Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Mengapa Tengkarah Kampung Sungai Baru Ujian Terbesar Kerajaan MADANI?

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Mengapa Tengkarah Kampung Sungai Baru Ujian Terbesar Kerajaan MADANI?

Kekecohan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur pada 11 September 2025. (Gambar: Facebook/Saifuddin Nasution Ismail)

KUALA LUMPUR: Pada 28 Ogos yang lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Nga Kor Ming gagal dalam percubaan untuk meluluskan rang undang-undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar yang lebih dikenali sebagai URA. Niat tersebut tergendala separuh jalan dan ditangguhkan secara terpaksa, maka perlu dibentangkan semula pada sesi Parlimen yang berikut pada 6 Oktober ini.

Ini berikutan draf RUU tersebut telah dikritik hebat oleh beberapa pakar dan organisasi masyarakat sivil yang mendapati banyak kelompongan dalam draf yang disediakan oleh KPKT. RUU ini juga telah mengakibatkan perselisihan pendapat yang ketara antara Ahli Parlimen daripada parti-parti dalam gabungan Kerajaan MADANI.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah menyatakan bahawa pentadbiran beliau tidak akan membenarkan URA menjejaskan status pemilikan tanah, malah ia akan melindungi hak pemilik dengan pampasan yang setimpal melebihi harga pasaran. Beliau membalas hujah pihak pembangkang yang percaya bahawa masyarakat Bumiputera bakal terusir dari bandar-bandar sekiranya URA dilaksanakan kerajaan.

PM Anwar juga pernah meletakkan isu menaik taraf infrastruktur bandar sebagai salah satu agenda utama pada permulaan penggal kepimpinan beliau. Ini termasuklah hasrat untuk membaik pulih perumahan usang, menyediakan kemudahan kondusif kepada para penjaja dan menaikkan taraf hidup penghuni bandar.

Related article image
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perancangan 2024. (Gambar: BERNAMA)

Namun agenda baik tersebut kini menjadi situasi yang menguji kredibiliti Kerajaan MADANI apabila langkah itu diterjemah sebagai satu aksi tergesa-gesa oleh Menteri KPKT. Cubaan untuk ‘bulldoze’ URA ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat bandar, badan profesional dan juga beberapa wakil rakyat.

Rata-rata mereka merasakan bahawa URA membuka laluan undang-undang yang mengizinkan campur tangan Kerajaan Persekutuan ke atas tanah dan memberi budi bicara terlalu luas kepada pihak KPKT.

Hal ehwal tanah di Malaysia secara tradisinya diletakkan di bawah bidang kuasa negeri. Terdapat cadangan daripada beberapa pihak kepada Kerajaan Negeri yang menasihati agar menolak atau menangguhkan pelaksanaan URA di peringkat negeri sekiranya ia diluluskan di Parlimen.

Kecacatan Dasar URA

Isu pokok bagi penentangan terhadap URA ini berpunca daripada salah satu dari tiga elemen di dalam RUU tersebut. Aspek ‘pembangunan semula’ yang sepatutnya menjadi langkah terakhir dalam URA menjadi keutamaan dengan menekankan model yang sempit serta berpusat kepada kegiatan perobohan, berbanding dengan ‘penjanaan semula’ ataupun ‘penyegaran semula’.

Related article image
Nga Kor Ming membentangkan Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) di Dewan Rakyat pada 21 Ogos 2025. (Gambar: BERNAMA)
Kebimbangan awam menjadi lebih besar apabila cadangan-cadangan dan maklum balas yang bersifat kritikal telah dikemukakan oleh pertubuhan masyarakat sivil kepada KPKT dalam sesi libat urus langsung tidak diendahkan. Ini menjadi asas kukuh kepada desakan keras agar draf URA sedia ada dirombak dengan serta-merta.

Menteri KPKT berulang kali menegaskan bahawa draf URA telah dibentuk melalui ratusan sesi perjumpaan bersama dengan pemegang taruh. Beliau memetik puluhan lawatan dan lebih daripada 100 sesi dialog sebagai bukti penglibatan pihak-pihak berkepentingan, bahkan menggesa agar bantahan terhadap URA dibawa secara aman dan rasional.

Namun, jumlah perjumpaan tidak menandakan kualiti atau ketulusan penglibatan. Seolah-olah hanya sekadar ‘cukup syarat’.

Keraguan ini memburukkan lagi keadaan apabila isu utama URA tiada jaminan berbentuk perlindungan dari sudut sosioekonomi buat pemilik yang terkesan, serta memberi bidang kuasa luar biasa kepada Menteri seperti draf asal yang disediakan pada peringkat awal oleh agensi bertanggungjawab iaitu PLANMalaysia.
Related article image
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PLANMalaysia), Dr Alias Rameli. (Gambar: BERNAMA)
Antara isu lain berkenaan URA termasuklah aspek penurunan nilai ambang persetujuan di bawah 100% yang membolehkan pemilik minoriti yang tidak bersetuju diketepikan dan dipaksa menyerahkan harta mereka walaupun bertentangan dengan kehendak mereka.

Seterusnya, URA tidak mewajibkan penilaian impak sosial, impak trafik, mahupun impak kesihatan yang menimbulkan kegelisahan serius bagi masyarakat. URA juga dalam versi sedia ada ini tidak menyediakan sebarang garis panduan atau peraturan terperinci, apatah lagi membuka ruang untuk membahaskan ia bersama para pemegang taruh.

Garis panduan ini sepatutnya dibentangkan bersekali (bersama) dengan RUU, termasuklah garis masa, kaedah pengesahan persetujuan, syarat kelayakan pemaju, formula pampasan, mekanisme penyelesaian pertikaian serta perlindungan untuk pemilik yang meninggal dunia atau tidak dapat dikesan.

‘Survival’ Melayu Bandar

Insiden di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur pada 11 September lalu telah menjadi simbol pertarungan antara masyarakat Melayu yang diancam pengusiran dari tempat tinggal mereka dengan kuasa pembangunan komersial.

Kekecohan yang berlaku sehingga menyebabkan kecederaan fizikal ke atas Ketua Polis Dang Wangi muncul sebagai amaran jelas dalam konteks politik Malaysia yang sensitif identiti. Apabila rakyat merasakan bahawa proses tidak adil, tindak balas spontan dan konfrontasi boleh berlaku, lantas isu ini segera berubah menjadi risiko politik.
Related article image
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu. (Ihsan: Gambar tular di media sosial)
Tambahan pula, pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telahpun menandakan tanah untuk tujuan pembaharuan melalui Pelan Tempatan KL 2040. DBKL telah mengenal pasti lebih 100 tapak yang ‘diutamakan’ lantas meletakkan lebih banyak masyarakat Melayu di bandar dalam zon risiko apabila URA dikuatkuasakan kelak untuk memudahkan peralihan hak pemilikan atau pemaksaan perolehan tanah.

Cara mengurus isu URA telah mencetuskan beberapa persoalan berhubung tahap kepercayaan umum terhadap Kerajaan MADANI.

Patutkah pusat bandar Kuala Lumpur dimodenkan sepenuhnya, atau adakah penempatan Melayu bersejarah perlu dilindungi? Adakah penduduk diberi pampasan yang setimpal untuk tanah di salah satu zon paling mahal di Malaysia?
Related article image
Polis mengawal keadaan di Kampung Sungai Baru. (Gambar: BERNAMA)
Apakah penentuan tapak dan perancangan bandar yang sepatutnya dijalankan dengan proses libat urus yang telus akan berubah menjadi alat untuk memudahkan pemaju swasta apabila URA memberi kuasa yang memihak kepada pihak persekutuan? Siapa yang mendapat manfaat ketika pemilik dan penyewa paling lemah terancam?

Tekanan Di Parlimen

Reaksi politik terhadap URA menunjukkan berlaku keretakan sokongan dalam Kerajaan MADANI. Ahli Parlimen penyokong kerajaan, termasuk beberapa pimpinan utama Barisan Nasional (BN) telah menggesa agar URA ditangguhkan sehingga perbincangan semula dijalankan, malah telah membingkai isu ini sebagai ancaman kepada masyarakat Melayu tempatan.

Strategi itu memberi ruang politik kepada Parti UMNO untuk kembali menjuarai suara Melayu konservatif, manakala pihak pembangkang seperti PAS mula mencari rentak menghidupkan mobilisasi jentera pilihan raya dengan menyerlahkan imej Kerajaan MADANI sebagai ‘out of touch’ daripada akar permasalahan rakyat.

UMNO juga telah menubuhkan pasukan khas parti yang diketuai Ahli Parlimen Titiwangsa dan seorang Menteri Kabinet, Johari Ghani untuk menilai semula isu perihal URA. Ini memberi isyarat bahawa bantahan terhadap URA telah menembusi barisan hadapan dan belakang Kerajaan MADANI.
Related article image
Naib Presiden UMNO Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar. (Gambar: BERNAMA)
Rentetan daripada beberapa siri wacana awam, forum tertutup, persidangan khas dan penyataan akhbar yang dianjurkan oleh pelbagai NGO dan badan pemikir sekitar penghujung bulan September, momentum kempen ‘anti-URA’ kini beralih kepada gerakan oleh ahli politik sepanjang minggu pertama Oktober.

Bermula dengan penyerahan memorandum kepada beberapa Ahli Parlimen pada 1 Oktober, disusuli mesyuarat ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2 Oktober, diikuti dengan penganjuran konvensyen khas tentang URA oleh UMNO pada 3 Oktober dan perhimpunan bantahan besar-besaran anjuran PAS pada 4 Oktober.

Kesemua tindakan ini akhirnya menjurus kepada tujuan mempengaruhi keputusan mesyuarat pra-majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri bersama ketua whip parti-parti kerajaan pada 5 Oktober.

Sekiranya didapati penentangan dari luar mampu membayangkan risiko politik dan menggugat pentadbiran PM Anwar Ibrahim walaupun mempunyai majoriti selesa di atas kertas, sudah pasti akan berlaku perbincangan untuk berkompromi agar URA ditangguhkan dahulu supaya Kerajaan MADANI kembali stabil.

Moratorium Buat URA

Bagi Kerajaan MADANI, pilihan yang ada amat terhad. Jika diteruskan kemahuan Menteri KPKT, URA berpotensi menjadi asbab berlakunya konsolidasi sentimen penentangan, bukan sahaja daripada pihak pembangkang tetapi juga segmen pengundi atas pagar terutama golongan bandar yang sebelum ini melihat Kerajaan MADANI sebagai alternatif pentadbiran.

Namun, jika kerajaan menarik balik dan menyusun semula proses dengan lebih telus, maka ia boleh memulihkan kredibiliti penggubal dasar dan menukar isu teknikal seperti URA menjadi contoh pencapaian pemerintahan yang responsif terhadap kepentingan rakyat.

URA bukan sahaja suatu undang-undang pembaharuan berbentuk fizikal semata-mata. Bahkan, ia adalah ujian naratif politik bagi Kerajaan MADANI untuk meluluskan sesuatu RUU secara tertib. Apa pun pilihan yang diambil, hasilnya akan mencorakkan landskap politik seterusnya buat Malaysia.
Related article image
Nga Kor Ming terima memorandum sokong Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dari hampir 100 penduduk. (Gambar: X/Nga Kor Ming)

Adalah penting untuk para pemimpin negara sanggup mendengar, sudi menghormati dan sedia melindungi rakyatnya sendiri, bukannya terus memaksa undang-undang yang mempunyai implikasi amat besar semata-mata demi memenuhi ego peribadi dan aspirasi politik dari seorang menteri.

Jika tidak, trend politik pasti akan membalas dengan cara yang paling tidak ramah untuk niat dasar yang baik tetapi tidak mengendahkan kesediaan rakyat, iaitu di kotak undi.

MENGENAI PENULIS

Related article image
Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita