NOTA DARI KL: GISBH 'kultus sesat dan sadistik' bukan setakat jelmaan terbaharu Al-Arqam

Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di Rawang, Selangor. (Gambar: Google Maps)
KUALA LUMPUR: Tengkarah Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd baru-baru ini telah membangkitkan semula kontroversi kumpulan al-Arqam yang pertama kali mendapat perhatian ramai pada 1968.
Ditubuhkan di tempat yang kemudiannya dikenali sebagai 'Rumah Putih' di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, Ashaari Mohammad, bekas guru agama kerajaan dan aktivis Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mengusulkan model ekonomi berniaga kecil-kecilan dari rumah melalui konsep halaqah yang diperkenalkan kepada anak didiknya.
Jumlah pengikutnya meningkat daripada kira-kira 12 orang kepada 40 pengikut dan ia dijenamakan sebagai Darul Arqam. Ia sebagai penghormatan kepada sahabat Nabi Muhammad, Al-Arqam Ibn Al-Arqam, yang rumahnya digunakan untuk mengadakan mesyuarat semasa zaman penganiayaan Muslim oleh kaum Quraisy.
Pada 1973, kumpulan itu berpindah ke Kampung Sungai Penchala (tidak jauh dari kawasan kejiranan mewah Mutiara Damansara di Kuala Lumpur) di kawasan seluas 8 ekar yang disifatkan sebagai 'perkampungan Islam ideal' yang dikendalikan mengikut konsep maasy atau masyarakat, iaitu sebuah sistem kebajikan di mana pendapatan diagihkan berdasarkan keperluan individu.
Menurut laporan Bahagian Hal Ehwal Islam Pejabat Perdana Menteri, jumlah pengikut gerakan itu telah meningkat kepada kira-kira 6,000 ahli rasmi dan sekitar 10,000 penyokong, yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, kelas pertengahan yang menetap di bandar dan kakitangan awam menjelang 1994. Laporan lain pula menganggarkan seramai 100,000 pengikut setakat ini.
'FENOMENA BAHARU'?
Pada tahun 1970-an, gerakan itu dianggap sebagai satu 'fenomena baharu', dengan begitu ramai pengikut Darul Arqam berjubah dan berjanggut, serta bersarban dan berniqab hitam di merata Malaysia. Ini menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan masyarakat umum, namun ajaran Ashaari, yang dipromosikan melalui pita kaset rakaman dan persembahan nasyid Nada Murni mendapat sokongan yang meluas.
Kumpulan itu juga mula mengeluarkan dan mempromosikan produk makanan halal pada 1977. Ashaari, yang disifatkan sebagai Sheikhul-Tariqat atau Amir tarekat sufi Islam, Aurad Muhammadiah, membentuk kumpulan itu sebagai gerakan kebangkitan sufi.
Kumpulan syarikat Al-Arqam berkembang berlipat ganda dalam tempoh beberapa dekad dan ketika gerakan itu diharamkan pada 1994, ia sudahpun memiliki perniagaan dalam pelbagai sektor di seluruh rantau ini, termasuk kosmetik halal, pakaian keagamaan, pendidikan, pertanian, ternakan dan pengangkutan.
Cabang pendidikannya bermula pada 1975 sebagai Yayasan Al-Arqam di bawah Akta Masjid dan Surau, dan berkembang ke 257 institusi pelbagai peringkat menjelang 1993, termasuk sebuah sekolah antarabangsa di Phuket, Thailand dan Universiti Darul Arqam di Pekanbaru, Indonesia.
Semua ini dipercayai dilakukan tanpa penglibatan ‘politik wang UMNO’ dan dilihat sebagai ekonomi alternatif akar umbi yang berjaya.
Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid, Profesor Sains Politik, Universiti Sains Malaysia telah menulis secara meluas mengenai gerakan Arqam, dan beliau mendokumentasikan banyak aktiviti dan falsafah gerakan itu berdasarkan pemerhatian dan interaksi secara langsung bersama dengan para ahli dan pemimpinnya.
Menurut Ahmad Fauzi, para pelajar yang melalui sistem persekolahan Arqam ditaja untuk pendidikan pengajian tinggi di negara-negara seperti Mesir, Jordan, Uzbekistan, dan Iraq. Mereka tidak dididik dalam bidang pengajian agama sahaja, tetapi juga dilatih dalam bidang teknikal dan profesional.
Sekembalinya mereka daripada pengajian di luar negara, mereka diberi keutamaan untuk menyandang jawatan dalam banyak perniagaan Arqam. Pendekatan di sekolah-sekolah ini adalah berdasarkan tafsiran reformis Ashaari yang diterbitkan dalam pelbagai bentuk, termasuk teks 'Aurad' yang kini diharamkan di Malaysia, serta melalui cara tidak formal, bukan hanya semasa zaman persekolahan sahaja.
Terdapat lebih banyak penekanan kepada aplikasi pengetahuan dan hubungan rapat dengan guru atau pemimpin mereka yang kononnya menjadi peran contoh. Para pelajar akan diiktiraf dan dipuji jika mereka menunjukkan "tanda-tanda takut kepada Tuhan dan mematuhi ajaran gerakan itu, yang tidak semestinya tertakluk kepada keupayaan akademik sahaja".
Pendekatan Ashaari terhadap perniagaan lebih berbentuk pendekatan yang menekankan takwa atau kesucian dalam amalan harian individu. Ini bermakna keseimbangan antara pembangunan rohani dan materialisme (duniawi), tetapi dijalankan dengan cara-cara yang kononnya benar-benar sesuai dan berlandaskan dengan ajaran Islam.
Pembangunan fizikal atau materialisme (duniawi) yang sihat kemudian akan "membuka laluan kepada pembangunan rohani yang lebih halus atau unggul. Menurut 'Arqamnomics', penyelesaian kepada pelbagai masalah bukanlah pendekatan kapitalis terhadap pemilikan peribadi dan pengumpulan kemewahan, mahupun pemilikan sosialis dan 'agihan pendapatan sama rata'. Sebaliknya, pembangunan rohani dan materialisme (duniawi) secara serentak akan membolehkan para pengikutnya mengatasi masalah sosial semasa mereka bekerja atas nama Tuhan.
PENGHARAMAN AL-ARQAM & KEBANGKITAN PERNIAGAANNYA
Pada tahun-tahun sebelum ia diharamkan pada 1994, gerakan Arqam telah berselisih dengan pihak berkuasa Islam Malaysia dan beberapa aspek amalan mereka yang disifatkan sebagai menyimpang daripada ajaran sebenar Islam.
Ajaran kumpulan itu kononnya sudah berkembang sehingga meliputi amalan-amalan Syiah dan sesetengah pengikut telah menyifatkan Ashaari (yang mereka rujuk sebagai Abuya atau bapa), adalah Imam Mahdi, yang akan dibangkitkan pada akhir zaman.
Ia juga mendakwa bahawa Ashaari boleh berhubung dengan Nabi Muhammad dan keempat-empat khalifah melalui yaqazah (dalam keadaan sedar) dan Ashaari akan menyampaikan mesej daripada mereka kepada pengikutnya.
Amalan-amalan lain termasuk khidmat pemurniaan rohani dan keupayaan Ashaari untuk mengenal pasti siapa yang akan mendapat tempat di syurga dan kepercayaan bahawa Ashaari adalah keturunan Nabi Muhammad. Pengikutnya mengembangkan pengabdian itu ke peringkat 'Abuya' yang dianggap seperti sebuah kultus.
Walaupun tidak semua tuduhan itu dilaporkan oleh pihak media di Malaysia, media antarabangsa bagaimanapun melaporkan bahawa Ashaari telah menyifatkan keputusan untuk mengharamkan kumpulannya sebagai satu langkah yang bermotif politik oleh Perdana Menteri Mahathir Mohammed ketika itu, yang diumumkan menjelang Pilihan Raya Umum 1995.
Dr Mahathir juga telah menukil laporan akhbar di Thailand yang mendakwa bahawa Ashaari sedang melatih kumpulan pemberontak, tetapi ia kemudian disangkal oleh pihak berkuasa Thailand.
Dalam wawancara bersama media antarabangsa, Ashaari berkata gerakan Arqam tidak berminat mahupun merancang untuk menubuhkan sebuah kumpulan pemberontak atau menggalak orang ramai secara agresif untuk menyertai Arqam. Ashaari mendakwa sokongan dan hubungan positif Arqam dengan individu dan entiti bukan Islam telah menimbulkan kebimbangan di peringkat tertinggi kerajaan.
GELARAN ABUYA & UMMU JAH
Selepas pengharaman itu dikuatkuasakan, Ashaari telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dari 1994 hingga 2004. Ketika itu, Ashaari dikatakan telah 'membuang' kepercayaannya, tetapi pada 1997, entiti-entiti perniagaan di bawah bekas rangkaian Al-Arqam dijenamakan semula dan ia memberi tumpuan sepenuhnya kepada empayar ekonominya sebagai Rufaqa Corporation.
Para pengikutnya dipercayai terus menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi Islam berdasarkan usaha manusia, kepakaran, ilmu, kreativiti, dan iringan doa. Mereka mengharamkan sebarang bentuk riba, monopoli, sumber terlarang, pinjaman yang tidak dilunaskan dan penipuan. Mereka menganggap diri mereka sebagai perintis dan peneraju industri makanan halal, yang kemudian menubuhkan cawangan-cawangan F&B dan kedai runcit. Mereka juga memiliki perniagaan salun rambut, agensi pelancongan, entiti pengiklanan, penerbitan dan pengeluaran.
Pada 2007, Rufaqa Corporation telah dikenakan tindakan undang-undang dan pada 2008 Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) telah didaftarkan untuk mengambil alih perniagaan Rufaqa Corporation.
Perniagaan GISBH meneruskan pendekatan Al-Arqam dan Rufaqa. Pekerjanya dikehendaki menjalani proses penyucian diri atau pemurnian rohani untuk mencapai kejayaan dan ini dilaksanakan melalui "ibadah asas Islam". Amalan-amalan ini dipercayai bagi menguatkan rohani demi menangkis godaan seperti tamak, bakhil (kedekut), dengki, sombong dan bongkak yang dipercayai adalah kedaifan manusia dan akan membawa kepada rasuah dan tingkah laku yang tidak beretika.
Bagi pengikut gerakan itu, aktivisme ekonomi mereka adalah berdasarkan amalan Islam yang sebenar dan ia disifatkan sebagai satu bentuk jihad ke jalan Allah.
Dimulakan di bawah Rufaqa Corporation, dan diteruskan oleh GISBH ialah Dana Taqwa, satu cara untuk menolak pergantungan kepada sistem perbankan komersil. Ini disifatkan sebagai 'Bank Tuhan' dan sumbangan kepadaNya dilihat sebagai pelaburan akhirat.
Ketika itu, perniagaan di bawah GISBH tidak semestinya menguntungkan, tetapi merupakan satu cara untuk menambah keahlian dan menghidupkan kembali ajaran gerakan Al-Arqam yang diharamkan.

Para kakitangan tidak dibayar gaji dan pendapatan mereka disalurkan kepada pemimpin GISBH untuk "mendapatkan tempat di syurga". Sepanjang tempoh itu GISBH sudah berpindah ke sektor teknologi dan penyenggaraan maju dalam industri minyak dan gas, penyelidikan perubatan dan memiliki syarikat perbekalan dan hartanah di merata dunia.
Ashaari meninggal dunia pada 2010 di Ipoh tetapi konglomeratnya terus berkembang di bawah arahan isteri ketiganya, Khadijah Aam, yang dikenali sebagai ‘Ummu Jah’.
Dia dianggap sebagai "orang kuat" GISBH dan disifatkan sebagai wasilah atau wadah komunikasi rohani dengan almarhum Ashaari dan seterusnya, Nabi Muhammad dan para Khalifah. Para pengikut GISBH akan mengambil bahagian dalam Parlimen Rohani (Parlimen Roh) sebagai satu bentuk mesyuarat syarikat, di mana Khadijah akan menyampaikan mesej Ashaari dari alam barzakh kepada pemimpin perniagaannya. Rohnya itu dipercayai masih hidup dalam kalangan pengikutnya.
Pada 2015, GISBH dipercayai telah memindahkan ibu pejabatnya ke Makkah dan Madinah di Arab Saudi sambil mengekalkan perniagaannya di seluruh Asia Tenggara, Australia, Timur Tengah dan Eropah.
Khadijah Aam meninggal dunia akibat serangan jantung di Kedah pada 2015 dan jawatan Pengerusi Eksekutif kemudian diserahkan kepada Rasidi Abdullah. Nilai semasa GISB International dianggarkan sekitar RM325 juta.
Sungguhpun demikian, tengkarah dan kontroversi yang menyelubungi GISBH bukan setakat berkaitan pengabdian atau ketaksuban para pengikut terhadap pemimpin gerakan tersebut. Ia turut menggemparkan seluruh Malaysia dan menjadi sensasi global apabila Kelab Isteri Taat dilancarkan pada 2011 yang kemudian disusuli dengan penerbitan manual seks ‘Islamic Sex’ setebal 115 muka surat.
Dengan seramai 1,000 ahli, kelab itu mengarahkan kaum wanita untuk memastikan nafsu syahwat suami mereka dipenuhi sepuas-puasnya demi menyembuhkan penyakit sosial dan mengurangkan kadar perceraian.
Pelancaran buku itu disertai dengan persembahan pentas dan wawancara dengan salah seorang isteri Ashaari yang mendakwa bahawa perkahwinan yang sihat dari segi seksual, dengan menjadi "pelacur kelas pertama" adalah satu bentuk pengabdian kepada Tuhan.
Dalam buku itu, ia juga mendakwa bahawa seorang lelaki yang telah 'mencapai tahap keupayaan rohani tertinggi' akan dapat berjimak (bersetubuh) dengan semua isterinya secara serentak.
Kajian yang dijalankan oleh pembuat dokumentari antarabangsa tertumpu kepada amalan poligami gerakan itu, tetapi pengikut wanita dan isteri ahli gerakan tersebut mendakwa bahawa poligami dan patriarki sebenarnya bukan bersifat seksis atau satu bentuk penganiayaan wanita.
Mereka yang ditemu bual merasakan seolah-olah diri mereka sebenarnya sudah diperkasakan dan menjalin hubungan yang baik dengan isteri-isteri lain atau madu mereka akan dapat meringankan beban membesarkan anak-anak mereka dan mengukuhkan lagi perkahwinan masing-masing.
Ada juga yang menyatakan bahawa dengan berkongsi tanggungjawab, ini bermakna mereka boleh secara aktif menjalankan perniagaan GISBH, sekali gus meraih peluang yang mereka rasa tidak dapat dikecapi melalui perkahwinan konvensional.
Selama ini, GISBH berjaya mengelakkan diri daripada mendapat perhatian pihak berkuasa sehinggalah dakwaan-dakwaan terbaharu terbongkar.
Pada 11 September 2024, polis Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menyelamatkan kira-kira 400 kanak-kanak daripada rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISBH.
Laporan media turut mendakwa bahawa kanak-kanak itu telah diliwat dan diajar untuk meliwat orang lain dan mereka juga didera secara fizikal.
GISBH bagaimanapun telah menafikan kaitan dengan rumah kebajikan itu dan menegaskan bahawa ia sudah meninggalkan sebarang ajaran sesat masa lalu.
Sepanjang tempoh siasatan berterusan dijalankan, terbongkar dakwaan-dakwaan baharu tentang eksploitasi kanak-kanak untuk mengumpul dana, kekurangan rawatan perubatan dan pendidikan tetap, dan pengabaian kebajikan kanak-kanak oleh sejumlah pekerja GSIBH.
Ketua Polis Negara Malaysia Razarudin Husain juga menyatakan bahawa hasil siasatan menunjukkan bahawa seorang daripada sejumlah individu yang ditahan mempunyai 34 anak daripada empat isteri tetapi pihak berkuasa hanya mengetahui keberadaan dua daripada mereka sahaja.
Ketika Istana memerintahkan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan-dakwaan itu, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin telah mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan GISBH sebagai sebuah kultus sesat atas amalan-amalannya yang terkait dengan asal usul Al-Arqam.
Sekalipun GISBH telah menafikan tuduhan penderaan dan eksploitasi kanak-kanak serta pemerdagangan manusia, Pengarah Eksekutifnya, Nasiruddin Mohd Ali mengakui bahawa terdapat 'satu atau dua kes liwat terpencil' tetapi bukan pada skala dakwaan berlaku penderaan terhadap 572 kanak-kanak yang berjaya diselamatkan dan kini mendapat perlindungan di rumah kebajikan merata negara.
GISBH, menurut Nasiruddin Mohd Ali, sedang menimbangkan tindakan undang-undang terhadap tuduhan-tuduhan tersebut.
Aduan polis yang telah dibuat sejak itu mendakwa gaji pekerja tidak dibayar lebih 10 tahun, selain buruh paksa dan pusat pengasingan untuk "memulihkan pengikut yang tidak mematuhi ajaran gerakan tersebut'.
Terdapat juga laporan mengenai penemuan buku-buku terlarang yang mengandungi ajaran sesat, dan amalan-amalan kerohanian yang melibatkan penggunaan "air yang digunakan untuk membasuh kaki para pemimpin gerakan tersebut".
Sejauh ini, aset-aset milik GISBH di Malaysia sudahpun dibekukan sedang siasatan terhadap gerakan tersebut diteruskan.


Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.