Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI KL: Musim tengkujuh di M'sia: Bencana bakal menimpa atau setakat amaran politik?

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Musim tengkujuh di M'sia: Bencana bakal menimpa atau setakat amaran politik?

Para penduduk meredah air banjir di Shah Alam, Selangor pada 21 Disember 2021. (Gambar Fail: Arif Kartono/AFP)

BERITAmediacorp: Dengan ketibaan bulan Oktober, ia juga bermakna musim monsun atau tengkujuh akan melanda tidak lama lagi.

Pada awal September, Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob telah menggesa rakyat negaranya supaya bersiap sedia berdepan dengan musim banjir. Pada masa yang sama, Encik Ismail Sabri turut mendedahkan bahawa beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBP) dan mengumumkan peruntukan dana sebagai persiapan dan respons terhadap bencana alam itu.

Antara kejadian banjir yang paling dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah banjir yang berlaku pada 2014 sehingga menyebabkan banyak kawasan di Kelantan ditenggelami air bah, dengan lebih 230,000 penduduk terpaksa berpindah dan kerosakan harta benda pula bernilai lebih RM1 bilion (S$303 juta).

Banjir kilat juga berlaku di banyak kawasan di Malaysia setiap tahun dan ia mencetuskan beban kewangan dan sosial yang sangat besar. Pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) antara 2003 hingga 2007 sedikit sebanyak mengurangkan kesan banjir, namun Lembah Klang masih menanggung kesan banjir kilat setiap kali ribut membadai.

Seorang wanita mendukung anaknya ketika menaiki bot dalam operasi pemindahan di Shah Alam, Selangor pada 20 Disember 2021. (Gambar: Arif Kartono/AFP)
Paras air mencecah paras rekod pada 2021 dengan beberapa kawasan di barat Selangor dan Kuala Lumpur mengalami banjir berlarutan yang paling buruk dalam sejarah. Pada musim yang sama, 'banjir puing' dan gelongsoran lumpur di Pahang dan Selangor turut mengakibatkan kemusnahan yang besar.

Mengapakah bencana-bencana ini masih mendatangkan impak yang begitu dahsyat setiap kali musim banjir melanda? Sebenarnya, terdapat pelbagai faktor di sebaliknya.

Di banyak negeri di utara dan timur Malaysia, punca pertama yang kerap dikenal pasti adalah pembasmian hutan yang berleluasa akibat pembangunan ladang atau pelombongan. Sesetengah saintis mengaitkan kejadian 'banjir puing' dengan fenomena tanah runtuh yang berlaku secara semula jadi selama beratus-ratus tahun. Kayu balak yang rosak turut menyumbang kepada kejadian tanah runtuh secara semula jadi dan bukan sekadar kegiatan pembalakan.
Para pekerja penyelamat mencari mangsa kejadian tanah runtuh susuli hujan lebat di Ampang di luar Kuala Lumpur pada 11 Mac 2022. (Gambar fail: Arif Kartono/AFP)
Namun para pengamat lain menarik perhatian kepada bukti jelas yang menunjukkan pembasmian hutan di kawasan-kawasan tanah tinggi berhampiran kawasan-kawasan yang sering kali dilanda banjir. Kehilangan pokok, sistem akar dan kemudian, tanah atas, mengurangkan kemampuan tanah dan saki-baki kawasan hutan untuk menyerap air hujan dan mencegah kepala air di kawasan-kawasan hilir.

Gabungan kedua-dua faktor itu mungkin mengakibatkan banjir 2021 yang begitu dahsyat, meragut nyawa sekurang-kurangnya 50 mangsa, menyebabkan sekitar 400,000 penduduk terpaksa berpindah dan memusnahkan sejumlah kampung di tebing sungai. Kerosakan yang dialami sepanjang musim banjir itu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.6 bilion (S$485 juta).

Di kawasan-kawasan bandar seperti Taman Sri Muda di Shah Alam, kekurangan dari segi ketersambungan sistem-sistem saliran air yang baru bagi pihak pemaju hartanah dan kerajaan, serta kelemahan pada kerja-kerja naik taraf dan penyenggaraan sistem-sistem sedia ada mewujudkan persekitaran yang tidak mampu bertahan terhadap tekanan air sungai yang bertali arus hingga ke hilir, digandingkan dengan hujan yang turun mencurah-curah.
Penduduk-penduduk Taman Sri Muda duduk dikelilingi serpihan susuli banjir di Shah Alam, Selangor pada 27 Disember 2021. (Gambar fail: Arif Kartono/AFP)

Saliran air yang tersumbat juga tidak diselenggarakan dengan baik dan sesetengah penduduk pula mempunyai tabiat yang suka membuang sampah sembarangan sehingga menyebabkan saliran air tersekat.

Kesemua projek pembangunan perlu dilengkapkan dengan sistem saliran air tersendiri untuk memastikan air dapat mengalir dan juga kolam air tadahan. Namun, di banyak kawasan, peraturan sedemikian tidak dipatuhi dan sistem-sistem saliran air yang usang tidak mampu bertahan dengan tekanan yang didatangkan oleh projek-projek pembangunan yang baru.

Bagi sesetengah projek, kawasan-kawasan yang sudah diperuntukkan bagi menyimpan air hujan telah dijual dan digunakan untuk tujuan lain. Kadangkala jalan raya dibina lebih tinggi daripada tanah sedia ada, namun tanpa saliran air di bawah jalan raya itu, ia akan meningkatkan risiko banjir. Sesetengah syarikat pemaju sekadar membina saliran air di permukaan tanah tanpa menggunakan pembetung konkrit. Ini akan menimbulkan masalah sekiranya berlaku hakisan tanah.

Masalah di Taman Sri Muda dirumitkan lagi oleh kedudukannya sebagai kawasan tadahan bagi air yang mengalir deras sepanjang Sungai Selangor dari sungai-sungai Pahang dan Selangor di hulu. Air sungai itu tidak dapat mengalir ke laut akibat air pasang besar yang berlaku pada masa yang sama. Kawasan tersebut jarang dilanda banjir besar dan lantaran itu, para penduduk dan agensi-agensi penyelamat tidak berupaya membuat persiapan yang sewajarnya.

Seperti yang dapat dilihat pada pembinaan Terowong SMART di Kuala Lumpur, ia sangat sukar untuk membaiki, meningkatkan dan membina sistem-sistem saliran baru di sesebuah kawasan yang sudah dibangunkan dengan jalan-jalan raya, rumah-rumah, pejabat-pejabat, pusat-pusat beli-belah dan infrastruktur-infrastruktur lain. Langkah memindahkan kesemua penduduk sesebuah taman perumahan dari sebuah kawasan yang sepatutnya dikekalkan sebagai kolam air tadahan atau kawasan penampan di tebing sungai, juga sangat rumit.

Namun apakah punca sebenar isu-isu tersebut?

Dalam isu pembalakan, lebih-lebih lagi di tanah Orang Asli, terdapat penindihan bidang kuasa undang-undang. Kerajaan Persekutuan Malaysia mentadbir undang-undang alam sekitar dan menjaga keperluan Orang Asli. Namun setiap negeri berhak menentukan kegunaan tanah serta sumber-sumber pertanian dan sebagainya.

Kilang kelapa sawit di Sepang. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)
Meskipun ada undang-undang alam sekitar yang melarang pembalakan di sekeliling kawasan-kawasan tadahan air atau kawasan-kawasan yang diwartakan bagi Orang Asli, terdapat juga beberapa pengecualian undang-undang (Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan) yang membenarkan kerajaan-kerajaan negeri untuk menolak peraturan-peraturan itu dalam keputusan-keputusan di peringkat negeri.

Lantaran itu, pembasmian hutan boleh berlaku sekiranya sesebuah negeri memutuskan untuk menebang pokok-pokok lama dan menjual kayu balak atau menyerahkan hak-hak penggunaan atau pelombongan kepada pembida tertinggi. Bahkan sesetengah negeri memilih untuk tidak mengiktiraf hak tanah Orang Asli.

Ada juga perbezaan antara pelbagai jenis hutan dan tahap perlindungan yang dilaksanakan. Tidak ramai yang menyedari bahawa sesetengah kawasan hutan sebenarnya diperuntukkan sebagai hutan tanaman industri. Ini bermakna pembalakan hutan-hutan itu boleh dijalankan namun dengan mengikut lingkaran kemampanan. Lantaran itu, sesetengah hutan yang dihapuskan bukan semestinya hutan larangan meskipun ia mungkin sudah dibiarkan selama turun-temurun dan mempunyai kepentingan ekologi.

Sekiranya berlaku banjir di kawasan bandar, ia sering kali disebabkan oleh perancangan bandar jangka panjang, atau melaksanakan projek-projek yang tidak mengikut pelan asal bagi merebut peluang-peluang perniagaan atau usaha sama yang lain.

Keputusan terletak di tangan mereka yang berada di peringkat tertinggi kuasa, dan mereka yang memiliki atau memegang pajakan bagi kawasan-kawasan yang diinginkan pihak-pihak berkenaan mungkin akhirnya perlu melepaskan tanah mereka.

Kepadatan penduduk di kawasan-kawasan bandar juga memudaratkan lagi masalah saliran air tersumbat dan menyebabkan ia sukar untuk memindahkan para penduduk ke kawasan-kawasan yang kurang terdedah kepada ancaman banjir.

Kesan-kesan perubahan iklim seperti kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap - lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan yang tidak biasa mencatatkan paras air hujan yang tinggi (seperti pantai barat Selangor) juga bukan merupakan faktor yang dapat dibendung.
Para mangsa banjir berteduh di sebuah pusat pemindahan sementara di Batu Berendam, Melaka pada 3 Januari 2022. (Gambar fail: Nazrulhad Hashim/AFP)
Sekalipun terdapat keterbatasan infrastruktur dan iklim yang menghambat usaha-usaha untuk mencegah kesan bencana-bencana tersebut, agensi-agensi tempatan dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil bersiap sedia untuk berdepan dengan banjir yang berlaku setiap tahun memandangkan Malaysia sudah dilanda banjir sejak sekian lama. Tahap kesiapsiagaan dapat dilihat pada pengumuman awal oleh kerajaan dan jaminan-jaminan oleh pelbagai agensi bahawa pihak mereka bersedia untuk bertindak.

Namun menjelang pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi, mungkin terdapat sebab-sebab tersirat di sebalik kenyataan-kenyataan sedemikian, lebih-lebih lagi setelah Jabatan Meteorologi Malaysia menolak kemungkinan ia mampu meramalkan lebih awal tempoh hujan lebat yang berpanjangan. Sebelum ini, pilihan raya jarang diadakan semasa musim banjir kerana rakyat dan agensi-agensi kerajaan akan sibuk dengan keselamatan diri dan negara.

Namun ada sebab-sebab politik di sebalik hasrat untuk mempercepatkan atau menangguhkan pilihan raya. Sesetengah penganalisis politik tertanya-tanya sama ada terdapat makna yang tersirat ataupun kewajaran di sebalik pengumuman-pengumuman awal tentang betapa buruknya musim monsun yang bakal melanda.

MENGENAI PENULIS:

Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau mengkaji interaksi antara manusia dengan habitat di kawasan pantai, politik sekitaran dan luar bandar serta sumber-sumber perikanan artisan di Malaysia.
Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan