Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Mampukah RMK13 Bernilai RM611 Bilion Melonjakkan Daya Saing Malaysia?

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Mampukah RMK13 Bernilai RM611 Bilion Melonjakkan Daya Saing Malaysia?

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada 31 Julai 2025. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Pada 31 Julai yang lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), sebuah dokumen hala tuju negara bagi tempoh lima tahun mendatang (2026–2030).

Bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, anggaran sebanyak RM611 bilion diperuntukkan bagi merealisasikan aspirasi pelan pembangunan negara seterusnya.

Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM430 bilion adalah dari dana kerajaan, manakala baki RM120 bilion pula dijangka dijana daripada pelaburan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan RM61 bilion daripada kolaborasi awam swasta (PPP).

RMK13 turut merangkumi kesinambungan daripada Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Dasar TVET Negara 2030.

Kerajaan MADANI telah meletakkan tekad besar melalui RMK13, antaranya, mencapai kadar pertumbuhan positif antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun, mengawal kadar inflasi antara 2 peratus dengan 3 peratus, serta strategi serampang dua mata dengan menaikkan siling ekonomi dan menaikkan lantai pendapatan.

Related article image
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di parlimen pada 31 Julai 2025 bagi membentangkan RMK13. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Berteraskan kerangka Ekonomi MADANI yang dilancarkan pada tahun 2023, RMK13 juga berhasrat untuk melonjakkan Malaysia ke arah menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang tahun 2033.

Walau bagaimanapun, beberapa kritikan terhadap pembentangan RMK13 menjurus kepada betapa ‘optimisnya' sasaran-sasaran yang dikemukakan memandangkan terdapat pelbagai isu kompleks yang boleh menggugat pencapaiannya.

Bermula sejak minggu lalu, sebanyak lapan hari ditetapkan untuk sesi perdebatan mengenai RMK13 oleh para ahli Dewan Rakyat di Parlimen dan ia bakal dijawab oleh jemaah menteri pada sesi giliran minggu hadapan selama empat hari.
Related article image
(Dari kiri) Menteri Kedua Kewangan Malaysia, Amir Hamzah Azizan; Timbalan Perdana Menteri Pertama, Zahid Hamidi; Perdana Menteri Anwar Ibrahim; dan Timbalan Perdana Menteri Kedua, Fadillah Yusof memegang salinan RMK13 di Parlimen pada 31 Julai 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Dalam meraikan semangat demokrasi dan selari dengan perdebatan di Parlimen, rencana ini melontarkan beberapa persoalan yang wajar difikirkan secara kritis, malah boleh diwacanakan oleh masyarakat umum.

SITUASI DEGLOBALISASI

Pertama, bagaimanakah sasaran RMK13 akan dicapai jika Malaysia terus berdepan cabaran berbentuk ketidaktentuan geopolitik antarabangsa, persaingan kuasa besar dan kemerosotan tatanan dunia berpaksikan peraturan?

Walaupun telah berunding, Malaysia tetap dikenakan kadar tarif timbal balik sebanyak 19 peratus bagi produk eksport ke Amerika Syarikat, ditambah dengan kadar tetap 10 peratus seperti semua negara lain di dunia.

Terdapat desas-desus bahawa beberapa industri khusus seperti semikonduktor dan farmaseutikal juga akan menerima kejutan dikenakan kadar tarif tinggi oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Krisis perebutan sempadan hingga berlaku pertumpahan darah antara Thailand dan Kemboja pada Julai 2025, selain pertindihan tuntutan maritim antara China dengan beberapa negara Asia Tenggara terus mencetuskan kebimbangan berlaku konflik serantau.

Related article image
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet (kiri) dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai (kanan) bersama Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (tengah) selepas perjanjian gencatan senjata pada 28 Julai 2025. (Gambar: Mohd Rasfan melalui AP)
Maka, mampukah Kerajaan MADANI menjamin keyakinan pelabur asing untuk kekal di Malaysia dan mendapat partisipasi daripada sektor korporat bagi menjana lebih daripada 1/4 dana untuk RMK13, sedangkan ekonomi semasa seluruh dunia ke arah dasar ‘protectionist’ dan corak politik menjurus kepada sifat ‘populist nationalism’?

PRESTASI RAKYAT

Kedua, bagaimanakah sasaran RMK13 boleh dicapai jika Malaysia sedang bergelut dengan fenomena warga menua dan realiti penurunan produktiviti tatkala dasar perlindungan sosial belum kukuh?

Malaysia sedang mengalami fasa ‘aging nation’ (negara dengan penduduk menua) dan akan menjadi ‘aged nation’ (negara dengan jumlah penduduk lanjut usia meningkat secara signifikan) menjelang 2040 apabila lebih 14.5 peratus rakyatnya berumur 65 tahun ke atas. Tetapi, ia hanya membelanjakan kurang 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk sektor kesihatan berbanding purata 5 peratus hingga 9.2 peratus, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Perubahan demografi dan kadar kesuburan negara berlaku serentak dengan isu mempertingkatkan akses rawatan kesihatan, pembiayaan kos tinggi buat penjagaan golongan pesara dan pertambahan penyakit tidak berjangkit.

Faktor pengaliran keluar bakat atau ‘brain drain’ terutama bagi sektor pekerjaan kritikal seperti doktor pakar dan jururawat berpengalaman ke negara-negara berpendapatan tinggi merumitkan lagi masalah yang dialami oleh sistem kesihatan.
Related article image
Jururawat di Malaysia. (Gambar: AFP/AFP/Mohd Rasfan)

Kajian tahun 2024 oleh Khazanah Research Institute (KRI) menunjukkan 90 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 30 tahun tidak akan mempunyai wang yang mencukupi menjelang usia persaraan.

Saranan Kerajaan MADANI dalam RMK13 untuk mengkaji semula kenaikan umur persaraan mandatori kepada 65 tahun dan cadangan mengubah had pengeluaran KWSP pula menerima tentangan umum di laman media sosial.

Selain ‘aging nation’ dan ‘brain drain’, Malaysia juga berdepan dengan perubahan bentuk kerja dan pasaran pekerjaan lantaran tekanan agenda pendigitalan. RMK13 didapati banyak memberi tumpuan kepada pelaburan dalam teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI).

Walaupun ia penting, apakah nasib tenaga kerja pertengahan usia yang tiada kemahiran digital? Tanpa peluang peralihan kerjaya, program pelatihan semula (reskilling) yang dibiayai penuh, AI akan memperluaskan jurang ketidaksamaan sosial.

Lantaran itu, sejauh manakah persediaan Kerajaan MADANI dalam menjayakan agenda RMK13 seperti adaptasi GovTech, ekonomi hijau dan automasi industri jikalau sumber tenaga manusia negara masih meragui pakej sistem kesihatan, strategi dana persaraan dan insentif profesional yang setimpal dengan kepakaran mereka?

KEPRIHATINAN AWAM

Ketiga, bagaimanakah sasaran RMK13 boleh dicapai sekiranya negara masih berhempas pulas mengurus perbelanjaan fiskal dan beban hutang yang tinggi dengan struktur ekonomi yang masih sudi memberikan subsidi bahan api secara tidak cekap?

Dengan terlaksananya Akta Tanggungjawab Fiskal bermula 2023 yang menetapkan defisit kewangan negara harus di bawah 3 peratus, terdapat ruang fiskal yang amat terhad dan kekangan institusi untuk membiayai projek-projek di dalam RMK13.

Adalah jelas bahawa mekanisme penstrukturan semula atau rasionalisasi subsidi minyak petrol RON95 akan menjadi kunci utama yang membentuk persepsi awam terhadap Kerajaan MADANI.

Related article image
Harga runcit petroleum RON95, RON97 dan diesel diturunkan selama seminggu. (Gambar: Reuters)

Tanpa sebuah sistem yang inklusif dan tahan lasak, Malaysia berdepan ujian getir untuk merealisasikan impian RMK13 untuk meningkatkan kerencaman struktur ekonominya melalui peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.

Beberapa tinjauan pendapat terkini oleh beberapa badan penyelidik turut mendapati isu utama bagi kebanyakan rakyat Malaysia masih kekal tentang hal ekonomi seperti kesan inflasi dan kos sara hidup tinggi.

Selain itu, jurang ketara kepesatan infrastruktur antara wilayah seperti kota-kota tumpuan sepanjang Lembah Klang berbanding kawasan luar bandar lain juga merupakan perkara yang kerap diadukan sebagai mustahak untuk diselesaikan.

Maka, adakah Kerajaan MADANI boleh menjadikan Malaysia kekal berdaya saing dengan negara-negara jiran, sedang ia menempuhi proses rumit iaitu transformasi model ekonomi dari hasil keuntungan sumber minyak dan gas yang dinikmati selama ini kepada sumber pendapatan mampan yang baharu?

PELAKSANAAN DASAR

Keempat, bagaimanakah sasaran RMK13 boleh dicapai sekiranya negara mahu melaksanakan pelan tersebut tanpa kelibat dan peranan daripada perancang utama iaitu seorang Menteri Ekonomi sepenuh masa untuk bertanggungjawab ke atas kemajuan pelan tersebut?

Related article image
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di parlimen pada 31 Julai 2025. (Gambar: Anwar Ibrahim/Facebook)
Lantaran itu, berlaku perseteruan sengit di peringkat politik kepartian, ketiadaan kepimpinan atau langkah susulan daripada kementerian-kementerian yang lain adalah agak janggal walaupun RMK13 telahpun diumumkan lebih seminggu.

Koordinasi jentera komunikasi Kerajaan MADANI bagi membina naratif dan menterjemah idea RMK13 juga kelihatan terpisah-pisah dan lesu, seolah-olah hanya bersandar kepada gesaan atau kaedah ‘one-man show’ daripada pasukan Perdana Menteri.

Terdapat keperluan mendesak untuk merombak kabinet bagi mengisi beberapa kekosongan, dan ia diramal berlaku pada penghujung tahun ini sejajar dengan tamatnya perkhidmatan senator bagi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Rombakan ini penting untuk memastikan komitmen pihak birokrasi dan agensi bagi memantau keberkesanan RMK13. Ini memandangkan timbul keraguan terhadap fokus Kerajaan Persekutuan yang sudah pasti disibukkan dengan persiapan memenangi beberapa siri pilihan raya sepanjang tempoh pelaksanaan RMK13.
Related article image
Suasana di parlimen Malaysia semasa pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 31 Julai 2025. (Gambar: Anwar Ibrahim/Facebook)

Maka, mungkinkah RMK13 ini akan dipolitikkan kelak sebagai sandaran utama kepada pembentukan manifesto pilihan raya umum sebelum tahun 2027? Terdapat pandangan bahawa ia akan menjadi satu alasan agar kepimpinan PM Anwar Ibrahim kekal relevan untuk diundi semula rakyat bagi meneruskan mandat di Putrajaya.

Benarkah RMK13 ini akan dijayakan dalam tempoh lima tahun mendatang agar akhirnya membawa Malaysia keluar daripada perangkap negara berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi?

Wajarkah segala sasaran kemewahan yang diunjurkan RMK13 itu, apatah lagi dapatkah ia dirasai dan dinikmati oleh setiap rakyat di segenap pelosok tanah air?

MENGENAI PENULIS

Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita