Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Cabaran Utama Malaysia Pada 2024

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Cabaran Utama Malaysia Pada 2024

(Gambar fail: Pejabat Perdana Menteri)

Diterbitkan : 01 Jan 2024 12:16AM
KUALA LUMPUR: 2023 sepatutnya menjadi tahun di mana kita akhirnya boleh menghapuskan dan menamatkan pandemik COVID-19 dan kembali kepada ekonomi yang lebih stabil.

Walaupun kadar inflasi Malaysia dianggarkan lebih sederhana antara 2.5 hingga 3%, harga makanan sudah pasti meningkat dan rata-rata rakyat Malaysia masih merasakan tekanannya.

Keluhan yang biasa didengari dalam kalangan penduduk miskin luar bandar ialah RM100 tidak lagi cukup untuk membolehkan anda mendapatkan apa-apa di kedai lagi.

Fokus Pada Rakyat

Maka itu, bukanlah suatu kebetulan kerajaan Malaysia Madani mengakhiri tahun 2023 dengan pelbagai tawaran kewangan kepada rakyatnya dan kebanyakan unjuran bagi 2024 menumpukan perhatian kepada perubahan fiskal yang akan datang dan kesan masa depan Belanjawan 2024 yang diluluskan baru-baru ini.

Kuncinya ialah pengagihan pelbagai pakej bantuan, termasuk pemberian bantuan tunai berjumlah RM10 bilion melalui inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah. Bersama-sama dengan pelbagai janji kepada penjawat awam, kerajaan berhasrat untuk menyediakan kedua-dua bantuan luas kepada pangkalan sokongan utama serta subsidi yang bersasar kepada mereka yang paling memerlukannya.

Ini termasuk subsidi bahan api baharu untuk rakyat di Semenanjung Malaysia (akan dilancarkan pada Januari 2024), diskaun berterusan dan peluang penstrukturan semula pinjaman untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN), dan akaun fleksibel KWSP akan datang yang boleh diakses pada bila-bila masa. Tumpuan kepada aspek-aspek khusus ini adalah isyarat halus kepada para pengundi bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sememangnya 'mendengar' dan memberi respons kepada topik-topik paling penting yang dibangkitkan oleh rakyat dan kerap diperbesar-besarkan oleh pihak pembangkang.

Kredit e-dompet, E-Madani bernilai RM100 yang disediakan pada awal Disember 2023, sekalipun kecil, dianggap sebagai suntikan positif untuk perniagaan-perniagaan kecil dan ekonomi secara amnya. Sungguhpun demikian, ada yang bergelut untuk mengaksesnya, terutama sekali kerana ia memerlukan pemohon untuk memfailkan cukai mereka di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum Julai 2023.

Bantuan dan agihan lain yang hanya boleh diakses melalui sistem online dan institusi kerajaan seperti ini menjadikannya sukar bagi golongan miskin luar bandar – terutama kerana mereka mungkin tidak mempunyai telefon atau akses internet, mahupun telefon bijak atau pengalaman dalam menangani birokrasi pentadbiran.

Nampaknya terdapat maklum balas positif terhadap tumpuan Belanjawan 2024 yang menumpukan perhatian kepada pendidikan dan wanita. Peruntukan terbesar telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan, dan terdapat beberapa inisiatif untuk menyokong suri rumah, menjaga anak dan menggalakkan wanita kembali bekerja.

Dasar Gaji Progresif pula bermatlamat untuk memastikan pendapatan dan taraf hidup golongan termiskin dipertingkatkan. Sekiranya keadaan buruh dan pekerjaan tempatan dapat dipertingkatkan pada 2024, ia akan memberi kesan positif kepada pendapatan isi rumah dan mengurangkan kesempitan kewangan sedia ada.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sering menyentuh tentang usaha mengurangkan pergantungan Malaysia kepada pekerja asing, walaupun sektor binaan dan perladangan mengeluh tentang kekurangan tenaga kerja. Walaupun meningkatkan kemahiran pekerja Malaysia dan menaikkan gaji mereka mungkin suatu langkah yang bijak, lebih 500,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik untuk bekerja di Singapura setiap hari.

Usaha besar ini untuk mengharungi kesesakan lalu lintas selama berjam-jam untuk mendapatkan gaji dalam dolar Singapura menunjukkan bahawa lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk menjadikan pekerjaan lebih menarik, tersedia dan berdaya saing di Malaysia.

Kestabilan Ekonomi

Dengan defisit fiskal Malaysia berada pada paras 4.3% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), (penurunan daripada 5.6% pada 2021), terdapat petunjuk tentang kestabilan ekonomi yang lebih baik walaupun terdapat hutang yang besar.

Pertumbuhan KDNK dijangka antara 4 hingga 5% pada 2024 memandangkan angka pelaburan baru-baru ini adalah positif, walaupun sebahagian besarnya berdasarkan pelaburan langsung domestik. Belanjawan 2024 adalah yang terbesar pernah dibentangkan iaitu sebanyak RM393.8 bilion – dengan ramai rakyat Malaysia tertanya-tanya dari mana datangnya wang sebanyak itu.

Menurut Edge Markets, meskipun 21% adalah daripada pinjaman dan aset kerajaan, sebanyak 44.4% adalah daripada cukai pendapatan dan 14.9% pula daripada cukai tidak langsung. Akan terdapat juga cukai mewah, terutamanya untuk jam tangan dan barang kemas dan cukai keuntungan modal. Cukai perkhidmatan sedia ada juga akan dinaikkan daripada 6% kepada 8%.

Walaupun masalah yang membelenggu E-Madani telah menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia tidak memfailkan cukai pendapatan, rakyat biasa bimbang mereka akan menjadi sasaran pemungut cukai, sedangkan golongan elit dapat mengelakkan diri daripada pembayaran cukai masing-masing.

Kes Najib Razak dan menantu lelakinya didenda kerana mengelak cukai lebih RM1.7 bilion hanyalah dua contoh berapa ramai lagi anggota golongan elit yang belum melunaskan bayaran cukai mereka. Tekad untuk memburu dan mengheret mereka yang belum melunaskan tunggakan cukai mereka, serta menghapuskan rasuah dan penyelewengan tentu sekali akan membantu mengurankan keperitan rakyat biasa. Ia juga akan mengukuhkan imej Kerajaan Perpaduan pimpinan PM Anwar Ibrahim sebagai kerajaan yang ‘bersih’ lebih-lebih lagi menyusuli pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Dengan Pelan Induk Perindustrian baharu yang akan dilancarkan, penyusunan semula fiskal yang dijanjikan untuk amalan perniagaan yang lebih mudah dan lebih telus dan tumpuan kepada bidang-bidang yang menjadi kepakaran Malaysia (seperti pengilangan, penghasilan makanan halal dan kewangan Islam), 2024 perlu menjadi tahun untuk meningkatkan pelaburan antarabangsa ke dalam negara. Ringgit yang lemah juga memberi kesan kepada harga bahan habis pakai untuk rakyat biasa, terutama apabila isu-isu global seperti perang Rusia-Ukraine dan sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit menambahkan lagi tekanan fiskal ke atas Malaysia.

Kestabilan Politik

Kerajaan Perpaduan memulakan tempoh pentadbirannya dengan permulaan yang sukar dan terdapat jangkaan yang meluas bahawa kerajaan ini akan tumbang lagi. Setahun kemudian, kerajaan pimpinan PM Anwar Ibrahim masih dapat bertahan walaupun kritikan terhadapnya masih belum pudar.

Rasa tidak puas hati terhadap penyusunan semula kerajaan, tumpuan awalnya kepada masyarakat antarabangsa sebelum beralih kepada isu-isu domestik, dan persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan masih belum lagi memahami masalah rakyat telah menghambat sokongan terhadap PM Anwar dan kerajaannya. Propaganda pembangkang juga telah menjejaskan perjuangan Kerajaan Perpaduan. Ini paling ketara berdasarkan sokongan daripada pengundi Melayu-Islam semasa Pilihan Raya Negeri (PRN), terutama di negeri-negeri pantai barat seperti Selangor.

Lantaran itu, 2024 adalah tahun di mana Kerajaan Perpaduan mesti membuktikan keupayaannya. Setidak-tidaknya belajar daripada kesilapan dan kelemahan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14. Kerajaan PM Anwar mesti melaksanakan ikrar-ikrar yang dilaungkan semasa PRU14 dan PRU15 kerana rakyat Malaysia sangat kecewa dan marah terhadap golongan elit politik.

Para penyokong PH sendiri tidak sabar untuk menyaksikan reformasi institusi seperti meluluskan Akta Perolehan Kerajaan. Kerajaan Perpaduan mesti berani meneruskan penyusunan semula undang-undang dan dasar-dasar kewangan sekalipun ia berpotensi meningkatkan rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah pihak. Masyarakat perniagaan Malaysia dan GLC sememangnya sentiasa memanfaatkan hubungan politik. Pengurusan berkesan entiti-entiti seperti ini akan menentukan bukan sahaja masa depan kewangan negara, tetapi juga penakatan politik dan kejayaan kerajaan pimpinan PM Anwar.

Pilihan raya lalu menyebabkan Malaysia berpecah belah dengan isu-isu agama dan kaum sentiasa digembar-gemburkan di media sosial. PM Anwar telah berusaha sedaya upaya untuk membuktikan keupayaannya sebagai seorang pemimpin negara Islam - pertama dengan bertemu dengan para pemimpin Islam global, kemudian dengan mengutuk sekeras-kerasnya perang di Gaza. Beliau juga telah menjanjikan sokongan kewangan sehingga RM100 juta untuk rakyat Palestin. RM1.9 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan Hal Ehwal Islam Malaysia.

Rombakan Kabinet baru-baru ini memberikan satu lagi kerusi Kabinet setiap satu kepada DAP dan UMNO, dan ahli politik Sabah dan Sarawak terus memegang jawatan-jawatan penting. Semua ini menunjukkan betapa pentingnya komponen dan parti sokongan dalam Kerajaan Perpaduan.

Sungguhpun demikian, khususnya UMNO, masih wujud rasa kurang senang terhadap kerjasama tersebut. Masih belum jelas sama ada PM Anwar dan pemimpin parti yang lain berupaya mengawal puak-puak yang bercanggah untuk mengekalkan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.

Sokongan Daripada Istana Diraja

Perkembangan paling menarik untuk diperhatikan pada tahun 2024 sudah pasti bagaimana Sultan Johor akan menggunakan kedudukannya sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai hujung Januari 2024. Dalam temu bual media, Sultan Johor telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak akan menjadi pemerintah 'wallflower' dan seperti Sultan Pahang sebelum ini, menanam niat untuk memelihara kestabilan politik.

Sultan Johor juga telah menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk menyatukan kuasa Raja-Raja Melayu untuk menghapuskan ahli politik yang mengamalkan budaya rasuah dan memastikan rakyat diberikan perkhidmatan sewajarnya oleh kerajaan.
 
Related article image
(Gambar: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
Ini mungkin satu amaran kepada pembangkang sekarang, yang terdiri daripada gabungan parti-parti yang mempunyai hubungan buruk secara terbuka dengan Sultan Ibrahim Iskandar.

Sultan Johor sejak sekian lama sangat lantang menyokong keharmonian kaum dan agama dan terkenal dalam menegur perniagaan dan individu yang mengenepikan pelanggan agama lain (seperti ‘kedai dobi orang Islam sahaja’ di Muar). PAS tidak berhasil memperluaskan pengaruh politiknya di Johor disebabkan oleh pandangannya yang bersifat eksklusif.

Muhyiddin Yassin yang menerajui Bersatu dan Dr Mahathir Mohamed yang turut memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) mempunyai sejarah percanggahan pendapat secara terbuka dengan Sultan Ibrahim. Sokongan yang dizahirkan oleh kedua-dua Sultan Pahang dan Sultan Johor terhadap kesinambungan kerajaan sedia ada sehingga akhir tempoh penggalnya tidak akan memberi petanda baik kepada harapan mereka untuk mengambil alih kuasa (menebuk atap) sekali lagi.

Kedudukan Sultan Johor juga mempunyai potensi menarik untuk mengukuhkan lagi hubungan Johor dengan Singapura. Zon Kewangan Khas (SFZ) telahpun diumumkan untuk Forest City dan Sultan Johor telah menyuarakan minatnya untuk menghidupkan semula projek Kereta Api Laju (HSR), dengan persinggahan di pulau buatan itu. Pengumuman baru-baru ini mengenai hab logistik baharu di Sunway Iskandar City oleh pelabur Singapura juga merupakan satu petunjuk positif mengenai hubungan yang lebih kukuh dan muhibah dengan Singapura.

Kesemua perkembangan ini akan memacu pelaburan ke Johor, yang kemudian juga boleh melimpah ke seluruh Malaysia.
Johor Bahru kembali sibuk dan rancak dengan kepulangan pembeli hujung minggu dari Singapura dan rakyat Singapura yang bercuti di negeri itu. Rangkaian kereta api RTS yang dinanti-nantikan antara Woodlands dan Bukit Chagar juga telah mencergaskan semula penjualan dan pembangunan hartanah di Johor Bahru.

Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap semakan semula Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Kerajaan Perpaduan telahpun memindahkan program itu ke Kementerian Pelancongan (bukan Kementerian Dalam Negeri) dan bagaimana untuk menarik lebih ramai pengunjung asing jangka panjang. Ini akan meningkatkan kedua-dua sektor hartanah dan pelancongan, terutamanya di Johor.

2024 nampaknya akan menjadi lebih positif untuk Malaysia dari segi ekonomi dan politik, walaupun terdapat ketegangan di peringkat global. Nampaknya terdapat rancangan-rancangan yang berguna, tetapi kerajaan Madani perlu menunjukkan pelaksanaan yang berkesan. Para pengundi masih belum yakin sepenuhnya terhadap keupayaan Kerajaan Perpaduan dan semua inisiatif yang diusulkan mesti boleh diakses oleh golongan-golongan yang paling memerlukannya. Kerajaan perlu cepat belajar daripada kepakaran akar umbi UMNO dan memerhatikan bagaimana PN menambah hati pengundi Melayu-Islam.

Kemajuan dan pertumbuhan ekonomi akan sentiasa menjadi kunci untuk mendapatkan sokongan rakyat dan isu-isu melibatkan agama dan kaum tidak seharusnya dipolitikkan.

Mungkin pengukuhan kuasa institusi diraja akan dapat mencapai matlamat ini jika para ahli politik gagal berbuat demikian.
Related article image
Zamil Pelawat di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Dr Serina Rahman.
MENGENAI PENULIS
Dr Serina Rahman adalah Pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di Institut ISEAS-Yusof Ishak.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita