NOTA DARI KL: Bazar Ramadan di Malaysia semakin tersusun, dapat cegah pembaziran makanan

PM Anwar Ibrahim di bazar Ramadan Kamunting di Perak. (Gambar: Instagram/@anwaribrahim_my)
Selepas sambutan Tahun Baharu Cina yang riuh-rendah diwarnai dengan dentuman mercun sebelum hari perayaan itu sendiri, Ramadan tahun ini kelihatan sunyi, suram dan hambar sejauh ini.
TENGKARAH AWAL RAMADAN
Malangnya tahun ini, awal Ramadan telah dicemari oleh insiden tidak sensitif yang mengundang kemarahan dan melukakan hati para penganut agama Hindu.
Ketiga-tiga penyampai radio, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy, yang bertugas di stesen radio Era FM di bawah naungan Astro, telah disoal siasat di ibu pejabat polis di Bukit Aman kerana telah mempersendakan ritual agama Hindu.
Dalam video yang dimuat naik ke laman Instagram stesen radio tersebut pada Selasa (4 Mac) lalu, ketiga-tiga penyampai radio tersebut - Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy - dilihat meniru ritual yang dijalankan oleh para penganut Hindu semasa upacara Thaipusam.

Pada masa yang sama, muncul pula klip video yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia secara amnya tidak bersikap perkauman. Kandungan yang ditampilkan termasuk contoh bagaimana seorang lelaki warga emas diberi makanan oleh sebuah keluarga apabila mereka menyedari dia tidak mampu untuk membeli makan di restoran makanan segera, dan bagaimana seorang wanita muda yang patah tangan memohon bantuan beberapa wanita semasa waktu makan tengah untuk membantu mendandan rambutnya untuk sesi temu duga kerja.
Rakyat Malaysia secara keseluruhannya murah hati dan bertimbang rasa dan bersedia membantu satu sama lain. Ini dapat dilihat dengan ketara semasa musim banjir, yang sebelum ini mungkin berlaku di Pantai Timur tetapi kini lebih kerap berlaku di seluruh negara.
Perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama juga terserlah sekalipun di luar negara. Mereka yang bekerja di Singapura misalnya, sentiasa menghulurkan bantuan dan wang tunai kepada rakyat senegara yang memerlukan sekiranya berlaku kemalangan atau musibah lain.
Inilah semangat sebenar Ramadan, di mana sedang umat Islam berpuasa, kita tidak melupakan golongan yang memerlukan - bukan sahaja membantu mereka yang kelaparan, tetapi juga untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban orang lain daripada kesulitan yang dihadapi.
Di sebalik tengkarah ketiga-tiga penyampai radio itu, Bazar Ramadan di merata Malaysia rata-rata telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.

BAZAR RAMADAN BERTAMBAH BAIK
Selain aspek kerohanian, Ramadan juga dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dengan begitu banyak Bazar Ramadan bak cendawan tumbuh selepas hujan di seluruh negara.
Pada awal Ramadan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj menasihatkan agar tapak-tapak Bazar Ramadan diberikan kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga dan bukan dimanipulasi oleh sesetengah pihak. Sekalipun kerajaan mengambil berat terhadap kebajikan para peniaga kecil-kecilan, ini tidak bermakna mereka boleh mengambil kesempatan dengan berniaga secara haram di bazar-bazar Ramadan.
Kerajaan Johor misalnya, mengambil tindakan membatalkan lesen peniaga yang didapati menyewakan tapak Bazar Ramadan atau Aidilfitri kepada warga asing.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Encik Mohd Jafni Md Shukor dalam laporan media baru-baru ini berkata, langkah itu selaras dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan yang juga perlu dipatuhi oleh para penganjur.
Dan jika terdapat 'sewa atas sewa' (kepada warga asing), pihak berkuasa negeri akan membatalkan lesen tersebut dengan serta-merta.

Para peniaga Bazar Ramadan turut diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan tidak menjual makanan yang sudah rosak atau basi bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan pada pelanggan.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim juga telah mengarahkan harga makanan yang dijual di bazar-bazar Ramadan dipantau bagi mengelakkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menaikkan harga secara tidak wajar.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mengesan sebarang kenaikan harga makanan secara melampau di bazar-bazar Ramadan di seluruh Malaysia setakat ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, selain Bazar Ramadan, pasukan pemantau KPDN juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit yang turut mendapati tiada kenaikan harga mendadak.
PM Anwar sendiri telah melawat beberapa Bazar Ramadan bagi meninjau-ninjau harga dan mutu makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada para peniaga kecil.
Beliau juga telah mengarahkan KPDN untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Pantau 2025.
Beliau turut mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal.
Kerjasama dengan KPDN memastikan para peniaga bazar mempamerkan tanda harga makanan, minuman serta barangan yang dijual mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan Malaysia 2011.
CEGAH PEMBAZIRAN
Satu lagi kemajuan yang dicatatkan pada tahun ini ialah kejayaan mengurangkan pembaziran makanan.
Pengumpulan lebihan makanan menerusi program MySaveFood@Ramadan (MSF) tahun ini menunjukkan kemerosotan yang ketara apabila hanya sekitar 150 kilogram (kg) makanan dan minuman berjaya diselamatkan dalam tempoh seminggu berbanding 400kg pada tahun lalu.
Pengerusi Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia Negeri Perak Puteri Aisyah Megat Shariffudin misalnya, berkata lebihan makanan itu dikumpulkan daripada empat Bazar Ramadan di sekitar Perak sejak 4 Mac lalu.
Lebihan makanan yang berjaya diselamatkan itu diagihkan kepada golongan asnaf, fakir miskin, gelandangan dan anak yatim.

BAZAR RAMADAN RAHMAH
Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dianjurkan di 95 lokasi seluruh Malaysia pada tahun ini.
BRR antara lain bertujuan untuk menyediakan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga yang lebih berpatutan, dengan tumpuan khas diberikan kepada Menu Rahmah yang dijual pada harga tidak melebihi RM5.
BRR turut mengambil langkah proaktif bagi menggalakkan perniagaan berkonsepkan digital khususnya melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).
Langkah ini juga bermatlamat untuk mempertingkatkan pendedahan para peniaga bazar dan pengguna kepada kemudahan e-dompet dan pembayaran tanpa tunai.
Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan pembeli dan peniaga tetapi juga membantu mempercepatkan proses urus niaga, di samping mengurangkan risiko berlaku pencurian dan menjadikan bazar lebih tersusun.
Dengan penganjuran Bazar Ramadan yang lebih tersusun tahun ini, semoga ia akan dapat mengubah persepsi para pelanggan, khususnya pelanggan dari Singapura, terhadap bazar-bazar di Malaysia.
Dan bagi para peniaga pula, semoga ia dapat membantu untuk merancakkan perniagaan masing-masing sepanjang 10 hari terakhir Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.