NOTA DARI KL: Bantuan RM15 Bilion Untuk Rakyat Malaysia Taktik Politik Lunak Anwar Ibrahim?
Perhimpunan "Turun Anwar" di Shah Alam, Selangor pada 6 Julai 2025. (Gambar: Facebook/Pemuda PAS Selangor)
Kerajaan MADANI akan membelanjakan sejumlah RM15 bilion dalam bentuk bantuan tunai pada 2025, meningkat daripada RM13 bilion yang diperuntukkan pada asalnya untuk tahun ini.
Dalam ucapan berdurasi lebih 40 minit itu, beliau turut menyentuh tentang pengumuman beberapa imbuhan buat rakyat Malaysia.
Rata-rata, terdapat dua pandangan berbeza mengenai ucapan PM Anwar berhubung cara kerajaan beliau menangani isu peningkatan kos sara hidup.
Yang pertama, sebahagian rakyat yang merasa sedikit kelegaan daripada bantuan kerajaan.
Namun bagi segelintir yang lain pula, ia tidak menepati jangkaan bahkan ada yang bersikap sinis dan membandingkan janji-janji dahulu sewaktu Anwar Ibrahim mengetuai barisan pembangkang.
Dari sudut politik, PM Anwar seolah-olah terpaksa mengumumkan ‘berita baik’ tersebut jauh lebih awal dari kelaziman kerajaan sewaktu pembentangan belanjawan tahunan, yang dijadualkan di Parlimen pada 10 Oktober ini.
Ini kerana landskap di Malaysia sudah mula kembali ke kancah persaingan.
Taktik Politik Lunak
Pengumuman PM Anwar boleh dianggap sebagai satu strategi ‘charm-offensive’ bertujuan untuk melemahkan percubaan pembangkang menjana sokongan daripada rakyat berlandaskan perkembangan situasi semasa.
Kelompok kelas pertengahan, para peniaga, serta golongan karyawan muda kerap merintih di laman media sosial bahawa kuasa membeli mereka kian terhakis dan terbeban dengan beberapa sistem percukaian baharu di bawah Kerajaan MADANI.
Mereka turut terkesan akibat tempias daripada caj tarif timbal balik secara sebelah pihak oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Tarif tersebut merencatkan perkembangan ekonomi global dan kadar pertumbuhan, serta menganggu rantaian bekalan perdagangan.
Bayangan Masa Lampau
Sehari selepas pengumuman PM Anwar, kerajaan telah mengeluarkan arahan rasmi kepada semua penjawat awam agar menjauhi demonstrasi ‘Turun Anwar’ atau berdepan kemungkinan dikenakan tindakan tatatertib. Amaran kepada kakitangan kerajaan memaparkan terdapat kekhuatiran Kerajaan MADANI terhadap reaksi awam.
Walaupun telah melepasi tempoh separuh penggal pemerintahan, Kerajaan MADANI pimpinan PM Anwar masih dihantui oleh peristiwa ‘Langkah Sheraton’. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu tumbang pada Februari 2020 kerana gagal mengurus persepsi negatif daripada Himpunan 812 atau protes anti-ICERD pada Disember 2018.
Bimbang dengan usaha PN mencipta satu gelombang bagi menyaingi pengaruh PM Anwar, Kerajaan MADANI bertindak dengan pemberian habuan kepada rakyat sambil cuba mengatasi masalah komunikasi dan persefahaman rapuh antara gabungan parti-parti politik dalam kerajaan, terutamanya di peringkat akar umbi.
Peralihan Naratif Politik
Titik peluang untuk meningkatkan tekanan politik ke atas Kerajaan MADANI mula dihidu pemimpin PN ekoran perpecahan dalaman oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), pasca pemilihan parti. Natijahnya, dua menteri kabinet iaitu Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi) serta Nik Nazmi (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) berundur.
Isu-isu terbabit membuka ruang kepada pembangkang, yang dilihat mula menjarakkan diri daripada hanya membawa topik berlegar perihal politik identiti atau ‘3R’ (agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu) seperti kebiasaan sebelum ini.
PN terus meneroka ruang kerjasama politik baharu dengan mengadakan pertemuan tertutup pada 18 Julai 2025 bersama beberapa pimpinan tertinggi parti-parti politik kecil lain yang berideologi berbeza, agar dilihat lebih inklusif buat bakal pengundi.
Rentetan daripada insiden-insiden ini, PM Anwar bertungkus lumus cuba memujuk rakyat melalui pengumuman penghargaan khusus bagi meredakan ketegangan dan mula mengorak langkah untuk memenangi beberapa siri pilihan raya terdekat.
Perkiraan Negeri Bawah Bayu
Faktor Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal berlaku beberapa bulan lagi turut menjadi asbab mengapa pengumuman oleh PM Anwar bermanfaat dari sudut kesesuaian masa dan optik politik.
Pada asasnya, ia memberi modal politik ampuh bagi jentera Kerajaan MADANI berkempen sepanjang tempoh pilihan raya negeri.
Meskipun kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terpalit dengan pembongkaran skandal rasuah melibatkan anggota pentadbiran, strategi ini dijangka dapat membantu usaha mengekalkan kedudukan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Dengan memaparkan peranan kerajaan dalam pemberian imbuhan RM100 bagi tujuan pembelian barangan keperluan, ia pasti memberikan implikasi positif kepada pola pengundian di Sabah.
Kemenangan GRS dan Hajiji Noor dilihat penting supaya percaturan politik negeri Sabah terus menyumbang dalam memberikan sokongan kepada PM Anwar di peringkat Persekutuan kelak.
Keperluan Politik Kompromi
PM Anwar sedar bahawa pengumuman beliau dilakukan dengan risiko besar yang berpotensi mencalar reputasi politiknya sebagai seorang tokoh reformis. Kerajaan MADANI dilihat terus bergelut dalam mengurus sentimen para penyokong sendiri yang hiba dan muak dengan pelbagai kompromi politik demi kelangsungan kuasa.
Beberapa petunjuk politik wajar digarap, lanjutan daripada pengumuman PM Anwar mendepani situasi rumit mengimbangi keadaan politik di Malaysia.
Pertama, perlunya cetusan segera untuk menarik kembali pengundi tegar yang telah berputih mata dan berpecah belah. Kesemua parti kerajaan bimbang ahli teras mereka beralih arah ke PN atau enggan keluar mengundi tatkala Kerajaan MADANI memasuki fasa awal gerak kerja menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Kedua, kritikan terhadap kemiripan dasar populis melalui agihan ‘gula-gula’ oleh PM Anwar dengan amalan politik wang sewaktu era mantan PM ke-6 Najib Razak kini menjadi laluan paling selamat bagi mengunci sebilangan besar pengundi.
Ini disebabkan oleh keputusan Kerajaan MADANI untuk tidak mengadakan sebarang bentuk projek berskala mega, serta kurangnya impak berganda secara langsung buat rakyat dari segala pelaburan asing (FDI) yang diumumkan PM Anwar sebelum ini.
Ketiga, walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan seperti lawatan berkala ke negeri-negeri, perundingan bagi isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peranan aktif dalam dasar luar negara, PM Anwar masih belum berada di kedudukan selesa dari segi populariti dengan segmen pengundi Melayu-Islam dan anak muda.
Lantaran itu, para pencatur politik Kerajaan MADANI merasakan masa semakin suntuk untuk menjayakan impian mendapatkan penggal kedua bagi pemerintahan PM Anwar dan menasihati beliau untuk mengambil gerak balas populis dengan pengumuman habuan lumayan.
Terakhir, dari sudut dasar, jelas bahawa kaedah penggunaan kad pengenalan untuk sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bakal dijadikan ‘pilot test’ (projek rintis) bagi menentukan kaedah para penerima subsidi bersasar berbanding inisiatif Pangkalan Data Utama (PADU) sebelum ini yang dikatakan terlalu kompleks.
PM Anwar memberikan isyarat melalui ucapannya bahawa beliau akan terus cuba kekal relevan untuk memimpin Malaysia walaupun berdepan kekangan. Namun ia belum tentu cukup untuk menjamin sokongan terus berpihak kepadanya sehingga PRU16 sekiranya tidak berhati-hati mengorak langkah ke hadapan.
MENGENAI PENULIS
Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.