NOTA DARI KL: Mampukah kerajaan perpaduan PM Anwar Ibrahim perjuang kepentingan rakyat?
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 5 Dis 2022. (Gambar: Jabatan Perdana Menteri Malaysia)
Undang-undang anti lompat parti yang diluluskan baru-baru ini menghalang mana-mana ahli parlimen daripada berpaling ke parti-parti yang meraih lebih banyak kerusi, suatu kelaziman dalam pilihan raya lalu yang melumpuhkan kerajaan persekutuan.
Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, proses pengantaraan untuk membentuk kerajaan baru dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan tarikh akhir ditetapkan bagi parti-parti untuk membuktikan bahawa mereka mempunyai majoriti mudah 112 ahli parlimen.
Pakatan Harapan (PH), terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meraih jumlah kerusi tertinggi (81), diikuti oleh Perikatan Nasional (PN), yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) and Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang memegang 73 kerusi.
Barisan Nasional (BN), yang pernah memerintah Malaysia selama 61 tahun sebelum ia tumbang pada 2018, hanya meraih 30 kerusi.
KERAJAAN DIPUTUSKAN OLEH GOLONGAN ELIT
Sepanjang tempoh selepas PRU15 di mana tiada pemimpin meraih sokongan majoriti yang jelas di parlimen, PN mengisytiharkan bahawa ia meraih sokongan ahli parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sambil mendakwa ia mendapat sokongan kedua-dua Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan BN. Pengerusi PN dan mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyerahkan senarai 115 nama berserta akuan berkanun (SD) kepada Istana Negara pada tarikh akhir asal, iaitu pada 2.00 petang pada 20 November. Yang di-Pertuan Agong kemudian melanjutkan tarikh akhir tersebut sehingga 2.00 petang keesokan harinya atas permintaan PH.
Memandangkan senarai nama yang dibentangkan oleh kedua-dua pemimpin tidak meyakinkan, Yang di-Pertuan Agong kemudian mengarahkan Encik Muhyiddin dan Encik Anwar Ibrahim menghadap Istana dan meminta mereka supaya membentuk kerajaan perpaduan. Meskipun Encik Anwar bersetuju untuk berbuat demikian, Encik Muhyiddin pula enggan menuruti nasihat Agong.
Rakyat Malaysia sama ada menghela nafas lega, berasa marah atau seolah-olah tidak percaya dengan perkembangan itu. Ada juga desas-desus tentang percubaan untuk menghasut pergolakan antara kaum, dan juga berlakunya 'Langkah Sheraton' sekali lagi untuk menumbangkan kerajaan yang baru ditubuhkan.
Hakikatnya, parti-parti yang meraih jumlah kerusi parlimen tertinggi semasa PRU15 adalah PAS dengan 49 kerusi, dan DAP dengan 40 kerusi. Namun rundingan bagi membentuk kerajaan diterajui oleh dua ketua gabungan daripada parti individu yang meraih jumlah kerusi yang kurang daripada PAS dan DAP: PKR yang dipimpin Encik Anwar memperoleh 31 kerusi manakala Bersatu yang diketuai Encik Muhyidin hanya meraih 24 kerusi.
Ini menunjukkan bahawa meskipun para pengundi lebih cenderung dengan pendirian lebih tegar dalam spektrum politik, para pemimpin yang merundingkan pembentukan kerajaan perlu berasal daripada parti-parti yang lebih berhaluan tengah. Perbezaan utama antara kedua-dua gabungan adalah ikrar masing-masing, sama ada untuk mengutarakan politik Melayu-Islam yang eksklusif atau pendekatan berbilang kaum yang inklusif.
BATU LONCATAN SETERUSNYA: PELANTIKAN KABINET
Encik Anwar mengambil masa lima hari untuk mencapai keputusan mengenai barisan Kabinetnya (bagaimanapun ada yang menarik perhatian bahawa mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil masa 11 hari untuk melakukan demikian menyusuli PRU14. Kabinet yang dianggotai 28 individu (hanya 5 daripadanya adalah wanita) terdiri daripada ahli parlimen daripada 7 parti. Ketua Hakim Mahkamah Syariah Na’im Mokhtar, yang tidak menganggotai mana-mana parti, dilantik sebagai Menteri Ehwal Agama.
Walaupun kabinet baru itu kecil sedikit berbanding kabinet sebelumnya yang terdiri daripada 32 menteri di bawah mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (kabinet terbesar merangkumi 37 menteri dilantik di bawah kerajaan Encik Najib Razak), Encik Anwar pada awalnya hanya berhasrat untuk melantik 25 menteri.
Barisan menteri yang baru itu juga tidak terlepas daripada kontroversi. Persoalan utama yang ditimbulkan adalah mengenai pelantikan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) memandangkan beliau masih dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah. Ia juga ironis kerana beliau dijadikan pemimpin UMNO yang diburuk-burukkan menjelang PRU15, yang menyebabkan sesetengah pengundi mengisytiharkan bahawa mereka berhasrat untuk menjauhi BN kerana tidak berpuas hati dengan Encik Ahmad Zahid, atau ingin memberikan pengajaran kepadanya.
Pelantikan Encik Ahmad Zahid sebagai TPM mungkin merupakan satu ganjaran kerana mampu menggembleng sokongan UMNO terhadap PH meskipun UMNO sebelum ini bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP. 10 anggota UMNO yang menyatakan sokongan mereka terhadap Encik Muhyiddin digesa supaya menarik balik SD masing-masing dan menyokong penyertaan BN dalam kerajaan campuran bersama PH. Menariknya, Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC), kedua-duanya rakan UMNO dalam BN dan pernah menzahirkan sokongan terhadap Encik Muhyiddin, tidak diwakili dalam Kabinet.
Pelantikan Encik Ahmad Zahid sebagai TPM dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjengkelkan ramai pihak kerana tuduhan-tuduhan rasuah yang dihadapinya. Namun Encik Anwar sebaliknya memutuskan untuk mengekalkan prinsip ‘tidak bersalah sehingga terbukti bersalah’ (juga pada masa lalu ketika beliau sendiri dikenakan tuduhan).
Namun pada masa yang sama, peranan penting Encik Ahmad Zahid dalam mewujudkan kerajaan perpaduan perlu diiktiraf. Beliau mungkin akan merujuk kepada sumbangannya itu untuk melenyapkan sebarang gesaan agar beliau berundur sebagai Presiden UMNO atas prestasi teruk BN, dan majoriti yang amat tipis, iaitu lebih 300 undi saja, di kawasan undinya sendiri, Bagan Datuk.
Turut diperhatikan adalah kurangnya jumlah ahli parlimen DAP dalam kabinet, iaitu empat orang saja, meskipun parti itu memenangi jumlah kerusi parlimen tertinggi dalam PH. Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilaporkan sebagai berkata DAP tidak mengenakan sebarang syarat atas sokongannya terhadap Encik Anwar, dan lebih mengutamakan peralihan kepimpinan yang lancar. DAP akur bahawa ia merupakan batu loncatan terbesar dalam rundingan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan sebaliknya, ia ingin memberi tumpuan kepada usaha untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.
Pembentukan Kabinet itu dikatakan mengambil iktibar daripada PRU14, menurut Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil. Setiap parti mencalonkan ahli masing-masing untuk memastikan kesepakatan dalam parti. Pelantikan jawatan-jawatan dalam setiap kementerian kemudian ditentukan oleh Encik Anwar bergantung kepada kemampuan setiap calon.
Sabah dan Sarawak diwakili tujuh anggota kabinet, dengan lima daripadanya bagi Sarawak, termasuk Encik Fadillah Yusof sebagai TPM. Pelantikan itu dilihat sebagai kemajuan besar bagi Malaysia Timur kerana ia memperluaskan ruang bagi rakyat Sabah dan Sarawak untuk bersuara dalam menentukan hala tuju negeri masing-masing.
Jawatan-jawatan penting seperti Menteri Perladangan dan Komoditi dan Menteri Pelancongan, kedua-duanya sektor penting bagi menjana hasil pendapatan, turut disandang oleh wakil rakyat Malaysia Timur. Jawatan khusus di Pejabat Perdana Menteri juga diwujudkan demi Malaysia Timur.
Persoalan juga timbul mengenai jawatan tambahan yang disandang oleh Encik Anwar sebagai Menteri Kewangan. Namun menurut laporan-laporan media tempatan, beliau perlu memegang jawatan tersebut kerana ia dituntut oleh berbilang pihak. Ini bukan kali pertama Perdana Menteri Malaysia turut memegang portfolio Menteri Kewangan. Bahkan Encik Anwar pernah menyandang jawatan Menteri Kewangan semasa menggalas tugas TPM di bawah pentadbiran Dr Mahathir.
Para pemimpin dunia menganggap Encik Anwar sebagai ahli politik yang ‘bersih, inklusif dan progresif’, dan beliau dilihat sebagai berupaya mencatatkan prestasi yang baik dalam menangani krisis kewangan global pada 1997. Ini mungkin akan dapat membantu untuk memikat pelaburan asing dan memperkukuhkan kewibawaan Malaysia di mata dunia memandangkan masyarakat antarabangsa mengalu-alukan pelantikan Encik Anwar.
Persoalan juga dibangkitkan berhubung ahli-ahli politik yang kecundang di kawasan undi masing-masing namun masih memegang jawatan dalam kabinet, termasuk mantan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz (kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan mantan Menteri Besar Perak Zambry Abdul Kadir (kini Menteri Luar Negeri). Mereka dilantik sebagai Senator untuk menyandang jawatan masing-masing dalam kabinet. Enam menteri mewakili Perak dilantik untuk menganggotai Kabinet, termasuk Encik Anwar sendiri yang mewakili Tambun, bagi menunjukkan tumpuan kepada negeri itu.
Secara keseluruhannya, kabinet Encik Anwar membayangkan hasratnya untuk memberi tumpuan kepada ekonomi dan sara hidup rakyat, serta komitmennya kepada Malaysia Timur dan Perak. Ternyata jelas beliau perlu berkompromi untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan menjamin sokongan berbilang pihak yang berkepentingan.
Para pengundi hanya boleh berharap kerajaan baru itu mampu bertahan sepanjang lima tahun akan datang, dan sebarang percubaan bagai api dalam sekam untuk melanjutkan ketidakstabilan melalui hasutan berbaur perkauman dan agama dapat dihalang.
Para pengundi juga ingin menyaksikan sebarang tuduhan yang dihadapi mana-mana anggota Kabinet tidak dilenyapkan begitu saja. Rakyat Malaysia benar-benar memerlukan kerajaan yang bertungkus lumus demi keperluan dan kelangsungan hidup mereka dan bukannya merebut kuasa dan kedudukan demi kepentingan peribadi.
MENGENAI PENULIS:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.