Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI KL: Menu Rahmah ini bantuan sekali saja atau titik permulaan huraian berdaya maju?

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Bagi menangani kos makanan yang semakin meningkat, Kerajaan Perpaduan melancarkan inisiatif untuk menyediakan makanan pada harga dalam kemampuan rakyat di bawah program Menu Rahmah pada 31 Januari 2023.

Program itu diuar-uarkan kerana berhasil menggembleng sumber dalam kalangan peniaga makanan dan runcit serta persatuan masing-masing dalam usaha menyediakan pilihan makanan seimbang dan minuman pada harga kurang RM5 (S$1.52) kepada golongan paling miskin di Malaysia.

Ia dilaksanakan tanpa mendatangkan kos kepada kerajaan. Ini bermakna ia tidak akan memberatkan lagi beban defisit kerajaan.

Setakat ini, antara syarikat yang tampil untuk menawarkan Menu Rahmah adalah Mydin, Burger King, Chatime dan 4,000 kedai makan di bawah berbilang persatuan pemilik restoran dan kedai kopi.

Meskipun Menu Rahmah yang ditawarkan tidak dibataskan, sasarannya adalah untuk menawarkannya di 15,000 kedai makan merata Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub mengatakan rangkaian makanan segera seperti KFC dan McDonald’s akan turut serta tidak lama lagi, selain kedai-kedai makan di bawah naungan Persatuan Restoran Cina Malaysia. Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin pula mengumumkan Menu Rahmah juga akan disediakan di semua institusi pengajian tinggi awam menjelang Julai dan usaha sedang dijalankan untuk turut melibatkan institusi-institusi swasta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup M'sia Salahuddin Ayub (kiri) melihat barangan jualan Rahmah selepas Majlis pelancaran Program Rahmah AEON BiG di Wangsa Maju. (Gambar: Bernama)
DAYA MAJU MENU RAHMAH

Sungguhpun tujuan inisiatif itu adalah untuk menjamin bekalan makanan bermutu yang mencukupi pada kos berpatutan bagi para pengguna, ia memerlukan persefahaman dalam kalangan peniaga supaya rela mengurangkan keuntungan bagi setiap hidangan Menu Rahmah.

Lantaran itu, daya maju inisiatif tersebut dari segi kewangan bergantung kepada jumlah tinggi hidangan yang disajikan.

Syarikat-syarikat peruncit besar seperti Mydin mampu mengurangkan kos dengan membeli bahan-bahan secara borong.

Namun sebaliknya, inisiatif itu mungkin membebankan peniaga-peniaga makanan kecil-kecilan yang membawa pulang keuntungan kurang daripada RM150 (S$45.20) setiap hari.

Meskipun pihak kementerian yakin bahawa inisiatif itu akan dapat mengurangkan harga makanan melalui persaingan, para peniaga juga memberikan maklum balas bahawa mereka meraih manfaat daripada para pelanggan yang membeli hidangan sampingan dan minuman berserta pilihan Menu Rahmah masing-masing.

Pada masa yang sama, daya maju program sedemikian dalam jangka panjang menimbulkan tanda tanya dan dipersoalkan dan Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin pula mengatakan bahawa syarikat itu hanya boleh mengekalkan Menu Rahmah selama tiga bulan kecuali kerajaan dapat sedikit sebanyak menyalurkan bantuan.

Encik Salahuddin berkata beliau sedang merundingkan insentif bagi para peniaga yang menawarkan Menu Rahmah. Ini mungkin dapat disediakan dalam bentuk pelepasan sewa atau akses kepada pekerja hijrahan.

PUNCA MASALAH PERLU DITANGANI

Menu Rahmah kelihatan seperti huraian jangka pendek dalam menangani harga makanan yang semakin meningkat dan kesulitan ekonomi yang meluas.

Meskipun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan inflasi menyusut sedikit (didorong oleh kenaikan kos makanan) pada Disember 2022 (inflasi dari 4 peratus berbanding setahun sebelumnya pada November 2022 kepada 3.8 peratus pada Disember 2022), ia masih merupakan kenaikan yang ketara berbanding Disember 2021 apabila kadar inflasi berada pada paras 2.5 peratus.
Gambar hiasan rakyat Malaysia di Bazar Ramadan Kelana Jaya. (Gambar fail: Fadza Ishak)
Tinjauan Ekonomi 2023 menyatakan kenaikan harga makanan sebagai punca inflasi. Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa lonjakan kos makanan baru-baru ini berpunca daripada gabungan pandemik sejagat dan perang di Ukraine, dengan kedua-duanya menyumbang kepada gangguan bekalan dan kenaikan kos bahan bakar dan pengangkutan.

Nilai mata wang asing yang bertambah kukuh, terutamanya Dolar Amerika, juga menambahkan lagi tekanan. Ini secara langsung menaikkan harga import makanan dan bahan makanan haiwan, yang kemudiannya meningkatkan harga barangan di dalam negeri.

Para pembekal dan pengeluar makanan Malaysia juga terjejas teruk oleh peningkatan mendadak pada permintaan dalam negeri melewati pandemik COVID-19, cuaca ekstrem dan kesan perubahan iklim yang menghambat pengeluaran dalam kalangan penternak.

Dalam Laporan Tahunan 2021, Bank Negara Malaysia mencatatkan perbezaan antara Indeks Harga Pengguna (CPI), yang dihitung berdasarkan harga sebilangan barangan tetap dan Indeks Harga Harian (EPI) yang mengambil kira harga barang yang kerap dibeli (sekurang-kurangnya sebulan sekali). Angka itu lebih selaras dengan tanggapan para pengguna yang berbelanja untuk barangan keperluan harian dan mendapati perbelanjaan bulanan mereka semakin meningkat.

Perangkaan Bank Negara menunjukkan bahawa EPI meningkat sebanyak 2.6 peratus antara 2010 hingga 2019, berbanding 2.1 peratus menurut CPI.

Menurut tinjauan dalam kalangan pengguna, harga sayur-sayuran dan ikan masing-masing sudah meningkat sebanyak 4.5 peratus dan 3.8 peratus. Perangkaan DOSM menunjukkan bahawa pada suku keempat 2021, inflasi harga ayam dan telur masing-masing berada pada paras 13.9 peratus dan 10.5 peratus, berbanding inflasi 1.9 peratus dan 1.7 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Bagi menyelesaikan masalah harga makanan yang semakin meningkat, lebih banyak usaha perlu dijalankan, selain menawarkan hidangan-hidangan lebih dimampui, meskipun program itu dapat sedikit sebanyak membekalkan rakyat dengan hidangan lebih seimbang.

Meskipun kawalan harga sudah dikuatkuasakan bagi barangan keperluan harian seperti ayam, telur, minyak masak dan tepung, sumber-sumber makanan yang diimport perlu dipelbagaikan untuk mengurangkan risiko bergantung kepada hanya sebilangan sumber semata-mata. Pelaburan bermutu dalam sektor agromakanan juga perlu digalakkan selain meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi gangguan dek perubahan iklim.

Langkah mengawal harga runcit yang bertujuan untuk membantu pengguna berpendapatan rendah akan meningkatkan lagi tekanan ke atas para pengeluar makanan seperti nelayan dan petani. Syarikat-syarikat pengantara dan pemborong yang lebih besar dan berpengaruh akan berusaha untuk mengekalkan keuntungan masing-masing. Ini secara langsung akan mengurangkan pendapatan golongan berpendapatan rendah yang membekalkan produk asas tani.

Ini mungkin dapat mendorong mereka untuk meninggalkan industri tersebut dalam jangka panjang kerana perlu menanggung beban kos yang semakin berat, kejadian cuaca ekstrem dan kemudian mengurangkan lagi bekalan makanan. Ironinya, golongan-golongan sedemikian memerlukan bantuan kerajaan untuk menjamin bekalan makanan, tetapi pada masa yang sama, turut menanggung kesan ekoran langkah-langkah bagi mengawal pasaran.

ISU PENDAPATAN RENDAH

Sebarang perbincangan mengenai kenaikan harga dan kos sara hidup tidak akan lengkap tanpa meneliti punca masalah, iaitu tahap pendapatan minimum yang rendah dan tahap kemiskinan.

Sepanjang tempoh COVID-19 melanda, 20 peratus daripada golongan M40 (keluarga-keluarga berpendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 (S$1,469 hingga S$3,320) terjerumus ke dalam kategori B40.

Dalam kalangan keluarga dalam golongan B40, 12.5 peratus daripada mereka memasuki kategori miskin tegar (keluarga berpendapatan kurang daripada RM2,500 atau S$757.44). Perangkaan DOSM menunjukkan dua sumber pendapatan utama, iaitu gaji pekerjaan dan pendapatan bekerja sendiri, masing-masing merosot sebanyak 16.1 peratus dan 9.7 peratus pada tahun 2020.

Memandangkan ramai pekerja kehilangan pekerjaan atau terpaksa mengurangkan waktu bekerja sepanjang tempoh kawalan pergerakan dan di tengah-tengah persekitaran ekonomi merudum, rakyat bergelut dengan sumber mata pencarian yang hilang, merosot atau kekal sama berserta dengan kos sara hidup yang semakin bertambah.

Bagi golongan B40, sebahagian besar daripada perbelanjaan bulanan keluarga disalurkan kepada makanan (35 peratus), dan sebahagian besar daripada perbelanjaan mereka digunakan untuk membeli barangan keperluan asas, yang kesemuanya semakin mahal.

Perbelanjaan keluarga yang bertambah juga bermakna, wang simpanan mereka kian menyusut dan yang lebih penting, mereka kekurangan hasil pendapatan untuk berdepan dengan kecemasan perubatan atau perbelanjaan tinggi dari semasa ke semasa seperti menjelang penggal baru persekolahan, kelahiran cahaya mata atau bagi menyambut perayaan.

Laporan Bank Negara menyatakan bahawa bagi B40, purata pendapatan keluarga selepas menolak perbelanjaan dan tanggungan kewangan adalah RM230 (S$69.36) sebulan. Keluarga-keluarga berpendapatan rendah menanggung beban lebih berat akibat kenaikan harga barangan. Bantuan makanan dan pengagihan wang tunai hanya dapat dilaksanakan sebagai huraian jangka pendek demi penakatan keluarga-keluarga sedemikian.

MEMPERLUASKAN BANTUAN RAHMAH

Inisiatif Menu Rahmah hanyalah titik permulaan dalam program bantuan Kerajaan Perpaduan.

Program Keluarga Malaysia yang dilancarkan oleh pentadbiran mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada dasarnya akan dijenamakan semula sebagai Sumbangan Tunai Rahmah yang akan mengagihkan wang tunai kepada golongan B40.

Terdapat juga rancangan untuk bekerjasama dengan para pengeluar dan peruncit tekstil bagi menjayakan daya usaha Baju Raya Rahmah untuk menyediakan pakaian sedondon menjelang musim perayaan bagi seisi keluarga pada harga yang berpatutan.

Pada masa yang sama, usaha perlu dipergiatkan untuk menjamin kestabilan politik demi meningkatkan keyakinan pelabur, menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara bagi memacu pembangunan ekonomi dan meningkatkan nilai mata wang Ringgit Malaysia.

Tanpa pembaharuan sebenar struktur dan institusi, Malaysia akan terus terperangkap dalam kitaran bantuan jangka pendek tanpa menghuraikan masalah-masalah dalam jangka panjang.

MENGENAI PENULIS:
Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS – Institut Yusof Ishak. Beliau mengkaji interaksi antara manusia dengan habitat di kawasan pantai, politik sekitaran dan luar bandar serta sumber-sumber perikanan artisan di Malaysia.
Zamil Pelawat di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Dr Serina Rahman.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan