Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Benarkah 'Gelombang Biru' Sudah Bersedia Menekan Putrajaya?

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Benarkah 'Gelombang Biru' Sudah Bersedia Menekan Putrajaya?

Barisan Nasional (BN) kini kembali memegang naratif utama menyusuli Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 18 Jul 2026 11:08AM
KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memperlihatkan landskap politik Malaysia berubah sekali lagi.

Keputusan PRN ini bukan sekadar mengekalkan ‘status quo’, bahkan ia kelihatan seolah-olah satu penolakan terhadap politik serpihan dan satu isyarat jelas daripada para pengundi bahawa keputusan di selatan Malaysia sudah bergema terus ke koridor kuasa di Putrajaya. Halmie Azrie mengupas penjajaran baharu ini.

Mesejnya cukup jelas. Barisan Nasional (BN) sudah kembali memegang naratif utama.

Kejayaan BN melonjakkan penguasaan mereka daripada 40 kepada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan bahawa keputusan strategik, yang pada awalnya dilihat angkuh, untuk bergerak secara solo adalah satu ‘calculated risk’ yang sangat berbaloi.
Related article image
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi (kiri) mengucapkan tahniah kepada pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi sedang mereka menyaksikan siaran langsung keputusan PRN Johor pada 11 Julai 2026. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Kemenangan ini didorong oleh faktor ‘feel good’ sepanjang pentadbiran dan populariti personaliti penyandang jawatan Menteri Besar Johor iaitu Onn Hafiz Ghazi yang berjaya menterjemahkan rekod urus tadbir ekonomi Johor kepada undi popular yang luar biasa. Undi untuk BN melonjak daripada sekitar 599,000 kepada lebih 1.11 juta undi.

Rejuvinasi Barisan Nasional

Dengan peratusan keluar mengundi meningkat kepada 68.73 peratus, yang didorong oleh penambahan 130,000 pengundi baharu, angka ini secara ironinya menyembunyikan realiti peratusan keluar mengundi yang agak rendah dalam kalangan pengundi Cina yang seolah-olah memboikot PRN Johor.
Related article image
Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Johor 2026 agak rendah dalam kalangan pengundi Cina. (Gambar: Bernama)
PRN yang tidak selari dengan pilihan raya persekutuan sering melemahkan semangat pengundi atas pagar dan golongan belia untuk pulang mengundi.

Kelesuan ini menjadi asbab kepada kurangnya sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) lalu memberi kelebihan kepada BN yang mengaktifkan pengundi-pengundi ‘putih’ atau penyokong tegar mereka untuk keluar mengundi.
Related article image
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2026. (Gambar: Bernama)
Analisis yang teliti terhadap nombor-nombor ini mendedahkan naratif yang jauh lebih mendalam. Ini bukan sekadar kebangkitan Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang berjaya menyumbang 75 peratus daripada wakil rakyat BN. Ini juga adalah kebangkitan rakan komponen mereka secara bersepadu.

Keputusan luar jangka buat Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang menyumbang separuh daripada lapan kerusi baharu BN, termasuk merampas Jementah, Tangkak, dan Johor Jaya dari musuh tradisi mereka iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) amat memberangsangkan.

Selain itu, kemenangan 100 peratus oleh calon-calon Parti Kongres India Malaysia (MIC) yang merampas kerusi bandar seperti Perling dan Bukit Batu, memberi isyarat bahawa formula BN mula kembali diterima. Momentum dari ‘kubu kuat’ ini sudah pasti akan dijadikan batu loncatan rasmi BN mendepani PRN seterusnya di Negeri Sembilan dan juga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Ketempangan Perikatan Nasional

Jika BN adalah pemenang besar, blok pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) pula terjerumus ke dalam krisis paling buruk. Kejatuhan undi PN daripada 24.04 peratus pada 2022 kepada hanya 5.45 peratus pada 2026, berserta kehilangan kesemua tiga kerusi yang pernah dimenanginya adalah manifestasi langsung kegagalan menguruskan ‘masalah rumah tangga’ sendiri.
Related article image
Undi yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) jatuh daripada 24.04 peratus pada 2022 kepada hanya 5.45 peratus pada 2026. (Gambar fail: Bernama)
Sengketa terbuka antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mendesak penyertaan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) ke dalam PN membawa kepada penentangan keras daripada anggota pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Keadaan tersebut telah menghancurkan imej PN sebagai pilihan alternatif untuk pengundi Melayu. Menjelang hari mengundi, kesan kemelut dalaman ini menyebabkan pengundi majoriti Melayu muak. Akibat ketiadaan tawaran persaingan politik yang serius daripada PN, undi Melayu berayun kembali secara pukal kepada UMNO.
Related article image
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin (kiri), dan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Abdul Hadi Awang, pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 15 September 2025. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)
Hal ini mencatatkan majoriti luar biasa buat BN di kawasan-kawasan seperti Tiram yang menang dengan majoriti lebih 28,255 dan Permas dengan majoriti lebih 29,505. PN terbukti gagal membaca ‘mood’ rakyat Johor yang menolak ketidakstabilan. Akan tetapi, hakikatnya PRN Johor bukanlah matlamat utama bagi kepimpinan PN.

Realiti Parti Kecil

Pertembungan pelbagai penjuru terbukti sekali lagi memihak kepada entiti-entiti dan parti-parti yang memiliki keupayaan untuk menggembleng jentera dan sumber yang paling efisien. Tanpa kelibat tokoh terkenal iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman kerana berdepan tuduhan kes rasuah di mahkamah, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kehilangan arah.
Related article image
Mahkamah Persekutuan mengekalkan pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (bertali leher) daripada empat tuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada 13 Julai 2026. (Gambar: Bernama)
percubaan gerakan ‘third force’. Parti-parti progresif seperti MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), tidak diterima pengundi. Selepas memenangi Puteri Wangsa pada 2022, MUDA gagal menawan sebarang kerusi kali ini.

Malah parti serpihan terbaharu iaitu Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pimpinan mantan dua Menteri Persekutuan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang meletakkan 15 calon daripada kalangan “orang biasa”, seperti dijangka pulang dengan tangan kosong dan juga kehilangan wang pertaruhan.
Related article image
Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) meletakkan 15 calon dalam Pilihan Raya Johor 2026. (Gambar: Bernama)
Kegusaran Elit Putrajaya

Di sebalik kemenangan besar, rakyat Malaysia tidak boleh mengabaikan situasi politik ‘toksik’ yang mendominasi tempoh berkempen. Permusuhan peringkat akar umbi antara jentera UMNO Johor yang berkeras bergerak solo dan pemimpin-pemimpin dari PH jelas terpancar.

Retorik berbaur perkauman dan agama, pelbagai taktik politik bertunjangkan amaran palsu, serta janji-janji populis murahan berleluasa dari kedua-dua pihak gabungan terbesar yang bertanding. Ini mempamerkan kualiti politik Malaysia yang masih lagi terperangkap dalam taktik kotor dan propaganda cetek apabila terdesak.

Tetapi, situasi tegang ini sebenarnya meletakkan Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri I, Ahmad Zahid Hamidi, dalam kedudukan percaturan tawar-menawar yang sangat strategik.
Related article image
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri I, Ahmad Zahid Hamid. (Gambar: Bernama)
Dengan kejayaan bersendiri di Johor, Ahmad Zahid kini memiliki ‘leverage’ (kelebihan politik) untuk mendesak agar BN bertanding melawan PH dalam mana-mana pilihan raya akan datang, sambil secara licik membiarkan pintu rundingan terbuka dengan proksi-proksi PN. Ini adalah tindakan ‘hedging’ klasik sebagai persediaan mendepani kemungkinan berlaku keadaan Parlimen tergantung pasca PRU16.

Tamatkah Kerajaan Perpaduan?

Persoalan paling kritikal kini adalah sejauh mana ‘gelombang biru’ BN akan mewarnai landskap politik nasional? Malaysia kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya demi pilihan raya, bermula dengan Negeri Sembilan pada 1 Ogos, krisis pentadbiran yang retak menanti belah di Perlis, penggal kerajaan Melaka yang tamat hujung tahun ini dan PRN Sarawak pada awal tahun depan.
Related article image
Sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan penting dalam membolehkan kesinambungan usaha pembangunan, kata Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim. (Gambar: Bernama)
Bagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim, isyarat dari Johor membimbangkan. PH telah kehilangan empat kerusi dan tinggal hanya lapan kerusi untuk DUN Johor, malah hanya mampu mempertahankan Simpang Jeram dengan margin tipis 170 undi walaupun menggerakkan pelbagai kekuatan dari peringkat kerajaan pusat.

Para penasihat PM Anwar dilaporkan mula panik melihat hakisan sokongan awam ini, bimbang jikalau berlaku pembubaran PRU16 lebih awal bagi mengekalkan kestabilan politik tatkala berdepan ketidaktentuan ekonomi, PH akan ditewaskan dan gagal mendapat mandat rakyat bagi meneruskan khidmat PM Anwar untuk penggal kedua.

Di saat parti-parti utama dalam Kerajaan Perpaduan saling menikam satu sama lain, adakah kita akan menyaksikan satu penjajaran semula yang baharu, di mana BN dengan mandat lebih besar dan pemimpin MCA serta MIC mendambakan kedudukan lebih tinggi dalam hierarki Persekutuan bertindak merombak persefahaman dengan PH?

Rakyat Johor sudahpun menjadikan negeri mereka sebagai ‘bell-weather state’ yang boleh menjadi kayu ukur awal buat para pemain politik.

Tatkala ketidaktentuan geopolitik global meningkat dan kos sara hidup menekan, para pengundi tidak ada masa untuk melayan krisis dalaman pembangkang PN, mahupun alasan-alasan lemah daripada pihak kerajaan PH.

Mereka mahukan kestabilan dan politik yang berprestasi. Masa semakin suntuk untuk PN merapatkan saf dan PH menunaikan janji.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita