjir teruk di pantai timur dan bahagian barat Malaysia.
Dengan cuaca ekstrem yang lebih kerap pada awal dan hujung tahun, tidak banyak yang boleh dilakukan bagi mereka yang kini mesti menjangkakan bahawa rumah mereka pasti akan dilanda banjir setiap tahun. Masih tiada huraian mahupun penghujung kepada masalah yang semakin bertambah teruk, berulang dan meruncing ini.

Dengan gaji minimum dijangka meningkat kepada RM1,700 pada Februari 2025, mungkin mereka yang tergolong dalam kumpulan B40 akan menerima lebih banyak bantuan. Sungguhpun demikian, kenaikan harga mungkin tidak dapat dielakkan disebabkan oleh pemansuhan subsidi petrol.
Butiran Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura dijadual dimuktamadkan pada 2025 dan projek RTS pula dijangka akan memudahkan lagi perjalanan rentas sempadan.
Rakyat Malaysia, khususnya rakyat Johor, mengharapkan inisiatif kerajaan serta projek-projek prasarana itu akan menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan memanfaatkan seluruh rakyat.

MENGENAI PENULIS

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.