NOTA DARI KL: Pendatang Asing Tanpa Izin dan Ideologi Ketuanan
Gambar: iStock
Serangan yang bersifat pembunuhan beramai-ramai (genocide) ini, yang merupakan satu jenayah perang, menyaksikan bagaimana 2.3 juta warga Palestin di Gaza, separuh daripadanya adalah kanak-kanak, dikepung, diusir dari rumah dan tanah mereka, dibom secara berterusan, dihalang mendapat bantuan kemanusiaan, dinafikan keperluan asas seperti air, makanan, bahan api, elektrik, dan ubat-ubatan.
Serangan tentera Israel ini, yang disokong penuh oleh negara-negara imperialis Barat terbesar Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya di Eropah, juga menyaksikan bagaimana hospital dan rumah ibadat seperti masjid dan gereja dibom, membunuh dan mencederakan warga Palestin yang berlindung di dalamnya.
Keganasan tentera Israel yang berlaku pada 7 Oktober tahun lalu dan masih berlanjutan hingga ke hari ini merupakan kesinambungan sebuah projek penjajahan yang bermula dengan penubuhan negara kolonial-penduduk Israel (settler colonial state of Israel) pada tahun 1948 di bumi Palestin.
Penjajahan melalui penubuhan negara kolonial-penduduk atau dikenali sebagai “settler colonialism” dalam Bahasa Inggeris ini didukung oleh imperialis British pada mulanya dan kemudiannya oleh imperialis Amerika Syarikat sehingga ke hari ini.
Penubuhan negara kolonial-penduduk Israel ini berteraskan ideologi penjajahan yang dikenali sebagai Zionism yang sudah muncul seawal tahun 1895. Zionism digunakan dalam gerakan politik yang ingin membina sebuah negara-bangsa Yahudi di bumi Palestin dengan majoriti penduduk Yahudi.
Penubuhan negara kolonial-penduduk yang dikenali sebagai Israel pada tahun 1948 ini dimulakan melalui pembersihan etnik (ethnic cleansing) terhadap warga Palestin yang beragama Islam, Yahudi, dan Kristian yang sudah berabad lama tinggal di tanah Palestin untuk digantikan dengan warga Yahudi dari Eropah yang menjadi pelarian keganasan Nazi.
Menurut sejarawan Yahudi Illan Pappe dalam bukunya The Ethnic Cleansing of Palestine, 80% warga Palestin menjadi mangsa pembersihan etnik dalam wilayah baru yang dirampas oleh Israel pada tahun itu, di mana mereka diusir secara paksa dan ramai antara mereka dibunuh beramai-ramai dengan kejam - satu peristiwa berdarah yang dikenali sebagai “Nakba”.
Zionisme sebagai ideologi penjajahan mengangkat ketuanan Yahudi, yang melihat warga Palestin sebagai rendah dan perlu dihapuskan, merupakan produk ideologi ketuanan kulit putih (white supremacist ideology) yang mengabsahkan perkauman (racism) terhadap warga Palestin. Projek penjajahan ini yang ditaja kuasa imperialis Barat bertujuan menjaga kepentingan dan penguasaan ekonomi mereka di Timur Tengah.
Kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku atas ideologi ini yang berterusan selama lebih 75 tahun ke atas warga Palestin inilah yang membawa arus penentangan ramai warga dunia yang menyahut panggilan hati nurani mereka - warga dunia dari Asia, Afrika, Timur Tengah, Amerika Utara, Amerika Latin, Eropah yang bangkit mengutuk kekerasan rejim tentera Israel dan menyokong hak warga Palestin menuntut kebebasan, penentuan nasib sendiri (self-determination), dan kemerdekaan - hak untuk hidup bebas merdeka.
LANTANG JUGA DI MALAYSIA
Suara penentangan terhadap Israel juga lantang di bumi Malaysia, yang pernah dijajah oleh imperialis Barat (Britain), dan tetangganya seperti Indonesia yang juga pernah dijajah (Belanda) - dua negara merdeka dari rantau yang dikenali sebagai Nusantara, atau menurut sejarawan, juga dikenali sebagai Alam Melayu (Malay World) - yang terdiri daripada negara-negara yang dikenali kini sebagai Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura, dan Brunei - sebelum datangnya penjajahan yang membina tembok sempadan yang memecahbelahkan masyarakat serantau yang pernah berkongsi pertalian, budaya, dan laluan perdagangan; masyarakat serumpun.
Sudah menjadi kebiasaan untuk kata-kata hinaan bersifat perkauman dilemparkan terhadap warga asing yang datang ke Malaysia untuk bekerja (ramai antara mereka ditipu dan diperas oleh ejen-ejen pekerjaan dan akibatnya hilang wang yang jumlahnya besar yang sepatutnya digunakan untuk mendapatkan dokumen sah) dari negara-negara yang masyarakat kebanyakannya bergelut dengan kemiskinan seperti Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Filipina, dan Nepal setiap kali wacana berkenaan kehadiran mereka dibangkitkan di alam maya.
Warga Rohingya, yang merupakan warga asing dan pelarian, juga tidak terlepas daripada kata-kata hinaan yang bersifat perkauman ini. Kebencian terhadap warga Rohingya juga dapat dilihat di negara jiran Indonesia di mana baru-baru ini, mereka diserang di tempat perlindungan pelarian oleh sekumpulan pelajar universiti di Banda Aceh.
Antara kata-kata hinaan yang sering digunakan terhadap warga asing ini, terutamanya warga Rohingya, adalah “membiak seperti tikus”. Kata-kata ini jelas menyamakan manusia dengan binatang yang dilihat sebagai jijik dalam masyarakat.
Membuat persamaan sebegini merampas maruah dan nilai diri mereka sebagai manusia. Ia menghalalkan tindakan keras dan menindas oleh pihak berkuasa dan ahli masyarakat terhadap mereka. Naratif ini, yang membekukan hati nurani dan menghilangkan rasa perikemanusiaan kepada manusia yang lain yang lemah dan tidak mempunyai kuasa, bukanlah sesuatu yang baharu.
Ia berasal dari ideologi ketuanan kulit putih (white supremacist ideology) yang digunakan oleh kuasa imperialis Barat di sepanjang lipatan sejarah untuk menghalalkan kekerasan dalam melaksanakan perhambaan, penjajahan, perkauman, dan imperialisme selama ratusan tahun.
NARATIF NEGATIF
Ketika Malaya dijajah, naratif yang berbeza sedikit tetapi serupa digunakan oleh penjajah British terhadap warga yang dijajah untuk mengabsahkan eksploitasi ekonomi - Melayu malas, Cina tamak, dan India pemabuk.
Naratif yang menggunakan mitos pribumi malas ini (mereka dianggap malas oleh penjajah kerana enggan dieksploitasi untuk mengayakan penjajah) ini juga digunakan terhadap warga dijajah yang lain seperti warga Jawa dan Filipina di rantau yang pernah dikenali sebagai Nusantara.
Naratif yang sama terus digunakan hari ini oleh elit politik untuk menutup ketidakadilan dalam pengagihan kekayaan negara akibat eksploitasi ekonomi; untuk menutup jurang yang terus melebar antara golongan kaya dan golongan miskin; untuk menutup siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab mengaut kekayaan negara milik masyarakat terbanyak.
Contoh terdekat penggunaan kata-kata hinaan yang menyamakan manusia dengan binatang dapat dilihat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, ketika mengarahkan Gaza dikepung sepenuhnya dan diserang hebat beberapa hari selepas peristiwa 7 Oktober 2023. Beliau menyatakan:
“Kita sedang berperang dengan manusia binatang (human animals) dan kita akan bertindak dengan sewajarnya”.
Jelas “manusia binatang” ini merujuk kepada warga Palestin yang diserang tanpa henti dengan bom dan senjata yang dibekalkan rakan rapat Israel iaitu Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah seperti Britain. Jenayah pembunuhan beramai-ramai ini disokong terang-terangan di laman sosial oleh majoriti besar warga Israel yang menjunjung ketuanan Yahudi yang merampas dan menduduki tanah Palestin dengan kekerasan.
Di media sosial, mereka bersorak gembira dan mempersendakan kesengsaraan warga Palestin yang mereka anggap sebagai binatang yang tubuhnya halal untuk dibiarkan kelaparan dan dahaga, dirantai dan dipenjara, dan darahnya halal untuk ditumpahkan. Mereka berhimpun di tempat awam dan menjerit-jerit “Death to the Arabs” (mati orang Arab); mengugut orang Arab Palestin yang menentang Zionisme.
Kebencian dan kezaliman fikiran dan tingkah laku Israel ini mendedahkan persamaan dengan kebencian terhadap warga asing di bumi Malaysia yang pernah dijajah - bumi Malaysia yang menjunjung ideologi ketuanan Melayu melalui pakatan rapat UMNO dan penjajah British - ideologi ketuanan ras yang merupakan produk kolonial ras (race) yang berakar dalam ideologi ketuanan kulit putih.
Penjunjung ketuanan Melayu rasis ini aktif memesongkan fakta sejarah dengan menyamakan warga asing ini - sama ada mereka dari Indonesia, Myanmar atau mana-mana negara yang bergelut dengan tekanan ekonomi - yang lemah dan tidak punya kuasa dengan penjajah dan imperialis yang datang dari negara-negara yang amat berkuasa dari segi dominasi ekonomi dan ketenteraan seperti Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah.
IRONI DI SEBALIK NARATIF INI
Mereka yang rasis ini melaung-laungkan pemesongan ini dengan kata-kata seperti “penjajahan era moden dengan kemasukan beramai-ramai warga asing ke negara ini” untuk menghalalkan kebencian dan tindakan menindas mereka. Ironinya, dalam masa yang sama api kebencian terhadap warga asing ini giat dinyalakan, ramai rakyat Malaysia terpaksa memilih untuk berulang-alik ke Singapura untuk mencari nafkah lebih dalam menampung kehidupan yang kian menekan di negara sendiri.
Mereka memesongkan fakta bahawa penjajahan itu adalah hubungan kuasa antara mereka yang mempunyai kekuatan dari segi ekonomi dan ketenteraan - kekuatan hasil daripada modal yang diperoleh daripada perhambaan, penjajahan, dan imperialisme yang berlangsung beratus tahun lamanya - dan mereka yang lemah; mereka yang tidak mempunyai kekuatan tersebut.
Masyarakat Malaysia yang masih terjajah dalam berfikiran dan tingkah laku terus menggunakan perkauman yang diwarisi daripada penjajah untuk merendah-rendahkan kumpulan etnik yang lain seperti warga asing yang miskin dan dieksploitasi untuk memecahbelahkan ahli masyarakat.
Sikap memecahbelahkan ini bukan sahaja membuatkan ahli masyarakat lupa kemanusiaan mereka; bahawa warga asing tersebut juga manusia seperti mereka, tetapi ia juga menyembunyikan fakta bahawa musuh masyarakat terbanyak bukanlah mereka yang tertindas tetapi mereka yang berkuasa yang melakukan penindasan dan eksploitasi tersebut.
Sepertimana yang diperingatkan oleh Ahmad Boestamam, ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dalam Testamen Politik API (1946) tentang masyarakat berkelas yang dibawa masuk ke Malaya melalui sistem kolonial kapitalisme:
“Susunan ekonomi yang tidak terator pada pada masa ini menyebabkan timbul-nya dua klas ia-itu klas kaum modal dan klas kaum marhaen (proletar). Kedua2 klas ini terpaksa bertentang kerana berlainan kepentingan—yang pertama hendak menindas dan memeras yang kedua. A.P.I. berkeyakinan bahawa untok mendapatkan keadilan social itu maka pertentangan klas itu hendak-lah dihapuskan”.
Perlu diingatkan bahawa Ahmad Boestamam, seorang penggerak nasionalisme Melayu radikal yang ditentang hebat oleh UMNO dan British, dalam testamen politik ini menggesa penyatuan bukan sahaja antara orang Melayu tetapi juga penyatuan antara orang Melayu dan bukan Melayu, penyatuan semua bangsa di Asia dan penyatuan semua bangsa dunia dalam melawan penjajahan lama dan penjajahan bentuk baharu, yang dikepalai golongan imperialis yang juga kapitalis yang sama, yang bersubahat dengan kelas pemerintah bangsa yang dijajah yang terus berkuasa dan meragut hasil kekayaan milik bangsa yang dijajah.
Usaha murni penyatuan semua bangsa dunia tertindas ini juga dapat dilihat melalui penyertaan Dr. Burhanuddin Al-Helmy, pemimpin PKMM, dalam Konferens Asia-Afrika (juga dikenali sebagai Konferens Bandung) di Indonesia pada tahun 1955. Dalam ucapannya, Dr. Burhanuddin menegaskan:
“Kita di Malaya, dengan pelbagai komuniti dan bangsa yang berbeza adalah satu contoh penyatuan Asia-Afrika. Kekuatan kita adalah kekuatan semua manusia dan jika semua daripada kita sedar sepenuhnya akan kondisi masyarakat jadi tiada keraguan bahawa perubahan akan berlaku – perubahan hasil usaha kita – bukan perubahan kuasa asing [penjajah]”.
Semangat penyatuan semua bangsa manusia yang diangkat dalam Konferens Afro-Asia untuk melawan kuasa imperialis ini juga dapat dilihat dalam puisi bertajuk Kabar Dari Asia yang ditulis oleh Sasterawan Negara Usman Awang:
Dulu kita dipaksa jadi tukang sapu,
Tuan-tuan gemuk bayar gaji sambil goyang kaki,
Ada sahabat belakangnya dililiti cemeti,
Jadi lembu pedati kerja tanpa gaji.
Tahun-tahun yang manis dalam sejarah matari
Hidup baru mula di sinar terang sekali
Dua benua berpadu dalam satu hati,
Afro-Asia … untukmu kami berbakti.
Menchurah gemanya ke serata dunia,
Dalam sayap raksasa matari bersinar,
Manusia sama saja meski berapa warna,
Hitam kulit atau putih wajah – setara saja.
Serentak teriakan memusuhi peperangan,
Sederap ikrar membela perdamaian.
O manusia di seluruh benua,
Dengarlah, dengarkan detik jantung raksasa,
Gemuruh lagu chinta hidup bersama,
Dalam kibaran bendera damai sejahtera!
Dalam melawan lupa, perlu untuk diingatkan bahawa ideologi ketuanan Yahudi dalam gerakan politik Zionisme menjajah bumi Palestin terhasil dari ideologi ketuanan kulit putih.
Ideologi kulit putih ini digunakan penjajah bukan sahaja dalam penjajahan warga Palestin yang berlangsung hingga ke hari ini tetapi juga penjajahan terdahulu negara-negara lain seperti Malaysia yang kemudiannya melahirkan ideologi ketuanan ras seperti ketuanan Melayu - yang juga menyalahgunakan agama - yang serupa dengan ideologi ketuanan Yahudi.
Kebobrokan sebarang bentuk ideologi ketuanan yang membunuh rasa kemanusiaan jelas jika dilihat dengan mata hati.
Memanusiakan manusia yang dihinjak-hinjak penindasan oleh mereka yang berkuasa bukan lagi menjadi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab.
Seperti peringatan Saidina Ali Abi Talib kepada sabahatnya Maalik al-Ashtar dalam surat nombor 53 Nahjul Balagha:
“Manusia itu terbahagi kepada dua: saudaramu dalam agama dan mereka yang mempunyai hak yang sama seperti kamu atas dasar kemanusiaan”.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.