Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Peningkatan jumlah calon bebas mencerminkan kerapuhan parti & sentimen pengundi; sukar ramal pemenang PRU15

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dalam langkah mengejut hanya tiga hari selepas Bajet 2023 dibentangkan, Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri mengisytiharkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah mempersetujui pembubaran Parlimen. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kemudian mengumumkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan pada 19 Nov 2022 dan tempoh berkempen selama dua minggu selepas Hari Penamaan Calon pada 5 Nov 2022.

Meskipun ramai pihak sudahpun menjangkakan PRU15 akan diadakan lebih awal, terdapat sesetengah pihak yang terkejut kerana tidak dapat membayangkan pilihan raya akan diadakan semasa musim tengkujuh apabila hujan turun lebih lebat akibat fenomena La Nina yang melanda tahun ini.

Sekalipun berdepan dengan tentangan sesetengah penduduk dan banjir yang sudah mula melanda beberapa kawasan di Malaysia Timur, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetap akan diadakan. 

Keseluruhan proses itu akan menelan perbelanjaan awam bernilai RM1.1 bilion (S$327.6 juta) dan tiga negeri yang dikuasai Barisan Nasional (Perak, Pahang dan Perlis) turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Pilihan Raya Kecil juga akan diadakan bagi kerusi DUN Bugaya, Sabah menyusuli pemergian penyandangnya, Cik Manis Muka Mohd Darah.

(Gambar: Fadza Ishak/CNA)

Hari Penamaan Calon berlangsung tanpa sebarang kejadian yang menggemparkan kecuali satu insiden di Tenom, Sabah di mana pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Peter Anthony ditolak kerana pernah disabit kesalahan memalsukan dokumen kontrak.

Namun proses penamaan calon menghasilkan jumlah rekod calon PRU, iaitu 945 calon yang akan merebut 222 kerusi Parlimen. Lebih 11 peratus atau 105 calon merupakan calon bebas. Ini merupakan lonjakan besar berbanding 24 calon bebas yang bertanding dalam PRU14 dan juga lebih ramai berbanding 79 calon bebas pada PRU13.

Kebanyakan daripada 39 parti yang bertarung dalam PRU15 menganggotai antara enam gabungan parti: Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) dan Gerakan Tanah Air (GTA). Tiga parti iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM), Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) belum menyertai mana-mana gabungan secara rasmi.

PH mengemukakan paling ramai calon, iaitu seramai 206 orang, manakala BN dan PN masing-masing menyusul dengan 206 dan 178 calon.

Berdasarkan perangkaan semata-mata, Selangor ditandingi jumlah calon tertinggi, iaitu 124 orang, diikuti dengan Sabah dan Johor yang masing-masing ditandingi 119 dan 96 calon. Namun, menurut perbandingan jumlah calon yang bertanding bagi setiap kerusi, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mendahului senarai dengan enam calon bertanding di setiap kerusi (satu kerusi bagi setiap wilayah), diikuti dengan Selangor yang menyaksikan purata 5.63 calon bagi setiap daripada 22 kerusi yang ditandingi.

Ini menandakan banyak pertandingan berbilang penjuru akan berlaku di semua negeri. Kerusi yang menjadi rebutan paling ramai calon ialah Batu, Selangor yang ditandingi oleh 10 calon. Selangor juga mencatat rekod bagi pertandingan sembilan penjuru, iaitu di Ampang dan tiga pertandingan lapan penjuru. Selain tiga kerusi di Selangor, Sungai Siput di Perak dan Alor Setar di Kedah turut menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Terdapat hanya sembilan kerusi yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu: lapan di Sarawak dan satu di Sabah. Kebanyakan kerusi menyaksikan pertandingan empat penjuru (82 kerusi) dan tiga penjuru (54 kerusi).

Apa yang dapat disimpulkan daripada perangkaan tersebut adalah lebih 21.17 juta pengundi berdaftar kini berdepan dengan janji-janji, matlamat dan pilihan politik yang begitu pelbagai.

CALON BEBAS PERLU DITELITI

Calon-calon bebas dalam PRU15 adalah golongan yang wajar diteliti. Tiga calon bebas berjaya mencatat kemenangan dalam PRU14 dan lantaran itu, tidak mustahil bagi sebilangan daripada mereka untuk menumpaskan calon parti-parti utama dan merampas beberapa kerusi, lebih-lebih lagi jika para pengundi di kawasan-kawasan berkenaan ingin menentang muslihat dan jentera parti-parti besar.

Namun, calon-calon bebas sering kali diserapkan ke dalam atau menyertai parti-parti utama agar dapat memenuhi keperluan para penduduk di kawasan masing-masing. Menyusuli PRU14, Ahli Parlimen Batu, Selangor P Prabakaran menyertai PH; AP Julau, Sarawak Larry Sng menerajui PBM; dan Jugah Muyang bagi Lubok Antu, Sarawak, kini bersama BN.

Sesetengah calon bebas bertanding dalam pilihan raya untuk membuktikan sesuatu kenyataan, melahirkan kekecewaan terhadap parti-parti sedia ada atau menanam harapan agar mampu membawa perubahan dari dalam sistem politik sedia ada. 

Calon-calon bebas pada tahun ini termasuk dermawan dan aktivis popular, Kuan Chee Heng, yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwan Shaharudin, yang lebih dikenali sebagai ‘Cleopatra’ serta peguam dan aktivis hak asasi manusia Siti Kasim.

Naib Presiden PKR Tian Chua (Gambar: Agensi berita)

Sebilangan calon lain pula mencerminkan gabungan atau parti yang berpecah belah. PH, misalnya, perlu berdepan dengan tindakan mantan Ahli Parlimen Batu Tian Chua bertanding sebagai calon bebas setelah Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk menamakan P Prabakaran sebagai calon bagi kerusi yang bakal menyaksikan persaingan sengit. 

Tian Chua berkata pemikirannya akan kekal sehaluan dengan PH, namun beliau masih bertanding atas permintaan para penduduk di kawasan undi yang pernah diwakilinya dahulu. 

Aktivis sekitaran dan mantan AP Bentong Wong Tack juga menjadi calon bebas bagi kampung halamannya selepas Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggantikannya dengan Young Syefura Othman.

TANDA-TANDA KERAPUHAN

Contoh-contoh tersebut menggambarkan ketegangan dalam PH, yang kadangkala diperlihatkan dalam perbalahan terbuka antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan Timbalan Presiden Rafizi Ramli dan kekecewaan dalam kalangan sesetengah pengundi di kawasan bandar. 

Hasil tinjauan Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 melibatkan lebih 2,300 responden menunjukkan sokongan para pengundi Malaysia terhadap PH merosot dari 95 peratus kepada 68 peratus menjelang Oktober 2022. 

Sebaliknya, sokongan bagi Persatuan Cina Malaysia (MCA) dilaporkan meningkat sebanyak 10 peratus. 

Merdeka Centre juga melaporkan sokongan pengundi Melayu terhadap PH merosot dari kira-kira 30 peratus pada PRU14 kepada hanya 10 peratus sekarang.

Turut menarik perhatian adalah kebanyakan calon bebas bertanding sama ada di kawasan-kawasan bandar (dan lazimnya dipegang PH) di Selangor dan Kuala Lumpur atau di negeri-negeri yang dianggap bakal menyaksikan kekalahan teruk parti-parti utama seperti di Perak dan Sabah. Ini mungkin membayangkan bahawa ramai pengundi sama ada tidak berpuas hati dengan keadaan politik sedia ada atau menginginkan perubahan. 

Sama ada calon-calon bebas mampu meraih jumlah undi yang mencukupi, memandangkan mereka kekurangan jentera politik untuk mendatangkan perubahan positif, adalah perkembangan yang masih perlu dinantikan.

Menteri Wilayah Persekutuan Dr Shahidan Kassim (Gambar: BERNAMA)
UMNO turut bergelut dengan perbalahan dalaman setelah Presidennya mengisytiharkan kesetiaan kepada parti sebagai kriteria penting terutama dalam pemilihan calon. Empat ahli politik BN yang digugurkan daripada senarai calon memutuskan untuk mengemukakan nama masing-masing sebagai calon bebas atau di bawah naungan parti-parti pembangkang: Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar, Perlis) dan Azhar Ahmad (DUN Kuala Perlis) akan bertanding sebagai calon bebas, manakala Ismail Abd Muttalib (Maran, Pahang) dan Shahidan Kassim (Arau, Perlis) akan mempertahankan kerusi masing-masing di bawah bendera PN.
Gambar: Bernama

Turut menjadi tumpuan adalah anggota-anggota parti yang dipinggirkan dan ditempatkan di kawasan-kawasan undi yang dianggap mustahil untuk dimenangi. Antaranya ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang ditempatkan di Sungai Buloh oleh UMNO, iaitu kubu kuat PKR selama tiga penggal dan bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

UNDI MELAYU BUKAN LAGI DALAM TANGAN

Lebih penting lagi, pilihan parti-parti Melayu yang beraneka macam kali ini mengisyaratkan kemenangan pengundi Melayu bukan lagi dalam tangan UMNO. 

Ia diikuti dengan PN dari segi populariti dalam kalangan pengundi Melayu. Bagi sesetengah pengundi, PN merupakan pilihan yang sedikit sebanyak bebas rasuah sungguhpun ia mengundang kecurigaan disebabkan oleh hubungannya dengan DAP. Perpecahan undi Melayu mungkin menyebabkan tiada satu pun parti yang akan mampu meraih kuasa majoriti di Parlimen.

Dengan mengambil kira undi Sabah dan Sarawak yang kekal sebagai satu tanda tanya bagi BN, setakat ini belum ada sebarang ketentuan berhubung keputusan PRU kali ini. Mentelah dengan kecenderungan undi belia yang sukar untuk diramalkan dan faktor cuaca pula mungkin akan memporak-perandakan pilihan raya akan datang, maka mustahil untuk meramalkan pemenang PRU15.

MENGENAI PENULIS:

Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS – Institut Yusof Ishak. Beliau mengkaji interaksi antara manusia dengan habitat di kawasan pantai, politik sekitaran dan luar bandar serta sumber-sumber perikanan artisan di Malaysia.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita