NOTA DARI KL: Keputusan 1MDB: Nasib Najib Razak & Politik Elit Melayu
KUALA LUMPUR: Menuju pengakhiran tahun, perkembangan politik di Malaysia terus rancak dengan episod-episod menarik.
Paling sensasi adalah keputusan oleh Mahkamah Tinggi berhubung kes-kes melibatkan mantan Perdana Menteri yang keenam, Najib Razak.
Pada 22 Disember 2025, Hakim Alice Loke dengan keputusan bertulis 41 muka surat menolak permohonan Najib bagi semakan kehakiman untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah untuk kes SRC International Sdn Bhd, sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib telah didapati bersalah pada Julai 2020 kerana mengubah wang secara haram dan pecah amanah sebanyak RM42 juta, lalu disabit hukuman penjara selama 12 tahun dan denda sejumlah RM210 juta bagi kes SRC. Najib dihantar ke Penjara Kajang bermula Ogos 2022.
Namun, Najib berjaya memperoleh pengampunan separa oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Sultan Abdullah dari Pahang atas kuasa ihsan yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan pada Januari 2024 untuk dipendekkan tempoh hukuman kepada 6 tahun dan hanya didenda RM50 juta.
Pasukan pembela Najib mendakwa wujudnya ‘titah addendum’ yang membolehkan beliau menjadi tahanan rumah tetapi ‘disorokkan’ kerajaan. Mereka melancarkan proses semakan kehakiman pada April 2024. Setiap aspek kes beliau berbentuk “unprecedented” iaitu belum pernah berlaku sebelum ini.
Pada 26 Disember 2025 pula, selang empat hari penolakan semakan kehakiman, Najib didapati bersalah oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah atas kesemua 25 tuduhan dalam perbicaraan utama skandal 1MDB yang melibatkan penyelewengan dana awam hampir RM2.3 billion.
Setelah menjalani perbicaraan lebih 6 tahun yang amat kompleks, Najib dikenakan hukuman penjara 15 tahun berserta denda keseluruhan sebanyak RM11.38 bilion bagi kes 1MDB. Peguam bela, Shafee Abdullah menyatakan bahawa Najib akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan.
Kedua-dua keputusan Mahkamah Tinggi ini menandakan dua detik penting dalam satu saga yang telahpun berlarutan sejak pendedahan kes tersebut pada tahun 2010. Ia dianggap kejayaan besar buat institusi kehakiman ke atas elit politik Malaysia.
Terbit Jalur Berbeza
Lantaran daripada keputusan tersebut, timbul empat topik penting yang wajar dibahaskan dari sudut risiko politik.
Pertama, soal mengurus perbezaan pendapat. Kedua, tentang mengurus transisi tradisi. Ketiga, perihal mengurus mainan persepsi. Dan keempat, mengenai mengurus corak sokongan.
Biarpun majoriti rakyat Malaysia menyambut baik peristiwa bersejarah ini, masih ada golongan penyokong tegar Najib yang tetap membela beliau dan terimbau dengan nostalgia era pemerintahan Najib dahulu.
Laungan “Bebas Bossku” di luar Istana Kehakiman Putrajaya menunjukkan jenayah 1MDB belum diinsafi semua pihak.
Reaksi pemain politik juga terbelah, khususnya dalam kalangan parti kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Sebagai contoh, ucapan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dari Pakatan Harapan (PH) di media sosial mengenai 'meraikan keputusan mahkamah' menerima kecaman hebat daripada kelompok yang pro-Najib.
Bee Yin dianggap tidak menjaga sensitiviti rakan-rakan dalam Kerajaan MADANI. Tindakannya seolah-olah mengejek ‘nasib’ Najib, yang menjurus kepada ketidakstabilan politik dengan segelintir pemimpin UMNO mengugut untuk keluar daripada Kerajaan MADANI.
Bagi penjawat awam dan agensi penguat kuasa pula, rata-rata mereka berbangga dengan kegigihan anggota penyiasat dan pasukan pendakwa dalam merungkai kes kleptokrasi rentas sempadan ini. Kesangsian integriti terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dipulihkan sedikit berikutan keputusan mahkamah.
Para aktivis dan organisasi sivil pula mengingatkan bahawa sekalipun Najib didapati bersalah oleh mahkamah, ia bukan titik penamat bagi usaha membasmi rasuah, bahkan ia satu permulaan proses pembaharuan yang menyeluruh. Menurut mereka, semangat melawan korupsi mesti disusuli dengan dasar-dasar yang berkesan agar Malaysia dapat belajar dari sejarah dan tidak mengulangi kesilapan.
Pengajaran daripada kes Najib juga membawa makna yang lebih besar dari sekadar kejatuhan karier seorang tokoh besar politik. Ia sebenarnya membawa maksud berakhirnya satu zaman amalan ‘patronage’ (naungan), kesetiaan membuta tuli terhadap pemimpin dan perlindungan warga elit di atas nama bangsa atau jasa.
Hegemoni Mula Pecah
Kemerosotan budaya ‘patronage’ dan mentaliti feudal terutama dalam kalangan elit kekuasaan yang berpusat dengan UMNO terus melarat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013. Kerapuhan berlaku akibat kerakusan pentaksub Najib merebut jaringan pengaruh yang terbentuk selama ini, hingga akhirnya ia terlerai.
Najib selaku Presiden UMNO pada 2016 berdepan tekanan dalaman disebabkan oleh skandal 1MDB, lantas memilih untuk memecat pimpinan UMNO masa itu seperti Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan Shafie Apdal. Perbuatan itu membawa kepada penubuhan parti-parti lawan baharu, BERSATU dan WARISAN serta berlakunya rekonsiliasi politik antara PM Anwar dan Dr Mahathir selepas 18 tahun berseteru.
Politik Malaysia langsung berubah pada PRU14 iaitu pada tahun 2018 apabila rejim UMNO ditewaskan dan dipaksa menimbangkan realiti baharu bahawa sokongan Melayu tidak lagi sekadar berdasarkan hubungan peribadi dan legasi ketokohan tetapi menganjak kepada fasa politik prestasi, penerimaan awam dan tuntutan demokrasi moden.
Kini, keabsahan moral yang menjadi asas kuasa UMNO terus didekonstruksi dengan keputusan mahkamah pada 2025. UMNO masih tidak mampu menarik bakat baharu atau membina sebarang instrumen parti yang inklusif. Ia turut menjelaskan mengapa UMNO memilih strategi ‘bertahan’ dan bukan transformasi.
Presiden semasa UMNO Ahmad Zahid Hamidi bergelut menghadapi isu Najib dan 1MDB. Arahan Zahid supaya ahli-ahlinya tenang dilihat lemah dan tidak konsisten. Namun, kepimpinan kanan UMNO sedar bahawa mengikat nasib parti pada Najib bukan lagi aset malah liabiliti strategik apabila ia melibatkan kerusi-kerusi pada PRU16 mendatang.
Ancaman untuk keluar dari Kerajaan MADANI harus dibaca sebagai isyarat dan bukan rancangan sepenuhnya. UMNO tidak kuat untuk meninggalkan kerajaan tanpa menanggung kos politik yang jauh lebih tinggi, termasuk memberi ruang kepada Perikatan Nasional (PN) menguasai sepenuhnya perbahasan Melayu-Islam.
Percubaan untuk menghidupkan semula gabungan Muafakat Nasional (MN) atau mengapi-apikan sentimen mungkin memberi nafas jangka pendek tetapi ia tidak menyelesaikan masalah struktur UMNO. Ia kehilangan kepercayaan kelas menengah Melayu dan ketidakmampuannya menawarkan visi ekonomi yang meyakinkan.
Simbol Atasi Fakta
Walaupun begitu, kes melibatkan salah laku Najib yang telahpun melalui proses sistem perundangan sepenuhnya sedang dihalakan kembali ke medan persepsi politik.
Strategi pasca keputusan mahkamah memperlihatkan Najib dan pasukan peguam belanya mula beralih daripada mempertikaikan bukti kepada mempolitikkan institusi.
Dengan membingkaikan penolakan tahanan rumah sebagai pencabulan ke atas bidang kuasa Raja-Raja Melayu dan kesalahan Najib sebagai pendakwaan terpilih, provokasi yang mula dimainkan menyentuh tentang kedaulatan institusi diraja, tafsiran perlembagaan dan struktur kuasa politik melayu.
Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menafikan bahawa keputusan mahkamah melemahkan kuasa Raja-Raja, selain menasihati agar penjelasan awam berlaku secara berhemah agar tidak mencetuskan polemik. Kenyataan peguam bela Najib, Shafee tentang hasrat Najib ingin merayu kesnya terus kepada Majlis Raja-Raja mula dibimbangi.
Mesej berbentuk politik dirangka rapi dan sengaja tersebar. Golongan-golongan tertentu menganggap keputusan kehakiman sebagai campur tangan terhadap institusi diraja dan mengancam martabat bangsa Melayu. Ini memberi peluang untuk mengalihkan perdebatan dari keruntuhan integriti Najib kepada soal kedaulatan serba simbolik.
Langkah itu sudah mendapat tindak balas politik yang kian memuncak, terutamanya dari parti Najib sendiri, UMNO. Terdapat para ahli yang membantah dan juga amaran keras daripada beberapa pemimpin bawahan UMNO yang menggesa agar dinilai kembali peranan dan kerjasama UMNO di peringkat kerajaan perpaduan.
Ia bukan kebetulan. Dalam landskap politik Malaysia yang rencam, menyalakan isu identiti melibatkan hak bangsa, kesucian agama dan ketaatan kepada Sultan mudah untuk ‘menggerakkan’ rakyat berbanding isu dasar. Ia memberi ruang memupuk sifat taksub, menambah rasa ‘insecure’ dan mencipta kisah wira melayu ditindas sistem.
Pendekatan ini amat berisiko kerana menentang institusi kehakiman untuk berkonflik dengan institusi diraja dan bakal menguji, malah boleh menghakis keseimbangan konsep Raja Berperlembagaan sekiranya dibiarkan berleluasa tanpa sebarang hujah balas yang tuntas.
Percaturan Pertarungan Seterusnya
Terakhir, implikasi kotak undi. Keputusan berprofil tinggi ini mungkin menatijahkan dua hasil. Satu, ia mengembalikan kredibiliti institusi dan meraih kembali pendukung progresif yang mahu aspek tatakelola. Dua, ia menghidupkan naratif ‘mangsa’ dalam pengundi tradisional, menyemai rasa tidak puas hati UMNO dan meningkatkan polarisasi.
Soalan sebenar menjelang PRU16 bukanlah sama ada Najib bersalah. Perkara itu sudah selesai dijawab oleh mahkamah. Persoalannya, adakah politik Melayu sudah bersedia meninggalkan masa lalu atau akan terus terperangkap dalam bayang-bayangnya sendiri? UMNO selaku parti Melayu tersepit dalam dilema antara kesetiaan lama dan kelangsungan politik.
Pada satu sisi, wujud keperluan meyakinkan beberapa segmen akar umbi yang masih lagi melihat Najib sebagai simbol kekuatan politik Melayu lampau. Di sisi lain, situasi persaingan politik gabungan dan formula kerajaan perpaduan menuntut disiplin dan kesederhanaan daripada mana-mana parti menjarakkan diri dari terpalit dengan kleptokrasi.
Sebuah kerajaan bertunjangkan idealisme parti-parti (Pakatan Harapan) PH yang pernah menumbangkan kleptokrasi walhal terbina atas kompromi elit menimbulkan pandangan sangat skeptikal berhubung kesungguhan kerajaan melaksanakan agenda reformasi.
Inilah cabaran semasa terbesar PM Anwar. Bukan menangkis serangan daripada tuduhan pembangkang PN atau menaikkan kembali kewibawaan UMNO, tetapi membuktikan pentadbirannya bergerak menjauhi rasuah dan bukan sekadar menukar rupa pada saat di puncak kekuasaan.
Kerajaan MADANI juga menanggung beban apabila keputusan mahkamah menjadi medan ujian kesetiaan politik. Konsesi politik oleh UMNO di peringkat kepimpinan utama cukup berbeza dengan bantahan emosi pengikut dan sudah ada yang putus kerjasama politik di bahagian tertentu dengan komponen PH.
Kesimpulannya, keputusan mahkamah ini membuka lembaran baharu yang terang lagi bersuluh bahawa tiada siapa yang kebal undang-undang, walaupun pernah menjawat sebagai Perdana Menteri. Najib akan terus merayu. Proses ini akan memakan masa. Tetapi garisan sejarah sudah terarah dengan jelas.
Politik feudal berasaskan naungan tanpa tadbir urus tidak lagi diterima oleh generasi baharu. Kesetiaan parti demi meraih keuntungan laba tanpa aspek akauntabiliti sudah tidak lagi laku di mata pengundi rasional.
Tatakelola baik akan terus menjadi tema induk kepada sebuah Malaysia yang semakin matang amalan demokrasinya, diperbaiki ketahanan institusinya dan keupayaan rakyatnya untuk melakukan perubahan politik tanpa pergolakan berdarah.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.