NOTA DARI KL: Mampukah Azmin Ali bangkit semula atau adakah PRN Selangor tanda noktah pada kerjaya politiknya?
Azmin meninggalkan bekas bosnya dan rakan senegaranya selama 33 tahun, Anwar Ibrahim, untuk bersama Muhyiddin Yassin, yang akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong. Selepas beberapa lagi pusingan tipu muslihat politik dan pergolakan pasca PRU15, beliau kini mengetuai gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN) Selangor dengan sesetengah pihak mengharapkan Azmin akan dapat menamatkan penguasaan 15 tahun Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan negeri.
Azmin memulakan kerjaya politiknya rapat dengan keluarga Dr Mahathir Mohamed. Isteri Dr Mahathir, Siti Hasmah, dipercayai telah menyarankan beliau sebagai Setiausaha Politik Anwar pada 1987.
Perjalanan politik Azmin tidak pernah sunyi, malah penuh warna-warni, lengkap dengan dakwaan pita seks, tipu daya keluarga dan persaingan politik. Beliau popular dalam PKR, dan dua kali dipilih sebagai Timbalan Presiden, tetapi salah satu batu loncatan terbesar beliau dalam politik adalah apabila beliau menggantikan Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Ini adalah peranan yang didambakannya jika mengambil kira kepentingan ekonomi dan pengaruh politik Selangor dan sesiapa yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor disifatkan mampu memegang peranan yang lebih besar seperti Perdana Menteri.
Loncatan Azmin ke jawatan tertinggi di negeri ini berlaku selepas Gerakan Kajang pada 2014; percubaan Anwar yang gagal untuk mendapatkan semula kuasa sebelum beliau akhirnya dijatuhi hukuman penjara. Azmin mendapat sokongan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Sultan Selangor untuk merampas jawatan Menteri Besar daripada Wan Azizah.
Tempoh khidmat Azmin Ali sebagai Menteri Besar agak positif. Selangor merupakan negeri paling berjaya dari segi kewangan di Malaysia di bawah pemerintahannya, menyumbang sehingga RM345 bilion setahun kepada rizab negara, dan berjaya menjalankan pelbagai inisiatif kebajikan di bawah panji-panji Peduli Rakyat seperti air percuma dan pengangkutan bas, antara lain, untuk membantu para penduduk Selangor. Bagaimanapun, timbul tanda tanya mengenai keupayaannya mentadbir Selangor selepas PAS memutuskan kerjasamanya dengan PKR semasa tempoh pemerintahannya, dan pelbagai siasatan terhadap penyelewengan kewangan, rasuah, dan salah guna kuasa dijalankan ketika itu.
Dengan kemenangan PH pada PRU14, Azmin dipilih oleh Dr Mahathir untuk menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, portfolio ekonomi terbesar dalam Kabinet, dengan kawalan ke atas pelaburan bernilai berbilion Ringgit. Ada yang membuat spekulasi bahawa peranan ini diberikan sebagai ganjaran kepada persaingan Azmin-Anwar yang semakin merenggangkan PKR ketika itu. Kemudian berlaku Langkah Sheraton dan akhirnya pemecatan Azmin daripada PKR.
Bagaimanakah Rakyat Selangor akan Mengundi?
Dengan Dr Mahathir berbaik-baik dengan Muhyiddin Yassin dan PAS, kitaran itu kelihatan lengkap. Azmin Ali kelihatan sudah pulang ke pangkuan pihak yang menyokongnya, iaitu Perikatan Nasional (PN). PAS yang bertegas beliau menjadi Menteri Besar Selangor pada 2014. Muhyiddin mengumumkan secara terbuka bahawa Azmin mesti mengembalikan Selangor kepada PN, dan sesetengah penganalisis turut membuat spekulasi bahawa cengkaman PH ke atas negeri itu semakin goyah.
Ketika itu, kemarahan terhadap Azmin atas peranannya dalam Langkah Sheraton masih memuncak. Persoalannya sekarang ialah sama ada para pengundi akan dapat melupakan semua itu 9 bulan kemudian.
Hanya Azmin seorang saja yang berpendapat bahawa Selangor akan jatuh ke tangan PN.
Kajian oleh Francis Hutchinson dari Institut ISEAS-Yusof mendapati bahawa para pengundi lebih cenderung mempertimbangkan faktor-faktor yang berbeza ketika mengundi di peringkat parlimen dan di peringkat negeri.
Ini kerana ahli politik persekutuan menentukan hala tuju negara, manakala ADUN pula memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian pengundi.
Saya mendapati di kawasan luar bandar, ramai yang tidak begitu memahami perbezaan antara kedua-duanya. Sehingga PRU15, kebanyakan pilihan raya negeri dan persekutuan telah diadakan serentak, justeru pengundi tidak pernah benar-benar menyedari bahawa terdapat perbezaan. Dalam Pilihan Raya Negeri sekarang, sesetengah pengundi tertanya-tanya mengapa mereka perlu mengundi sekali lagi sejurus selepas PRU15.
Pengundi lain pula berpendapat bahawa individu yang mewakili mereka, dan usaha untuk menyelesaikan masalah mereka adalah lebih penting daripada parti yang mereka wakili.
Di Selangor, isu yang paling kerap disebut-sebut ialah banjir dan kesesakan lalu lintas. Sekalipun Azmin membesar-besarkan pembangunan prasarana semasa di bawah pentadbirannya, penggantinya, Amirudin Shari pula menghentikan beberapa projek yang mencetuskan kemarahan para penduduk disebabkan oleh kesannya terhadap alam sekitar di sekeliling mereka.
Kebangkitan… atau Bukti Tidak Lagi Relevan?
Selepas menafikannya pada awalnya, Azmin kini bertanding di kawasan Hulu Kelang. Dakwaannya, dari sinilah keluarganya - walaupun sebenarnya beliau dilahirkan di Singapura - keluarganya kemudian berpindah ke Hulu Klang selepas Singapura berpisah dari Malaysia.
Satu-satunya pencabarnya ialah Juwairiya Zulkifli dari PKR, Setiausaha Politik Amirudin Shari sejak 2021. Calon yang jauh lebih muda, Juwairiya sebenarnya dilahirkan di Hulu Kelang, tetapi menjadi wakil rakyat Bukit Melawati sejak 2018.
Dengan pengundi yang secara amnya bosan dengan politik dan drama politik, ramai yang mahu memastikan kehidupan mereka terjamin dan masalah mereka dapat diselesaikan. Kunjungan Azmin yang kerap turun padang ke acara kecil-kecilan dan bertemu muka dengan penduduk mungkin membuatkan pengundi Melayu mengubah fikiran kerana kecewa PH kini bekerjasama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Pengundi mungkin kurang mengenali Juwairiya, dan usia calon wanita kadangkala boleh membawa kepada andaian negatif terhadap keupayaan mereka.
Azmin Ali sering menggunakan naratif etnik untuk menggesa pengundi Melayu supaya mengambil pendirian yang menunjukkan kekecewaan mereka terhadap kerajaan persekutuan.
Walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mempunyai sebarang implikasi sebenar terhadap tadbir urus persekutuan, keputusan PRN Selangor akan memberikan gambaran di mana terletaknya sokongan pengundi.
Ini sama ada akan mengukuhkan atau menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan yang rapuh.
Sebagai respons, para ahli politik PH telah menyatakan bahawa PRN Selangor tidak bergantung semata-mata kepada orang Melayu, dan kumpulan etnik lain mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang menguasai negeri itu.
Mereka bagaimanapun telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peratusan penduduk keluar mengundi yang rendah. Ini boleh melemahkan sokongan terhadap PH, sama ada akibat keletihan pengundi atau sikap tidak peduli, atau kerana pengundi bertanggapan bahawa tidak mungkin Selangor boleh jatuh ke tangan PN.
Daripada pengundi awal (anggota polis dan tentera serta pasangan mereka), Selangor mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 95.87%. Kategori pengundi tertinggi dalam kalangan semua negeri yang akan mengundi pada 12 Ogos adalah golongan pengundi yang berusia 19 hingga 21 tahun. Selangor mempunyai bilangan pengundi tertinggi (851,180) dalam kumpulan usia ini. Oleh itu, pandangan mereka adalah penting kepada keputusan PRN.
Sama ada Azmin boleh memenangi kerusi Hulu Kelang dan memperoleh majoriti undi PN di Selangor hanya akan diketahui apabila undi dikira kelak.
Sesetengah catatan media sosial telah memperlekehkan pengisytiharan Muhyiddin bahawa Azmin akan merampas semula Selangor dan kembali bertakhta sebagai Menteri Besarnya.
Golongan ini giat mengingatkan orang lain tentang pergolakan dan pengkhianatannya terhadap perjuangan PH.
Lantaran itu, menarik untuk melihat sama ada Azmin berupaya membersihkan nama baiknya yang meragukan dengan berkesan dan membangkitkan semula kerjaya politiknya, atau sama ada ini adalah tanda noktah pada perjalanan politiknya.
Serina Rahman adalah Pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di Institut ISEAS-Yusof Ishak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.