Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Cabaran Kerajaan MADANI capai visi 'Projek Malaysia' sedang rakyat sambut Hari Malaysia 2025

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Cabaran Kerajaan MADANI capai visi 'Projek Malaysia' sedang rakyat sambut Hari Malaysia 2025

Seorang lelaki mengibarkan bendera Malaysia. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Pada 16 September 2025, Malaysia akan meraikan ulang tahun ke-62 pembentukan Persekutuan Malaysia yang asalnya melibatkan empat buah entiti iaitu Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara (kini Sabah), dan Singapura yang berpisah pada tahun 1965. Terdapat pelbagai latar belakang dan babak bersejarah untuk dirungkai yang akhirnya membawa kepada situasi sekarang.
Di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah berusaha untuk menyemak semula tuntutan-tuntutan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Hal ini diuruskan oleh sebuah jawatankuasa khas yang diberi nama Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

Antara perkembangan siri rundingan oleh MTPMA63 ialah peningkatan jumlah peruntukan khas bagi Sarawak dan Sabah sebanyak RM600 juta. Kedua-duanya turut memperoleh kembali tadbir kuasa seperti pengurusan pelabuhan Bintulu bagi Sarawak, kawal selia elektrik untuk Sabah dan perihal pelantikan wakil ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Related article image
Peta yang menunjukkan negeri Sabah dan Sarawak (berwarna kuning) yang berjiran dengan Indonesia. (Gambar: Wikipedia)
Kerajaan MADANI juga telah memulihkan pengiktirafan Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi bersama bertaraf wilayah dan tidak lagi berstatus negeri seperti amalan sebelum ini. Malah, Ahli Parlimen Petra Jaya iaitu Fadillah Yusof diangkat ke jawatan kabinet selaku Timbalan Perdana Menteri II mewakili Sarawak.

Di samping itu, pembangunan infrastruktur kritikal seperti pembinaan lebuh raya Pan-Borneo dan pelaburan projek Grid Tenaga Trans-Borneo memberi gambaran bahawa kedua-dua wilayah ini merupakan agenda politik yang penting bagi PM Anwar Ibrahim.

Akan tetapi, penduduk Sarawak dan Sabah mahukan lebih banyak kemajuan berbanding isyarat simbolik.

Ini termasuk hak autonomi, agihan hasil secara adil mengikut MA63 dan pertambahan kuota wakil rakyat dalam Parlimen dari Borneo kepada 2/3 atau 66% berbanding sedia ada iaitu Sabah (25 kerusi) dan Sarawak (31 kerusi) berjumlah 56 kerusi atau 25% darpadai 222 kerusi keseluruhan.

Hegemoni Politik Borneo

Prestasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan percaturan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menguasai komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta menjadi ‘kingmaker’ dalam penentuan komposisi pemerintahan Persekutuan Malaysia ibarat bidalan ‘bulan jatuh ke riba’.

Pengaruh besar parti politik tempatan yang arif tentang permasalahan setempat lebih digemari pengundi berbanding parti yang berasal dari Semenanjung sejak kebelakangan ini. Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor sedar bahawa mereka berada dalam kedudukan untuk tawar-menawar yang unik.

Tanpa sokongan GPS dan GRS, Kerajaan MADANI tidak akan bertahan. Lantaran itu, tuntutan untuk memperolehi lebih banyak peruntukan, kawalan hasil dan autonomi sering kali tiba bersama peringatan bahawa tanpa konsesi, kestabilan politik di peringkat pusat akan tergugat. Berlakulah ketaatan bersyarat dalam konteks landskap politik berselerak.

Analisis lanjut daripada situasi ini ialah hubungan antara Persekutuan dengan kedua-dua wilayah di Borneo sekadar bersifat transaksi dan bukan lagi seimbang. Wujud kesefahaman politik tentang cagaran sokongan untuk membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak dengan mendesak pelbagai ganjaran sekarang.

Oleh itu, konsesi kepada Sarawak dan Sabah bukan sekadar soal keadilan sejarah, tetapi juga strategi 'survival politics' (penakatan politik). Persoalannya, sejauh manakah keupayaan peringkat pusat berupaya mengurus kepelbagaian dalam Persekutuan?

Memburu Keuntungan

Titik perbalahan terbesar setakat ini antara Persekutuan dengan Sarawak adalah mengenai hasil minyak petroleum dan sumber gas asli. Konflik antara Malaysia yang diwakili PETRONAS timbul dengan tertubuhnya syarikat milik Sarawak iaitu PETROS yang berhasrat untuk mengambil alih peranan sebagai pengagregat tunggal bagi rizab gas di wilayah tersebut.
Related article image
Logo Petronas kelihatan di sebuah stesen minyak di Kuala Lumpur, Malaysia pada 4 September 2020. (Gambar fail: REUTERS/Lim Huey Teng)
Meneliti isu ini, terdapat risiko besar pada rantaian bekalan, memandangkan terdapat perbezaan ketara dalam bentuk pengalaman dan kepakaran antara PETRONAS berbanding PETROS. Ini memberi impak langsung kepada kedudukan kewangan negara disebabkan oleh pulangan keuntungan tahunan dari PETRONAS kepada Malaysia.

Sarawak telah menunjukkan cita-citanya yang tersendiri dengan mengambil alih beberapa aset strategik seperti syarikat penerbangan, bank komersial dan penubuhan Sarawak Sovereign Wealth Future Fund (SSWFF) untuk mengurus dana pelaburannya. Maka langkah oleh PETROS dijangka akan mengukuhkan pendapatan wilayah Sarawak.

Bagi Sabah pula, isu tuntutan hasil pendapatan sebanyak 40% daripada peringkat Pusat yang terhenti sejak 1974 telah memasuki fasa perundangan. Topik ini kembali hangat dalam ucapan-ucapan oleh pelbagai ahli politik berkepentingan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Ancaman Pemisahan

Timbul naratif dangkal daripada beberapa gerakan di bandar-bandar utama Sarawak dan Sabah bahawa adalah lebih baik mencontohi Singapura yang membina kejayaannya sendiri setelah berpisah dengan Malaysia. Tetapi, hujah itu gagal mengambil kira bahawa Singapura bermula dengan modal institusi yang cukup berbeza.

Singapura pada 1963 telahpun memiliki pelabuhan bertaraf antarabangsa, infrastruktur moden dan asas ekonomi tersusun yang diwarisi sejak zaman penjajah. Malah, kejayaan Singapura kini 'datang' bersama kos politik autoritarianisme, kebergantungan kepada pelaburan asing dan kos sara hidup yang tinggi.

Lebih penting lagi, kemunduran dialami oleh Sarawak dan Sabah bukan hanya berpunca daripada ‘Malaya’ seperti yang dikecam segelintir pihak, tetapi juga akibat kelemahan tadbir urus pemimpin tempatan. Skandal projek infrastruktur terbengkalai, isu ketirisan dan pecah amanah melibatkan kroni, serta tradisi monopoli politik oleh keluarga elit atau dinasti tidak boleh disembunyikan di sebalik retorik autonomi.

Jika pemisahan dijadikan sebagai jawapan, maka apakah ia dengan serta-merta akan menghapuskan budaya politik feudal dan korupsi di wilayah-wilayah tersebut?

Realitinya tidak. Justeru, perlu ditegaskan bahawa jalan penyelesaian bukanlah keluar dari Malaysia, tetapi memperkukuhkan Malaysia dengan menutup jurang pembangunan, memperbaiki mutu kepimpinan dan memastikan komitmen MA63 dilaksanakan dengan konsisten.

Perselisihan Antara Pusat-Negeri

Sentimen ‘anti-Persekutuan’ bukan sekadar menebal di wilayah-wilayah Borneo. Di Semenanjung, pergeseran antara peringkat Pusat dan Negeri semakin ketara, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS. Bicara yang kerap dibawa mereka adalah umpama di’anak-tiri’kan.
Related article image
Bendera PAS. (Gambar fail: @paspusat/Instagram)
Di Terengganu, isu royalti petroleum menjadi modal politik apabila kerajaan negeri mendakwa hak mereka dinafikan. Putrajaya menegaskan bahawa bayaran dilakukan mengikut lunas undang-undang tetapi kelewatan atau tafsiran teknikal sering dijadikan sebagai bukti kononnya peringkat pusat menindas negeri.

Di Kelantan, kelemahan perkhidmatan asas seperti air bersih bertukar menjadi simbol pengabaian di peringkat pusat, walaupun faktor kegagalan pentadbiran negeri tidak diketengahkan.

Di Kedah, isu projek seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) digunakan untuk membina persepsi bahawa aspirasi negeri dihalang. Pandangan ini menular sekitar Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

Isu-isu sedemikian menunjukkan bahawa aspek hubungan Persekutuan, Wilayah dan Negeri di Malaysia berada dalam zon genting. Dari Borneo ke Pantai Timur, tanggapan ‘Pusat menindas Negeri’ semakin kuat, manakala retorik ‘keluar Malaysia’ dijaja oleh sekelompok elit untuk menggertak. Jika Kerajaan MADANI membiarkan tanpa jawapan balas kukuh, ia akan membuka ruang kepada politik identiti yang memecahbelahkan.

Meneroka Makna Perkongsian

Malaysia MADANI tidak boleh hanya berlegar sebagai slogan tetapi perlu menyampaian dasar-dasar secara cermat dan kemas. Ia mesti diterjemahkan sebagai manfaat harian dalam pertimbangan massa seperti kemudahan pengangkutan awam, peluang pekerjaan, akses pendidikan dan khidmat jagaan kesihatan.

Rakyat di Sarawak dan Sabah perlu melihat hasil nyata daripada MA63, bukan sekadar jawatankuasa. Rakyat di Kelantan, Terengganu dan Kedah perlu merasakan dan menikmati peningkatan taraf hidup, bukan sekadar lawatan lapangan dan janji yang tidak sampai. Ini inti politik yang harus ditekuni. Ia bukan setakat apa yang diberi, tetapi bagaimana ia diberi dan dikomunikasikan sebagai solusi.

Apa yang membimbangkan selain ancaman daripada pihak-pihak yang mahu memisahkan wilayah-wilayah Borneo dari Malaysia ialah kelunturan kepercayaan terutamanya generasi muda terhadap sistem Persekutuan akibat perhitungan politik.

Pengkisahan dan tafsiran berbeza tentang makna Malaysia memerlukan kebijaksanaan visi nasional yang inklusif agar merapatkan fabrik sosial yang kian renggang. Perlu insaf bahawa Malaysia hanya akan berjaya jika Persekutuan berfungsi sebagai sistem perkongsian risiko dan peluang, bukan sebagai ruang eksploitasi.

Tetapi ini hanya sebahagian daripada teka-teki yang lebih besar. Bolehkan Kerajaan MADANI mengekalkan masa depan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan dan membina institusi-institusi demokrasi yang kukuh?
Related article image
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim semasa sidang media di Putrajaya, Malaysia pada 12 Ogos 2025. (Gambar: REUTERS/Hasnoor Hussain/Pool)
PM Anwar berdepan ujian mengemudi negara agar mampu bertahan tatkala dunia politik sarat dengan populisme, mood ‘anti-establishment’ dan jurang sosioekonomi berpanjangan.

Kita semakin kesuntukan masa untuk membuktikan bahawa ‘Projek Malaysia’ masih relevan.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita