Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Benarkah Tiada Cara Lain Untuk Rancakkan Forest City?

Bloomberg baru-baru ini melaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan para pemimpin Berjaya Corporation dan Genting Group mengenai kemungkinan membina sebuah kasino di Forest City, Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Benarkah Tiada Cara Lain Untuk Rancakkan Forest City?

(Gambar: Getty Images)

Diterbitkan : 28 Apr 2024 10:21PM Dikemas Kini : 28 Apr 2024 10:41PM
KUALA LUMPUR: Bloomberg baru-baru ini melaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan para pemimpin Berjaya Corporation dan Genting Group mengenai kemungkinan membina sebuah kasino di Forest City, Johor.

Khabar angin ini sudah bertiup kencang sejak sekian lama, kononnya satu usaha untuk mencergaskan pembangunan di kawasan tersebut. Dalam tempoh 8 jam selepas Bloomberg menerbitkan berita tersebut, PM Anwar menafikan dakwaan itu dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz pula menyifatkannya sebagai satu percubaan untuk mencemarkan nama baik Johor dan pembangunan di negeri tersebut.

PM Anwar Ibrahim berkata tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu seperti ini.

Ini bagaimanapun bukan kali pertama saranan tersebut muncul. Pada Disember 2013, terdapat satu lagi laporan media yang mendakwa bahawa Berjaya berhasrat untuk membuka kasino tanpa cukai di Stulang Laut, tidak jauh dari Koswe, dengan matlamat untuk bersaing dengan Marina Bay Sands dan Resort World Sentosa di Singapura. Menteri Besar Johor ketika itu, Encik Khaled Nordin juga telah menyangkal dakwaan tersebut sambil mengisytiharkan bahawa Johor tidak akan membenarkan mana-mana syarikat perjudian dibuka di negeri itu.
Related article image
Kali ini, Encik Onn Hafiz mengingatkan pihak media bahawa tiga kasino telah ditutup di Johor sejak pemerintahan Sultan Ibrahim dan pihak istana sudah berulang kali mengisytiharkan bahawa kasino tidak akan dibenarkan di negeri itu. Dalam kedua-dua insiden itu, kerajaan negeri tidak dirujuk atau dimaklumkan mengenai sebarang perbincangan mengenai perkara tersebut.

FOREST CITY UNDANG LIPUTAN NEGATIF

Tengkarah ini adalah yang terbaharu dalam siri liputan berita yang negatif mengenai Forest City. Walaupun Forest City cuba mempertingkatkan kedudukannya dengan mengadakan acara-acara berprofil tinggi termasuk lawatan PM Anwar untuk membincangkan penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ), isu kasino tetap digembar-gemburkan oleh sesetengah media.

Baru-baru ini, muncul pula dakwaan tidak tepat oleh sebuah universiti tempatan mengenai kerjasamanya dengan pemaju untuk ‘menanam semula’ rumput laut di sebuah kawasan berhampiran, yang menurut masyarakat saintifik dan masyarakat tempatan adalah sesuatu yang tidak berasas sama sekali. Tidak lama selepas itu sebuah video tular mendakwa sekitar 30 orang telah diserang oleh buaya di Forest City - yang juga tidak benar sama sekali.

Walaupun ramai orang tahu bahawa projek Forest City mengalami pelbagai kejutan termasuk isu modal dari China, kemerosotan nilai hartanah domestik dan akhirnya COVID-19, ramai juga yang memilih untuk menumpukan perhatian kepada kesan-kesan negatif Forest City. Hanya segelintir sahaja yang akur tentang kesan pembangunan ke atas habitat dan masyarakat tempatan.

Malah, sepanjang tempoh pembinaannya, projek Forest City telah menjejas penduduk tempatan dan kawasan-kawasan semula jadi di sekelilingnya. Projek itu menimbulkan kerosakan habitat yang teruk pada ekosistem bakau dan rumput laut, selain menjejas mata pencarian para nelayan dan memburukkan lagi kesan perubahan iklim.
Related article image
Ia juga mengakibatkan pelbagai masalah lain apabila dormitori pekerja binaan dan kedai-kedai serbaneka dibina di tengah-tengah kampung-kampung nelayan yang terletak berhampiran.

Bukan sahaja nelayan tempatan yang mengalami kehilangan mata pencarian, malah ada juga yang kehilangan nyawa akibat kenderaan berat yang dipandu dengan laju di jalan kampung, selain masalah kesihatan fizikal dan mental akibat pencemaran daripada kerja-kerja binaan dan kurangnya keselamatan di kawasan kejiranan mereka setelah beribu-ribu orang mula membanjiri kawasan Forest City.

Sekalipun para pemaju cuba memberikan pampasan, sebahagian besar pampasan itu tidak sampai ke saku penduduk atau nelayan yang terjejas. Tuntutan ganti rugi yang dibuat oleh pihak nelayan terhadap syarikat-syarikat binaan telah dibayar oleh pihak pemaju, tetapi sangat sedikit, dan jika ada sekali pun, tidak semua yang dihulurkan kepada mereka yang benar-benar terjejas.

Perkara ini tidak boleh dinafikan tetapi perlu diakui bahawa pihak pemaju telah cuba mendampingi masyarakat selepas itu, dan hubungan antara kedua-dua pihak semakin bertambah baik. Malah terdapat kerjasama meluas antara sekolah antarabangsa di Forest City, pemaju dan kumpulan nelayan tempatan untuk memulihkan bakau yang akan membantu menambah mata pencarian para penduduk tempatan.

Khabar angin tentang kasino bagaimanapun, adalah satu langkah besar mundur, menurut sesetengah pihak.
Related article image
(Gambar: Malaysia Now)
Di Malaysia yang konservatif, di mana majoriti penduduknya beragama Islam, kasino dan perjudian hanya akan menimbulkan masalah. Sebahagian besar masyarakat nelayan di sekitar Forest City berasa tidak selesa dengan idea ia adalah 'syurga' untuk meminum arak dan ia juga tidak mengejutkan apabila Pulau Forest City disebut sebagai sebuah hab penyeludupan oleh sesetengah media.

Tiada seorang pun di kawasan itu yang mahukan kasino di kawasan kejiranan mereka dan ramai juga yang benar-benar lega dengan pengumuman bahawa Sultan Johor tidak akan mengizinkannya.

CARA LAIN UNTUK RANCAKKAN FOREST CITY

Menyusuli liputan Bloomberg, beberapa pengulas yang kelihatan bukan Melayu/Islam turut mengecam keperluan untuk satu lagi kasino di Malaysia. Yang lain pula mencadangkan agar Forest City melalui laluan projek kemampanan yang terkenal di China, seperti Taman Yujidao, Sichuan dan Taman Muara Sungai Kuning, Shandong. Tetapi dakwaan projek mampan yang digembar-gemburkan oleh pihak pemaju perlu diteliti dengan rapi.

Jika pendekatan Singapura atau Genting berhubung resort peranginan bersepadu boleh diguna pakai tanpa komponen kasino, adakah ia akan menarik minat pembeli rumah dan pengunjung pada masa akan datang?

Johor mungkin boleh menggunakan tarikan taman hiburan lain, lebih-lebih lagi yang berdekatan dengan Singapura, untuk menarik ramai pengunjung dari negara itu. Forest City Golf Resort nampaknya berjaya menarik perniagaan daripada Singapura.

Walaupun liputan berita yang negatif mungkin mempunyai kesan yang besar terhadap daya tarikan projek itu, lawatan ke Pulau Forest City pada sebelah malam menunjukkan bahawa terdapat lebih ramai orang yang tinggal di sana, walaupun kebanyakannya bekerja di Singapura yang mendapat manfaat daripada kadar sewa yang rendah.
Related article image
Pada hujung minggu pula, kolam renang dan taman air yang berlandskap berhasil menarik ramai keluarga Melayu tempatan.

Pulau ini memerlukan pelaburan untuk membawa masuk tarikan inovatif, kedai runcit dan restoran untuk memikat lebih ramai orang, namun para pelabur kelihatan ragu-ragu terhadap Forest City menyusuli liputan berita yang negatif dan ketidakpastian yang membelenggu Country Gardens dan projek Forest City itu sendiri.

Dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) dan kedudukan Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong, mungkin inilah masa yang terbaik untuk mencarta masa depan pulau itu.

Tetapi ia tidak boleh dibangunkan dengan cara yang akan memudaratkan ekosistem di sekelilingnya.

Forest City memerlukan wawasan yang berhemah dan berpandangan jauh tentang cara-cara untuk memajukannya dengan kaedah dan pendekatan yang benar-benar inklusif dan mampan.

Jika para pemaju dapat bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan yang benar-benar mengutamakan kelestarian habitat dan masyarakat tempatan dan bukan semata-mata mencari peluang untuk meraih keuntungan yang besar dan lumayan, maka pembangunan Forest City mungkin boleh berkembang dengan cara yang jauh lebih positif.

MENGENAI PENULIS
Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS-Yusof Ishak Institute. Nelayan dan rumput laut di Mukim Tanjung Kupang, Johor telah dijadikan sebagai bahan utama kajiannya sejak 2008.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita