Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Kesan Keputusan PRN Sabah Ke-17 Terhadap Kerajaan MADANI & PM Anwar Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Kesan Keputusan PRN Sabah Ke-17 Terhadap Kerajaan MADANI & PM Anwar Ibrahim
Encik Hajiji Noor mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dengan majoriti 8,919 undi, meningkat berbanding 3,099 undi pada PRN ke-16. (Gambar: Bernama) 
KUALA LUMPUR: Pada 24 November lalu, genap tiga tahun sejak Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, hasil rundingan pasca keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini secara simbolik menandakan bahawa pentadbiran beliau melepasi separuh penggal atau ‘mid-term’ dengan stabil dan selamat.
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berucap pada satu rapat umum di Kota Kinabalu, Sabah pada 27 November 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Dari segi 'real' politik pula, PM Anwar terus diuji pelbagai cabaran seperti menguruskan bencana banjir yang sedang melanda Semenanjung Malaysia, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah, ketidaktentuan dalam jemaah menteri beliau dan tuduhan-tuduhan kes rasuah melibatkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kesemua perkara ini memberikan latar bermakna apabila diteliti bersekali beberapa isu lain yang dibangkitkan pada siri penulisan sebelum ini. Namun, tumpuan terbesar PM Anwar sudah pasti ditujukan kepada situasi kegagalan Kerajaan MADANI menjadi pilihan rakyat Sabah yang baru selesai hari pengundian pada 29 November.

PRN kali ini muncul antara yang paling kompleks dalam sejarah politik Sabah. Skala persaingan luar biasa dengan 596 calon bertanding bagi mengisi hanya 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadikan ia satu medan sengit dan sukar diramal.

Sebanyak 22 buah parti telah mengambil bahagian dan seramai 74 calon bebas turut mencuba nasib masing-masing. Setiap kerusi DUN mengalami pertandingan berbilang penjuru, dengan 1 kerusi unik iaitu N.44 Tulid mempunyai sehingga 14 orang calon. Ya, demokrasi di Sabah hidup subur, tetapi ia juga amat rapuh.

Disebabkan undi terpecah dengan ketara dan kemenangan majoriti tipis dalam sistem ‘first past the post’, landskap politik Sabah terus terdedah kepada percaturan dan campur tangan oleh elit politik.

Sejurus keputusan rasmi dimuktamadkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penyandang Hajiji Nor bergegas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada sekitar pukul 3.00 pagi. Biarpun tiada butiran terperinci tentang komposisi yang membentuk kerajaan, Hajiji sudahpun memulakan khidmatnya bagi penggal kedua.

Dari pengamatan awal, tindakan segera ini dilihat sebagai taktik Hajiji untuk memiliki kelebihan ‘mandat sah’ kerana beliau masih mengadakan rundingan dengan beberapa parti lain bagi meraih sokongan tambahan untuk membentuk kerajaan campurannya.

Pergelutan Berbilang Blok

Wujud dua blok utama akibat daripada kekusutan pecahan politik Sabah. Blok pertama ialah 29 kerusi daripada 55 calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Hajiji telah menyatakan PRN kali ini adalah yang terakhir sebelum beliau bersara, maka GRS akan melalui transisi (peralihan) kepada pemimpin pelapis seperti Menteri Persekutuan Armizan Ali.
Bendera parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sulaman, Sabah pada 27 November 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor. (Gambar: Facebook/Bernama)
GRS dikhabarkan menerima sokongan 3 kerusi daripada 25 calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), sebuah parti tempatan yang keluar daripada gabungan asalnya iaitu Pakatan Harapan (PH). Ewon Benedick, mantan Menteri Persekutuan telah menyedari ‘mood’ pengundi lalu mengambil risiko untuk UPKO bertanding solo.

Blok pertama dikatakan menerima sokongan hanya 1 kerusi daripada 22 calon PH. Kekalahan mutlak komponen PH iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang gagal mempertahankan 8 kerusi dan prestasi hambar 12 calon PKR lain serta 1 AMANAH membayangkan penolakan keras pengundi Sabah terhadap parti-parti dari Semenanjung.
Bendera-bendera parti kelihatan di tepi jalan di Kota Kinabalu menjelang pilihan raya negeri Sabah ke-17 pada 29 November 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
GRS bakal disaingi oleh blok kedua iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN) selaku pembangkang terbesar yang menang besar 25 kerusi daripada 73 calon. Pengalaman WARISAN yang diketuai Shafie Apdal pernah menerajui kerajaan Sabah dan membawa mesej anti-korupsi, dilihat berjaya menggugat kedudukan GRS.
Presiden Warisan Shafie Apdal berucap kepada media pada 30 November 2025 di Kota Kinabalu susulan keputusan pilihan raya negeri Sabah. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Kiraan itu menjurus kepada 33 kerusi memihak kepada Hajiji, manakala 25 kerusi ‘solid’ bersama Shafie. Ini masih belum mencukupi majoriti mudah 37 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan campuran di Sabah. Maka di sini peranan ‘kingmaker’ dan adegan tawar-menawar terus berlangsung antara elit-elit politik.

Masih belum dipastikan arah mana 6 kerusi daripada 45 calon Barisan Nasional (BN) akan berpihak. Secara amnya, BN Sabah kian hilang peranan dalam menentukan corak politik di Sabah, berbeza dengan Kerajaan Pusat. BN juga mendapati calonnya terkesan agak teruk daripada pecahan undi diambil oleh calon-calon parti lain.

Menariknya, terdapat 5 kerusi yang dimenangi oleh calon bebas dan kelima-lima kerusi inilah menjadi rebutan antara GRS dan WARISAN.

Juga menarik, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjaya memperoleh kemenangan sulung mereka dengan menyumbang 1 kerusi daripada 42 calon gabungan Perikatan Nasional (PN).

Hasrat dua buah parti ingin bertindak sebagai ‘dark horse’ tidak kesampaian. Hanya 2 kerusi daripada 46 calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan 1 kerusi daripada 40 calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berjaya dimenangi. Meskipun parti tempatan, mereka terpinggir dari arus perdana dan wajar buat ‘post-mortem’.

Keghairahan demokrasi ini mencerminkan kepelbagaian politik Sabah. Tetapi realitinya masih rumit kerana turut memaparkan ketidaktentuan yang tinggi. Tiada satu parti pun benar-benar dominan untuk membentuk kerajaan tanpa rundingan.

Sentimen Lokal Menebal

Satu trend dikesan sejak enam bulan lalu dan menjadi paksi kempen PRN kali ini ialah slogan “Sabah First” dan “Sabah for Sabahans”. Ia menumpukan desakan rakyat Sabah kepada Kerajaan Pusat untuk mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu yang mengarahkan Putrajaya untuk menunaikan tanggungjawab perlembagaan. Kerajaan perlu membayar tuntutan 40% pembahagian hasil pendapatan kepada Sabah, di samping memberi pampasan bagi tempoh tertunggak sejak tahun 1974.

Keinginan Kota Kinabalu untuk memperkukuh autonomi wilayah terhadap Putrajaya berkisar daripada inspirasi yang dicetuskan oleh jiran mereka di Kuching. Ramai telah membandingkan Sabah dengan model Sarawak sebagai bukti bahawa kesatuan politik tempatan mampu membawa hasil pembangunan yang lebih ampuh.

Generasi muda turut terjebak dengan naratif ‘anti-Malaya’, manakala generasi lama melihat peluang mengasak lebih banyak manfaat peruntukan dan ruang pentadbiran daripada Kerajaan MADANI yang semakin terhimpit. Pemimpin Sabah, tanpa mengira blok, terus menunggang naratif ‘pro-tempatan’ ini, lalu diterjemah dalam PRN Sabah.

Pecahan undi dan kecenderungan memilih parti tempatan menjadikan tuntutan hak Sabah sebagai syarat penentu dalam sebarang perundingan membentuk kerajaan campuran di Sabah dan pelantikan kabinet. Walaupun begitu, idea memperjuangkan identiti Sabah tidak boleh dianggap sebagai pelaksanaan perubahan mutlak.

Sabah masih berdepan struktur kuasa sedia ada yang sukar dirombak. Politik dinasti keluarga, budaya ‘warlords’ tempatan dan tradisi membeli sokongan menjadi muslihat elit politik mengawal jaringan pengaruh selama berdekad-dekad untuk mengaut kekayaan.

Paling mengecewakan ialah dari senarai 596 calon yang bertanding, hanya 71 calon wanita dan hanya 5 wanita akan memasuki DUN Sabah kali ini. Malah, kebanyakan pemenang berumur lebih daripada 50 tahun. Ini melambangkan dominasi berterusan kelompok ‘Boomer’ yang membataskan suara kritikal dan peluang belia Sabah.

Dari sudut lain pula, isu sentimen lokal sebenarnya memberi peluang luas kepada PM Anwar untuk ‘reset’ semula hubungan Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri (G2G) secara pragmatik, bermula dengan kerajaan Sabah di bawah Hajiji Noor.
Perdana Menteri Malaysia merangkap pengerusi gabungan Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim (kanan) dan Ketua Menteri Sabah merangkap presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor semasa rapat umum di Dewan Kebudayaan Bajau Samah di Sulaman, Kota Kinabalu, Sabah pada 27 November 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Dinamika Konflik Dalaman

PRN Sabah menunjukkan episod ‘kitaran pilihan raya’ telah bermula kembali, ketika politik dunia semakin ke arah konservatif. Segala tindakan, kehadiran ataupun ucapan yang disampaikan oleh mana-mana ahli politik mahupun pimpinan parti mempunyai makna tersurat dan tersirat bagi meraih sokongan pengundi atau demi merebut kuasa.

Malang sekali untuk rakyat Sabah, PRN kali ini masih lagi mengangkat permasalahan infrastruktur asas. Manifesto setiap parti berbeza tetapi berkisar kepada fokus yang hampir sama iaitu menyediakan saluran air bersih, bekalan elektrik, akses jalan raya, liputan internet dan usaha membasmi kemiskinan.

Parti yang dipercayai memiliki mobilisasi logistik tersusun, sumber kewangan lengkap dan rangkaian tempatan kukuh seperti GRS dan WARISAN telah memperoleh banyak kerusi. Tetapi faktor-faktor itu tidak menjamin kemenangan bergaya sewaktu PRN.

Hakikatnya, politik personaliti kekal menjadi faktor penentu. Siapa kenal siapa masih lebih penting daripada dasar apa yang dibawa. Setiap parti terpaksa menampilkan calon ‘heavyweight’ masing-masing, berpunca daripada pola pengundian di Sabah yang masih banyak diputuskan berdasarkan nama gah dan reputasi.

Politik bertunjangkan jasa tokoh, tempoh khidmat dan sumbangan masyarakat menguatkan logik pengaruh peribadi berbanding institusi di Sabah. Sebaliknya, kekerapan berlakunya perselisihan personaliti sebenarnya telah menyebabkan keadaan semasa yang dipenuhi politik cacamarba.

Ambil contoh, pertembungan ego antara ‘warlord’ seperti Pengerusi UMNO Sabah Bung Mokhtar Radin berbanding cita-cita tinggi timbalannya Abdul Rahman Dahlan. Ia mewarnai PRN Sabah namun hampir membawa bencana apabila Bung Mokhtar hanya menang tipis beberapa ratus undi sahaja pada kerusi ditandinginya.

Perihal sama dapat dilihat apabila dua veteran DAP Sabah Frankie Poon dan Liau Fui Fui mengumumkan keluar parti pada 11 Oktober lalu lalu menyumbang kepada kemerosotan DAP.

Pergaduhan Presiden STAR Jeffrey Kitingan dan bekas Ketua Pemudanya, Jordan Jude Ellron menyaksikan Jordan merampas kerusi Tulid sebagai calon bebas.

Risiko Tekanan Luaran

Analisa awal mendapati peratusan keluar mengundi turun daripada 66.6% kepada 64.3% lantaran kos tinggi tiket penerbangan pulang dan kurangnya pencalonan wanita mahupun pemuda. Selain itu, akibat pertandingan yang sangat terbuka dan undi pecah, keputusan ‘upset’ yang menimpa calon berprofil tinggi, tidak menghairankan.

Percubaan muka-muka lama seperti mantan Speaker Parlimen Pandikar Amin serta beberapa mantan Menteri Persekutuan seperti Anifah Aman dan Salleh Keruak untuk kembali relevan tidak berjaya. Mereka tersungkur ketika mengintai kesempatan untuk membuat kemunculan semula di sebalik perpecahan kancah politik Sabah.

Seterusnya, peranan yang dimainkan oleh seorang lagi ‘warlord’ iaitu Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Musa Aman, cukup kritikal dalam senario DUN tergantung. Musa telahpun menggunakan budi bicara melantik Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri pilihannya, rentetan sejarah peribadi pahit beliau dengan Shafie Apdal sebelum ini.

Walaupun tiada konfigurasi dapat majoriti 37 kerusi setelah mengadakan rundingan, kuasa besar terletak pada TYT untuk menilai siapa yang mampu membentuk kerajaan paling stabil atau memilih gabungan lebih ‘mesra’ dan selari dengan kehendak Kerajaan Pusat. Ini unsur penting kerana kredibiliti PM Anwar mula dipersoal kebelakangan ini.

Setiausaha Politik Kanan PM, Shamsul Iskandar terpalit dengan kesalahan memberi surat sokongan kepada kontraktor sebuah projek pembinaan hospital, lalu meletak jawatan. Malah lebih buruk lagi, beliau kini terlibat dalam tuduhan meminta rasuah dan menerima habuan daripada ‘broker’ kontroversi, Albert Tei.

Albert adalah dalang kepada skandal permit perlombongan pada November 2024 melibatkan anggota kerajaan Sabah pimpinan Hajiji, apabila beliau mendedahkan rakaman usahanya merasuah beberapa pimpinan GRS. Dari pandangan pemerhati politik, Kerajaan MADANI sedang mengalami defisit kepercayaan yang agak parah.

Ketika PM Anwar sering menegaskan komitmen reformasi, tatakelola dan lawan rasuah, persepsi rakyat pula melihat paradoks. Bagaimanakah agenda tersebut dapat dihormati jikalau ‘inner circle’ PM sendiri memakan rasuah? Ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes turut diragui umum.

Sabah mahukan lebih kuasa untuk keadilan. Kerajaan Pusat pula mahukan sokongan untuk kestabilan. Tetapi isu integriti individu-individu tertentu dan kepincangan yang berlaku dalam Kerajaan MADANI telah melemahkan kedudukan PM Anwar untuk berunding dengan mana-mana pihak.

Empat Sebab Utama

Pada asasnya, terdapat empat hujah mengapa Sabah penting bagi Kerajaan MADANI. Pertama adalah memastikan komposisi kerajaan Sabah yang bakal mengambil alih adalah rakan kongsi yang tidak terlalu agresif dalam hal rundingan tuntutan hasil 40% ataupun hak-hak lain di dalam MA63.

Kedua, untuk ‘damage control’ reputasi Kerajaan MADANI yang tercemar lanjutan daripada skandal membabitkan Albert Tei, memandangkan GRS adalah sebahagian daripada formula Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Kemenangan blok GRS yang disokong PH akan di ‘frame’ sebagai usaha bersama untuk memulihkan naratif.

Ketiga, ia ada impak langsung terhadap pertimbangan rombakan kabinet yang dijangka berlaku pada sekitar bulan Disember oleh sebab terdapat sekurang-kurangnya empat kekosongan Menteri dalam kabinet PM Anwar. Kesudahan PRN Sabah akan mencorak siapa naik Menteri, siapa turun pangkat dan siapa tunggu giliran.

Keempat, PRN Sabah bertindak sebagai ‘mid-term election’ kepada prestasi PM Anwar sejak November 2022. Ia memberi isyarat kepada beliau tentang penerimaan awam dan ‘referendum’ tidak rasmi rakyat terhadap dasar pentadbiran Kerajaan MADANI setakat ini. Ternyata, masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh PM Anwar.

Bahkan, kehadiran PM Anwar turun lapangan bertemu pengundi, mengisi ceramah-ceramah, promosi di media sosial dan gerakan jentera kerajaan ke Sabah tidak membuahkan sebarang hasil yang dimahukan. PH harus bermuhasabah dan merangka strategi berbeza kerana angin perubahan jelas sudah tidak menyebelahinya.

Perkumpulan pemain-pemain besar kesemua parti politik ala ‘retreat’ di Sabah menjadi titik perbincangan awal dan penerokaan penjajaran semula politik.
Bendera parti-parti politik kelihatan di Kota Kinabalu, Sabah pada 27 November 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Bagi para pemerhati, situasi ‘fluid’ atau cair di Sabah umpama ‘litmus test’ dan bacaannya akan menjadi panduan penting untuk langkah-langkah seterusnya.

Kesimpulan daripada 29 November ini, Sabah bukan lagi ‘fixed deposit’ bagi mana-mana parti. Sabah menjadi penentu momentum Kerajaan MADANI untuk mengejar penggal kedua bagi PM Anwar.

Dan objektif itu memerlukan kecerdasan politik dalam mengurus dan mengamalkan konsep Persekutuan.

Sebenarnya, sudah lebih sedekad sejak politik di Borneo mengalami perubahan naratif ‘pro-tempatan’ sebagai jawapan kepada isu representasi suara rakyat yang lebih baik.

Banyak usaha Allahyarham Adenan Satem sewaktu memegang tampuk pemerintahan kerajaan Sarawak dijadikan ‘template’ rujukan oleh para pemimpin Borneo.

Persoalan penting yang perlu difikirkan sekarang oleh Kerajaan MADANI ialah, sejauh mana trend politik bersandarkan wilayah atau kenegerian sebegini akan terus berkembang?

Adakah ia memberi kesan jangka panjang kepada politik nasional Malaysia yang sudah sarat dengan politik identiti berasaskan kaum, agama dan raja?

MENGENAI PENULIS
Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita