NOTA DARI KL: Merdeka Yang Belum Sempurna
Bendera Malaysia yang turut dikenali sebagai Jalur Gemilang. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-68 kemerdekaan Tanah Melayu pada hujung minggu ini, iaitu tanggal 31 Ogos. Pada 16 hari bulan September pula, ia akan meraikan pembentukan persekutuan melalui sambutan Hari Malaysia yang ke-62.
Penghayatan kedua-dua tarikh ini sebenarnya amat penting bagi memupuk identiti kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bulan Merdeka sepatutnya merakam nostalgia dan menjadi satu peluang muhasabah bagi menghargai nilai kebebasan. Manakala sepanjang minggu Hari Malaysia, sewajarnya mempromosikan semangat muhibah dan mengukuhkan pemahaman kita tentang konsep negara bangsa.
Namun, timbul banyak isu nasional mutakhir ini yang melebar jurang sesama rakyat Malaysia sehingga membangkitkan persoalan tentang betapa rapuhnya kemerdekaan yang telah dikecapi.
Kisah Menyayat Hati
Menyingkap kes Zara Qairina, seorang pelajar tingkatan satu di Sabah yang menyuntik rasa duka dan simpati meluas sehingga mendapat perhatian seluruh negara. Kematian mengejut adik Zara diterjemah secara spontan dengan beberapa siri protes awam yang menuntut penjelasan dan ketelusan daripada pihak berkuasa.
Sejak tragedi itu juga, perbincangan di alam maya berubah menjadi gelombang yang membingitkan dengan pelbagai teori konspirasi, bahan spekulasi serta tomahan dan fitnah. Fakta kes melibatkan tekanan buli, kesihatan mental dan isu keselamatan anak-anak di sekolah akhirnya tenggelam dengan naratif politik dan ledakan emosi.
Malang sekali di Bulan Merdeka ini, begitu ramai yang telah terpengaruh dengan manipulasi maklumat dan penyebaran berita palsu. Erti merdeka bukan hanya soal kebebasan informasi tetapi juga "memerdekakan diri" daripada berita palsu dan mengambil kesempatan daripada kesedihan orang lain untuk meraih undi atau menumpang populariti.
Walaupun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sudah memberikan penerangan di Parlimen dan mengarahkan siasatan rasmi diteruskan, tahap keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan institusi negara kian luntur disebabkan oleh kelengahan pihak berwajib mengurus persepsi dan memikul tanggungjawab.
Selain itu, Kerajaan MADANI perlu mula berwaspada terhadap ‘mood’ rakyat lebih-lebih lagi dengan kekerapan protes-protes seperti ‘Pertahan Kebebasan Institusi Kehakiman’ dan ‘Turun Anwar’ yang berlaku baru-baru ini.
Perbuatan Menyakitkan Hati
Kontroversi membabitkan bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang yang dipasang terbalik memenuhi ruang berita sejak kebelakangan ini. Penyalahgunaan bendera pernah berlaku sebelum ini, tetapi kerap berulang tahun ini tatkala menghampiri 31 Ogos.
Adalah janggal melihat kibaran Jalur Gemilang yang dipasang terbalik setelah hampir tujuh dekad bersama. Sama ada secara tidak sengaja mahupun bermotif, perkara ini mencetuskan persoalan serius tentang tanda hormat kepada lambang-lambang kenegaraan.
Lebih parah, ia membangkitkan unsur-unsur perkauman yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Bermula di sebuah sekolah vernakular di Negeri Sembilan, diikuti dengan sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang, kemudian sebuah klinik pergigian di Johor dan terakhir sebuah premis perniagaan di Kuala Lumpur telah mencetuskan situasi tegang, secara khususnya antara dua buah parti politik bertunjangkan kaum.
Ini ekoran taklimat khas mengenai TVET antara Timbalan Perdana Menteri I, Ahmad Zahid Hamidi dan 30 Ahli Parlimen DAP di ibu pejabat UMNO pada hujung Julai lalu. Wujud desas-desus mengenai kegusaran akar umbi terhadap proses kecairan ideologi teras parti masing-masing.
Lantaran itu, isu bendera terbalik dianggap peluang strategik bagi sesetengah pemimpin muda menghidupkan perseteruan lama sebagai imbangan kepada pertemuan tersebut. Jalur Gemilang yang sepatutnya menjadi lambang perpaduan kini terpalit dengan persaingan ‘mileage’ politik untuk tampil menjadi jaguh patriotik.
Imej ‘wira’ yang dicapai oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, pada mata sekelompok pengundi Melayu datang dengan harga mahal iaitu pentadbiran Kerajaan MADANI dilihat lemah mengawal keadaan.
Tuntutan agar tindakan keras diambil terhadap mereka yang didakwa mencemari Jalur Gemilang tidak boleh dilakukan dengan lensa perkauman. Ia perlu ditegakkan melalui aspek perundangan.
Kekhilafan lambang kenegaraan tidak boleh ditangani dengan sekadar kaedah mewajibkan pemakaian lencana. Ia perlu dilenturkan dengan literasi, dialog dan wacana kenegaraan.
Peristiwa Meresah Hati
Serangan fizikal menggunakan jarum terhadap anak tunggal mantan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada 14 Ogos yang lalu bukan sekadar ancaman jenayah, bahkan ia membongkar sisi gelap realiti politik di Malaysia yang terus dibayangi budaya intimidasi.
Satu hakikat yang pahit menyaksikan kelantangan bersuara di negara ini dibayar dengan risiko keselamatan awam bagi seorang tokoh politik dan ahli keluarganya. Pengorbanan yang harus ditempuhi pasti sukar apabila anaknya yang baru berusia 12 tahun tergamak dijadikan sasaran.
Dendam politik sebegini dipercayai berkait dengan penglibatan Rafizi dalam menerima aduan tentang pendedahan skandal rasuah seseorang yang pernah berada dalam ‘inner circle’ (golongan dalaman) Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam mana-mana masyarakat yang benar-benar merdeka, perbuatan menganiaya nyawa keluarga apatah lagi anak kecil tidak boleh dibiarkan berlaku. Harus ada kesungguhan daripada Kerajaan MADANI untuk memperbaiki keraguan rakyat terhadap integriti sistem, termasuklah institusi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Syor daripada pihak SPRM untuk disiarkan secara langsung perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi dan hebahan umum tentang setiap penangkapan yang dilakukan SPRM adalah remeh berbanding usaha membanteras kartel, taikun serta operator-operator berpengaruh di sebalik tirai medan politik.
Perihal Ketawaran Hati
Insiden ajak bertumbuk melibatkan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim dari PAS dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dari DAP bukan sekadar episod panas di Dewan Rakyat. Aksi provokatif dengan ejekan dan bahasa kesat memberi isyarat bahawa mutu debat semakin tenggelam daripada hujah bernas kepada serangan peribadi.
Kekecohan bermula dengan ucapan penuh retorik oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Hadi Awang sebelum dicelah oleh beberapa wakil rakyat daripada DAP. Akhirnya, Awang Hashim bertindak kasar lalu mencabar Rayer di belakang Dewan agar dilihat seolah-olah mempertahankan maruah Presiden partinya melebihi kepentingan negara.
Sebagai salah satu tunggak utama kenegaraan, institusi Parlimen tidak seharusnya dicemari dengan kelakuan jelik segelintir ahli politik yang mengejar publisiti murahan untuk menonjol di hadapan kamera. Rakyat mengharapkan kepimpinan yang matang, bukannya sandiwara ego ataupun hiburan taraf rendah.
Tatkala perkara seperti pergolakan geopolitik dunia, impak tarif Amerika Syarikat terhadap rantaian bekalan, cabaran kos sara hidup dan kefahaman perkembangan teknologi digital sepatutnya menjadi tumpuan utama di Parlimen, persengketaan tidak berharga ini sebaliknya diutamakan sehingga masyarakat bertambah kecewa dengan sistem demokrasi.
Kewibawaan Parlimen sebagai tempat untuk merangka dasar awam jangka panjang, menyemak keputusan eksekutif dan melindungi kepentingan rakyat tercalar disebabkan oleh sikap buruk wakil rakyat yang menjadikannya sebagai gelanggang untuk bersandiwara. Awang Hashim hanya digantung selama 10 hari persidangan Parlimen.
Perilaku sedemikian seolah-olah mencerminkan suasana berkempen dan persaingan 'partisan' menuju ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), di mana politik berteraskan personaliti mengatasi politik berunsur dasar.
Kembali Retak
Keempat-empat ‘flashpoints’ ini bukan kebetulan yang berasingan, malah ia berkait sebagai simptom bahawa Malaysia masih bergelut dengan banyak ‘faultlines’.
Kita perlu merenung kembali, apakah maksud sebenar kemerdekaan di lubuk sanubari kita. Dan apakah makna institusi demokrasi jika masih tidak mahu bersatu hati dan mewujudkan sebuah Malaysia yang harmoni. Kita mesti lakukan lebih baik lagi.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.