NOTA DARI KL: Membanteras Sikap Perkauman, Ketidaksamarataan dan Kemiskinan di Malaysia
Gambar hiasan: Wanita kumpulan suku kaum Saban di Sarawak. (Gambar fail: AFP/RAHMAN ROSLAN)
KUALA LUMPUR: Dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri Selangor pada Julai lalu, Najwan Halimi, mantan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang juga merupakan calon untuk DUN yang sama, menggemparkan laman media sosial setelah beliau didapati mengeluarkan kata-kata bersifat perkauman.
Kata-kata itu dikeluarkan dalam satu kumpulan sembang WhatsApp yang dipanggil “Keadilan”, nama lain yang digunakan untuk merujuk kepada PKR.

Ia dikeluarkan sebagai respons kepada perkongsian beliau tentang berita Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan calon pilihan raya partinya, Sivaranjani Manickam untuk DUN Meru. Dalam responsnya, Najwan Halimi menulis “parti estet India” disusuli dengan satu emoji ketawa.
PARTI ESTET INDIA
Kata-kata yang dikeluarkan oleh pemimpin PKR tersebut menerima kritikan daripada beberapa pihak. Dalam menggunakan terma “estet”, kata-kata itu jelas ditujukan khas kepada masyarakat India miskin yang terus terpinggir dalam negara yang dilaung-laungkan ahli politik sebagai negara “harmoni” dan “berbilang kaum” di setiap sambutan Hari Merdeka, Hari Malaysia dan kempen pilihan raya untuk meraih undi masyarakat bukan Melayu.
Persoalan yang bangkit berikutan episod ini adalah mengapa seorang ahli politik dari sebuah parti yang kononnya memperjuangkan hak pelbagai bangsa bersikap bersahaja mempersenda masyarakat India miskin di Malaysia?
Pada abad ke-19, dalam usaha memperluaskan jajahan mereka, kerajaan kolonial British memerlukan tenaga buruh murah untuk memaksimumkan keuntungan dalam industri timah dan getah di Malaya.

Mereka kemudian mengimport buruh kasar dalam bilangan yang tinggi dari China dan India. Kemasukan tinggi buruh kasar ini menjadikan Malaya sebuah masyarakat yang dikenali sebagai “masyarakat plural” (plural society). Dalam masyarakat plural ini, klasifikasi ras digunakan untuk menyusun ahli-ahli masyarakat kelas bawahan yang berbeza latar belakang – masyarakat India di estet; masyarakat Cina di lombong; dan masyarakat Melayu di kampung atau pedalaman.
STRATEGI 'PECAH DAN PERINTAH' BRITISH
Penyusunan berpecah-pecah ini menggambarkan dasar “pecah dan perintah” dalam pemerintahan kolonial British di Malaya. Dasar “pecah dan perintah” ini berakar dalam konsep ras (race) yang dibawa masuk oleh penjajah British bersama ideologi penjajahan. Tujuan utama penyusunan masyarakat yang berpecah-pecah atas dasar ras ini adalah eksploitasi ekonomi – untuk mengaut sebanyak mungkin kekayaan tempat dijajah.
Eksploitasi ekonomi ini selaras dengan sistem kapitalisme yang dilaksanakan dalam penjajahan British di Malaya (colonial capitalism) yang menjamin kesinambungan hidup pemerintahan kolonial.
Majoriti masyarakat India yang menjadi buruh kasar yang dibawa masuk untuk bekerja di estet-estet di Malaya adalah golongan Tamil kasta bawahan dari selatan India. Mereka hidup dirundung kemiskinan dan perkauman dan kerap kali ditindas keras oleh pemerintah British dan pemilik estet apabila mereka bangkit melawan eksploitasi dan menuntut hak mereka sebagai pekerja.
Selepas penjajahan semula British di Malaya pada tahun 1945 berikutan kekalahan Jepun, kebanyakan buruh kasar India ini mula terlibat dalam gerakan radikal menuntut kemerdekaan Malaya – untuk bebas dari sistem kapitalisme kolonial – melalui kesatuan sekerja yang dikenali sebagai Pan-Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU).

PMFTU bergiat aktif dalam masyarakat di Malaya untuk memastikan hak golongan terpinggir dan tertindas dimartabatkan. Sebagai contoh, mereka menubuhkan sebuah “mahkamah rakyat” untuk memberi akses keadilan kepada golongan terpinggir dan tertindas. Seorang wanita yang mengalami serangan seksual memilih untuk mendapat keadilan di mahkamah rakyat ini dan bukan di mahkamah British. Pelaku serangan seksual yang merupakan seorang pengurus estet kemudian didenda dan dikurung sebagai hukuman.
PMFTU juga aktif dalam menganjurkan inkuiri (siasatan) awam dalam usaha mendapatkan keadilan buat masyarakat terbanyak. Satu inkuiri awam dijalankan berikutan rusuhan di Kedah pada tahun 1947 dengan kerjasama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Komunis Malaya dan Malayan Democratic Union.
Inkuiri awam ini memutuskan kerajaan kolonial British bertanggungjawab menyerang dan menembak pekerja-pekerja estet.
Propaganda kolonial yang ditulis dalam bahasa Tamil jelas ditujukan kepada pekerja estet India untuk merendahkan perjuangan mereka. Kerajaan kolonial British menyifatkan mereka sebagai “pasif” walaupun mereka merupakan kumpulan yang besar dalam perjuangan kesatuan sekerja. Mereka sering dilabel “mudah dipengaruhi” apabila mereka sedar akan ketidakadilan; label yang sama digunakan oleh pihak British terhadap masyarakat Melayu yang mempunyai kesedaran yang sama.
Adalah penting untuk dinyatakan bahawa PMFTU juga mendukung penubuhan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) dalam usahanya untuk mengangkat nasib petani Melayu yang turut menjadi mangsa eksploitasi.
PMFTU juga terlibat secara langsung dalam gabungan rentas bangsa pertama PUTERA-AMCJA untuk menuntut kemerdekaan serta-merta dan tulen untuk Malaya, termasuk Singapura. Gabungan ini menyaksikan penyatuan dua kumpulan gerakan anti-kolonial di Malaya. Kumpulan pertama mempunyai ahli-ahli Melayu yang dikenali sebagai Pusat Tenaga Ra’ayat (PUTERA).
PUTERA terdiri daripada organisasi seperti PKMM, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Se-Malaya dan 80 organisasi lain.
Kumpulan kedua dalam gabungan ini dikenali sebagai All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA). AMCJA terdiri daripada pelbagai parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan wanita dan pemuda berbilang bangsa. Parti Komunis Malaya, walaupun tidak menjadi ahli rasmi, turut terlibat dalam gerak kerja gabungan ini.
Kerjasama erat antara kesatuan sekerja dengan gabungan PUTERA-AMCJA dapat dilihat pada sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh gabungan PUTERA-AMCJA kepada perjuangan kesatuan sekerja yang tidak lelah mendukung gerak kerja gabungan ini, yang pada masa yang sama dihimpit kesusahan akibat eksploitasi dan penindasan kelas pemerintah kolonial di tempat kerja mereka.
Dalam Persidangan Tahunan Delegasi PUTERA-AMCJA yang dipengerusikan oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), presiden PKMM, pada April 1948, gabungan PUTERA-AMCJA memutuskan satu resolusi:
“Bahawasanya Persidangan Tahunan Delegasi PUTERA-AMCJA dengan sepenuh hati menyokong perjuangan yang digerakkan oleh pelbagai bahagian pekerja-pekerja di Singapura untuk memperbaiki kondisi kehidupan dan kerja mereka. Oleh yang demikian, Persidangan ini memutuskan untuk memberikan sumbangan $4,000 kepada Jawatankuasa SFTU [Singapore Federation of Trade Unions] untuk membantu pekerja-pekerja yang ketika ini terlibat dalam aksi mogok”.
PERJUANGAN DAN PERANAN PENTING PEKERJA INDIA
Perjuangan dan peranan penting yang dimainkan pekerja estet India melalui kesatuan sekerja dalam membebaskan Malaya daripada cengkaman penjajahan untuk membina sebuah negara yang merdeka, adil dan saksama buat masyarakat terbanyak adalah satu bahagian sejarah yang dipadam oleh kelas pemerintah selepas merdeka dan terus dipadam hingga ke hari ini.
Akar perkauman (perkauman merupakan salah satu sistem dominasi kolonial selain kapitalisme yang diwarisi Malaya selepas merdeka) terus panjang menjalar.
Perkauman, yang berkait rapat dengan kapitalisme, mengabsahkan ketidaksamarataan (gaji, kesihatan, pendidikan, perumahan) yang menjerumuskan mereka, yang merupakan golongan minoriti, ke dalam kancah kemiskinan.
Kata-kata “estet India” yang dikeluarkan oleh Najwan Halimi, yang membuat permohonan maaf hanya setelah didedahkan di laman media sosial, menunjukkan perkauman (rasisme) terus memacu struktur kuasa negara hari ini. Perkauman, dalam bentuk ideologi ketuanan Melayu, menjadi senjata ampuh kelas pemerintah untuk mengeksploitasi kekayaan negara untuk kepentingan mereka yang menjerumuskan bukan sahaja golongan masyarakat India tetapi juga golongan masyarakat lain termasuk Melayu, Cina dan orang asli/asal ke dalam kemiskinan.
IDEOLOGI KETUANAN MELAYU
Ideologi ketuanan Melayu ini, yang menjadi asas laungan kelas pemerintah bahawa mereka adalah pelindung hak istimewa orang Melayu, bukan sahaja menutup realiti eksploitasi tetapi juga menghalang usaha penyatuan antara masyarakat miskin berbilang bangsa di Malaysia untuk mencabar masyarakat berkelas yang menyebabkan ketidaksamarataan.
Tidaklah menghairankan mengapa kerajaan kolonial British dengan sokongan sekutunya UMNO memperhebatkan kempen di media massa dengan tuduhan dan tohmahan terhadap nasionalis Melayu radikal seperti Pak Sako, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam yang terlibat dalam gabungan PUTERA-AMCJA.

Kerana menentang ideologi ketuanan Melayu sempit yang hanya menjaga kepentingan golongan Melayu atasan, mereka digambarkan oleh musuh politik mereka sebagai pengkhianat orang Melayu kerana aspirasi mereka untuk membina Malaya merdeka, adil dan saksama.
Ramai antara penggerak-penggerak gabungan PUTERA-AMCJA ditangkap setelah British mengisytiharkan “darurat” pada Jun 1948. “Darurat” atau kata sebenarnya “perang imperialis” terhadap rakyat Malaya yang ingin kemerdekaan tulen antara lain memadam sejarah perjuangan anti-kolonial rentas bangsa yang menyaksikan penglibatan penting masyarakat India terpinggir.
Kekerasan perang ini, yang berlangsung dari tahun 1948 hingga 1960, menghancurkan gerakan anti-kolonial dan memberi laluan kepada UMNO dan sekutunya untuk mencorak politik negara selepas merdeka dengan struktur kuasa yang diwarisi daripada pihak British.
Struktur kuasa ini masih kekal sama walaupun pendukung-pendukungnya berubah kesetiaan dan rupa.

Fadiah Nadwa Fikri adalah calon PhD di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.