Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Masa Depan Perikatan Nasional - 'Reset' Atau Berbaik Semula?

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Masa Depan Perikatan Nasional - 'Reset' Atau Berbaik Semula?
Peletakan jawatan beberapa pemimpin kanan Bersatu jelas menunjukkan bahawa Perikatan Nasional (PN) berada di ambang politik terbesar sejak ia ditubuhkan lima tahun lalu. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Tamatnya tahun 2025 dan mulanya tahun 2026 menyaksikan satu lagi pergolakan dramatik dalam arena politik Malaysia.

Mantan Perdana Menteri kelapan, Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) iaitu gabungan utama parti pembangkang, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Related article image
Encik Muhyiddin Yassin. (Gambar: Bernama)

Keputusan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu disusuli dengan ‘kesan domino’ pengunduran beberapa pemimpin BERSATU lain yang mengosongkan jawatan penting dalam struktur PN. Ia mengesahkan konflik dalaman selama ini dan meruncingkan krisis kepimpinan dalam kalangan blok pembangkang.

PN yang diasaskan Muhyiddin pada Ogos 2020 bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan beberapa parti minoriti sebagai komponen telah bergelut dengan teruk.

Ketidakharmonian PN berlaku semasa kemuncak insiden penukaran Menteri Besar kerajaan negeri Perlis secara mengejut pada 22 Disember 2025.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BERSATU dan tiga dari PAS menandatangani surat akuan bersumpah bagi menyingkirkan Menteri Besar dari PAS, Shukri Ramli. Shukri meletak jawatan atas alasan kesihatan. Tindakan ‘tikam belakang’ ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan kepimpinan induk PAS.

Related article image
Encik Shukri Ramli mengumumkan peletakkan jawatannya pada 25 Disember 2025. (Gambar: Facebook/Bernama TV)
Related article image
Menter Besar baharu Perlis angkat sumpah jawatan pada Ahad, 28 Disember 2025. (Gambar: Bernama)

Bukan sahaja sokongan terhadap Shukri ditarik balik, malah ADUN dari BERSATU Abu Bakar Hamzah pula dinaikkan sebagai pengganti Menteri Besar. Terdapat juga peranan dari Istana Perlis bagi meleraikan isu ini.

Situasi ‘rampasan kuasa’ ini menunjukkan perpecahan dalam PN. BERSATU masih fokus kepada nafsu berkuasa iaitu siapa naik dan siapa jatuh, walaupun rakannya sendiri PAS mempunyai majoriti besar kerusi di Perlis.

Sejak awal, PN adalah sebuah gabungan rapuh yang sarat dengan adegan perebutan kuasa. Ia disatukan bukan oleh visi dasar bersama, tetapi oleh penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan tandingan kepada politik hegemoni UMNO. Lebih ironi, PN sebelum ini sering dipaparkan sebagai alternatif stabil kepada Kerajaan MADANI.

Kegagalan terbesar PN bukanlah berpunca daripada sabotaj pihak luar, tetapi ketidaksefahaman kepimpinan utama sendiri. Blok pembangkang perlu membuktikan ia mampu bersaing semula dengan membentuk tawaran menarik bagi meyakinkan rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Pecah Belah BERSATU

Sebelum ini, BERSATU berfungsi seperti pengimbang dalam PN bagi menampilkan wajah pemimpin Melayu pragmatik yang boleh menenangkan kebimbangan pengundi atas pagar. Muhyiddin diangkat sebagai kompromi selaku tokoh Melayu yang masih boleh diterima umum, sambil memberi PAS peluang untuk memperluaskan popularitinya.

Namun di penghujung tahun 2023 hingga pertengahan 2025, BERSATU ditimpa banyak cabaran. Dari akaun parti dibekukan akibat siasatan salah laku berkaitan projek Jana Wibawa, hinggalah tuduhan ucapan hasutan menghina institusi diraja sewaktu kempen melibatkan Muhyiddin. Kes-kes tersebut memberi kesan negatif terhadap kredibiliti dan sumber kewangan BERSATU, lantas mengehadkan kuasa ‘bargaining’nya.

Ketiadaan dana untuk menampung kos belanja politik dan peruntukan kawasan telah menyebabkan 6 orang Ahli Parlimen BERSATU memilih untuk ‘berpaling tadah’ dan memberi sokongan kepada PM Anwar Ibrahim. Insiden memalukan ini menjadi tamparan kepada Muhyiddin serta menyebabkan PAS mula mempertikaikan kemampuannya.

Demi mengekalkan kedudukan dalam PN, BERSATU telah berulang kali mengumumkan secara ‘unilateral’ (sepihak) bahawa Muhyiddin adalah ‘poster boy’ atau calon Perdana Menteri bagi PN. Ini menimbulkan reaksi tidak senang, terutamanya dari PAS yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen terbanyak dalam PN.

Selain itu, percubaan tidak menjadi untuk menggulingkan Kerajaan MADANI melalui pakatan ‘Langkah Dubai’ pada Disember 2023 telah memakan reputasi BERSATU.

Kesemua ini menyumbang kepada gesaan merubah pimpinan PN, seperti pandangan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin pada November 2024 dan Januari 2025.

Related article image
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin. (Gambar: Facebook/Tuan Guru Haji Jashim Jasin)

Lanjutan dari itu, peristiwa seperti kehambaran demonstrasi “Turun Anwar” pada 26 Julai 2025 dan kekalahan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November 2025 turut menunjukkan ketidakupayaan BERSATU untuk menggerakkan naratif PN secara berkesan. Muhyiddin kerap dipaparkan sudah ‘hilang kawalan’ ke atas BERSATU.

Related article image
Tunjuk perasaan “Turun Anwar” pada 26 Julai 2025. (Gambar: Wikipedia/Rulwarih)

Memburukkan lagi situasi ialah perseteruan antara kem-kem dalam BERSATU. Timbalan Presiden iaitu Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin kekal licik dan berpengaruh di peringkat keahlian BERSATU. Perkara ini disedari Muhyiddin lalu melantik Azmin Ali selaku Setiausaha Agung parti untuk mempertahankan kedudukannya.

Related article image
Encik Azmin Ali. (Gambar fail: Bernama)

Kekecohan sewaktu pemilihan parti pada 6 September 2025 membawa kepada penolakan terbuka terhadap Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU. Serangan peribadi oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan membuka pekung parti kepada pihak media pada 29 September 2025 yang turut mengeruhkan keadaan.

Related article image
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kiri) dan Wan Saifulruddin Wan Jan (kanan). (Gambar: Bernama)
Related article image
Encik Saifuddin Abdullah. (Gambar: Bernama)
Wan Saiful diusir parti, manakala dua Ahli Parlimen lain iaitu Wan Ahmad Fayhsal dan Saifuddin Abdullah dikenakan tindakan disiplin oleh Azmin. Maka, BERSATU telah beralih dari peranan asal iaitu pengimbang dalam PN kepada parti yang terlampau sibuk bertahan menangani pelbagai masalah dalaman.

Pun begitu, Azmin turut membawa beban sejarah sebagai dalang ‘Langkah Sheraton’ yang menjatuhkan kerajaan PH 1.0 pada tahun 2020 dan skandal video seks sama jantina beliau. Disebabkan oleh krisis melanda PN yang mengurangkan pilihan strategik bagi Muhyiddin dan Azmin, mereka terpaksa menyediakan landasan platform politik lain.

Penubuhan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) pada 19 Julai 2025 yang dianggotai 11 buah parti di ‘luar dari orbit’ Kerajaan MADANI mesti dibaca mengikut konteks. Ia bukan setakat strategi ‘fallback’ membina kubu sokongan, bahkan ia ‘rumah suaka politik’ baharu sebagai respons 'survival' politik buat kem Muhyiddin-Azmin.

Setakat ini, tiada tanda jelas bahawa saluran IPR mampu menawarkan ideologi segar mahupun mempunyai agenda dasar lebih baik daripada apa yang telahpun gagal dengan PN sebelum ini. Tetapi tindakan Muhyiddin untuk mengundurkan diri sebagai pengerusi-pengasas PN mempunyai dua implikasi yang cukup besar.
Related article image
Ikatan Prihatin Rakyat ditubuhkan pada 19 Julai 2025. (Gambar: Facebook/freemalaysiatoday)
Pertama, ia membuka ruang luas untuk PAS mengemukakan pengganti dan mengambil alih blok pembangkang. Kedua dan lebih mustahak, ia mengukuhkan kembali cengkaman beliau di dalam parti BERSATU daripada timbalannya, Hamzah. Ada para penyokong berpendapat aksi Muhyiddin itu satu transisi terancang tetapi hakikatnya ia lebih kepada ledakan dalaman yang ‘untenable’ hasil daripada siri-siri kegagalan Muhyiddin selama ini.

PAS Terajui Pembangkang

Kerenggangan antara PAS dengan BERSATU semakin nyata selepas kejadian krisis Menteri Besar Perlis. Kesemua Exco kerajaan negeri Perlis dari PAS secara solidariti meletak jawatan dan tegas enggan menyertai pentadbiran negeri di bawah Menteri Besar BERSATU yang baharu.

Di peringkat akar umbi, kecaman yang ditujukan kepada BERSATU terus menebal. Beberapa sayap Pemuda PAS bahagian telah menggesa kepimpinan PAS pusat memutuskan kerjasama dengan BERSATU di semua peringkat, malah mencadangkan PAS bertanding semua kerusi yang sebelumnya milik BERSATU atas tiket PN.

Di sebalik kekecohan isu Menteri Besar Perlis, PAS kelihatan cepat mengambil inisiatif dengan kesediaannya untuk mengetuai gabungan PN. Ini sejajar dengan saranan sayap Pemuda PAS di Muktamar ke-71 pada 15 September 2025 yang sebulat suara mengusulkan PAS menerajui PN bagi menggantikan BERSATU.
Related article image
Muktamar ke-71 PAS pada 15 September 2025. (Gambar: Instagram/hilmanidham)
Dengan kehilangan keupayaan institusi untuk mengimbangi pengaruh PAS, dari sudut 'real' politik, BERSATU kini sekadar ‘penumpang’ di dalam PN. Kelebihan memiliki jentera parti kukuh dan pengalaman mentadbir empat buah kerajaan negeri yang digelar ‘SG4’ memberikan alasan kuat untuk PAS mengambil alih demi ‘menyelamatkan’ PN.

Bagi PAS, mengisi vakum yang ditinggalkan Muhyiddin perlu bagi mentakrifkan semula PN dan merombak struktur organisasi yang sebelum ini menguntungkan BERSATU.

Lebih mencabar, PAS perlu menyatukan saf dan menggerakkan kekuatan semua parti komponen dalam PN yang berbeza ideologi dan kepentingan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan juga menyebut PAS akan memberi penekanan kepada gerak kerja di peringkat akar umbi dalam mengemudi PN demi memperkukuh persediaan blok pembangkang menghadapi Kerajaan MADANI di PRU16.
Related article image
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. (Gambar: Bernama)
PAS juga perlu segera memilih sama ada akan menjadikan PN sebagai kenderaan sepenuhnya untuk misi politik Islamnya yang konservatif tanpa pura-pura, atau kembali ke jalur sederhana untuk memujuk pengundi bukan Melayu dan kelas menengah bandar.

Sekiranya PAS memilih retorik ancaman Melayu dan kawalan moraliti-agama versi mereka, ia mengguna pakai permainan emosi berbanding hujah bukti. Ini berkesan membina momentum ‘gelombang hijau’ khususnya di kawasan tradisi Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia tetapi belum berjaya di kerusi bandar dan kerusi campuran.

PRU16 bakal menjadi medan penting bagi mengukur tahap penerimaan jenama PAS.

Di peringkat nasional, peluang memimpin PN menjadikan PAS satu kuasa yang sukar diabaikan.

Walaupun pengaruhnya masih terhad setakat ini kepada kelompok pengundi tertentu, ia sekarang mampu menentukan hala tuju blok pembangkang, mengagihkan kerusi sewaktu rundingan dan mencalonkan Perdana Menteri dari PAS.

Memandangkan geopolitik dunia tidak menentu, kos sara hidup terus meningkat dan integrasi serantau kian kompleks, PN di bawah kelolaan PAS tetap berdepan kesukaran menampilkan pasukan penggubal dasar yang cemerlang mahupun menyediakan pelan ekonomi yang kemas.

UMNO Keluar Kerajaan

Di pihak Kerajaan MADANI pula, ia sedang mempertimbangkan kaedah terbaik untuk mengambil kesempatan daripada kekeliruan yang menimpa PN. PM Anwar menegaskan pentadbirannya “lebih kukuh, lebih ikhlas dan bebas daripada percubaan sabotaj atau pengkhianatan” berbanding pembangkang.

Secara perhitungan politik, Kerajaan MADANI kekal utuh tetapi tidaklah kebal. Keretakan PN memberi kelegaan jangka pendek buat PM Anwar memandangkan blok pembangkang tidak sepakat serta hilang disiplin untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan. Dari sudut demokrasi, pembangkang yang lemah adalah agak merugikan.

Pentadbiran PM Anwar berdepan dilema klasik iaitu memilih jalan selamat dengan mengekalkan status quo atau mula memanfaatkan kesempatan ini untuk mempercepatkan janji-janji reformasi institusi dan kebajikan ekonomi rakyat bagi tempoh dua tahun mandat berbaki sebelum PRU16.

Tanpa pembangkang yang efektif, godaan untuk Kerajaan MADANI berkompromi secara berlebihan dengan elit lama meningkat. Dari aspek risiko politik, kestabilan tanpa pembaharuan bermakna ia bakal menghasilkan kelesuan politik. Ia berpotensi mencipta keadaan ideal bagi populisme baharu atau ‘anti-establishment’ muncul.
Related article image
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh. (Gambar: Bernama)
Contohnya, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh sekali lagi mencetuskan huru-hara buat Kerajaan MADANI dengan menganjurkan Konvensyen Khas pada 3 Januari 2026. Ia bagi mendesak UMNO keluar dari kerajaan. Beliau menuntut UMNO menjalin hubungan semula dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN). Idea ini ditemplak oleh parti-parti komponen Kerajaan MADANI dan juga sebilangan ahli UMNO.

Walaupun kehendak sayap Pemuda UMNO tidak semestinya mewakili keputusan rasmi, ugutan ini menandakan pergeseran pendapat dalam kalangan anggota UMNO sendiri. Ia juga akan mempengaruhi perbincangan Majlis Tertinggi UMNO dalam menetapkan agenda bagi Perhimpunan Agung UMNO 2026 dan hala tuju UMNO sebelum PRU16.

Jangkaan Senario Politik

PAS adalah parti paling tersusun dan kompeten. Difahamkan ia akan memberi keutamaan memperkukuh PN dahulu sebagai wadah utama. Sebaliknya BERSATU pihak paling terjejas dan berisiko jadi rakan kongsi ‘junior’ dalam PN.

Tumpuan PN dijangka beralih kepada isu-isu seperti kepentingan Syariah, impak kenaikan kos sara hidup buat golongan Melayu dan pembaikan infrastruktur di peringkat negeri.

Namun, perkara yang rumit bagi PN sebagai blok pembangkang adalah ketiadaan figura karismatik penyatu rentas parti seperti Anwar Ibrahim semasa era Pakatan Rakyat tahun 2008 atau Dr Mahathir bagi Pakatan Harapan tahun 2018.

PN tanpa Muhyiddin dianggap kurang inklusif dan PAS masih sukar diterima pengundi bukan Melayu.

Kenyataan-kenyataan lalu Muhyiddin sebagai Pengerusi PN pula dilihat hanya ‘damage control’ lantaran pola kemerosotan sokongan Melayu untuk PN akibat tepu, malah mula terhakis berikutan keputusan beberapa pilihan raya kecil.

Dapat ditelaah percaturan PN selepas ini akan meletak sasaran untuk menyatukan pendirian Melayu.

Manakala buat parti PAS khususnya, menarik untuk diteliti siapakah yang bakal menjadi Pengerusi PN. Nama seperti Menteri Besar Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah Sanusi Noor telah disebut-sebut. Siapa jua yang naik, ia menjadi indikator (penunjuk) jelas tentang soal pelapis kepimpinan PAS, pasca era Hadi Awang.

Selepas selesai kemelut dalaman PN, dapat diramalkan PAS akan menggandakan wacana politik Islam dan Melayu sebagai teras agendanya.

PAS akan memusatkan lagi kekuatan mobilisasi parti dengan sentimen rakyat luar bandar yang menyokongnya, namun PAS masih terhad dengan pengundi Melayu-Islam.

Bagi politik Melayu, ia berada di persimpangan. Apa yang disaksikan adalah peralihan fasa bagi budaya politik Melayu itu sendiri. Dari politik naungan (patronage) versi elit UMNO, kepada eksperimen BERSATU, kini ke tawaran dominasi PAS. Setiap fasa menjanjikan pembaharuan tetapi selalu berakhir dengan kekecewaan.
Related article image
Politik Melayu kini berada di persimpangan. (Ilustrasi: Bernama)
Persoalan penting yang mesti dijawab oleh PN yang diketuai PAS, adakah pembangkang yang didominasi aliran konservatif mampu melahirkan politik berkualiti dan dasar-dasar dinamik agar sesuai dengan kemajmukan Malaysia?

Atau adakah ia akan terus terperangkap dalam kitaran politik identiti dan perebutan kuasa?

MENGENAI PENULIS
Related article image
Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita