Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Hapuskan Budaya Menyembah Kekayaan

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Hapuskan Budaya Menyembah Kekayaan

Gambar hiasan: iStock

Diterbitkan : 17 Mar 2024 09:19PM Dikemas Kini : 18 Mar 2024 08:34PM
KUALA LUMPUR: Pada 31 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, telah diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17 Malaysia untuk tempoh lima tahun.

Media melaporkan puluhan ribu rakyat Malaysia, terutamanya rakyat negeri Johor, memberikan lambaian ucapan tahniah dan selamat jalan ketika beliau berangkat bersama konvoi Diraja dari Istana Bukit Serene di Johor Bahru ke Istana Negara di Kuala Lumpur.


Ketibaan Sultan Johor disambut meriah di Istana Negara. Perdana Menteri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada beliau dan mengambil kesempatan untuk menegaskan bahawa seluruh rakyat Malaysia akan memberi taat setia kepada pemerintahannya. Tanda pagar (hashtag) #AgongKita, diikuti kata-kata memuji memuja, muncul merata-rata di laman-laman media sosial, tidak ubah seperti cendawan yang tumbuh melata selepas hujan.


Dua hari selepas pengisytiharan tersebut, laman Business Insider menerbitkan sebuah artikel tentang kekayaan YDPA Malaysia yang terbaharu ini. Artikel tersebut melaporkan bahawa beliau mempunyai harta bernilai AS$5.7 billion. Ia kemudiannya menceritakan bagaimana beliau, yang merupakan antara individu terkaya di Malaysia, membelanjakan kekayaannya – jet peribadi, kereta dan motosikal mewah - seperti Ferrari dan Rolls Royce - dan haiwan yang dianggap “eksotik” seperti harimau, singa, dan buaya.

Artikel tersebut turut menyebut bahawa beliau mempunyai koleksi 300 buah kereta mewah termasuk sebuah kereta Mercedes yang pernah dimiliki pemimpin fasis Jerman Adolph Hitler.

Hal tentang kekayaan dan kemewahan golongan monarki ini, bukanlah asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Ramai antara mereka, termasuk Sultan Ibrahim sendiri, secara terang-terangan mempamerkan kemewahan hidup mereka di laman-laman media sosial untuk tontonan rakyat jelata. Kelaziman perbuatan oleh golongan ini, yang dianggap sosok politik penting dalam pemerintahan negara, telah memperkukuhkan budaya menyembah kekayaan (wealth worship) dalam kalangan masyarakat umumnya.

Dalam dunia di mana media sosial pantas digunakan untuk memaparkan segala hal berkaitan dengan kehidupan seharian, amatlah sukar untuk terlepas daripada pandangan bagaimana golongan hartawan yang memiliki kekayaan menggunung ini – golongan monarki, golongan selebriti terkenal, golongan ahli perniagaan dan golongan ahli politik reaksioner; golongan-golongan yang juga mempunyai hubungan akrab antara satu sama lain – memampangkan gaya hidup mewah mereka. Kerana pengaruh kuat dan status sosial tinggi mereka dalam masyarakat, nilai-nilai daripada perlakuan mereka diterapkan dalam diri ahli masyarakat umum tanpa sedar, yang kemudiannya menjadi satu bentuk budaya, dalam hal ini, budaya menyembah kekayaan harta benda.

KESEDARAN PALSU

Normalisasi budaya menyembah kekayaan ini membentuk apa yang dikenali sebagai “kesedaran palsu” (false consciousness) – bahawa mengumpul dan memiliki kekayaan harta benda adalah inti pati utama dalam kehidupan manusia ketika mana kemanusiaan secara seluruhnya mengalimi krisis tenat akibat penindasan dan ketidakadilan.

Budaya ini juga mendorong ramai ahli masyarakat bercita-cita untuk menggapai status sosial dan kekayaan yang dimiliki golongan hartawan ini. Ini boleh dilihat dalam kemunculan mereka yang dipanggil “influencer”, contohnya, yang kebanyakannya berasal daripada kelas pertengahan yang mempunyai modal sosial seperti pendidikan formal atau tinggi yang terdiri daripada doktor, pelakon, penyanyi, penulis, cef, ustaz, ustazah, peguam, ahli akademik, suri rumah, usahawan dan sebagainya – berlumba-lumba dan bersaing untuk membina nama dan pengaruh di alam maya.

Related article image
Gambar hiasan: iStock
Pameran kekayaan, perlumbaan dan persaingan ini menjadi bahan tontonan dan perbualan seharian masyarakat kebanyakan yang lain. Kedua-dua golongan ini – golongan hartawan dan golongan yang bercita-cita menjadi seperti golongan hartawan ini – hidup terawangan dalam dunia mereka sendiri seolah-olah negara dan dunia ini semuanya baik-baik dan indah-indah belaka.

Jelas di laman-laman media sosial, mereka sering diangkat, dipuja dan dipuji apabila berkongsi tentang gaya hidup mereka. Keinginan memiliki kekayaan harta benda yang menjanjikan kemewahan hidup menjadi fokus utama kehidupan mereka yang kemudiannya menjadi kayu ukur masyarakat umum tentang peri penting kewujudan seorang manusia dalam dunia – siapa yang layak mendapat perhatian dan menjadi pujaan.

Tidak hairanlah mengapa tidak ramai antara mereka yang lantang bersuara untuk masyarakat tertindas dan rentan; mengambil pendirian atas isu-isu ketidakadilan dan ketidaksamarataan; menggunakan kedudukan sosial mereka untuk berbicara tentang realiti kehidupan masyarakat kebanyakan.

Akibatnya, yang kaya dan berpengaruh dijunjung dan disanjung, yang miskin tidak dipeduli dan terus terbiar, kadang dikeji dan dibenci; dituduh malas walaupun ramai antara mereka – yang tidak mempunyai sebarang akses kepada modal sosial seperti pendidikan formal atau tinggi, contohnya, yang boleh membantu mereka untuk menarik sedikit nafas lega – membanting tulang siang dan malam untuk mencari sesuap nasi.

BUDAYA MENYEMBAH KEKAYAAN TERUS BERAKAR

Sebagai akibat, budaya menyembah kekayaan terus berakar panjang dalam masyarakat. Realiti hidup golongan yang dihimpit kemiskinan dan isu-isu berkaitan terus lenyap dari pandangan mata dan kesedaran jiwa; lenyap ditelan cerita-cerita remeh di laman media sosial sama ada tentang percutian mewah di hotel lima bintang dalam atau luar negara, tentang pakaian, kasut, beg tangan, tudung, cincin berlian, jam mahal, berjenama, atau berstatus “designer” atau konflik peribadi selebriti kegemaran.
Related article image
Gambar hiasan: iStock
Hal-hal begini hampir setiap hari disajikan di alam maya pada masa yang sama ramai golongan miskin pelbagai bangsa tidak berumah – antara hak paling asas untuk manusia – sabar menanti dalam barisan untuk mendapatkan sepinggan makanan percuma di dapur-dapur jalanan di Jalan Lekiu dan Jalan Panggung yang dikendalikan beberapa orang sukarelawan dua kali sebulan. Mereka ini ada yang tidurnya di tepi jalan bertilamkan kotak-kotak terbuang. Ada yang tidurnya di lorong-lorong gelap berbantalkan beg plastik berisi sehelai dua pakaian.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana mereka menguruskan keperluan paling asas seperti tandas dan air untuk membersihkan tubuh badan. Ada antara mereka perempuan – mengendong anak kecil di satu lengan sambil memegang erat seorang lagi anak kecil di satu lagi tangan. Ada antara mereka yang merantau jauh dari Sabah dan Sarawak untuk mencari peluang pekerjaan. Ada antara mereka yang bekerja dengan gaji kecil yang tidak cukup untuk membayar sewa tempat tinggal. Ada antara mereka yang kurang upaya dan juga warga tua yang hidupnya serba kekurangan, hanya bertemankan panas dan hujan.
Related article image
Gambar hiasan: iStock
Realiti perit kehidupan ini bukan hanya dihadapi oleh golongan miskin di kota, tetapi juga golongan miskin di desa dan pedalaman di seluruh pelusuk negara.

Berikutan pengisytiharan Sultan Ibrahim sebagai YDPA ke-17, Perdana Menteri Anwar Ibrahim di laman Facebooknya menyatakan:

“Kerajaan Madani akan terus mendukung sepenuhnya amanat Sultan Ibrahim yang ingin melihat Malaysia meneruskan tadbir urus yang baik, telus, pemacuan ekonomi mampan serta memberi sepenuh perhatian kepada usaha meningkatkan darjat hidup rakyat. Ini juga hasrat jutaan rakyat yang ingin terus melihat kestabilan negara demi kemakmuran dan kesejahteraan serta peluang dan masa depan lebih baik untuk semua”.

Melihat realiti hari ini, selepas 67 tahun Malaya merdeka dan 61 tahun pembentukan Malaysia secara rasmi, persoalan yang harus dibangkitkan adalah “kestabilan negara”, “kemakmuran” dan “kesejahteraan” yang sering diulang-ulang kelas pemerintah ini sebenarnya untuk siapa?

Memiliki 300 kereta mewah sambil menginap di istana bak kayangan dirafak sembah rakyat jelata – realiti yang dipertontonkan secara terbuka ketika wujudnya golongan miskin hidup dan tidur di jalanan, kelaparan dan serba kekurangan bukanlah satu contoh usaha “meningkatkan darjat rakyat”, tetapi satu tindakan mengabsahkan kewujudan dua darjat – mereka yang kaya dan mereka yang miskin.

Dalam menangani persoalan ini, Sasterawan Negara Usman Awang, setelah membuat keputusan untuk berhenti berkhidmat sebagai seorang pegawai polis di bawah pemerintahan penjajahan British pada tahun 1950, menulis sebuah puisi bertajuk “Anjing Itu”:

Anjing itu kurus kelabu
Lidah terjelir nafas termengah-mengah
Menjaga istana tuannya yang gemuk
Patuh setia, menerima dan menyerah

Anjing itu, sering menyalak-nyalak selalunya mendayu-dayu
Bukan kerana ada musuh
Tetapi minta makanan, perutnya lapar
Tuannya hanya mencampakkan cebis-cebis roti kering.


Anjing itu, tidak dibebaskan
Lehernya dirantai, punca digenggaman tuannya.

Anjing itu, bila perlu, diperah
Bagi menjaga keselamatan tuannya
Menjadi binatang lindungan desakan luar
Dan himpitan dalam

Begitu rupa nasib, anjing itu
Kurus kering, dalam semuanya tak cukupan
Hanya menanti rahim tuannya
Cebis-cebis roti kering

Dan tulang-tulang tak berdaging
Itulah jadi makanan, dan hidup jadi
Alat kesenangan manusia jahat memperhambakannya.


Siapa anjing
Hanya binatang setia.


Usman Awang, melalui puisi ini, bukan sahaja merenung tentang kesedaran palsu dalam dirinya – bagaimana beliau sendiri telah diperdaya dan diperalatkan oleh penguasa British yang pada ketika itu bersekongkol dengan golongan monarki dan golongan aristokrasi (UMNO) untuk menghancurkan gerakan kiri yang digerakkan oleh tokoh-tokoh seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Shamsiah Fakeh yang berjuang untuk membebaskan Malaya daripada penjajahan yang merampas hak rakyat untuk hidup dengan bermaruah – tetapi juga mengingatkan masyarakat bahawa kemiskinan, yang merupakan satu bentuk penindasan melalui eksploitasi ekonomi, bukanlah sesuatu yang semula jadi, tetapi adalah produk sebuah sistem kapitalis yang digerakkan kelas pemerintah untuk menjaga kepentingan politik dan ekonomi kelas mereka.

Seperti yang dinyatakan dalam bait-bait puisi bertajuk “Sahabatku” yang ditulis oleh Usman Awang dan ditujukan buat Dr. M.K Rajakumar, pemimpin Parti Buruh Malaya yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1960-an:

Percayakah?
Aku dapat pula mendengar detak jantungmu
Detak jantung yang dulu
Kehidupan baru untuk masyarakat baru
Impian satu bangsa merdeka
Kebenaran dan keadilan yang sama
Sebagaimana pesan nenek moyang:
‘Hati kuman sama dicicah
Hati gajah sama dilapah’.

Bilakah kita dapat memadamkan
Perbezaan keturunan yang kian membakar kita
Dan membiarkan curahan minyak yang kian menyala
Oleh mereka yang sering bermuka dua?

Bilakah kita dapat mempertaruhkan nasib
anak-anak kita yang tak berdosa
dan generasi akan datang keturunan kita
oleh mereka yang mementingkan laba dan kuasa?


Bilakah kita dapat menembusi jurang perbezaan
kemiskinan dan kelaparan dengan kekayaan berlebihan
Antara dua golongan dan darjat masyarakat
Suatu janji dari erti kemerdekaan rakyat?


Peranan penting yang dimainkan oleh sosok seperti Usman Awang dalam membina budaya intelektual yang melahirkan ahli intelektual yang berpihak kepada keadilan dan pembebasan dalam memecahkan kesedaran palsu, atau yang beliau sifatkan sebagai “jiwa hamba”, dalam masyarakat perlu diberi perhatian.

HAPUSKAN BUDAYA YANG KUKUHKAN KESEDARAN PALSU

Peranan ini, yang lahir daripada rasa tanggungjawab, hadir daripada pengamatan tentang hal-hal sekeliling kehidupan manusia dan praktik kritik diri (self criticism) dalam usaha memecahkan budaya-budaya yang mengukuhkan kesedaran palsu.

Sebagai contoh, dalam bukunya, Zurinah Hassan merakamkan kisah bapa Usman Awang yang dimarahi dan dihina ketika membawa beliau yang masih kecil ke jamuan makan sempena hari lahir Sultan Johor. Beliau menulis:

“Untuk ke sana, ayahnya memakai kain sampingnya di luar baju, padahal di Johor pada masa itu orang kebanyakan tidak dibenarkan memakai kain samping di luar baju kerana cara ini adalah untuk orang-orang bangsawan sahaja. Menurut Usman, ayahnya terpaksa berbuat demikian untuk melindungi bajunya yang koyak rabak. Kata Usman, ‘Mereka mengatakan ayah saya tidak kenal adat. Saya masih ingat pandangan ayah ketika bertentangan mata dengan saya dan sejak itulah saya membenci golongan feudal meskipun saya belum mengerti apa yang dikatakan kelas dan kasta’”.

Berbalik kepada kenyataan Anwar Ibrahim berikutan pengisytiharan Sultan Johor sebagai YDPA ke-17 Malaysia baru-baru ini, beliau juga menyatakan:

“Ini juga hasrat jutaan rakyat yang ingin terus melihat kestabilan negara demi kemakmuran dan kesejahteraan serta peluang dan masa depan lebih baik untuk semua”.

Persoalan yang perlu diketengahkan adalah “kestabilan”, “kemakmuran” dan “kesejahteraan” yang disebut ini sebenarnya untuk siapa tatakala yang jelas dari pandangan mata adalah kekayaan menggunung yang sepatutnya diagihkan kepada ahli masyarakat kebanyakan yang hidupnya terus rentan – untuk memenuhi hak asasi seperti hak pendidikan, kesihatan, perumahan – menjadi milik YDPA dan golongan hartawan yang lainnya dan terus-menerus dipertontonkan secara terbuka.
 
Memandangkan YDPA juga merupakan ketua agama Islam di Malaysia sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, masyarakat umum, terutama masyarakat Melayu beragama Islam, tidak dapat lari dari bertanya: apakah realiti dua darjat ini, yang meragut hak manusia untuk kehidupan yang baik, selaras dengan tuntutan agama?

Soalan ini penting untuk diketengahkan memandangkan agama Islam adalah satu isu yang tidak pernah lekang dibahaskan di ruang awam di Malaysia.

Selaras dengan hal ini, artikel ini diakhiri dengan memetik kata-kata Saidina Ali Ibn Abi Talib dan sebuah babak daripada filem bertajuk “Mukhsin” karya Yasmin Ahmad – Mukhsin, seorang remaja lelaki memakai baju buruk yang koyak datang ke kelas mengaji Al-Quran Kak Yam di mana mereka membaca Surah Al-Humazah:

Saidina Ali Ibn Abi Talib (Nahjul Balaghah, 320): “Tidaklah seorang itu miskin dan kelaparan melainkan kerana seorang yang kaya mengambil haknya”.

Surah Al-Humazah (terjemahan):

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji (1)
Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya (2)
Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini) (3)
Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam “Al-Hutamah” (3)
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Al-Hutamah” itu? (4)
(Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya) (5)
Yang naik menjulang ke hati (6)
Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka (7)
(Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang (8).


MENGENAI PENULIS
Related article image
Fadiah Nadwa Fikri adalah calon PhD di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita