Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Mungkin tiada kejutan pada PRN enam negeri di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Mungkin tiada kejutan pada PRN enam negeri di M'sia

(Gambar hiasan: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Jun 2023 11:10PM
BERITAmediacorp: Pilihan raya di enam negeri yang bakal diadakan dijangka tidak akan mencetuskan kejutan dengan pentadbiran yang berkhidmat sekarang kekal mentadbir negeri masing-masing.

Kami menjangkakan parti gabungan Kerajaan Perpaduan khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan kekal mentadbir di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional (PN) pula di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Kajian semasa menunjukkan sokongan luar biasa 'gelombang hijau' yang diperoleh PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu, dijangka akan menurun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ia berdasarkan sentimen dalam kalangan pengundi muda dan pengundi baru ketika ini yang dilihat lebih terbuka memberi peluang kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan, selain faktor kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sentimen positif terhadap Datuk Seri Anwar dan Kerajaan Perpaduan hampir sama seperti kajian Merdeka Center pada Februari lalu, yang ketika itu menunjukkan 68 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri dan 54 peratus berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan.
(Gambar fail: BERNAMA)

Namun secara keseluruhannya, gabungan Kerajaan Perpaduan memiliki kelebihan ketika ini kerana menguasai sokongan pengundi bukan Melayu, selain memiliki sekurang-kurangnya hampir separuh sokongan pengundi Melayu.

Pengundi muda semakin cenderung memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan dan kami menjangkakan sokongan diperoleh PN dalam PRN kali ini tidak setinggi yang diperoleh pada PRU15.

PERSAINGAN DI SELANGOR

Jika gabungan undi yang diperoleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018 di Selangor dijadikan sebagai kayu ukur, maka Kerajaan Perpaduan dijangka akan meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

Daripada anggaran dua juta orang yang membuang undi, parti-parti komponen PH dijangka memperoleh 58% (DAP 25%, PKR 24% dan Amanah 9%) undi dan BN lagi 21% (UMNO 16%, MCA 4% dan MIC 1 %).

Sebaliknya, 14% pengundi mungkin akan mengundi PAS, yang berjuang sendiri.

Sementara itu, Bersatu - yang merupakan sebahagian daripada PH pada 2018 - hanya memperoleh 6%, sekali gus memberikan Perikatan Nasional (PN) sejumlah 20%. Baki 1% mengundi untuk calon lain.

PARTI KOMPONEN DALAM KERAJAAN PERPADUAN PERLU BERHATI-HATI

Sungguhpun demikian, kami berpendapat parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu berhati-hati kerana trend Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu menunjukkan perubahan mungkin berlaku pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Sebagai contoh, jumlah pengundi di Selangor telah meningkat lebih 55% daripada 2.42 juta pada 2018 kepada 3.75 juta dalam senarai terkini pengundi – berikutan pendaftaran pengundi automatik dan Undi18 – dan ini berpotensi menjadikan persaingan lebih sengit.
Related article image
(Gambar fail: BERNAMA)
Pilihan Raya Negeri (PRN) sering dipengaruhi oleh isu-isu yang lebih setempat, sekali gus menambahkan lagi dimensi kepada pilihan raya tahun lalu.

Dalam konteks Selangor, terdapat perbezaan yang ketara antara persekutuan dan negeri dalam soal keutamaan parti.

Pada PRU15, adalah jelas bahawa sebahagian besar pengundi membuat pilihan mereka berdasarkan parti.

Sesetengah pengundi muda dan pengundi wanita Melayu turut mempertimbangkan personaliti dan isu sebelum membuang undi mereka.

KELEBIHAN PH DI SELANGOR

PH mempunyai kelebihan memandangkan pemerintahannya selama tiga penggal di Selangor boleh dianggap cukup berjaya.

Penyertaan UMNO dalam gabungan itu kini mengubah dinamik setempat, apatah lagi dalam kalangan penyokong PH yang mungkin sukar untuk menerima kerjasama dengan seteru lama pakatan tersebut.

Justeru, pemindahan undi daripada penyokong BN kepada calon PH dan sebaliknya mungkin akan menjadi satu cabaran.

Para penyokong UMNO mungkin akan memilih untuk tidak keluar mengundi atau menyokong calon PN kerana tidak berpuas hati dengan pemimpin mereka sendiri.

Satu lagi faktor yang dijangka akan memainkan peranan penting ialah persepsi masyarakat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun tinjauan oleh Merdeka Center pada Februari menunjukkan rating sokongan 68% untuk Datuk Seri Anwar dan negara secara amnya bergerak ke arah yang betul, sentimen ini boleh berubah dalam masa beberapa bulan akan datang.

Kami memerhatikan para pengundi muda Melayu semakin menyokong Datuk Seri Anwar dan PH.

Mereka mungkin berhati-hati dengan tumpuan PN terhadap kaum dan agama dan kekurangan saranan yang kukuh tentang cara-cara untuk memperbaiki isu kos sara hidup.

Walau bagaimanapun, ini mungkin buat sementara waktu sahaja. Lantaran itu, PH perlu bekerja lebih keras untuk menunjukkan bahawa keputusannya untuk bekerjasama dengan UMNO-BN adalah untuk jangka panjang, walaupun sesetengah pemimpin BN tidak selesa dengan kerjasama itu.
Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid di Perhimpunan UMNO. (Gambar fail: BERNAMA)

UMNO juga berdepan dengan tugas yang berat dan mencabar selepas mencatatkan prestasi yang hambar pada PRU15.

Semasa PRU14 pada 2018, PH yang bertanding menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu mencatat kemenangan besar di Pulau Pinang dan Selangor, selain merampas Negeri Sembilan daripada BN.

Ketika itu, PH memperoleh 37 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, 51 daripada 56 kerusi di Selangor dan 20 daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan.

Gabungan PH dan BN yang membentuk kerjasama pasca PRU15 mampu mencatat kemenangan mudah dan selesa kepada Kerajaan Perpaduan.

Sungguhpun demikian, gabungan BN-PH mungkin sukar untuk mencetus perubahan pada kerusi yang memiliki 75 peratus pengundi Melayu di Kelantan, Terengganu dan beberapa kerusi di Kedah.

MASIH DIBAYANGI ISU-ISU SEMASA

Isu-isu semasa seperti kos sara hidup, kemerosotan nilai ringgit dan situasi ekonomi rakyat memberi kesan negatif kepada Kerajaan Perpaduan, namun ia diimbangi oleh pengaruh pemimpin tertentu.
(Gambar hiasan: BERNAMA)

Sebagai contoh, pengaruh Datuk Seri Anwar semakin meluas selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kerana kerap ditonjolkan mendepani pelbagai isu semasa dalam media, berbanding sebelum PRU15.

Para pengundi melihat Kerajaan Perpaduan cuba sedaya upaya untuk mengatasi isu berbangkit dan sedikit sebanyak memberi keseimbangan terhadap beberapa isu yang memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan.

Isu seperti kos sara hidup memang memberi kesan negatif kepada Kerajaan Perpaduan kerana sesetengah rakyat tidak sabar mahu melihat perubahan dalam masa singkat, namun tidak semua pengundi berkongsi sentimen sedemikian.

Sesetengah rakyat ingin memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan masalah dan mereka faham bahawa enam bulan adalah tempoh yang singkat untuk kerajaan mengatasi masalah-masalah negara.
Related article image
Gambar: Ibrahim Suffian
MENGENAI PENULIS
Ibrahim Suffian adalah Pengarah Program firma penyelidikan pendapat Merdeka Center.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita