NOTA DARI KL: "Gelombang Biru" Terus Merubah Landskap Politik Malaysia
(Dari kiri) Encik Hamzah Zainudin daripada Parti Wawasan Negara, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN bagi DUN Rantau Mohamad Hasan meraikan kemenangan di ibu pejabat UMNO di Seremban, Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Malaysia bakal berhadapan dengan perubahan dinamik landskap politik, lantaran penjajaran semula kerjasama antara parti secara tiba-tiba. Halmie Azrie mengupas kesan PRN Negeri Sembilan.
Keputusan peti undi di Negeri Sembilan yang disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan kadar keluar mengundi memuaskan pada paras 72.64% atau 646,084 pengundi bukan sekadar insiden terpencil. Sebaliknya, ia meneruskan rantaian krisis yang menghakis benteng perpaduan antara blok-blok dalam Kerajaan MADANI.
Kegagalan Jenama PH
Tragedi PRN ini paling dirasai melalui kejatuhan beberapa tokoh gergasi PH. Tindakan ‘berani mati’ Pengerusi PH Negeri Sembilan merangkap Menteri Besar dua penggal sejak tahun 2018, Aminuddin Harun untuk mencuba nasib di sebuah ‘kubu kuat’ BN iaitu kerusi Linggi membawa kepada kekalahan sebanyak 2,976 undi.
Secara keseluruhannya, penguasaan PH merudum teruk daripada 17 kerusi sebelum ini kepada hanya 11 kerusi kali ini.
Meskipun PH cuba memanipulasi beberapa isu hangat pada fasa akhir kempen, seperti pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal Tabung Haji, keceluparan ucapan berbaur perkauman oleh Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor, serta penarikan darjah kebesaran ahli politik veteran Dr Rais Yatim, kaedah serangan-serangan tersebut seolah-olah tumpul.
Kesemua naratif dari PH yang menguasai media arus perdana tidak sedikit pun mengubah pilihan pengundi yang telahpun memuktamadkan keputusan mereka, malah bagi beberapa kawasan tertentu, ia sebaliknya mencetuskan sentimen simpati yang memberi kelebihan kepada pihak lawan mereka iaitu BN dan PN.
Kelemahan Kronik PKR
Kekalahan ini merupakan satu tamparan hebat khususnya terhadap parti induk PH, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini sudah kehilangan sebuah kerajaan negeri secara sia-sia. Tanggungjawab kekalahan ini tidak boleh dialihkan kepada sesiapa melainkan ke atas bahu kepimpinan tertinggi PKR sendiri.
Ketiadaan hala tuju jelas dan kesilapan merangka strategi yang meyakinkan harus diletakkan pada Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar serta barisan Naib Presiden seperti Amirudin Shari, Saifuddin Nasution, Ramanan Ramakrishnan dan Dr Zaliha Mustafa yang terbukti gagal berfungsi sebagai pasukan berkesan.
Kebangkitan Semula BN
Berdasarkan jumlah undi rasmi keseluruhan yang ditandingi di seluruh Negeri Sembilan, blok PH memperoleh sekitar 256,386 undi, blok BN merangkul sebanyak 227,067 undi, manakala blok PN mengumpul lebih kurang 130,407 undi, maka PH cuba mendakwa telah menang undi popular.
Bahkan, Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menang di kesemua 16 kerusi yang ditandingi dan hampir semua dengan majoriti yang bertambah.
Angka-angka ini menonjolkan kecekapan jentera BN dalam menterjemah sokongan asas mereka kepada kemenangan kerusi-kerusi secara kompetitif dan seimbang, mengatasi kelebihan undi bandar dimiliki PH yang tertumpu secara berlebihan di kawasan tertentu sahaja.
Satu lagi dimensi menarik ialah kemunculan semula Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) di Negeri Sembilan setelah menghilang lebih 13 tahun. MCA memenangi kerusi DUN Chennah dan Repah biarpun dengan ‘margin’ paling tipis iaitu 688 undi dan 444 undi. Hakikatnya, keputusan tiga PRN kebelakangan ini membayangkan satu petanda peralihan undi masyarakat Cina untuk memilih alternatif selain dominasi DAP.
Keuntungan Rundingan PN
Bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang menerajui gabungan PN sebagai 'abang besar' cukup bertuah apabila diberikan laluan oleh BN untuk bertanding, yang kemudian memenangi 4 kerusi. Ini membolehkan mereka diserap masuk ke dalam pentadbiran kerajaan negeri dan menghidupkan semula aspirasi ‘perpaduan ummah’ secara rasmi.
Realiti bahawa BERSATU sekadar menjadi sebagai parti ‘pengacau undi’, terserlah apabila kehilangan wang deposit di 23 daripada 24 kerusi yang ditandingi termasuk Ketua Penerangannya Tun Faisal Ismail Aziz yang hanya mendapat 548 berbanding 25,691 undi oleh pesaing-pesaingnya.
Keputusan mengaibkan di PRN Johor dan kini pula di PRN Negeri Sembilan meningkatkan tekanan terhadap Presiden Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Azmin Ali, sekali gus meletakkan kepimpinan BERSATU pada kedudukan yang agak sukar untuk ‘stop the rot’ dan menyelamatkan karier politik mereka.
Dengan komposisi BN sebanyak 18 kerusi dan PN sebanyak 7 kerusi, kesatuan antara blok BN dengan blok PN kini berkuasa di Negeri Sembilan dengan majoriti mutlak dua pertiga.
ADUN Juasseh, Ismail Lasim dilantik sebagai Menteri Besar dan langkah beliau melantik Barisan Exco kepimpinan negeri pasti menjadi tumpuan.
Antaranya nama seperti Rafie Ab Malek dari PAS, Danni Rais dari WAWASAN dan Asna Amin dari UMNO.
‘Domino effect’ daripada kekalahan berturut-turut PH di beberapa PRN menatijahkan satu kesimpulan iaitu Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara logiknya telahpun pecah berkecai dan jurangnya sudah tidak boleh diselamatkan lagi.
‘Mood’ kekecewaan dijangka terus memuncak pada Kongres Khas DAP yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos nanti. Kongres tertunda ini bakal menjadi medan ‘hidup mati’ buat DAP untuk menimbangkan usul radikal menarik diri sepenuhnya daripada jemaah menteri Kerajaan Perpaduan.
Fokus sudah mula beralih dari PM Anwar kepada Timbalan Perdana Menteri iaitu Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang berdiri di posisi ‘vantage point’.
PM Anwar tidak lagi mempunyai banyak pilihan politik, dengan pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober kelak antara ‘acara besar’ terakhir untuk memulihkan sokongan kepada beliau dan gabungan PH, sebelum didesak habis-habisan oleh BN untuk membubarkan Parlimen menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.