NOTA DARI KL: Ke Arah Malaysia Yang Bebas Sisa
(Gambar hiasan: pcess609/iStock)
KUALA LUMPUR: Tanggal 16 September bukan sahaja Hari Malaysia, tetapi ia juga hari untuk seluruh umat manusia menyahut seruan untuk mengutip sampah di sepanjang laluan air, kawasan perairan, pantai dan dasar laut.
Minat antarabangsa terhadap serpihan marin, apa sahaja sisa ciptaan manusia yang telah dilepaskan secara sengaja atau tidak sengaja ke laut atau lautan, mendapat perhatian pada tahun 1997 apabila Kapten Charles Moore menemui 'Great Pacific Garbage Patch'. Beliau yang sedang dalam perjalanan pulang ke California dari Hawaii menemui kawasan sampah terapung yang sangat besar di North Pacific Gyre, di mana arus lautan berputar menjadi sebuah 'pusat pembuangan sampah'.
Kajian seterusnya pada tahun 1999 mendapati bahawa kawasan ini mempunyai 6 kali ganda lebih banyak plastik berbanding 'zooplankton' jika mengikut beratnya.
Sejak itu, momentum pembersihan pantai semakin meningkat. Pelbagai usaha telah menghasilkan penyelesaian inovatif untuk mengutip sampah dari permukaan lautan yang luas, walaupun lebih banyak 'kawasan sampah' ditemui di bahagian lain Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, dan sisa plastik turut ditemui di lautan yang paling dalam.
USAHA MALAYSIA MEMBERSIHKAN SAMPAH
Pada September 2023, terdapat pelbagai usaha untuk membersihkan perairan dan pantai di seluruh Malaysia. Usaha yang dijalankan dengan ICC dan Hari Membersihkan Dunia memperolehi liputan dan publisiti media yang sangat meluas berkat penjenamaan antarabangsa dan pasukan pemasaran mereka yang berpengalaman.
Banyak lagi usaha setempat sekalipun kecil turut menyumbang kepada usaha untuk membawa perubahan.
Sebagai contoh, Trash Heroes Malaysia, adalah cabang pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan global Trash Hero World, yang para sukarelawannya mengutip sampah sepanjang tahun melalui inisiatif akar umbi yang tidak terkira banyaknya. Kadangkala para sukarelawan ini mengutip sampah semasa mereka menjalankan perniagaan harian mereka - 'plogging' adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada mereka yang mengutip sampah semasa berlari-lari anak.
Mereka kemudian akan menyenaraikan apa sahaja yang ditemui ke dalam aplikasi yang memantau jumlah sampah yang dikumpul.
Di Terengganu misalnya, para sukarelawan ‘Geng Plastic Ija’ meluangkan masa berjalan-jalan di tepi pantai setiap hujung minggu untuk mengutip sampah menggunakan beg plastik berwarna hijau. Sekalipun acara ini jarang dianjurkan secara khusus, keluarga dan rakan-rakan sanggup berbuat demikian untuk mencegah lebih banyak sisa plastik daripada menuju ke laut.
Inisiatif itu dimulakan pada 2017 apabila Zuklefli Sarji dan Normazita Ali, sepasang suami isteri tergerak hati untuk mengambil tindakan selepas melihat sisa yang ditinggalkan pengunjung di pantai kesayangan mereka, yang kemudian turut disokong dan disertai oleh rakan-rakan dan keluarga-keluarga lain di Kemaman dan Dungun. Hari ini usaha tersebut mendapat sokongan pelajar, sukarelawan korporat dan ramai lagi di seluruh Terengganu.
Di Johor, pemenang Anugerah Wira Sosial Iskandar Malaysia, Skuad Alam Sekitar Bestari Malaysia, mengadakan acara bulanan secara tetap di seluruh Johor, menggabungkan usaha pelbagai sukarelawan serta agensi dan majlis tempatan dalam usaha mereka untuk memastikan laluan air sentiasa bersih.
Kumpulan ini turun padang menyingsing lengan tanpa mengira sama ada di lereng bukit, di tepi sungai, merentas bandar, di muara sungai atau pantai untuk mengutip sisa. Ia adalah usaha yang konsisten dan padu untuk menangani semua sumber serpihan marin.
Apakah Masalah Di Sebalik Sisa Yang Menggunung?
Meskipun minat yang berterusan saban tahun untuk mengambil tindakan bagi mencegah pencemaran marin amat terpuji, namun juga penting untuk meneliti isu-isu di sebalik jumlah sampah yang banyak sentiasa berakhir di pinggir pantai kita.
Kajian 2021 yang diterbitkan dalam Science Advances menyenaraikan 6 negara Asia Tenggara dalam kalangan 10 negara teratas dunia bagi kebocoran plastik ke lautan. Dengan lebih 1,000 sungai di rantau ini, ia menyumbang 80 peratus daripada pelepasan plastik dari sungai ke laut.
Lebih separuh daripada sisa Asia Tenggara yang dijana tidak dikutip dan kurang 25 peratus daripadanya dikitar semula.
Terdapat juga jisim tanah yang tidak mencukupi untuk mewujudkan tapak pelupusan sampah yang mencukupi. Dengan laporan yang menganggarkan sekitar 14 juta tan sisa memasuki lautan di peringkat global, para saintis meramalkan bahawa menjelang 2050, jumlah berat plastik di laut akan melebihi berat stok ikan sedia ada. Kajian lain pula menunjukkan bahawa mikroplastik boleh ditemui pada makanan laut, air botol dan dalam aliran darah manusia.
Rencana yang diterbitkan dalam Frontiersin.org pada 2023 mendedahkan bahawa rakyat Malaysia menjana 1.52 kg sampah per kapita setiap hari. Kurang separuh daripadanya diasingkan mengikut sumber dan hanya 5 peratus dikitar semula.
Rakyat Singapura pula menjana 1.49 kg sampah per kapita sehari, tetapi 47 peratus dikitar semula. Rakyat Indonesia mendahului senarai, menghasilkan 1.76 kg sampah per kapita sehari, dengan hanya 7 peratus dikitar semula.
Masalah terbesar ialah penggunaan dan kelaziman penggunaan sekali pakai atau plastik pakai buang.
Walaupun terdapat minat global yang semakin meningkat dalam usaha mengitar semula dan mengurangkan penggunaan plastik, terdapat juga gerakan bercanggah yang berpendapat bahawa menyimpan dan menggunakan semula barang pakai buang dan tidak membuangnya adalah satu 'mentaliti kemiskinan.'
Ini seolah-olah untuk 'membuktikan' bahawa mereka tidak miskin.
Walaupun golongan yang sangat miskin biasanya tidak mampu membeli barangan secara pukal atau melanggani kedai-kedai sifar sisa yang menawarkan detergen dan pengisian semula cecair lain untuk mengurangkan penggunaan plastik, terdapat juga masalah sikap yang sukar untuk dihapuskan.
Masih ramai yang enggan menerima hakikat bagaimana tindakan membuang puntung rokok atau pembungkus manis ke dalam longkang atau sungai akan meninggalkan kesan kepada laut atau lautan – malah kepada makanan laut yang mereka tangkap sebagai nelayan.
Perbuatan membuang sampah secara tidak bertanggungjawab menjadi sebab mengapa puntung rokok, botol minuman plastik dan pembungkus makanan sentiasa menjadi barang yang paling kerap dikutip dalam sebarang jenis acara pembersihan pantai.
Perubahan sikap hanya boleh dicapai melalui pendidikan, pada usia yang sangat muda, baik di sekolah mahupun di rumah.
Malangnya adalah lebih sukar untuk mendorong warga emas untuk bertindak lebih bertanggungjawab kerana tabiat buruk itu sudah lama tertanam dan lebih cenderung berasa tersinggung jika diberitahu atau ditegur tentang apa yang perlu dilakukan.
Sungguhpun demikian, terdapat juga isu sistemik yang lebih besar di seluruh Malaysia. Kutipan sampah bukan perkhidmatan awam. Ia adalah sektor yang diswastakan di mana perniagaan dibayar untuk mengutip sisa. Majlis tempatan berbeza dari segi cara mereka menangani perkara ini, dengan sesetengahnya sanggup berbelanja lebih besar untuk memastikan kawasan mereka sentiasa dibersihkan, manakala yang lain hanya akan membayar kutipan sisa di kawasan yang penduduk membayar yuran penyelenggaraan atau cukai berkaitan.
Oleh itu, kawasan luar bandar sering mengalami kegagalan kerana ramai yang tidak membayar cukai pintu atau tinggal di kawasan setinggan tanpa surat hak milik yang sewajarnya, yang bermakna mereka tidak berhak mendapat perkhidmatan tersebut.
Kitar semula kadangkala merupakan sumber pendapatan tambahan bagi masyarakat luar bandar kerana mereka boleh memperoleh wang tambahan daripada penjualan logam terpakai, tin minuman dan plastik – tetapi sesetengah penduduk berasa malu jika ada orang ternampak mereka mengutip sampah di tepi jalan atau mengasingkan sampah di rumah.
Sikap 'takut malu' ini menghambat budaya untuk memastikan jalan raya dan kampung sentiasa bersih. Adalah lebih mudah untuk menolak tanggungjawab kepada orang lain daripada bersikap bertanggungjawab.
Di kampung yang saya pernah tinggal dan bekerja rapat sejak 16 tahun yang lalu, usaha pembersihan yang bertujuan baik oleh penaja korporat biasanya hanya dapat memikat segelintir peserta tempatan.
Malah ada yang kedengaran berkata ‘Kami tak perlu bersihkan kawasan kami – ada sahaja orang datang yang akan tolong bersihkannya’. Walaupun pemikiran ini mungkin tidak semestinya terpakai di semua kawasan luar bandar di Malaysia, ia adalah satu gejala yang menunjukkan sikap buruk terhadap sampah dan sisa.
Ke Arah Masa Depan Bebas Plastik
Dengan kerajaan baharu silih berganti mengambil alih tampuk pemerintahan di Malaysia, usaha ke arah negara bebas sisa perlu diteruskan.
Walaupun Malaysia kini mempunyai pelan hala tuju untuk diikuti, dan lebih banyak sekatan dan larangan ke atas pengimportan pelbagai jenis sisa dari negara lain, maka itu penting untuk Malaysia menterjemahkan pengumuman peringkat dasar kepada tindakan yang berdaya maju di lapangan.
Ia juga penting untuk menyedari bahawa proses kitar semula memerlukan banyak tenaga dan air – dan mungkin tidak begitu mesra alam seperti yang dipercayai ramai.
Kebanyakan proses juga menghasilkan penjanaan lebih banyak mikroplastik yang boleh dihanyutkan ke dalam tasik, sungai dan laut.
Rombakan pada kurikulum pendidikan am Malaysia menjanjikan penggabungan luas kandungan berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim, serta subjek khusus yang dikhaskan untuk kandungan alam sekitar.
Jabatan Pendidikan Johor sejak sekian lama sudah menyokong sukatan pelajaran pendidikan kebangsaan dengan banyak program berkaitan alam sekitar yang dikendalikan oleh NGO dan rakan-rakan kongsi lain.
Terdapat minat yang meluas untuk mengurangkan sisa di seluruh Malaysia tetapi cara yang paling berkesan adalah dengan mengurangkan penggunaan plastik.
Malangnya, ini mungkin bertentangan dengan keperluan ekonomi Malaysia dan kepentingan peribadi rakyatnya.
Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS-Yusof Ishak Institute. Nelayan dan rumput laut di Mukim Tanjung Kupang, Johor telah menjadi bahan utama kajiannya sejak 2008.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.