Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Kesan keputusan Mahkamah Tinggi Malaysia untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid Hamidi

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Kesan keputusan Mahkamah Tinggi Malaysia untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid Hamidi

(Gambar: Arif Kartono / AFP)

Diterbitkan : 21 Sep 2023 08:05PM Dikemas Kini : 21 Sep 2023 10:41PM

BERITA Mediacorp: Pada 7 September 2023, dua orang lelaki berumur 30 tahun dan 22 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 8 bulan dan denda sebanyak RM2,500 (jika denda gagal dibayar maka hukuman penjara tambahan 3 bulan dikenakan) setiap seorang setelah didapati bersalah kerana mencuri minuman Nescafe dan empat botol minyak wangi dari sebuah kedai serbaneka di Ipoh, Perak.

Kedua-dua lelaki tersebut memberitahu mahkamah bahawa mereka mencuri untuk mendapatkan lebih banyak wang kerana gaji mereka hanya sekitar antara RM1,300 hingga RM1,500 dan tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka. Berdasarkan fakta-fakta kes tersebut, bukanlah menjadi sesuatu yang mengejutkan apabila mereka tidak mampu membayar denda RM2,500 yang ditetapkan oleh mahkamah.

Akibatnya, mereka dipenjarakan untuk tempoh yang lebih panjang.

Punca permasalahan yang meragut kebebasan mereka dan orang lain yang berada di tempat yang sama jarang dibangkitkan dan diberikan perhatian yang sewajarnya dalam wacana politik semasa.

Nasib yang menimpa dan kesudahan kisah mereka tenggelam ditelan isu-isu tular yang bersilih ganti dibawa arus media massa dan akhirnya hilang dimamah lupa. Malangnya, kes seperti ini bukanlah sesuatu di luar norma.

Ketidaksamarataan dalam pengagihan kekayaan negara terus menjerumuskan masyarakat kebanyakan dalam kitaran desakan kehidupan mencengkam - kitaran yang menafikan manusia hak untuk kehidupan yang bermaruah dan manusiawi; kitaran yang menafikan manusia kemanusiaan mereka.

Ketika kedua-dua lelaki daripada kelas kolar biru dirundung kerasnya hukuman di balik tirai penjara, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan menarik nafas lega.

Related article image
Dr Ahmad Zahid Hamidi di majlis Merarau Ngiling Tikai anjuran Parti Rakyat Sarawak pada 2 Jul 2023. (Gambar: BERNAMA)

Tiga hari sebelum kedua-dua lelaki tersebut didapati bersalah atas tuduhan mencuri minuman dan minyak wangi dari sebuah kedai serbaneka, 47 tuduhan rasuah melibatkan lebih 31 juta ringgit terhadap Timbalan Perdana Menteri tersebut digugurkan di mahkamah oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar atas arahan bekas Peguam Negara Idris Harun.

47 tuduhan rasuah tersebut - pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram, dan rasuah - yang mana prosidingnya sudah berjalan sejak 19 November 2019 digugurkan atas alasan wujudnya keperluan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut berdasarkan kepada surat representasi bertarikh 8 Disember 2022 yang dikemukakan oleh pihak pembelaan (pihak tertuduh) kepada pihak pendakwaan (pihak pendakwa raya).

Surat representasi inilah yang menjadi asas keputusan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menggugurkan dakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri di mahkamah pada 4 September 2023.

TIMBUL TANDA TANYA

Apa yang menimbulkan tanda tanya dan kecurigaan adalah, yang pertama, masa surat representasi ini dikemukakan. Surat representasi ini dikemukakan'

  1. selepas lebih tiga tahun prosiding kes-kes rasuah berjalan di mahkamah (19 November 2019);
     
  2. selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang berlangsung pada 19 November 2022;
     
  3. selepas pelantikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 24 November 2022;
     
  4. selepas senarai penuh Kabinet dikeluarkan pada 2 Disember 2022.


Kedua, tindakan menggugurkan dakwaan-dakwaan ini dilakukan di dua peringkat:

  1. ketika mahkamah telahpun memutuskan bahawa terdapat kes prima facie terhadap Timbalan Perdana Menteri sebagai pihak tertuduh dan
     
  2. di peringkat pembelaan pihak tertuduh.

Kes prima facie bermaksud mahkamah mendapati terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong fakta dakwaan yang kemudiannya perlu dijawab oleh pihak tertuduh di peringkat perbicaraan seterusnya - iaitu peringkat pembelaan.

Related article image
(Gambar: Bernama)

Mahkamah membuat keputusan ini (prima facie) setelah mendengar perbicaraan yang memakan masa 77 hari di mana 99 saksi pendakwaan telah selesai memberi keterangan.

Sebagai tambahan, peringkat seterusnya iaitu peringkat pembelaan juga sedang berjalan di mana saksi tertuduh yang ke-15 sedang memberi keterangan.

Ini menunjukkan bahawa pengguguran dakwaan ini dilakukan ketika prosiding kes-kes rasuah tersebut telah jauh dan lama berjalan di mahkamah.

Ketiga, Ketua Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran yang sedang mengetuai pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri pada masa itu dilaporkan pada 8 Ogos 2023 telah memohon persaraan awal dan oleh yang demikian tidak dapat meneruskan tugasnya mengendalikan kes-kes rasuah tersebut di mahkamah.

Bekas Peguam Negara Idris Harun ketika itu dilaporkan menyatakan bahawa bekas Ketua Pendakwa Raya tersebut akan bercuti sehingga tarikh persaraannya yang bermula pada 30 Ogos 2023.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pula telah dilantik semula pada 10 Mei 2023 di mana tempoh perkhidmatan beliau dilanjutkan selama setahun.

Perkara yang serupa berlaku di mana tempoh perkhidmatan bekas Peguam Negara Idris Harun telah dilanjutkan selama enam bulan bermula pada 6 Mac 2023.

Berdasarkan konteks yang dinyatakan di atas (masa dan peringkat ketika pengguguran dakwaan dilakukan, persaraan awal, dan pelantikan semula pihak-pihak tertentu dalam institusi-institusi terlibat), adalah munasabah untuk timbulnya persoalan tentang campur tangan dan pengaruh kerajaan dalam institusi-institusi tersebut.

Related article image
PM Anwar Ibrahim bersama para pemimpin Kerajaan Perpaduan, termasuk pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu mesyuarat majlis pada 11 Jul 2023. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Apa yang diperlihatkan di atas pentas politik Malaysia melalui pengguguran tuduhan rasuah pada 4 September 2023 melibatkan sosok besar bernama Ahmad Zahid Hamidi yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang tidak putus-putus mengulangi slogan “Reformasi” di sepanjang kerjaya politiknya sejak tahun 1998 dan merupakan satu manifestasi pergelutan dan percaturan kuasa antara elit pemerintah dan kaitan mereka dengan struktur-struktur kuasa negara seperti Jabatan Peguam Negara dan SPRM.

SAMBUNGAN LANGKAH SHERATON?

Pergelutan dan percaturan kuasa ini adalah kesinambungan Langkah Sheraton yang tercetus pada tahun 2020 yang menyaksikan tindakan lompat parti dan pertukaran kesetiaan dalam kalangan elit pemerintah dalam membina dan mempertahankan tampuk kuasa masing-masing.

Langkah Sheraton ini menyebabkan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan pengambilalihan kerajaan oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin, yang sekarang ini menyandang jawatan Pengerusi blok pembangkang Perikatan Nasional (PN).

Pergelutan dan percaturan kuasa melibatkan elit pemerintah yang mempunyai kepentingan kelas yang sama dan tanpa mengira ras (race) ini masih berpaksikan kepada naratif dominan kedudukan istimewa orang Melayu yang menjadi asas nasionalisme Melayu kanan yang bersifat reaksionari dan berpecah belah yang diangkat oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sebelum dan selepas Malaya merdeka.

Naratif ini - yang berkait rapat dengan kepentingan kelas - boleh terus digunakan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu yang merupakan majoriti di Malaysia.

Ini dapat dilihat melalui pengguguran tuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Presiden UMNO.

Related article image
Ahmad Zahid di Perhimpunan Agung UMNO. (Gambar fail: BERNAMA)

Pengguguran tuduhan-tuduhan tersebut menunjukkan peri penting sokongan UMNO dan secara lanjutan sokongan orang Melayu dalam memastikan kelangsungan hidup Kerajaan Perpaduan PH-BN yang digambarkan sebagai progresif.

Ia juga dapat mencabar pengaruh PN - yang baru-baru ini kelihatan mesra dengan bekas Perdana Menteri dua kali Dr Mahathir Mohamad - yang juga giat menggunakan naratif yang serupa untuk meraih sokongan orang Melayu.

Persaingan untuk memenangi sokongan orang Melayu dalam kalangan elit pemerintah dapat dilihat dalam reaksi Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini terhadap seorang pelajar India di dalam satu sesi dialog yang bertanya tentang kemungkinan sistem kuota yang menjadi halangan kepada pelajar bukan Melayu untuk mendapatkan pendidikan tinggi dimansuhkan.

Beliau terang-terangan menyatakan bahawa kerajaan yang diterajuinya akan tewas (akibat kehilangan sokongan orang Melayu) dalam semua pilihan raya jika sistem kuota tersebut dimansuhkan.

Beliau selanjutnya menegaskan bahawa pelajar India tersebut akan lebih [penekanan ditambah] merana jika Malaysia dipimpin oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan anggota PN.

Merujuk kembali kepada persoalan ada apa dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, pengguguran tuduhan rasuah terhadap beliau hanyalah satu daripada banyak gambaran tentang mujarabnya ras (race) dalam mengukuhkan kekuasaan dan kepentingan kelas elit pemerintah.

NARATIF RAS DALAM POLITIK MALAYSIA

Ras adalah atau perkumpulan politik (political grouping) yang berakar dalam sistem kapitalisme kolonial British di Malaya. Intipati ras ini, yang kemudiannya membentuk dan memperkukuhkan nasionalisme Melayu kanan, digunakan untuk mengabsahkan kedudukan istimewa orang Melayu melalui pakatan antara penjajah British dan UMNO.

Related article image
Gambar: Mohd Rasfan/AFP

Sarjana Donna Amoroso dalam kajiannya menunjukkan bagaimana pakatan British-UMNO ini digunakan untuk mengukuhkan kuasa dan kepentingan mereka serta melumpuhkan gerakan nasionalis berhaluan kiri yang ingin membina bangsa (nation) yang benar-benar merdeka dan saksama.

Dengan terkuburnya gerakan yang mencabar pakatan ini, ras secara amnya dan nasionalisme kanan secara khususnya diwarisi sejak Malaya merdeka.

Hari ini, ia terus menjadi senjata ampuh elit pemerintah (dalam bentuk dan pakatan baharu dan berbeza) untuk mengukuhkan kuasa dan kepentingan kelas mereka.

Persoalan tentang nasib dua lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara kerana mencuri minuman dan minyak wangi dan masyarakat kebanyakan yang terus dihimpit desakan hidup dan punca permasalahan mereka masih gagal mendapat tempat yang sewajarnya dalam wacana politik yang sering mengetengahkan pertarungan elit pemerintah seolah-olah politik itu adalah lapangan khas hanya buat mereka yang berkuasa.

KESIMPULANNYA

Persoalan yang serupa, yang sepatutnya menjadi perhatian utama, pernah dibangkitkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang dalam bait-bait puisinya bertajuk Sahabatku yang ditujukan buat Dr M.K. Rajakumar, pemimpin Parti Buruh Malaya, yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 pada tahun 1965:

Bilakah kita dapat memadamkan
Perbezaan keturunan yang kian membakar kita
Dan membiarkan curahan minyak yang kian menyala
Oleh mereka yang sering bermuka dua?


Bilakah kita dapat mempertaruhkan nasib
anak-anak kita yang tak berdosa
dan generasi akan datang keturunan kita
oleh mereka yang mementingkan laba dan kuasa?


Bilakah kita dapat menimbusi jurang perbezaaan
kemiskinan dan kelaparan dengan kekayaan berlebihan
Antara dua golongan dan darjat masyarakat
Suatu janji dari erti kemerdekaan rakyat?


Bilakah semua warga negara mendapat hak
layanan dan keadilan yang sama
Dikenal dengan satu rupa nama:
Bangsa Malaysia?


MENGENAI PENULIS:

Fadiah Nadwa Fikri adalah calon PhD di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS).

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita