Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Benarkah Tiada Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 Langkah Berjimat Cermat?

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Benarkah Tiada Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 Langkah Berjimat Cermat?
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, mengarahkan semua agensi kerajaan supaya tidak mengadakan sambutan Aidilfitri tahun ini sebagai langkah untuk berjimat. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Ketika umat Islam mula sibuk membuat persiapan bagi menyambut Syawal pada hujung minggu ini, suasana politik dan prestasi ekonomi Malaysia boleh dianggap stabil.

Namun untuk tahun ini, sambutan yang biasanya meriah dengan bunga api, amalan rumah terbuka dan acara rasmi oleh kerajaan perlu bertukar menjadi sederhana, menurut Halmie Azrie, yang menyelongkar mengapa suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini mungkin hambar sedikit.

Keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membatalkan Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat nasional serta mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara oleh para menteri mencerminkan realiti baharu yang terpaksa dihadapi oleh Kerajaan MADANI.

Ini disebabkan oleh tekanan geopolitik global yang menggugat ekonomi domestik.

Krisis ini tercetus menyusuli serangan yang dilancarkan pada 28 Februari lalu oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, yang seterusnya mencetuskan reaksi balas di seluruh rantau Arab dan menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan besar terhadap pasaran tenaga dunia.

Harga minyak petrol terus melonjak dengan pantas, manakala beberapa laluan utama penerbangan antarabangsa terpaksa diubah atau dibatalkan akibat risiko keselamatan.

Jika konflik ini berlarutan, kesan-kesan ini akan mula melimpah ke dalam sistem rantaian bekalan global, meningkatkan kos logistik dan pengeluaran bahan mentah sehinggalah menaikkan harga barangan asas di pasar raya.
Related article image
Harga barangan asas di pasar raya mungkin terkesan jika konflik di Timur Tengah berlarutan. (Gambar: Bernama)
Pergolakan Timur Tengah

Negara-negara ASEAN serta ekonomi-ekonomi membangun di Asia sedang bergelut menyesuaikan dasar masing-masing untuk menghadapi kejutan perang ini. Hampir semua pentadbiran di benua Asia berhadapan dilema tentang bagaimana untuk melaksanakan langkah-langkah penjimatan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.

Bagi Malaysia, kebimbangan terbesar ialah kemungkinan berlaku gelombang inflasi baharu. Justeru, simbolik awal Kerajaan MADANI ialah menampilkan imej disiplin fiskal dan tidak membazir dengan membatalkan Rumah Terbuka Aidilfitri.
Related article image
Kerajaan MADANI menampilkan imej disiplin fiskal dan tidak membazir dengan membatalkan Rumah Terbuka Aidilfitri. (Gambar: Instagram/bernamaofficial)
Selain itu, kabinet juga dilaporkan sedang menilai semula pelbagai perbelanjaan, termasuk kemungkinan melaksanakan aturan bekerja dari rumah bagi penjawat awam pada hari-hari tertentu dalam seminggu sebagai kaedah penjimatan kos operasi kerajaan.

Sejajar dengan itu, Kerajaan MADANI bertindak mengekalkan subsidi bersasar untuk petrol RON95 pada paras semasa melalui skim BUDI95. Ia keputusan politik penting memandangkan jika menarik balik subsidi bahan api secara mendadak, ia boleh membawa reaksi kuat daripada rakyat yang masih tertekan dengan situasi kos sara hidup yang tinggi.
Related article image
Konflik di Timur Tengah menyebabkan harga minyak petrol melonjak dengan pantas. (Gambar: Bernama)
Namun, persoalannya adalah sampai bila model BUDI95 mampu bertahan apabila ruang fiskal Kerajaan MADANI semakin sempit. Jika aliran pelaburan asing pula mula perlahan akibat ketidaktentuan geopolitik, tekanan kewangan Kerajaan MADANI akan menjadi ketara menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober nanti.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga kekal lantang menuntut hak dan peruntukan pembangunan yang lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan. Mengurus perbezaan antara kemampuan pihak Persekutuan dengan perjanjian kepada wilayah-wilayah Borneo bakal menjadi ujian amat besar buat PM Anwar.

Dalam senario yang lebih ekstrem, PM Anwar mungkin terpaksa bergantung kepada langkah sementara seperti penggunaan institusi dana simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meredakan tekanan ekonomi rakyat.

Gagal Atasi Persepsi

Di sebalik cabaran-cabaran ekonomi tersebut, Kerajaan MADANI juga berdepan tekanan berkenaan integriti dan tadbir urus. Isu paling menonjol ialah kontroversi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Related article image
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki. (Gambar: Bernama)
Kontrak semasa beliau dilaporkan bakal tamat dan terdapat tentangan keras dari kalangan masyarakat sivil berkenaan menyambung kontraknya buat kali ketiga. Nama Azam Baki sudah beberapa kali terpalit dengan kontroversi pemilikan saham peribadi bernilai besar dan dakwaan hubungan erat dengan kelompok perniagaan tertentu.

Kritikan terhadap beliau juga berkaitan dengan tuduhan oleh Bloomberg yang melaporkan bahawa terdapat siasatan rasuah oleh SPRM yang digunakan sebagai alat dalam perebutan kuasa korporat. Walaupun belum dibuktikan sepenuhnya di mahkamah, persepsi buruk sebegini meninggalkan kesan mendalam terhadap reputasi agensi antirasuah negara.

Lebih parah bagi Kerajaan MADANI ialah dakwaan bahawa beberapa tokoh yang rapat dengan PM Anwar turut disebut dalam naratif konflik kepentingan ini. Antaranya termasuk ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador yang pernah berkhidmat kepada PM Anwar, menjadi pemegang saham utama beberapa syarikat tersenarai.
Related article image
Ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador. (Gambar: Bernama)
Kes bekas setiausaha politik kanan PM Anwar, Shamsul Iskandar yang sedang dibicara kerana meminta dan menerima rasuah daripada seorang ‘broker’ perniagaan bernama Albert Tei berkaitan isu meluluskan permit pelombongan di Sabah juga mencipta anggapan wujud kesefahaman antara elit politik dan kepentingan korporat.
Related article image
Bekas setiausaha politik kanan PM Anwar, Shamsul Iskandar. (Gambar: Bernama)
Related article image
'Broker' perniagaan Albert Tei. (Gambar: Bernama)
Tambahan pula, keputusan Peguam Negara membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kesnya berkaitan pengubahan wang haram dana Yayasan Akal Budi, meningkatkan lagi keraguan awam terhadap naratif dan komitmen reformasi yang sebelum ini menjadi asas kepada perjuangan politik PM Anwar.
Related article image
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bebas daripada kes pengubahan wang haram dana Yayasan Akal Budi. (Gambar: Bernama)
Bagi ramai pengundi atas pagar, mereka merasakan kompromi politik yang diambil oleh PM Anwar dan ditanggung Kerajaan MADANI telah menjadi suatu ‘harga’ terlalu mahal yang perlu dibayar untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya.

Bayangan Pilihan Raya

Landskap politik Malaysia mula rumit menjelang beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula di Melaka, kemudian Sarawak dan Johor. Dalam konteks ini, kemungkinan diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut bagi tujuan menyelaraskan PRN dan Parlimen mula menjadi bahan spekulasi dalam kalangan penganalisis politik.

Tindakan sedemikian mungkin dilihat sebagai hujah PM Anwar untuk menjimatkan kos pentadbiran serta memberi peluang kepada beliau untuk memperbaharui mandat daripada rakyat untuk penggal kedua.

Dalam gabungan Barisan Nasional (BN), wujud suara di peringkat akar umbi supaya ia diberi kebebasan dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya. Sesetengah pemimpin BN juga berpendapat setiap parti wajar bertanding di bawah bendera gabungan masing-masing dan hanya membentuk kerajaan selepas pilihan raya.

Dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) pula, tekanan terhadap kepimpinan PM Anwar semakin jelas. Parti Tindakan Demokratik (DAP) kerap kali dilaporkan mendesak supaya agenda reformasi institusi dipercepatkan selepas prestasi mengecewakan PH dalam PRN Sabah pada 29 November lalu.

Kritikan tegar dan terbuka mantan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli terhadap kepimpinan PM Anwar dan dasar-dasar Kerajaan MADANI, di samping ura-ura beliau dan para penyokongnya yang sedang menimbangkan untuk membentuk satu gerakan politik baharu menambah lagi kerumitan dan ketidaktentuan dalam blok penyokong kerajaan.
Related article image
Mantan Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli. (Gambar: Bernama)
Jika keadaan ini berterusan, ia berpotensi memecahkan undi di kawasan bandar dan kerusi etnik campuran yang selama ini menjadi kubu kuat PH. Keadaan tersebut boleh membuka ruang kepada parti-parti lain termasuklah UMNO mahupun gabungan pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) meraih laba politik yang tidak dijangka.

Bagi PN, ketegangan antara mantan Pengerusi Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin telah membawa pergeseran dalaman yang teruk. Tetapi, jika PN berjaya menyusun semula barisan mereka di bawah Pengerusi baharu Dr Samsuri Mokhtar, keseimbangan politik negara boleh berubah dengan pantas.

Bahang Api Perpecahan

Selain faktor ekonomi, integriti dan politik, Kerajaan MADANI perlu menangani sensitiviti sosial yang semakin retak, khususnya berkaitan hubungan kaum dan agama.

Kenyataan berunsur perkauman oleh sesetengah pempengaruh media sosial hanya menuang minyak ke dalam api perbalahan tersebut. Ia membawa kepada reaksi balas ganas daripada kumpulan tertentu, menimbulkan kebimbangan bahawa isu kecil boleh berkembang menjadi konflik sosial lebih besar jika tidak diselesaikan secara berhati-hati.

Perkembangan ini mewujudkan situasi sukar bagi PM Anwar. Ini kerana, sokongan pengundi Melayu-Islam masih tidak kukuh walaupun pelbagai dasar telah diperkenalkan untuk mendekati kelompok tersebut.

Masa semakin suntuk untuk PM Anwar menyelamatkan keadaan. Jika PRU mengejut benar-benar dipertimbangkan PM Anwar dalam masa terdekat, beliau perlu segera memperbaiki persepsi awam terhadap integriti pentadbirannya serta memulihkan hubungan antara kaum yang kian rengang sejak mengambil alih kuasa.
Related article image
Menara Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya, Malaysia. (Gambar: Bernama)
Tempoh selepas sambutan Aidilfitri tahun ini pasti menjadi detik genting bagi PM Anwar.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita