NOTA DARI KL: Belanjawan 2027 Malaysia - Menjelang PRU16
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunjukkan buku Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, pada 9 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
- Anwar Ibrahim tabled the RM510 billion Budget 2027 in the Dewan Rakyat on Oct 9, with a two-week debate and a vote expected at the end of November.
- The Budget provides STR and SARA aid, M40 tax relief, BUDI subsidies, permanent posts for doctors and a higher minimum wage, but it is seen as cautious ahead of the 16th General Election.
- The article highlights a K-shaped economic divide, with GDP and FDI figures appearing positive while PMKS, gig workers and ordinary people continue to be squeezed by costs.
- The political standing of the MADANI Government depends on implementation, as electors are judging efficiency, inflation and reforms, while PN and pressure from UMNO add to Anwar's challenges.
- Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 bernilai RM510 bilion di Dewan Rakyat pada 9 Oktober, dengan perbahasan dua minggu dan undian dijangka hujung November.
- Belanjawan ini memberi bantuan STR, SARA, pelepasan cukai M40, subsidi BUDI, jawatan tetap doktor dan kenaikan gaji minimum, tetapi dilihat berhati-hati menjelang PRU16.
- Artikel menekankan jurang ekonomi berbentuk K, apabila angka GDP dan FDI kelihatan baik tetapi PMKS, pekerja gig dan rakyat biasa terus tertekan kos.
- Kedudukan politik Kerajaan MADANI bergantung kepada pelaksanaan, kerana pengundi menilai kecekapan, inflasi dan reformasi, sementara PN serta tekanan UMNO menambah cabaran Anwar.
Selama dua minggu mendatang, para Ahli Parlimen bakal membahaskan Belanjawan tersebut di peringkat dasar. Setelah itu, giliran Kementerian pula akan memberi jawapan balas.
Belanjawan 2027 dijangka akan diundi pada penghujung November.
Belanjawan kali ini merupakan peruntukan perbelanjaan terbesar dalam sejarah sebanyak RM510 bilion, lebih RM40 bilion berbanding Belanjawan sebelum ini. RM459.8 bilion dijana daripada Kerajaan Persekutuan sendiri, manakala RM50.2 bilion datang dari pelaburan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun.
Namun, di sebalik unjuran makroekonomi yang positif dan stabil, ramai pemerhati politik dan penganalisis bebas sepakat melihat dokumen kewangan Persekutuan ini sebagai satu pertaruhan penentu politik yang bertitik tolak daripada kebimbangan terhadap sokongan rakyat sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sudah hampir empat tahun mentadbir, Kerajaan MADANI yang diterajui Pakatan Harapan (PH) bersama rakan sekutu utama misalnya Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah merangka Belanjawan bukan sebagai ‘kanvas’ reformasi yang berani, sebaliknya ‘perisai’ pertahanan kekuasaan yang berhati-hati.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sering diuji dengan cabaran mengurus hubungan tegang antara PH dan BN, sambil menangani keresahan rakyat jelata terhadap isu kos sara hidup.
Usaha Memujuk Kembali
Pada 7 Oktober, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang terdiri daripada 4 orang mantan Ahli Parlimen yang meletak jawatan dan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tampil mengemukakan ‘shadow budget’ (belanjawan bayangan) yang dipuji banyak pihak.
Dua hari kemudian sewaktu ucapan Belanjawan 2027, PM Anwar didapati mengelak daripada menyentuh soal sensitif seperti asas hasil negara. Ketiadaan rangka kerja cukai karbon yang jelas atau menyebut tentang Cukai Minimum Global (GMT) seperti pernah dilaksanakan sebelum ini, mengiyakan andaian bahawa ia satu Belanjawan yang ‘mesra’ pengundi.
Kelas pertengahan M40 sedikit lega melalui kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000. Ia semakan pertama sejak 2010, disusuli pengurangan satu peratus bagi pendapatan bercukai tertentu, serta peluasan pelepasan bagi langganan Kecerdasan Buatan (AI) dan penjagaan haiwan peliharaan.
Kumpulan berpendapatan rendah terus dilindungi menerusi peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), manakala isu lama berkaitan doktor kontrak akhirnya menemui titik penyelesaian muktamad dengan tawaran jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor baharu sepanjang 2027.
Ekonomi ‘Bentuk-K’
Punca utama mengapa Belanjawan 2027 tidak mencetuskan keghairahan politik yang tular di peringkat masyarakat awam sebenarnya terletak pada masalah jurang yang ketara antara angka-angka makroekonomi dengan realiti harian rakyat.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) yang berkembang sihat pada 2026 sekitar 4.8% hingga 5.3% dan diunjurkan pada tahun 2027 antara 4.2% sehingga 5.2%, serta kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang memberangsangkan ke koridor-koridor ekonomi terpilih, nampak gah di atas kertas.
Sebaliknya, lengan bawah ‘K’ menempatkan golongan kebanyakan, sektor tidak formal atau pekerja gig (pekerja bebas), serta 1.29 juta entiti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mewakili lebih 96% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia. Mereka terus terhimpit akibat kos yang naik lebih cepat daripada pendapatan atau jualan.
Malah, PM Anwar sendiri secara terbuka mengakui bahawa Belanjawan tahunan tidak mampu menyelesaikan segala kepincangan struktur ekonomi negara secara sendirian. Jika diamati kenyataan beliau dengan lebih mendalam, sebenarnya ia sudahpun mendedahkan keterbatasan kuasa fiskal yang dimiliki oleh kerajaan.
Benar, penerusan inisiatif bantuan tunai atau barangan menerusi STR dan SARA, subsidi bahan api seperti BUDI95 dan BUDI Diesel, pengumuman baharu tentang pelepasan cukai untuk kumpulan berpendapatan pertengahan M40, pengecualian duti setem hartanah, lantai pencen RM1,350 bagi penjawat awam, ataupun pelarasan kadar gaji minimum dari RM1,700 kepada RM2,000 memberikan kelegaan sementara.
Kalkulus Pilihan Raya
Hakikatnya, pengundi hari ini jauh lebih terdedah dan bersikap skeptikal berbanding sedekad lalu. Pengumuman besar melibatkan pemberian khas untuk wilayah Sabah dan Sarawak, imbuhan buat warga pesawah dan pekebun kecil, serta pelindungan bagi golongan rentan tidak menjamin sokongan kepada blok kerajaan. Mengapa?
Ini kerana perkiraan pengundi tidak lagi hanya berpusat kepada berapa banyak jumlah peruntukan yang diumumkan di Parlimen tetapi lebih tertumpu kepada persepsi kecekapan sesebuah kerajaan dalam mengurus ekonomi secara keseluruhan. Optik politik bukan lagi tentang siapa yang memberi lebih banyak wang tunai.
Pertempuran sebenar adalah mengenai soal kredibiliti, kecekapan tadbir urus dan keupayaan mengawal inflasi.
Pun begitu, Kerajaan MADANI terpaksa merangka Belanjawan 2027 dengan mengambil kira tarikh akhir PRU16 yang semakin hampir. Tahun 2027 dijangka menjadi tahun penentuan sebelum mandat tamat sepenuhnya pada awal 2028, maka kecenderungan dasar-dasar awam mula terarah kepada sifat reaktif dan populis.
Contohnya, disediakan peruntukan RM240 juta sebagai persiapan bagi penganjuran temasya Sukan SEA ke-34 pada September 2027 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada Oktober 2027. Ia sudah pasti akan dimanfaatkan oleh PM Anwar bagi meningkatkan imej Kerajaan MADANI di persada antarabangsa sebelum PRU16.
Di satu sudut, desakan daripada kepimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) agar PRU16 disegerakan terus berlangsung. Di sudut berbeza, realiti di Malaysia membuktikan satu kebenaran pahit yang sering dikesampingkan. Bahawa ‘gula-gula’ belanjawan dan bantuan tunai tidak semestinya menjamin undi di peti undi.
Krisis Keyakinan Jenama
Satu lagi ‘blindspot’ dalam pendekatan strategi politik PM Anwar adalah kontradiksi antara retorik antirasuah seperti yang kerap terkandung dalam ucapan Belanjawan, yang konsisten pula dengan kompromi politik harian. Di satu sisi, usaha membersihkan sistem perolehan kerajaan dan membendung ketirisan terus dicanang.
Di sisi yang lain, kritikan banyak pihak tertumpu kepada perihal reformasi institusi yang dijanjikan sewaktu era reformasi bergerak terlalu perlahan atau sanggup digadaikan demi mengekalkan kestabilan Kerajaan MADANI yang sebenarnya rapuh. Keadaan inilah yang melahirkan apa yang boleh disifatkan sebagai “brand insecurity”.
Apabila identiti pentadbiran Kerajaan MADANI terlalu bergantung kepada rayuan emosi peribadi oleh pemimpin tertinggi berbanding kemampuan pasukan Jemaah Menteri dan transformasi struktur yang bertahap namun jelas kelihatan, pengundi-pengundi atas pagar mula merasa bosan dengan prestasi jenama MADANI itu sendiri.
Justeru, blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak banyak modal politik untuk berhujah, masih mudah memanfaatkan kelemahan ini dengan memanipulasi sentimen umum bahawa Kerajaan MADANI gagal menunaikan janji-janji lama dan tidak mempertahankan kepentingan dari sudut etnik perkauman mahupun kesucian agama.
Malangnya, Belanjawan 2027 seakan-akan dikenang sebagai sebuah dokumen yang sarat dengan kompromi untuk pelbagai pihak.
Satu Belanjawan yang cukup selamat untuk mengelakkan tercetus krisis dalaman gabungan, tetapi terlalu konvensional untuk mengubah landskap sosioekonomi secara berkesan.
Bagi PM Anwar dan gabungannya PH, masa depan politik mereka berada di persimpangan genting.
Keputusan PRU16 tidak akan diselamatkan semata-mata oleh unjuran angka ‘mega’ RM510 bilion di Parlimen.
Kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada satu penunjuk tunggal yang paling jujur iaitu aspek pelaksanaan.
Tanpa jawapan "ya" yang meyakinkan, Belanjawan 2027 mungkin hanya menjadi babak penutup yang cukup mahal sebelum ‘ombak’ kekecewaan rakyat menukar segala perhitungan kekuasaan.
PM Anwar masih mempunyai ruang sehingga November 2027, bermakna Belanjawan 2028 iaitu yang keenam oleh Kerajaan MADANI pada tahun depan secara teknikalnya masih boleh dibentangkan.
Sama ada Belanjawan 2027 akan menjadi ‘batu loncatan’ ke arah penggal kedua yang kukuh bagi PM Anwar atau sekadar ‘ubat penenang’ sementara sebelum rakyat memutuskan arah tuju negara seterusnya, semua bakal terjawab pada PRU16 kelak.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.