NOTA DARI KL: Malaysia mesti bertindak lebih pantas untuk memulihara alam sekitar & membina masyarakat berdaya tahan
Menurut Boston Consulting Group, usaha Malaysia 'menjangkaui' kepimpinannya dalam tindakan iklim. Pada persidangan COP28 yang lalu, Astaka Malaysia telah menganjurkan sesi panel dan pameran untuk menunjukkan usaha negara itu dalam mengutamakan tindakan bagi mengurangkan dan mengatasi kesan perubahan iklim.
(Gambar: Unsplash)
Ini dilakukan di tengah-tengah keperluan mendesak untuk mengimbangi keutamaan ekonomi dengan kestabilan politik dan perlindungan alam sekitar.
Acara selama 12 hari di Amiriah Arab Bersatu (UAE) menghasilkan 'Konsensus UAE', iaitu ikrar untuk 'beralih daripada bahan api fosil dengan 120 negara komited kepada penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak tiga kali ganda dan kecekapan tenaga berganda.
2024 nampaknya akan menjadi tahun RE benar-benar akan dilaksanakan Malaysia.
PERALIHAN KEPADA TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI
Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui telah menjadi perkara yang secara konsisten dibincangkan oleh Malaysia walaupun terdapat banyak perubahan dalam kerajaan sejak 2018.
Negara ini sedang meninjau menjangkaui pergantungannya kepada tenaga yang dijana melalui bahan api fosil. Bagaimanapun, tindakan di lapangan agak terhad. Memandangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada asasnya mempunyai monopoli ke atas penjanaan dan perbekalan tenaga, syarikat itu perlu menerajui pembangunan TBB yang tegas.
Lebih berjaya ialah usaha TBB berskala kecil seperti mikro-hidro atau hibrid yang terdiri daripada solar, turbin mini dan genset berkuasa diesel untuk grid tenaga masyarakat luar bandar.
Walaupun sumber tenaga yang kerap dimulakan oleh masyarakat sivil ini lebih berbentuk 'boleh diperbaharui' daripada loji arang batu untuk masyarakat tersebut, pencapaiannya masih jauh dari mencukupi untuk memenuhi sasaran COP.
BERKESANKAH SKIM BANTUAN KERAJAAN?
Terdapat pelbagai skim yang bertujuan untuk menggalakkan isi rumah menggunakan panel solar atas bumbung dan pencahayaan solar yang lebih mudah diakses daripada portal beli-belah online. Walau bagaimanapun, pemasangannya memerlukan perbelanjaan yang melebihi kemampuan purata masyarakat berpendapatan sederhana dan keluarga berpendapatan rendah (B40). Malangnya, pencahayaan solar biasanya mempunyai jangka hayat yang pendek atau mudah rosak. Lebih banyak lagi perlu dilakukan di luar pengumuman belanjawan biasa untuk menyokong secara berkesan usaha rakyat bergerak ke arah RE.
Jurang ini perlu dirapatkan. Untuk melihat kesannya yang sebenar di lapangan, mungkin syarikat besar boleh menggunakan belanjawan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memasang kemudahan sedemikian bagi masyarakat yang lebih miskin, dengan tumpuan kepada mereka yang bergelut untuk membayar bil elektrik atau menetap jauh dari grid nasional.
Projek-projek TBB kerajaan persekutuan yang besar di kawasan luar bandar seperti kawasan-kawasan tinggi di Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak, sering terperangkap dalam isu ketelusan, akses dan kekurangan pengetahuan teknikal.
Istilah 'tenaga boleh diperbaharui' sendiri boleh dipertikaikan. COP28 juga berjaya memperolehi komitmen daripada sejumlah negara untuk menggandakan pengeluaran tenaga nuklear menjelang 2050, walaupun bencana nuklear Fukushima pada 2011 masih segar dalam fikiran ramai dan Jerman pula kekal komited untuk menghapuskan tenaga nuklear sepenuhnya.
Walaupun Kesatuan Eropah (EU0 telah menyifatkan tenaga nuklear sebagai 'mesra alam dan bersih,' Malaysia, pada masa lalu, memutuskan untuk menjauhkan diri daripada penjanaan tenaga nuklear. Pada Oktober 2023, Malaysia bagaimanapun mengumumkan bahawa penggunaan tenaga nuklear tidak boleh ditolak dan perbincangan sedang dijalankan untuk menyertakan penggunaannya ke dalam pelan peralihan tenaga jangka panjang.
Keputusan tersebut diumumkan pada masa yang sama ketika kerajaan Malaysia Madani mengumumkan hasratnya untuk bergerak lebih mendalam ke dalam industri nadir bumi menyusuli penemuan mineral bawah tanah yang dianggarkan bernilai AS$173 bilion dan lanjutan lesen bagi operasi gergasi perlombongan Australia,Lynas di Pahang. Walaupun tidak berkaitan, kerajaan juga telah menyatakan bahawa ia berhasrat untuk membeli kenderaan elektrik (EV) sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap kemampanan.
Dengan kerosakan alam sekitar yang boleh disebabkan oleh kerja-kerja perlombongan nadir bumi serta pengeluaran dan pelupusan bateri EV, kerajaan perlu menunjukkan cara ia merancang untuk menyelaraskan tindakan dan komitmen ini dengan ikrar untuk melindungi alam semula jadi dan kepada pihak-pihak yang bergantung kepadanya.
TENAGA HIDRO SEBAGAI PILIHAN ALTERNATIF
Tenaga hidro adalah satu lagi sumber tenaga yang turut disifatkan sebagai 'boleh diperbaharui' kerana aliran air berterusan yang diperlukan untuk menjana tenaga tidak akan habis dari semasa ke semasa.
Sarawak sejak sekian lama telah membangunkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), yang diuruskan oleh RECODA. Kawasan itu seluas 80% daripada negeri tersebut, dengan sebahagian besar penjanaan tenaga hidro menyokong industri berat seperti pembuatan keluli dan panel solar di Taman Perindustrian Samalaju (SIP).
Walaupun ada baiknya Malaysia mempunyai panel solar keluaran tempatan, dengan inisiatif itu bermatlamat untuk menghapuskan kemiskinan dan menambah baik infrastruktur negeri seperti jalan raya dan lebuh raya, hanya sedikit perhatian diberikan kepada keaslian tenaga 'bersih' yang dijana. Laporan media telah menunjukkan bahawa Singapura sedang dalam perbincangan untuk mengimport sebahagian daripada 'tenaga boleh diperbaharui' ini. Usaha perlu dijalankan untuk meneliti kesan perkembangan ini terhadap masyarakat tempatan dan persekitaran semula jadi mereka.
Pembiayaan hijau dan cukai karbon adalah satu lagi bidang yang Malaysia berminat untuk meneroka. Bursa Malaysia mempunyai syarat-syarat dan peraturan yang ketat untuk syarikat-syarikat yang tersenarai dalam bursa tersebut dari segi peraturan berhubung pelaporan kemampanan – satu langkah menyeluruh yang baik untuk mendorong perniagaan besar melakukan perkara yang betul.
Bagaimanapun, persoalan yang perlu ditanya ialah sejauh manakah keberkesanan aktiviti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ini dijalankan di lapangan. Usaha penanaman pokok semakin meningkat sekarang, sebagai cara untuk mengimbangi pelepasan karbon korporat - terutamanya untuk kawasan bakau berdasarkan nilai penyerapan karbonnya yang tinggi. Tetapi kebanyakan program ini tidak menggabungkan rancangan atau dana untuk pemantauan jangka panjang dan ia juga tidak termasuk usaha untuk memperkasakan masyarakat tempatan supaya dapat bekerjasama dalam usaha ini bagi mengukuhkan lagi mata pencarian tempatan. Ini perlu diubah, terutama sekali apabila masyarakat yang terjejas secara langsung akibat aktiviti perniagaan syarikat yang sama.
Syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) juga perlu diberi lebih banyak sokongan untuk beralih kepada amalan-amalan mampan. Walaupun terdapat pelbagai sokongan yang diumumkan untuk syarikat-syarikat SME, terdapat sedikit bantuan konkrit yang benar-benar disalurkan kepada pemain-pemain lebih kecil yang terkial-kial menyesuaikan diri dengan peraturan baharu, keperluan dan birokrasi memohon skim tersebut.
Walaupun terdapat usaha oleh beberapa pertubuhan seperti UN Global Compact dan yayasan untuk melatih syarikat-syarikat SME melakukan peralihan, bagi sesetengah pihak, sesi latihan malangnya di luar belanjawan terhad mereka. Terlalu banyak syarikat SME yang masih terkial-kial cuba bangkit daripada pandemik COVID-19 sedang mereka menghadapi peningkatan kos, penurunan nilai Ringgit dan pelaksanaan kenaikan gaji minimum.
Astaka Malaysia di COP28 mengetengahkan suara orang asli dan masyarakat tempatan serta usaha mereka untuk menyesuaikan diri dan mengatasi kesan perubahan iklim.
INISIATIF PERTUBUHAN AKAR UMBI & KUMPULAN SIVIL
Pertubuhan-pertubuhan akar umbi dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil telah bergerak jauh dan lebih pantas melangkaui rentak COP dan perbincangan kerajaan untuk tindakan sebenar di lapangan. Usaha kumpulan-kumpulan ini perlu diiktiraf, disokong dan dibiayai.
Walau bagaimanapun, sama seperti syarikat-syarikat SME, mereka tidak mempunyai kemudahan untuk mengakses skim-skim bantuan yang diumumkan oleh kerajaan - sama ada kerana mereka tidak memahaminya atau terlalu kekurangan kakitangan dan terlalu sibuk dengan kerja sebenar di lapangan untuk memberi tumpuan kepada skim-skim bantuan tersebut.
Walaupun mereka secara aktif melakukan yang perlu untuk menyesuaikan diri dan mengatasi kesan perubahan iklim, mereka jarang menggunakan 'huraian-huraian berasaskan alam semula jadi untuk menyesuaikan diri dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.'
Usaha untuk mencungkil pejuang tempatan dan menyerlahkan kejayaan mereka di peringkat masyarakat masing-masing dan untuk memberikan sokongan sebenar melangkaui peluang bergambar dan penyerahan cek perlu diteruskan. Perlu difahami bahawa pelaburan ke dalam kumpulan-kumpulan ini tidak akan menjana hasil yang diinginkan dalam sekelip mata atau gambaran yang cantik, tetapi akan memberikan hasil jangka panjang yang sebenar bagi mereka yang paling memerlukannya.
LANGKAH SETERUSNYA
Pengetahuan ekologi tempatan atau ilmu yang diperolehi daripada pemerhatian dan kajian yang dijalankan perlu dihormati dan diiktiraf sebagai setanding dengan 'pengetahuan saintifik' yang dikumpulkan dan dihasilkan oleh para saintis yang secara berkala turun ke padang atau menjalankan penyelidikan di makmal . Anjakan minda ini perlu berlaku dengan segera untuk menyelamatkan orang ramai yang terkesan dengan perubahan iklim sedang para penggubal dasar membahaskan butiran mengenai saranan-saranan dan kertas kerja yang dibentangkan.
Secara keseluruhannya, terdapat banyak kemajuan positif berkaitan alam sekitar di Malaysia pada tahun ini. Sungguhpun demikian, program dan dasar perlu difikirkan secara holistik dan keperluan untuk meningkatkan pelaburan kewangan tidak boleh merangkumi atau menjejaskan usaha perlindungan alam sekitar dan mereka yang bergantung kepadanya.
Perubahan iklim seperti yang kita tahu adalah bukti jelas akibat kegiatan manusia dan kita tidak boleh mengabaikan keperluan bumi. Kos menyelamat dan memulihara alam sekitar selepas berlaku sesuatu bencana alam atau akibat perubahan iklim, perlu terus dipergiatkan.
Kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan perancangan bandar akan membawa padah yang lebih berat berbanding membuat pilihan yang sukar (atau tidak popular) untuk memastikan sistem dan prasarana yang lebih baik dan berkesan.
Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS-Yusof Ishak Institute. Nelayan dan rumput laut di Mukim Tanjung Kupang, Johor telah dijadikan sebagai bahan utama kajiannya sejak 2008.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.